Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra.
Projek Agropolitan Besut-Setiu (BSA) di Panchur Bederu, dekat sini bakal memberi manafaat kepada 38 keluarga miskin apabila peringkat pertama fasa satu projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu beroperasi Mei ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, projek penternakan biri-biri Dorper seluas 104 hektar itu melibatkan pembangunan 38 unit rumah, 40 hektar tanaman rumput Napier, surau, kantin, dewan serbaguna dan tadika.
Menurutnya, sebanyak 2,080 ekor kambing biri-biri baka Dorper dari Australia akan dibawa masuk di bawah peringkat pertama untuk ditempatkan di 20 unit kandang biri-biri yang turut dibina.
“Peserta bakal menerima pendapatan RM1,000 sebulan dari aktiviti premier iaitu ternakan biri-biri dan insentif tambahan apabila projek berkenaan meraih keuntungan,” katanya selepas melawat projek itu semalam.
Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ashaari Isris; Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd. Jidin Shafie dan Pegawai Daerah, Mohamad Nor Ibrahim.
Tambah Dato’ Seri Ahmad, Majlis Pembangunan ECER dan Kerajaan negeri akan bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras keseluruhan projek bagi memastikan setiap pencapaian dapat disiapkan mengikut rancangan.
Dalam pada itu katanya, peringkat kedua fasa satu melibatkan pembinaan 62 unit rumah, 34 unit kandang biri-biri, 64 hektar tanaman rumput Napier, rumah kedai, rumah pegawai dan kerja-kerja lanskap.
Ujar beliau, 62 keluarga lagi akan berpindah September ini dan menjadikan jumlah keseluruhan 100 keluarga dengan tambahan 2,600 ekor biri-biri.
“Selain imbuhan bulanan, perserta berpeluang untuk menambah pendapatan mereka dengan aktiviti sekunder yang akan dilaksanakan seperti tanaman jangka pendek, memproses tinja untuk dijadikan baja organik serta ternakan burung walit.
“Dijangka pendapatan para peserta akan meningkat kepada RM2,000 dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan boleh mencecah RM5,000 untuk tempoh sepuluh tahun dengan aktiviti seperti industri makanan ternakan, pengeluaran benih rumput dan rantaian nilai kedai daging.
Sementara itu katanya, peserta tidak akan diberi milik tanah ladang sebaliknya dipertimbangkan untuk mendapatkan hak milik rumah yang bernilai kira-kira RM60,000 itu selepas tempoh enam tahun.
Justeru apa yang diharapkan, peserta dapat berubah minda mereka untuk mengubah nasib dan mempunyai motivasi untuk terlibat secara total dalam projek ini.