Halaman

14 February 2012

Budaya dan tradisi setiap kaum dihormati

Oleh; Esah Abdullah

Majlis rumah terbuka khusus untuk masyarakat Tiong Hua turut dikongsi bersama kaum Melayu dan Siam menyerlahkan perpaduan yang sedia terjalin antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, YB Abd. Halim Jusoh berkata, kehadiran lebih 1,000 orang penduduk sekitar bandar Permaisuri itu pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina mampu mengeratkan ikatan persahabatan sedia ada.

“Kemeriahan dan keceriaan jelas terpancar dan ini amat membanggakan kerana membuktikan budaya dan tradisi setiap kaum dihormati dan terpelihara,” katanya.

Katanya, suasana dan keadaan ini perlu dikekalkan sampai bila-bila dan kerajaan tidak pernah meminggirkan setiap hak rakyat di negara ini yang diberi sama rata.

Majlis yang berlangsung di Pusat Aktiviti MCA, Setiu itu turut dihadiri, Adun Jabi, YB Haji Ramlan Ali dan Ketua MCA Bahagian Setiu, Encik Wee Beng Hai.

Pada masa sama, kanak-kanak yang hadir turut menerima angpau daripada pihak urusetia.





Kaji penemuan baru, gua dalam gua

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri kini giat menjalankan kajian dan penyelidikan secara menyeluruh bagi memajukan satu lagi penemuan baru, gua dalam gua yang terletak di bahagian atas di Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, penemuan yang cukup berharga itu ditemui pasukan gali cari Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) ketika menjalankan tugas mencari artifak dan khazanah alam pada pertengahan tahun lepas.

Katanya, satu lagi rangka manusia turut di temui di gua sama, usia artifak itu belum diketahui kerana masih dalam kajian oleh pihak berkaitan.

Sebelum ini masyarakat dikejutkan dengan penemuan rangka manusia yang berusia 16,000 tahun yang ditemui pada November 2009 ketika kerja-kerja eskavasi yang diketuai Prof Nik Hasan Shuhami Nik Abdul Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia dengan bantuan Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Rangka tersebut yang dipercayai mayat seorang remaja zaman pra-sejarah yang menghuni gua tersebut dan ia ditanam dalam keadaan merengkok (seperti bayi dalam kandungan), masih dikekalkan di tempat asal ia ditemui.

“Penemuan artifak seumpama itu membuktikan Gua Bewah cukup berharga kepada kerajaan negeri dan kita akan terus memperkenalkan lokasi pelancongan itu di mata dunia.

“Kita tak bercadang untuk bawa pulang artifak yang ditemui dan kita akan kekalkan ia di sini dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negeri ini dan ke Tasik Kenyir.,” katanya ketika kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Khazanah Islam dari China, di Muzium Negeri, Losong, Kuala Terengganu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, Timbalan LMNT, Encik Che Azmi Ngah dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Sempena pameran selama enam bulan dan bermula 1 Februari itu, senaskah al-Quran bersadur emas yang berusia lebih 500 tahun dari Dinasti Ming, China merupakan antara 80 artifak yang dipamer kepada pengunjung.

Menurutnya, pada masa sekarang kerja-kerja meningkatkan kemudahan untuk para pelancong di kawasan sekitar gua tersebut sedang dilakukan.

“Kita juga sedang menyediakan pelantar khas, bekas penutup kaca di kawasan rangka manusia yang tertua di negara ini ditemui, bagi tujuan keselamatan terhadap artifak yang sangat bernilai itu,” katanya.



38 keluarga pindah ke Agropolitan Besut-Setiu Mei ini

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Projek Agropolitan Besut-Setiu (BSA) di Panchur Bederu, dekat sini bakal memberi manafaat kepada 38 keluarga miskin apabila peringkat pertama fasa satu projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu beroperasi Mei ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, projek penternakan biri-biri Dorper seluas 104 hektar itu melibatkan pembangunan 38 unit rumah, 40 hektar tanaman rumput Napier, surau, kantin, dewan serbaguna dan tadika.

Menurutnya, sebanyak 2,080 ekor kambing biri-biri baka Dorper dari Australia akan dibawa masuk di bawah peringkat pertama untuk ditempatkan di 20 unit kandang biri-biri yang turut dibina.

“Peserta bakal menerima pendapatan RM1,000 sebulan dari aktiviti premier iaitu ternakan biri-biri dan insentif tambahan apabila projek berkenaan meraih keuntungan,” katanya selepas melawat projek itu semalam.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ashaari Isris; Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd. Jidin Shafie dan Pegawai Daerah, Mohamad Nor Ibrahim.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, Majlis Pembangunan ECER dan Kerajaan negeri akan bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras keseluruhan projek bagi memastikan setiap pencapaian dapat disiapkan mengikut rancangan.

Dalam pada itu katanya, peringkat kedua fasa satu melibatkan pembinaan 62 unit rumah, 34 unit kandang biri-biri, 64 hektar tanaman rumput Napier, rumah kedai, rumah pegawai dan kerja-kerja lanskap.

Ujar beliau, 62 keluarga lagi akan berpindah September ini dan menjadikan jumlah keseluruhan 100 keluarga dengan tambahan 2,600 ekor biri-biri.

“Selain imbuhan bulanan, perserta berpeluang untuk menambah pendapatan mereka dengan aktiviti sekunder yang akan dilaksanakan seperti tanaman jangka pendek, memproses tinja untuk dijadikan baja organik serta ternakan burung walit.

“Dijangka pendapatan para peserta akan meningkat kepada RM2,000 dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan boleh mencecah RM5,000 untuk tempoh sepuluh tahun dengan aktiviti seperti industri makanan ternakan, pengeluaran benih rumput dan rantaian nilai kedai daging.

Sementara itu katanya, peserta tidak akan diberi milik tanah ladang sebaliknya dipertimbangkan untuk mendapatkan hak milik rumah yang bernilai kira-kira RM60,000 itu selepas tempoh enam tahun.

Justeru apa yang diharapkan, peserta dapat berubah minda mereka untuk mengubah nasib dan mempunyai motivasi untuk terlibat secara total dalam projek ini.


MB ingatkan JKKK elak cipta masalah menjelang PRU-13

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Dato’ Seri Ahmad Said mengingatkan semua pengerusi dan kempimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya tidak mencipta masalah yang boleh memberi kesan kepada kekuatan Barisan Nasional (BN).

Kata Menteri Besar, kesepakatan dan perpaduan dalam badan itu sangat penting ketika gendang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin jelas kedengaran dan sudah dapat dirasai ketika ini.

“Untuk memastikan kemenangan pada PRU-13 ini, semua kepimpinan JKKK perlu turun ke gelanggang dengan semangat untuk menang dan bukan untuk mencipta masalah.

"Maka untuk menjamin bahawa kita boleh menang, kita perlu membuat persiapan secara menyeluruh termasuk tidak mencipta masalah,'' katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar bersama JKKK Daerah Setiu di Pak Kancil, petang semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafie; ADUN Langkap, YB. Ashaari Idris; ADUN Permaisuri, YB. Abd. Halim Jusoh dan Pegawai Daerah Setiu, Mohamad Nor Ibrahim.

80 JKKK dari seluruh daerah hadir termasuk 46 dari DUN Permaisuri dan 34 dari DUN Langkap.

Dato’ Seri Ahmad yang juga Pengerusi BN negeri menambah, persiapan yang dimaksudkan beliau itu termasuk mengelak perbalahan sesama sendiri, tidak mewujudkan puak dalam parti serta cantas-mencantas kerana rasa tidak puas hati.


Polis Besut banyak selesai kes jenayah melaui OPS Sektor

Oleh: Mohammad Ishak

Ops Sektor yang dilaksanakan oleh polis di daerah Besut didapati banyak membantu menyelasaikan kes-kes jenayah yang berlaku sepanjang tiga bulan lalu sejak ianya dilancarkan.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria memberitahu Ops Sektor yang diperkenalkan pihaknya itu diadakan setiap bulan membabit setiap anggota di balai-balai di sekitar daerah dengan diketui oleh Ketua Balai.

Katanya, melalui Ops Sektor pihaknya mengadakan lawatan dari rumah ke rumah meliputi setiap kampung di daerah itu antara 5 hingga 10 anggota bagi mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat mengenai kegiatan jenayah yang berlaku di tempat mereka.

“ Setelah maklumat diterima pihak kami akan mengambil tindakan melalui pendekatan mesra bersama masyarakat yang kami nampak amat memberi keyakinan kepada semua setakat ini”, katanya kepada media selepas mengadakan Ops Sektor di Kampung Lak Lok disini hari ini.

Katanya, melalui ops ini pihak pergi mendapatkan masyarakat untuk menambat hati penduduk yang tidak secara langsung menyalurkan maklumat yang lebih “segar” dan amat berguna kepada polis untuk bertindak.

Kamaruddin berkata beberapa kes seperti penyalahgunaan dadah, kecurian dan rempit berjaya dipatahkan melalui cara tersebut.

Mengenai kes pecah rumah yang didapati meningkat sedikit berlaku di daerah itu, beliau meminta kerjasama orangramai supaya sama-sama menyalurkan maklumat dengan lebih cepat supaya satusatu kes itu dapat diselesaikan dengan segera.




Terengganu pengeluar udang putih terbesar negara

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said `menuai' udang putih di iSHARP yang siap untuk dipasarkan. - Gambar oleh Zulkipli Putra.


Oleh FAUZI MOHD

Terengganu bakal menjadi pengeluar udang putih terbesar negara apabila projek Ladang Akuakultur Udang Bersepadu (iSHARP) di Kampung Nyatuh, Setiu beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said berkata, dalam tempoh percubaan ini, ladang seluas 1,000 hektar itu sudah mengeluarkan hasil sehingga enam tan, iaitu lebih satu tan daripada sasaran awal.

Katanya, menerusi fasa pertama, 216 kolam ternakan akan beroperasi sepenuhnya tahun ini dengan kapasiti pengeluaran 2,100 tan udang setahun dan menjelang tahun 2013, sebanyak 400 kolam akan dibina.

"Apabila beroperasi sepenuhnya pada 2013, iSHARP mampu menyediakan antara 700 hingga 1,000 peluang pekerjaan terutamanya kepada anak tempatan,” katanya kepada pemberita ketika melawat ladang itu di Kampung Nyatuh, Setiu semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif iSHARP, Abu Bakar Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Asha’ari Idris dan Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd. Jidin Shafie.

Mengulas lanjut, Dato’ Seri Ahmad berkata, ladang iSHARP dibangunkan Blue Archipelago Berhad, anak syarikat Khazanah Nasional Berhad khusus untuk menternak udang secara teratur dan terkawal.

Katanya, kewujudan projek itu antara lain bagi menyuburkan perkongsian swasta, kerajaan negeri dan persekutuan bagi merancang gugusan akuakultur udang secara moden.

“Fasa kedua tahun hadapan, iSHARP akan mempunyai 400 kolam ternakan udang yang mampu menghasilkan 3,920 tan udang setahun.

“Apabila siap sepenuhnya, hasil pengeluaran iSHARP dijangka mencecah nilai pasaran RM78 juta setahun dan udang ini akan dieksport ke Eropah, Jepun, Amerika Syarikat dan Timur Tengah,” katanya.

Katanya, pusat pembenihan udang di ladang itu mampu mengeluarkan satu bilion benih udang setahun, cukup untuk menampung keperluan iSHARP dan penternak kecil di Pantai Timur.

"Pada masa ini, 48 kolam telah mengeluarkan hasil udang dan seramai 108 pekerja telah memulakan tugas di iSHARP dimana 85 peratus daripada mereka adalah anak Terengganu.

"Pekerjaan yang diwujudkan itu mampu menjana pendapatan RM12 juta setahun dan secara langsung mampu meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk setempat,” ujarnya.















Teganukita ungguli Penulisan Berita Sukan Terbaik Anugerah Kawat-ExxonMobil 2011

Oleh FAUZI MOHD



Wartawan akhbar Teganukita, Aida Abd. Rahman diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Penulisan Berita Sukan Terbaik dalam Anugerah Kawat-ExxonMobil 2011 di Hotel Permai, Kuala Terengganu malam semalam.

Beliau yang membawa pulang wang tunai RM1,500 serta sijil penghargaan mengetepikan pencalonan Mustapa Lakawa (Kosmo!) di tempat kedua dan dan ketiga Abdul Malik Muhammad (Harian Metro).



Sementara itu, wartawan Kosmo!, Manirah Othman mengungguli kategori Penulisan Berita Terbaik sekaligus memperolehi wang tunai berjumlah RM1,500 menewaskan Siti Airunnisa Alaui dari Utusan Malaysia di tempat kedua (RM1,000) dan Muhammad Ishak dari Berita Harian terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan memperoleh wang tunai berjumlah RM750.

Manirah juga berjaya menggondol kategori Penulisan Rencana Terbaik mengatasi Mohd. Lazim Endut dari Sinar Harian dan Tuan Azam Tuan Johan (Bernama) sekaligus mencatat sejarah mengungguli kedua-dua kategori untuk tahun kedua berturut-turut.


Bagi kategori Penulisan Berita Ekonomi Terbaik pula, ia menjadi milik Siti Airunnisa dan diikuti oleh Fauzi Mohd. yang juga merupakan wartawan Utusan Malaysia manakala Mohd. Nazdy Harun (Harian Metro) di tempat ketiga.

Seorang lagi wartawan Utusan Malaysia, Radhuan Hussin turut mencatat nama selaku pemenang apabila mengungguli kategori yang baru pertama kali diperkenalkan iaitu Penulisan Berita Pendidikan Terbaik mengatasi Zainuddin Mohamad (NST) dan Sharipah Hunaini Syed Ismail (Bernama).

Foto Terbaik milik jurufoto NST, Rozainah Zakaria; kedua, Azlan Bahrum (Utusan Malaysia) dan ketiga milik Aswadi Alias (Harian Metro).

Laporan Berita TV Terbaik pula milik Ishak Abdillah (TV3) diikuti Aziz Che Man (RTM) dan Abdul Aziz Abdullah (TV3) manakala Anugerah Khas Radio menjadi milik juruhebah RTM, Suhaila Mat Daud.

Sementara itu, Anugerah Khas Presiden pula diberikan kepada Muhammad Danial Zainuddin, 17, pelajar austistik pendidikan khas yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang lalu yang juga anak kepada wartawan NST, Zainuddin Mohammad.

Semua hadiah bagi anugerah itu disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabery Cheek.



Hadir sama Pengerusi Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil (Malaysia), J. Hunter Farris dan Presiden Kawat, Ayob Mamat.

Sebanyak RM70,000 disumbangkan oleh ExxonMobil untuk program itu manakala Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menyumbang sebanyak RM20,000 untuk program yang sama.


13 February 2012

RM400,000 pulih hakisan Pantai Rhu Sepuluh

Dato' Seri Haji Ahmad Said melihat kesan hakisan di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu, di mana kerajaan negeri bersetuju meluluskan RM400,000 untuk membina semula jalan dan menambak. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM400,000 bagi membina semula jalan dan menambak hakisan Pantai Rhu Sepuluh di Setiu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu, RM200,000 disalurkan kepada Majlis Daerah Setiu (MDS) untuk membina semula jalan dan selebihnya diperuntukkan kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) untuk menambak hakisan pantai sepanjang 200 meter.

Katanya, sebahagian besar pantai terbabit kini semakin teruk ditelan hakisan dan pembinaan semula itu sebagai langkah sementara memandangkan kos untuk membina benteng pemecah ombak kekal begitu tinggi.

“Langkah berkenaan adalah bagi menangani segera hakisan yang berlaku akibat musim tenkujuh akhir tahun lalu,” katanya ketika mengadakan lawatan ke pantai itu sempena kunjungan sehari Menteri Besar ke Setiu, hari ini.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Ashaari Idris; Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd. Jidin Shafie, ADUN Permaisuri, YB. Abdul Halim Jusoh dan ADUN Jabi, YB. Ramlan Ali.

Hadir sama, Pegawai Daerah Setiu, Mohamad Nor Ibrahim.

Dato’ Seri Ahmad berkata, pembinaan itu akan disegerakan pembinaannya dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat bagi menyelamatkan kawasan pantai tersebut.













50 OKU sertai kelas al-Quran Braille

Gambar hiasan
Oleh; Esah Abdullah

Seramai 50 orang ahli Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu menyertai kelas al-Quran Braille yang diadakan di Pusat Kegiatan Pertis, Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Pengerusi Pertis Wilayah Terengganu, Encik Mohd Fauzi Mansor berkata, kelas tersebut sudah beroperasi sejak lima tahun lalu dan merupakan satu-satunya yang masih bertahan di negara ini.

“Komitmen tinggi ahli-ahli serta sokongan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Yayasan Islam Terengganu (YIT) menjadi faktor penting kelas pengajian Braille ini terus hidup hingga hari ini,” katanya.

Katanya, perkembangan ini sangat membanggakan persatuan berbanding negeri lain bertahan hanya beberapa bulan sahaja.

Menurutnya, kelas al-Quran Braille ini dibuka tiga hari dalam seminggu bermula jam 10 pagi hingga 12 tengahari.

“Saya harap ahli Pertis tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk mendalami ilmu al-Quran hingga kehujung nyawa,” katanya.





BN yakin tawan DUN Sura, menang majoriti 8,000 undi di Parlimen

Oleh FAUZI MOHD

Senarai daftar pemilih di Parlimen Dungun telah meningkat kepada 80,000 orang berbanding kira-kira 70,000 pada pilihan raya umum yang lepas hasil kerja keras jentera Barisan Nasional (BN) bahagian itu.


Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan berkata berdasarkan perkembangan politik semasa, BN yakin akan dapat meningkatkan undi majoriti sebanyak 4,000 undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi

Sementara itu kata beliau, sebanyak 2,000 undi majoriti di DUN Rantau Abang dan DUN Paka serta berusaha merampas kerusi DUN Sura daripada PAS dengan majoriti 1,000 undi sekali gus mencatatkan kemengan majoriti kira-kira 8,000 undi di Parlimen Dungun.

"Sokongan kepada BN semakin meningkat setelah rakyat melihat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih prihatin dalam membantu rakyat.

"Selain itu, pemimpin di peringkat negeri Terengganu juga bersatu tenaga dalam mempertahankan negeri ini," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Dungun di Felda Kertih I, hari ini.

Katanya dengan pelbagai program kebajikan yang dilaksanakan parti itu termasuk mendekati golongan muda dengan aktiviti-aktiviti sukan lasak, beliau yakin BN akan sekali lagi mencatat kemenangan di Parlimen Dungun pada pilihan raya umum ke-13 nanti.