Unit Komunikasi Negeri (Ukom) menghargai sumbangan penulis blog di negara ini dalam membantu menangkis serangan pihak pembangkang terhadap kerajaan negeri yang berniat jahat dan mahu menjatuhkan imej pemimpin kerajaan.
Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, berkata penulis blog yang melemparkan pelbagai fitnah terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri tidak sepatutnya berbuat demikian kerana ia bertentangan dengan etika kewartawanan.
“Sepatutnya penulis blog menulis berdasarkan fakta dan maklumat sebenar berhubung sesuatu isu,” katanya pada majlis perjumpaan YAB Menteri Besar Terengganu dengan penulis blog di Kediaman Seri Iman, malam tadi.
Kira-kira 80 penulis blog dari negeri Terengganu dan luar negeri ini berkumpul atas jemputan khas Menteri Besar bagi bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin kerajaan negeri ini.
Haji Shamsuddin berkata, jika penulis blog menyerang Kerajaan Negeri Terengganu dengan niat jahat bagi menjatuhkan pemimpin BN, mereka mengkhianati rakyat negeri ini yang selama ini banyak bergantung kepada kerajaan.
“Ukom sebagai saluran medium kerajaan negeri sedia membekalkan fakta yang tepat kepada penulis blog bagi memberikan gambaran sebenar berhubung projek dan program kerajaan negeri dari semasa ke semasa,” katanya.