Halaman

11 March 2012

Wanita tulang belakang parti

Oleh; Esah Abdullah

Penyokong Barisan Nasional (BN) diminta jangan ikut tarian pembangkang yang berlagak seperti langau, sebaliknya terus laksanakan tugas membantu meringankan beban masyarakat.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, jentera BN mestilah sentiasa mengamalkan kerja berpasukan dan terus menyampaikan mesej kerajaan hingga ke akar umbi.

“Memang kerja dia (Pas) burukkan kerajaan BN dan sampai bila pun mereka tidak akan mengaku kebaikan kita walaupun bersama-sama terima bantuan,” katanya ketika berucap pada Program Pemantapan Jentera Pilihanraya Wanita (JR) Bahagian Kuala Nerus, di Stadium Tertutup Gong Badak petang semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Besar To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus , Dato; Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Ketua Wanita, Hajah Khadijah Awang; Ketua Pemuda Encik Apli Yusof dan Ketua Puteri, Puan Aida Azam.

Majlis yang dihadiri hampir empat ribu jentera wanita dalam Parlimen Kuala Nerus turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said; Adun Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, Adun Tepoh, YB Yaji Muhammad Ramli Noh dan Pegawai Pembangunan Dun Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.

“Wanita merupakan tulang belakang parti dan majoriti gerak kerja yang dijalankan seperti berkunjung rumah ke rumah bertemu pengundi dilakukan oleh jentera semut merah ini,” katanya.

Beliau melahirkan keyakinan, keupayaan JR dalam misi memenangkan parti pada PRU akan datang kerana mereka sering membuat laporan benar biar pun pahit untuk ditelan oleh sesetengah pemimpin.

“Dengan pengalaman yang ada, saya percaya JR sentiasa menjalankan tugas dengan berkesan serta mampu menarik pengundi atas pagar,” katanya.

















Pelumba TSG galas cabaran LTdT, Taipei

Oeh: Aida Abd Rahman



Selepas mengharungi cabaran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, dua pelumba profesional yang juga anak Terengganu bernaung di bawah Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) bakal menggalas cabaran jelajah Le Tour de Taiwan (LTdT) selama seminggu di Taipei, bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Mohd Sophian Abu Bakar berkata, mereka adalah Mohd Shahrul Mat Amin, Mohammad Saufi Mat Senan, selain diperkuatkan dengan tiga pelumba `import’, Jang Chan Jae, Kim Do Hyoung dan Shinichi Fukushima serta diiringi jurulatih kelahiran Itali, Sebastian Ducios.

“Ini merupakan penyertaan pertama TSG di kejohanan luar negara tahun ini dan kita harap akan mencapai kejayaan bagi menyuntik semangat pada kejohanan yang lain nanti,” katanya.

Mohd Sophian berkata TSG menyenaraikan 19 kejohanan luar negara dan 13 kejohanan dalam negara sepanjang 2012.

Di samping tiga pelumba asing itu, TSG musim ini dibarisi pelumba Mohd Hariff Salleh, Mohd Shahrul, Yusrizal Usoff, Mohammad Saufi, Muhamad Faiz Sharifuddin Abd Kadir, Muhammad Shobry Abdullah, Mohd Nor Umardi Rosli dan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki.

“Kita juga mempunyai dua pelumba baru yang berasal dari Terengganu iaitu Mohd Zamri Salleh dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Mohd Saufi Anuar Aziz,” katanya.




Piala FA 2012 : Terengganu singkir Perak ke suku akhir

Oleh FAUZI MOHD

Skuad Penyu menempah tiket ke peringkat suku akhir selepas menumpaskan Perak 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.



Gol tunggal yang dijaringkan penyerang, Mohd Ashaari Shamsuddin pada minit ke-49 hadir pada waktu kecederaan separuh masa pertama hasil sepakan percuma penyerang import Liberia, Francis Forkey Deo.



Terengganu berhadapan pasukan pelawat tanpa kelibat kapten pasukan, Marzuki Yusof dan penjaga gol, Sharmiza Yusof turun buat kali pertama musim ini disebabkan kecederaan dialami Sharbinee Allawee.



Juara Piala FA musim 2000 dan 2011 itu bakal berdepan pendatang baru, Lions XII yang mengalahkan NS Betaria, 2-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura.





















456 murid DUN Sura terima e-Book

Oleh CHE MOHD HISHAM CHE JAMALUDDIN dan HAZWAN ROSLEE



Dengan misi mahu membuat lonjakan hebat terhadap penguasaan teknologi maklumat (ICT), langkah demi langkah digerakkan bagi mengubah lanskap pendidikan negeri anjung ilmu, Terengganu.



Bertempat di Dewan Arena Square, Sura, Dungun, wajah gembira murid, guru dan ibu bapa dirakamkan apabila seramai 456 murid dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menerima agihan e-Book percuma.



Lebih bermakna, penyampaian daripada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said itu ditunggu-tunggu murid tahun empat dari lima buah sekolah di DUN berkenaan, baru-baru ini.



Daripada jumlah itu, 85 penerima daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dungun, SK Pusat Dungun (114), SK Bandar Dungun (71), SK Sultan Omar (155) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa (31).



Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Pembangunan DUN Sura, Datuk Wira Rosli Mat Hassan dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hashim Mohd Zain.













Perkemas pertahanan, penjaga gawang T-Team: MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejayaan T-Team menempah tiket ke slot suku akhir Piala FA musim ini mencetus reaksi gembira peminat nombor satu sukan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

T-Team yang bermain di laman sendiri memberi keyakinan kepada pasukan yang diberi jolokan 'penyu muda' itu menguasai permainan sebelum membenam tetangga, Pahang 3-2 dalam perlawanan sengit di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.

Bagaimanapun, Menteri Besar mahu pasukan junior Terengganu itu memperkemaskan barisan pertahanan termasuk penjaga gawang, selain meningkatkan strategi permainan dalam mengharungi saingan akan datang.

“Saya lihat pada perlawanan malam semalam (kelmarin) kelemahan ketara T-Team di bahagian pertahanan yang terlalu longgar, bagaimanapun pemain bahagian tengah dan serangan bagus.

“Saya amat berpuas hati dengan kemampuan dan kebolehan mereka, cuma dari segi penjaga gol saya lihat ada sedikit kelemahan dengan beberapa kesilapan,” katanya ketika ditemui selepas acara pelepasan Terengganu Starhill 4x4 Challenge, di perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam (10 Mac).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan pasukan T-Team yang berjaya ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Pahang dalam perlawanan pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Dalam perkembangan yang sama, Dato’ Seri Haji Ahmad meminta peminat sukan bola sepak di negeri ini turut sama memberi sokongan kepada T-Team yang sebagaimana sokongan terhadap Terengganu.

“Saya tidak faham dengan persepsi penonton di Terengganu ini, sepatutnya mereka juga memberi sokongan kepada pasukan T-Team (selain pasukan bola sepak Terengganu) dan pasukan negeri kerana kedua-dua pasukan ini mempunyai kewibawaan serta kebolehan masing-masing.

“Sejak musim lalu, saya tidak berpuas hati dengan sokongan penonton ketika pasukan T-Team menentang Selangor dalam perlawanan separuh akhir, hanya 1,000 lebih penonton sahaja yang hadir,” katanya.


















Skuad basikal sasar lima emas Sukma Pahang

Oleh: Aida Abd Rahman

Skuad berbasikal Terengganu menyenaraikan barisan pelumba terbaik bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya lima emas dalam genggaman pasukan itu di temasya Sukan Malaysia (Sukma) Pahang, Julai depan.

Jurulatih pasukan, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, 10 dari 24 pelumba dipilih adalah pelumba lama, termasuklah Mohammad Adiq Husaini Othman, Mohd Zulhilmi Nafiz Amri, Nor Amirul Fakharuddin, Mohd Khairul Azizi Abdullah dan Saufian Naibih Umar Bakti.

Katanya, lima lagi merupakan pelumba wanita yang mewakili negara dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), iaitu Umi Hamimah Ahmad, Zaharah Anuar, Norain Mahmud, Nor Suhada Zainal dan Liana Atirah Zailani.

“Kita membuat pemilihan pelumba lebih awal supaya mudah mengatur persiapan menjelang Sukma Pahang nanti,” katanya .

Menurutnya, pasukannya bakal menjalani latihan intensif menerusi penyertaan di beberapa kejohanan luar negara, selain menyambung latihan selepas jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 yang melibatkan tiga sesi dari awal pagi hingga petang bermula bulan depan sebelum menyambung latihan seterusnya di Temerloh, Pahang pada Mei nanti.






10 March 2012

KUALA NERUS DAERAH BARU YANG BERPOTENSI MAJU

Oleh: Ruslan Rahman

Kuala Nerus adalah yang bakal menjadi suatu daerah baru yang berpotensi besar untuk maju dan mampu meningkatkan kemajuan untuk rakyat.



Banyak rancangan-rancangan pembangunan yang bakal diadakan, di samping pusat-pusat pertumbahan yang sedia ada.

Difahamkan Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abdidin (Unisza) akan diwujudkan, sekolah sukan, di samping pusat pendidikan yang sedia ada seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Perguruan, Maktab Rendah Sains Mara, Pusat Latihan Petronas dan Institut Latihan Perindustrian (ILP)

Lain-lain kemudahan termasuk Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), dua buat stadium dan Jambatan Sultan Mahmud.

Sebuah laluan baru jambatan baru laluan kedua juga dijangka akan dibina bagi mengelak kesesakan lalulintas mengikut laluan Losong, Pulau Sekati dan Telok Pasu.



Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang membuat lawatan ke Kuala Nerus hari ini telah mengadakan pertemuan dengan pimpinan Kuala Nerus termasuk kepemimpinan Umno Bahagian yang diketuai oleh Dato’ Haji Mohd. Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri.

Dalam pertemuan kira-kira dua jam itu yang diadakan di Pejabat Umno Bahagian Kuala Nerus, beliau telah diberi taklimat tentang senario pembangunan dan kedudukan politik di Kuala Nerus.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan YB Datuk Rahin Mohd.Said hadir sama.



Beliau berkata, selepas ini akan membuat lawatan ke tapak pusat pentadbiran Daerah Baru Kuala Nerus.

Dalam Bajet 2012 yang dibentangkan oleh beliau Disember tahun lalu, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja awal pembentukan daerah baru Kuala Nerus itu.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menunaikan solat Fardhu Zohor berjemaah di masjid baru di Kampung Bukit Tunggal yang bakal diberi nama Masjid Fikri.

Pada sebelah petang tadi beliau mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 4000 kumpulan penggerak Jalinan Rakyat (JR) yang terdiri dari kaum wanita dalam Parlimen Kuala Nerus, di Stadium Tertutup, Gong Badak.

Dalam ucapannya kepada beliau meminta supaya usaha-usaha mendekatkan rakyat dengan kerajaan melalui penerangan tentang dasar-dasar kerajaan, pembangunan dan kebajikan yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dipertingkatkan.

Beliau meminta supaya rangkaian JR diperbesarkan lagi seramai yang mungkin untuk turun ke padang mendekati rakyat di semua peringkat.



Beliau amat yakin bahawa rakyat akan terus memberi sokongan kepada BN dalam pilihanraya akan datang, termasuk dalam Parlimen Kuala Nerus dan keempat-empat kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN).

Terengganu lokasi pilihan sukan ekstrim pacuan empat roda

Oleh: Aida Abd Rahman

Bentuk geografi Terengganu menjadi lokasi pilihan utama negara ini bagi penganjuran sukan ekstrim yang melibatkan kenderaan pacuan empat roda.



Terbaru, Terengganu Starhill 4x4 Challenge yang dianjurkan buat kali kesembilan berlangsung di pinggiran Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu sepanjang empat hari bermula semalam.

Seramai 140 peserta termasuk enam peserta luar negara mengharungi cabaran acara berhalangan yang dilepaskan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, hari ini.



Menteri Besar berkata, acara yang diasaskan oleh Kelab Kembara Geduut 4x4 dari Besut itu pada mulanya hanya bergerak aktif peringkat daerah, bagaimanapun kini mula berkembang ke peringkat negeri serta kebangsaan.

“Terengganu menjadi destinasi utama pilihan penganjur bagi sukan ekstrim pacuan empat roda yang mengisi kalendar pelancongan negeri.



“Selain Terengganu Starhill 4x4 Challenge, sukan motocross, 4X4 Rainforest Challenge International, Kejohanan Drive Ride (DR) 4X4 Ranggok Antarabangsa 2012 di Kampung Gong Cempedak, Marang juga antara acara lasak yang memilih Terengganu selaku tuan rumah,” katanya ketika siding media sejurus acara pelepasan Terengganu Starhill 4x4 Challenge.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penganjuran sukan lasak itu di peringkat nasional mahupun antarabangsa bagi menarik kunjungan pelancong ke negeri ini dan merealisasikan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.



Beliau berkata, usaha menarik pelancong bukan sahaja tertumpu kepada TMT 2013 sahaja, tetapi perlu dilaksanakan setiap tahun khususnya dengan mempelbagai produk dan acara yang dapat menarik penyertaan negara asing.













Nelayan diminta sokong BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan Barisan Nasional (BN) komited dalam usaha membela nasib nelayan tempatan, khususnya di segi menyediakan bantuan jangka pendek dan jangka panjang, bagi mengubah nasib mereka di masa depan.

Sehubungan itu, nelayan di negeri ini diminta supaya memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada BN kerana hanya parti itu saja yang mampu membantu dan mengubah nasib masa depan golongan tersebut.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bagi bantuan jangka pendek termasuk dana khas Hari Raya, Bantuan Rakyat 1Malaysia, bantuan pakaian sekolah dan pelbagai bantuan lain, semua nelayan di negeri ini dipilih sebagai penerima.

“Kerajaan tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menghulurkan bantuan kepada golongan nelayan, semua dapat tidak kira Pas atau Umn kita beri semua,” katanya ketika berucap pada majlis Perjumpaan Menteri Bersama Bersama Nelayan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, petang semalam.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato’ Mohamed Awang Tera dan YB Haji Asha’ari Idris dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat, Haji Roshali Taha, hadir sama.

Menteri Besar berkata, bagi cadangan jangka panjang pula kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan untuk persekolahan anak-anak nelayan sejak dari sekolah rendah, menengah hingga pusat pengajian tinggi.

“Kita mahu anak nelayan melanjutkan pelajaran di peringkat universiti dan menyandang jawatan tinggi di sektor awam atau swasta bagi mengubah nasib keluarga mereka,” katanya.

Beliau meminta nelayan supaya tidak terpengaruh dengan janji-janji pembangkang yang belum tentu mampu mentadbir negara jika diberi peluang berbuat demikian.



Parti Pas menyesatkan umat Islam


Oleh: Mohammad Ishak

Keghairan pemimpin Pas untuk melangkah ke Puterajaya bersama rakan dalam Pakatan Rakyat menyebabknan perjuangan sebenar parti itu sudah hilang matlamat sebenar untuk menegakkan Islam seperti ia mula ditubuhkan.

Malah, tuduhan kepada orang Umno yang bekerjasama dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) sebagai kafir juga kini terkena kepada tubuh badan pemimpin Pas apabila mereka turut berkongsi dengan orang Cina dan India dalam Pakatan Rakyat (PR)

“Inilah bezanya perjuangan Pas dulu dan sekarang menyebakan banyak akidah terpesong dan memang layak meleberkan Pas sebagai Parti Ajaran Sesat,” kata Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong.

Berucap pada ceramah dan penerangan Isu-Isu Semasa di Peti Undi Kampung Tok Raja, dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, malam tadi Haji Shamsuddin berkata banyak perkara bertentangan dengan ajaran Islam kini dihalalkan oleh Pas kerana berkepentingan poilitik mereka.

Hadir sama pada ceramah itu ialah Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih dan penceramah bebas dari Kelantan, Ustaz Nik Zulkifli Tiew.

Katanya, sebab itu ada Tok Guru Pondok di Kelantan dengan jelas mengingatkan masyarakat Islam yang menyokong perjuangan Pas adalah berdosa kerana tindak tanduk pemimpin parti itu yang banyak merosakkan akidah umat Islam.

Menurutnya, perjuangan Pas yang sudah tersasar dari landasan sebenar menyebabkan rakyat sudah bosan dan akan menolak Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU13) yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Beliau berkata, pemimpin Umno dan parti keramat orang Melayu itu terbukti banyak berbakti dan berjasa kepada rakyat termasuk orang Pas sendiri yang mendapat banyak faedah hasil daripada pemerintahan BN.