Halaman

26 February 2012

Pengajaran dan motivasi diselit dalam penulisan

Penulis novel Ombak Rindu, Puan Fauziah Ashari

Oleh; Esah Abdullah

Penulis novel Ombak Rindu, Puan Fauziah Ashari tetap memberi penekanan dalam aspek pendidikan dan motivasi dalam setiap hasil karyanya agar pembaca mendapat sesuatu yang berguna.

“Menghasilakan karya yang baik bukan sekadar mencari keuntungan tetapi turut memberi pengajaran berguna kepada peminat novel di negara ini,” katanya ketika ditemui dalam program Sepetang Bersama Penulis Ombak Rindu sempena Pesta Buku Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Hadir sama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.

Pesta Buku anjuran kerajaan negeri itu berlangsung seminggu bermula 23 hingga 29 Februari depan dipenuhi pelbagai aktiviti seperti pertandingan melukis/mewarna, sejenak bersama Kartunis Ubi, riang ria bersama adik Nur Fatihah (Boboi Boy) dan sebagainya.

Menurut Puan Fauziah, selain novel Ombak Rindu, yang merupakan karya pertamanya, novel-novelnya terus mendapat perhatian pembaca. Antaranya Ombak Rindu 2, Cinta Tiada Akhir, (2005), Ombak Rindu 3. Rindu Cintaku (2008), Pergilah Sepi, Setia Menanti, Duri dan Bisik-bisik Gelora.

Selain itu beliau telah menghasilkan novel terbarunya `Kan ku Kejar Cinta Kamu’ yang diterbitkan pada awal tahun ini.

Buku setelah 800 muka surat itu dijual dengan harga RM28.90 dan diterbitkan melalui penerbitannya sendiri, Intens Idea International Sdn Bhd.

“Novel bertemakan percintaan dan kekeluargaan itu turut diselitkan dengan unsur-unsur pendidikan dan setakat ini berjaya dicetak 50 ribu naskah ,” katanya.

Manakala novel Ombak Rindu berjaya dicetak 200 ribu dan mendapat sambutan hangat setelah diadaptasi ke filem dengan kutipan melebihi RM10 juta,” katanya.




Teganukita 55





KMBTB buka Hotel Bajet

Oleh: Suriati Ali

Koperasi Muamalat Bersatu Terengganu Berhad (KMBTB) terus berusaha memajukan perniagaan sedia ada dengan membuka Hotel Bajet di Jalan Paya Keladi, Kuala Terengganu yang bernilai kira-kira RM1.2 Juta.

Hotel Bajet yang memuatkan 30 bilik itu akan beroperasi pada Julai ini selepas selesai kerja-kerja terakhir.

Rangkaian perniagaan KMBTB yang diusahakan bersama ahli-ahli lembaga sebelum ini seperti Butik Pakaian Muslimah Hijjaz D’Warna; Salun & Spa Muslimah dan Halal Projek mendapat sambutan menggalakkan.

Pengerusi KMBTB, Encik Wan Zakaria Wan Osman, Perkembangan positif itu membuatkan pihak KMBTB terus bersemangat mengembangkan sayap perniagaan dengan membuka Hotel Bajet.

Katanya, pada masa sama, beberapa lagi perniagaan lain turut dirancang termasuk homestay dan ladang kopi di lokasi yang akan ditentukan kelak.

“Semua projek yang dirangka bukan saja untuk masa depan ahli malah untuk kepentingan orang ramai dan imej Terengganu,” katanya kepada media selepas selesai Lawatan Kerja Ke Kilang Kopi KMBTB, di Kawasan Perindustrian Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Azmi Razik dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Encik Umar Sarim Saidin
Encik Wan Zakaria turut memberitahu, KMBTB boleh disifatkan sebagai perniagaan berprestasi tinggi kerana bukan saja berupaya menjana aliran tunai yang positif malah dapat mambantu membina industri hiliran dan pelancongan.

Katanya, di samping itu, pihaknya mempunyai wawasan tinggi bagi memajukan perniagaan koperasi melalui ``Licensing Busines Model’ yang boleh diguna pakai koperasi lain, ahli KMBTB dan orang ramai.

“Secara tidak langsung, dalam jangka masa lima tahun akan menjadi sebuah koperasi pembekal da pemborong yang berdaya maju,” katanya.


Kontinjen SUK Terengganu galas cabaran di Sarawak

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kontinjen Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu disaran menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, kerjasama berpasukan serta memupuk ukhwah antara pegawai dan atlit sepanjang berlangsungnya temasya Sukan SUK di Kuching, Sarawak pada 28 Februari hingga 4 Mac ini.

“Saya berharap semua atlit dan pegawai sudah bersedia dari aspek fizikal dan mental bagi berdepan kejohanan dan mampu menggalas cabaran untuk menyaingi pihak lawan dengan menerapkan semangat kesukanan yang tinggi.

“Memandangkan persiapan rapi yang sudah dilakukan menjelangnya kejohanan pada kali ini berbanding temasya dua tahun lalu di Kuantan Pahang, saya berharap kontinjen Terengganu mampu membawa pulang dua piala pusingan nanti,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Terengganu sempena Sukan SUK Se-Malaysia Ke-4, 2012 Sarawak, di Wisma Darul Iman, pagi ini.

Hadir sama, Ketua Kontijen, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) dan Urusetia Kontinjen Terengganu (Penolong Setiausaha Kerajaan, Belia dan Sukan), Encik Ahmad Shahrizal Yahaya.



Dato’ Mazlan turut yakin dengan kemampuan dan kebolehan semua atlit dan pegawai yang bakal menyahut cabaran di temasya itu nanti serta berharap mereka mampu meningkatkan prestasi dan membawa pulang kejayaan.


Beliau kemudiannya menyerahkan bendera Terengganu kepada ketua kontinjen dan menyarungkan jersi sukan kepada setiap ketua pasukan yang bakal bertanding sebagai simbolik majlis berkenaan.

Kontinjen Terengganu menghantar 97 atlit dan pegawai bagi menyertai lima acara iaitu bola sepak, bola jaring, ping pong, badminton dan boling pada edisi kali ini.




JPN buka pendaftaran persekolahan 2013/2014

Oleh; Esah Abdullah

Ibu bapa atau penjaga mempunyai anak yang lahir pada 2 Januari 2006 hingga 1 Januari 2007 bagi tahun persekolahan 2013 diminta membuat pendaftaran bagi penempatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) seluruh negeri.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Encik Hashim Mohd Zain berkata, mereka yang mempunyai anak lahir pada 2 Januari 2007 hingga 1 Januari 2008 bagi tahun persekolahan 2014 juga diminta berbuat demikian.

“Permohonan penempatan di SK di negeri ini boleh dibuat seawal dua tahun sebelum penggal baru persekolah bermula,” katanya.

Katanya, syarat permohonan ialah ibu bapa atau penjaga perlu bawa bersama sijil kelahiran kanak-kanak terbabit (salinan asal dan fotostat) dan bukti alamat tempat tinggal dengan membawa bil elektrik atau air atau dokumen lain semasa mendaftar.

Tambahnya, bagi kanak-kanak yang cacat penglihatan dan pendengaran atau yang dikategori bermasalah, mereka perlu menjalani pemeriksaan doktor sebelum membuat pendaftaran dan borang boleh didapati di Unit Pendidikan Khas JPN.

Selain itu, permohonan penempatan kanak-kanak warga asing bagi kemasukan 2013 boleh dilakukan di JPN selepas 1 Oktober 2012.

“Setiap borang permohonan diisi dengan tiga salinan dan disertai dua salinan sijil kelahiran kanak-kanak terbabit, dua salinan kad pengenalan ibu bapa serta dua salinan pasport kanak dan ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, jika ibu bapa bekerja di negara ini, sertakan salinan pas pengajian yang sah, salinan pas tanggungan (anak/ibu) dan salinan surat majikan dan jika permohonan dibuat oleh penjaga sertakan salinan surat keterangan hubungan dengan kanak-kanak tersebut.

Katanya, semua keterangan lanjut mengenai borang dan permohonan boleh berhubung dengan Unit Perhubungan dan Pendaftaran JPN di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu atau ditalian 6213000.




Saringan awal, imunisasi cegah kanser : Dr A Rahman

Oleh: Aida Abd Rahman

"Saringan awal dan imunisasi adalah antara pencegahan kanser dan kos efektif. Oleh itu masyarakat harus sedar dan membuat pengesanan serta rawatan awal sebelum ia serius dan sampai ke peringkat yang sukar untuk sembuh dan boleh membawa maut, " katanya Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr A. Rahman Mokhtar.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat negeri Terengganu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim, Setiu, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, YB Abd Halim Jusoh yang mewakili beliau merasmikan majlis berkenaan.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Anwa Sulaiman.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menyokong setiap aktiviti terutama yang memberi fokus kepada meningkatkan taraf kesihatan rakyat negeri ini.

Selain itu juga penganjuran sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri yang diadakan lebih memberi penekanan kepada kerjasama pelbagai pihak dalam sama-sama menangani masalah penyakit kanser .

“Masyarakat juga harus didedahkan dengan maklumat dan pengetahuan yang jelas dan tepat agar tentang bahaya penyakit kanser dan cara merawatinya di peringkat awal dengan menjalani aktiviti pencegahan kanser di klinik dan hospital.

" Bagi negeri Terengganu, kanser adalah antara penyebab kelima kematian utama di hospital kerajaan selama 5 tahun berturut-turut dengan kadar kematian seramai 56 orang pada tahun 2003 dan meningkat kepada 69 orang pada tahun 2004 manakala pada tahun 2005 meningkat kepada 85 kematian manakala 92 kematian dicatatkan pada tahun 2006 . Peningkatan kadar kematian semakin meningkat kepada 107 kematian pada tahun 2007, " katanya.

Pada 2007, Jabatan Kesihatan negeri memulakan daftar kes kanser seluruh negeri dimana jumlah kes baru kanser sebanyak 631 kes iaitu 38.0 peratus adalah lelaki dan 391 ( 60.2 peratus adalah wanita .

Menurutnya, kanser yang paling tinggi di negeri ini adalah kanser payudara iaitu 107 kes ( 17 peratus) diikuti kanser kolorektal 38 (14.8 peratus), leukemia 18 (7.0 peratus) liver 17 (6.6 peratus) dan prostat 13 (5.1 peratus) manakala bagi wanita , kanser payu dara adalah paling tinggi 107 (26.3 peratus) diikuti kanser ovari 41 (10.1 peratus), corpus Uteri 37 (9.1 peratus, cervix uteri 29 (7.1 peratus) dan kanser kolorektal 26 ( 6.3 peratus)

" Berdasarkan laporan ini jelas menunjukan bahawa kanser kolorektal adalah antara kanser yang utama atau tinggi insidennya sama ada bagi lelaki mahupun wanita , " katanya.





Sahut cabaran MB Selangor, video pengakuan murtad didedah

Dato' Hassan Ali bersalaman dengan hadirin ketika hadir program Himpun di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, kelmarin.

Oleh FAUZI MOHD

Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Hasan Ali melalui Sekretariat Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (Himpun) mendedahkan rakaman video yang menjadi bukti kewujudan usaha memurtadkan umat Islam terutamanya di Selangor.

Rakaman pengakuan murtad seorang lelaki Melayu bersama isterinya itu dipaparkan kepada kira-kira 6,000 hadirin pada program Himpun di Stadium Negeri, Batu Buruk, semalam.

Melalui video itu, pasangan suami isteri berkenaan mengaku pernah murtad dan mengikuti majlis pembaptisan, meminum air suci dan kursus setiap minggu serta diberikan buku, kitab berkaitan dan wang ringgit.

“Maklumat berkenaan kami perolehi daripada orang yang murtad itu sendiri dan Allah memberi saya peluang menjadi saksi kepada pasangan suami isteri berkenaan kembali semula kepada Islam dengan kalimah Syahadah” dedah bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Menurut Dr. Hasan, beliau mengambil langkah tersebut kerana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menuduhnya cuba menimbulkan kekacauan dan keraguan kepada rakyat kerana terlalu beria-ia sangat untuk menghapuskan gejala murtad.

Hadir sama menyampaikan ceramah pada program itu ialah bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamad Hafiz Mohd Nordin.

Rabu lalu, Abdul Khalid dilaporkan telah meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjalankan siasatan mengenai dakwaan wujudnya usaha memurtadkan umat Islam di negeri itu.

Dalam pada itu Dr. Hasan mendakwa, Malaysia kini menjadi tumpuan para pengembang agama Kristian yang datang dari seluruh dunia seperti England, Australia, Jerman dan yang paling ramai adalah dari Korea Selatan, Filipina serta Indonesia.

“Mereka datang dalam bilangan yang besar dan duduk di seluruh pelosok tempat di Malaysia. Mereka mempunyai tugasan yang sasaran mereka bukan orang Cina, bukan orang India tetapi orang Melayu Islam,” katanya.


LTdL 2012 : TSG cari rentak buru kedudukan terbaik

Aksi Mohd Harish Salleh (TSG) pada peringkat kedua dari Putrajaya ke Melaka.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh masih lagi mencari rentak terbaik apabila terpaksa berpuas hati menduduki tempat ke-16 pada peringkat kedua dari Putrajaya ke Melaka, semalam.

Bagaimanapun, abangnya, Zamri lebih cemerlang selepas menduduki tempat ke-10 dalam perlumbaan sejauh 151 kilometer yang menyaksikan saingan berakhir secara berkelompok dan mereka menduduki tempat ke-19 keseluruhan berpasukan.

Menurut pelumba kelahiran Terengganu itu, dia agak kecewa dengan prestasinya setakat ini sehingga memaksa ibunya, Esah Abdullah terpaksa mententeramkan pelumba itu sebaik tamat saingan.

“Saya rasa kecewa pada saingan hari ini (semalam). Saya tidak tahu mengapa strategi yang dirancang tidak menjadi,” kata Harrif yang merupakan pemenang tempat ketiga pada peringkat pertama LTdL 2011 di Langkawi.

Jelasnya, saingan semalam sangat sukar dan sasarannya untuk mengutip mata di zon pecutan juga tidak berjaya.

Malah, dia juga cepat berasa letih selepas terpaksa mengejar kelompok hadapan yang melakukan breakaway lebih awal di kilometer 30.

“Pelumba Astana juga banyak mengawal perlumbaan, meskipun di laluan yang sempit, mereka tetap cuba menguasainya, sekali gus menyebabkan saya tiada peluang untuk meloloskan diri,” jelasnya.

Sementara itu, rakan sepasukan, Jang Chan Jae menduduki tempat ke-12, diikuti Mohd. Shahrul Mat Amin ke-29, Mohd. Saufi Mat Senan ke-36 dan Shinichi Fukushima ke-43.


LTdL 2012 : Guardini juarai peringkat kedua, jersi kuning kekal milik Zabriskie

Oleh FAUZI MOHD

Pakar pecut dari pasukan Farnese Vini-Selle Italia, Andrea Guardini mula mendapat sentuhan juara selepas memenangi peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Putrajaya yang berakhir Melaka, semalam.

Bagaimanapun, jersi kuning (pendahulu keseluruhan) masih milik David Zabriskie daripada pasukan Garmin Barracuda walaupun menduduki tempat ke-74.

Perlumbaan sejauh 151 kilometer itu berakhir secara beramai-ramai dengan catatan masa 3 jam 35.19 saat.

"Saya memenangi perlumbaan peringkat kedua ini selepas diberi bantuan sebaiknya oleh rakan-sepasukan, terutama ketika menghampiri garisan penamat," kata bekas Raja Pecut LTdL 2011 berusia 22 tahun itu.

Guardini mempamerkan kayuhan mantap untuk meloloskan diri mendahului kelompok besar yang tiba di garisan penamat sekali gus membawa pulang jersi biru (Raja Pecut) apabila mengumpul 15 mata kelebihan di garisan penamat.

"Saya akui aksi penamat itu memang amat sukar selepas menyaksikan pasukan Europcar bekerja lebih awal sebelum tiba di garisan penamat, rakan sepasukan saya, Rafael Andriato pula mengalami kemalangan pada selekoh akhir," kata pelumba kelahiran Tregnago, Itali itu.

Perlumbaan semalam menyaksikan Dmtriy Gruzdev dari Astana masih mempertahankan Jersi Putih (Terbaik Asia Keseluruhan) manakala pelumba Champion System, Anuar Manan merupakan pelumba terbaik Asia peringkat kedua selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Jersi merah (Raja Bukit) menjadi milik pelumba Drapac Cycling, Floris Goesinnen selepas menjadi pelumba pertama tiba dahulu di dua zon pendakian, Bukit Pelandok dan Linggi dengan mengumpul lapan mata.

Perlumbaan hari ini bermula dari Melaka ke Parit Sulong sejauh 187.6km dan jaguh pecut dijangka sekali lagi akan menguasai saingan dengan tiga zon pecutan tersedia menanti di Tangkak, Labis dan Chaah manakala hanya satu sahaja zon pendakian di Bukit Belah.


LTdL Stage2 PUTRAJAYA - MELAKA

OLEH: Mohd Yahya dan Harish Fadzillah