Halaman

06 April 2012

E-Book untuk anak-anak istimewa

Oleh: Nurul Aziela Saberi
Kompleks Penyayang Kampung Mak Chili telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan buat kali ke- 3 yang telah dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, baru-baru ini.

Sebanyak 8 e-Book telah disumbangkan kepada PDK Kompleks Penyayang Mak Chili untuk kanak-kanak istimewa mengenali dunia IT. Sumbangan ikhlas tersebut telah dihadiahkan oleh Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).

Sekitar kawasan Kemaman terdapat tujuh Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) manakala di seluruh Terengganu pula keseluruhannya mempunyai 42 buah PDK.

Selain daripada itu, Badan Amal dan Kebajikan di seluruh negeri akan bekerjasama dengan Semai Bakti untuk melaksanakan beberapa program di bawah PDK di mana Semai Bakti sebelum ini telah banyak menganjurkan pelbagai program antaranya Karnival Jualan dan lawatan ke Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, To’ Puan Seri Norliza berkata, anak-anak istimewa ini perlu diberi perhatian yang khusus kepada mereka. Guru-guru mahupun pelatih perlu lebih berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawab mereka agar anak-anak istimewa itu tidak merasa tersisih daripada anak-kanak lain.

Beliau juga amat berbangga dengan pencapaian adik Mohd Azlan Bin Mat Lazim yang telah berjaya memenangi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik baru-baru ini. Keadaan ini jelas membuktikan, sekiranya diberi peluang dan perhatian khusus kepada mereka akhirnya mereka akan menunjukkan pencapaian yang membanggakan.

To’ Puan Seri Norliza turut meluangkan masa melawat bilik pengajaran dan pembelajaran sebelum meninggalkan PDK serta menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM5,000 kepada Kompleks Penyayang.

Turut hadir Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Tuan Haji Roshali Taha, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman En. Ghazali Awang, dan Pengerusi PDK Kompleks Penyayang Tuan Haji Mohtar @Mukhtar Mohd.




Umno jaga rakyat – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib

“Murninya perjuangan Umno, walaupun sering dimaki dan dicaci dengan pelbagai tuduhan dan gelaran, kita tetap beri bantuan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik,” itu kata-kata yang biasa diutarakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ketika berucap pada majlis bersama rakyat.

Memperincikan kata-kata itu, rakyat Terengganu boleh dikatakan amat bertuah kerana mereka sentiasa mendapat bantuan yang jauh lebih banyak berbanding penduduk negeri-negeri lain.

Jika tahun ini rakyat seluruh negara, termasuk di Terengganu mendapat bantuan Kerajaan Pusat RM100 bagi semua pelajar, penduduk negeri ini turut mendapat ‘bonus’ bantuan antara RM100 hingga RM200 untuk membeli pakaian seragam sekolah, sumbangan kerajaan negeri.

Di Terengganu, setiap pelajar yang berjaya masuk ke sekolah asrama penuh diberi bantuan RM500 manakala bantuan persediaan pelajar ke peringkat universiti dan institusi pengajian tinggi pula berjumlah RM1,000 untuk ijazah, diploma (RM700) dan sijil (RM500).

Semua pelajar dari Tahun Empat hingga Tahun Enam di negeri ini diberi e-Book secara percuma di mana hanya Negeri Terengganu saja yang berbuat demikian.

Menteri Besar menyediakan peruntukan yang besar pada setiap tahun bagi menggantikan atap rumah penduduk kampung yang bocor kerana masalah itu sering dikaitkan dengan kesusahan rakyat.

Mulai tahun 2010, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM10 juta bagi menubuhkan Tabung Penyakit Kronik di mana penduduk tempatan yang menghidap penyakit kronik dibiayai kos rawatan untuk menyembuhkan penyakit mereka.

Melalui Tabung Darul Iman pula, mulai 2009 hingga November 2011, seramai 7,579 orang mendapat manfaat daripada tabung itu melibatkan perbelanjaan RM6.37 juta.

Tahun ini kerajaan negeri mencarumkan RM5 juta lagi kepada Tabung Darul Iman di mana RM2 juta digunakan untuk bantuan sosial perubatan iaitu membantu pesakit yang kurang mampu membiayai kos rawatan perubatan atau pembelian peralatan perubatan.

Sesuai dengan sikapnya yang begitu cakna kepada mereka yang ditimpa musibah, Menteri Besar tetap meluangkan masa untuk melawat mereka yang terlantar sakit di rumah masing-masing di seluruh negeri.

Kadang-kadang dalam kesibukan tugas harian, beliau meluangkan masa untuk melawat mangsa yang mengalami kes ragut, disimbah asid atau kemalangan lain yang dimasukkan ke hospital.

Menjelang Aidilfitri pula, dana khas Hari Raya dikeluarkan bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah membeli keperluan bagi menyambut hari lebaran.
Di sesetengah kawasan, Menteri Besar akan ‘turun padang’ mengagih-agihkan dana tersebut kepada rakyat.

Manakala masyarakat Tionghua yang layak turut berpeluang menikmati bantuan khas RM300 setiap orang, setiap kali menyambut Tahun Baru Cina.

Dengan kesungguhan beliau membela nasib rakyat dan kesederhanaannya sejak dahulu hingga sekarang, tidak hairanlah jika sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional semakin meningkat.

Bagi membalas sokongan rakyat itu, kerajaan BN pimpinan Dato’ Seri haji Ahmad akan terus merancang pelbagai program bagi kesejahteraan dan kepentingan rakyat Terengganu.

Di mana-mana saja, setiap kali ucapannya, Menteri Besar pasti tidak lupa menyampaikan kata-kata keramat ini, “Kerajaan tidak pernah minta rakyat menebas, buat macam-macam kerja berat. Cuma satu saja yang kita minta dari rakyat, UNDILAH BN BILA TIBA PILIHAN RAYA”.




05 April 2012

TDM bakal bina KTS baru

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri melalui anak syarikat Terengganu Development Management (TDM) Berhad, akan membina Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) baru membabitkan peruntukan lebih RM170 juta di Batu Burok, Kuala Terengganu.

Hospital setinggi lapan tingkat dan dilengkapi 130 katil itu akan menggantikan KTS di Jalan Kamarudin, Kuala Terengganu yang kini beroperasi pada tahap kapasiti dan hampir maksima.

Pengerusi TDM Berhad, Datuk Haji Roslan Awang Chik, berkata KTS yang bakal dibina awal Jun nanti di kawasan seluas 2.4 hektar bakal menjadi sebuah hospital pakar terulung di Bandar Raya Kuala Terengganu di mana berupaya memberi rawatan kepada kira-kira 338,000 penduduk.

Katanya, KTS di Jalan Kamarudin bakal ditamatkan operasi sebaik KTS baru dapat operasi sepenuhnya kelak iaitu pertengahan 2014 nanti.

“Hospital ini akan menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan yang lebih sempurna dan komprehensif kerana turut menyediakan kelengkapan seperti lima dewan bedah, bilik rawatan rapi (ICU) dengan dilengkapi 12 katil dan 281 petak tempat letak kereta.

“Hospital sedia ada yang mempunyai 33 buah katil, satu ICU dengan dua buah katil dan dua dewan bedah tidak lagi kondusif, beroperasi pada tahap kapasiti atau hampir maksima,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agong Luar Biasa TDM di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Badrul Hisham Mahari dan Ketua Pegawai Eksekutif KTS, Cik Zawiah Shariff.

Datuk Haji Roslan, langkah itu membuktikan TDM Berhad sentiasa komited dalam pelaburan berasaskan sektor kesihatan di negara ini setelah kejayaan syarikat itu mengendalikan dua hospital, Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) dan Kuantan Medical Centre (KMC) sejak 1996.

Katanya, TDM yang turut mengambilalih Taman Desa Medical Centre (TDMC), Kuala Lumpur pertengahan tahun lalu yakin pelaburan yang dibuat itu mampu memberi pulangan yang baik kepada syarikat.


Pemimpin dan ahli koperasi sertai Himpunan Koperator 1Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kira-kira 3,000 pemimpin dan ahli koperasi dari seluruh negeri akan menghadiri majlis Himpunan Koperator 1Terengganu di Stadium Negeri, pada jam 3 petang, 12 April depan.

Program yang julung kali diadakan itu bertujuan melahirkan penghargaan dan terima kasih para peserta yang menyertai koperasi, kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang selama ini banyak membantu memajukan koperasi di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan merasmikan program tersebut dan menyampaikan ucaptama kepada seluruh pemimpin dan koperasi yang mewakili 492 organisasi berkenaan.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terenganu, Encik Osman Ismail, berkata pihaknya amat berbesar hati kerana diberi tanggungjawab mengendalikan program tersebut dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Program ini bertujuan menyediakan wadah kepada pemimpin dan ahli koperasi di seluruh negeri untuk bertukar-tukar pandangan bagi memajukan koperasi masing-masing.

“Ia juga bertujuan merapatkan silaturahim antara pemimpin dan ahli koperasi yang sebelum ini amat jarang bertemu muka kerana kesibukan masa dan jarak yang jauh antara satu sama lain,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di Bandar Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menyampaikan maklumat secara lebih jelas kepada ahli-ahli koperasi mengenai kepentingan penubuhan koperasi dan peluang sedia ada bagi memperbesarkan perniagaan mereka.

Sempena program tersebut, pihak SKM turut menganjurkan pameran dan ruang niaga kepada usahawan kecil untuk memasarkan produk masing-masing kepada orang ramai di perkarangan stadium berkenaan.

Pada majlis itu juga, pihak SKM juga akan menyampaikan cek-cek pinjaman perniagaan kepada koperasi-koperasi yang berjaya memohon pinjaman berjumlah RM18.3 juta bagi memperbesarkan perniagaan masing-masing.



Wanita masuk ‘zon pecut’

Oleh; Esah Abdullah

Gerak gempur jentera Juara Rakyat (JR) Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu sudah masuk ke fasa terakhir dalam misi menawan hati pengundi hingga ke akar umbi.

Kalau pada awal tahun (2012) jadual bertemu empat mata dengan 603,401 pengundi melalui 12,000 JR di lapan Parlimen, kini gerak kerja dipecah kepada kelompok kecil untuk menyusuri ke setiap lokaliti.

“Hasil gerak kerja JR yang tidak pernah mengenal jemu kita berjaya buat bacian 100 peratus pengundi di negeri ini,” kata Ketua Penerangan, Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan negeri, Hajah Wan Maznah Nong.

Katanya, bermula awal bulan Mac lalu, jentera wanita telah masuk ‘zon pecut’ dengan membuat pemutihan terhadap pengundi yang sedang bertengek ‘atas pagar’ iaitu istilah kepada mereka yang bersikap seperti lalang.

“Kita akan menjejaki setiap tangga rumah penduduk di kampung-kampung untuk mendapat gambaran jelas kecenderungan isi keluarga,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Katanya, usaha yang digerakkan melalui ketua lima (K5) iaitu seorang JR menjaga lima keluarga dilihat berjaya memberi khidmat kepada masyarakat kampung dalam apa juga suasana dan keadaan.

Dalam pada itu, JR bertanggung jawab menjadi pemerhati setiap kedatangan tetamu yang tidak diundang yang mungkin membawa maksud tersirat.

“Hubungan dan keakraban yang sedia terjalin lebih memudahkan jentera wanita untuk menghadapi ‘perang besar’ yang akan datang pada bila-bila masa saja,” katanya.

Sehubungan itu, sambil menanti tarikh Pilihan Raya Umum (PRU), wanita melalui Skaud Sayang meneruskan aktiviti ziarah dan sembang petang untuk mengeratkan silatulrahim.




Penjawat awam negeri dan Pusat wujud gagasan, persefahaman : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta semua kakitangan perkhidmatan awam Persekutuan dan negeri mewujudkan satu gagasan dan persefahaman bagi melancarkan jentera kerajaan terutama dalam aspek memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat bawahan.



“Di bawah program `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’, antara orang politik, kakitangan Kerajaan Pusat dan negeri perlulah bekerjasama dalam apa juga perancangan yang dibuat kerana rakyat yang berhak mendapat perkhidmatan terbaik.

“Apa juga program yang kita rancang dan laksanakan, rakyat jugalah yang perlu menikmati hasilnya, di samping program di bawah Kerajaan Pusat menerusi gagasan 1Malaysia, `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Bersama Kakitangan Perkhidmatan Awam dan Persekutuan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Haji Ahmad Shahrom Haji Yasin.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, penjawat awam yang dibayar gaji oleh Kerajaan Pusat mahu pun negeri perlu menunaikan tanggungjawab kepada rakyat sebaik mungkin kerana rakyat akan menilai sejauh mana mutu perkhidmatan yang diberikan kepada mereka.

“Amanah haruslah dipikul demgan sebagik mungkin. Bagaimanapun, `berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’ kerana kami `orang politik’ terpaksa menjawab setiap lima tahun sekali.

“Bukan setakat lima tahun, kadangkala tidak sampai lima tahun kita perlu berhadapan dengan rakyat dan diadili oleh rakyat (ketika Pilihan raya Umum),” katanya.

Menteri Besar berkata, tanggungjawab beliau sebagai orang politik dan ketua pegawai kerajaan terpaksa menjawab dan mempertahankan sebarang tuduhan serta kesalahan yang dilakukan pegawai kerajaan di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, sebagai contoh, kes Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak yang runtuh menyebabkan beliau perlu menjawab pelbagai kata-kata negatif mengatakan kerajaan tidak bertanggungjawab, rasuah, menyeleweng dan menyalah guna kuasa yang dilemparkan terhadap kerajaan.

“Saya bukan arkitek, saya bukan jurutera, saya juga tidak menjaga projek itu ketika dibangunkan, sebaliknya ada pegawai yang dilantik kerajaan bagi mengendalikan projek itu. Kita (kerajaan) hanya mengeluarkan dasar, tetapi kita terpaksa menerima tohmahan, tuduhan, penghinaan bagi pihak kerajaan.

“Segala kesilapan dan tuduhan itu disebarkan bukan sahaja di sidang Dewan Undangan Negeri, di akhbar-akhbar, tetapi juga di Facebook, SMS, twitter dan macam-macam lagi. Sebab itulah saya katakan kita perlu bekerjasama, perlu memahami tugas dan tanggungjawab kita bersama-sama,” katanya.

Selain itu, Dato’ Seri Haji Ahmad menasihatkan penjawat awam supaya lebih peka dan memahami setiap isu dan tidak hanya menerima sebarang tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan termasuk bertindak menyebarkan maklumat tidak tepat itu kepada umum.















Suhakam perkenalkan program di sekolah

Oleh; Esah Abdullah

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memperkenalkan program amalan terbaik di 17 buah sekolah terpilih di seluruh negara dalam usaha meningkatkan kesedaran dan budaya menghormati hak orang lain di peringkat usia muda.

Pesuruhjaya Suhakam (Bahagian Pendidikan dan Perhubungan Awam) , Prof. Emiritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, program yang diperkenalkan sejak tahun 2010 itu memilih lima buah sekolah menengah kebangsaan sebagai percubaan.

Katanya, tahun lalu sebanyak 12 buah lagi sekolah rendah jenis kebangsaan di seluruh negara dipilih untuk melaksanakan program tersebut melalui subjek tertentu mengikuti kesesuaian sekolah.

Menurutnya, program amalan terbaik dihasilkan melalui beberapa konvensyen yang disertai oleh Suhakam untuk mendidik masyarakat dan bukan hanya sekadar memberi maklumat sahaja.

Beliau berkata, pada masa ini Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan beberapa universiti sedang mengadakan kajian mengenai program tersebut dan dilihat ada menunjukkan peningkatan terutama pergaulan guru dan murid.

``Kita akan melihat sejauh mana cadangan daripada pakar-pakar melalui program pengenalan itu dapat diperluaskan ke sekolah-sekolah di seluruh negara,’’ katanya katanya kepada pemberita di majlis Suhakam Bersama Masyarakat semalam.

Tambahnya, Suhakam akan terus memberikan pengetahun melalui pendidikan terutama dalam membina budaya hormat menghormati hak orang lain dan Orang Kelainan Upaya (OKU).




‘Hantu mengundi’ lebih penting, tidak perlu layan isu murtad – Pemimpin PAS


Oleh FAUZI MOHD

Siapa saja umat Islam yang waras fikiran dan teguh pegangan agamanya takkan sesekali memandang remeh isu murtad kerana lumrah sebagai umat Nabi Muhamad S.A.W sepatutnya bila dicubit peha kanan peha kiri pun terasa sakitnya.

Tapi berbeza dengan pemimpin yang mendakwa memperjuangkan Islam Pas. Bagi mereka persoalan isu orang Islam dimurtadkan dianggap sekadar satu isu kecil yang tak wajar diperbesarkan.

Sebaliknya isu politik seperti pengundi hantu menjadi menjadi keutamaan untuk diperdebatkan selaras dengan perjuangan PAS untuk menawan Putrajaya dan mengangkat ‘pelakon video lucah’ tersohor negara sebagai Perdana Menteri.

Itulah reaksi pemimpin utama PAS Selangor, Dr. Abd Rani Osman sebaik saja diminta mengulas perihal Bekas Exco Selangor, Dato’ Dr. Hasan Ali yang mendedahkan video murtad bagi membuktikan kejadian memurtadkan umat Islam di Selangor memang benar-benar berlaku.

Mungkin, itu hasil ‘persefahaman’ yang dibuktikan pemimpin PAS bahawa parti itu sudah ‘sehati sejiwa’ dengan DAP dan PKR untuk melangkah kaki ke Putrajaya, termasuk merobohkan kubu UMNO di Johor.

Bukan sedikit gelodak hati umat Islam yang tercuit marah dengan kenyataan Dr. Abd Rani malah ramai juga penyokong Pas yang turut malu dengan pendirian tersebut yang amat bertentangan dengan dasar Pas yang selama ini mendakwa diri paling dekat dengan perjuangan Islam



BOTR tawar hadiah lumayan


Oleh: Suriati Ali


Kerajaan negeri sekali lagi akan menganjurkan pertandingan Boat On The Road (BOTR) dalam usaha mempromosi Tasik Kenyir secara besar-besaran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, program kali ketiga ini berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 April depan di Tasik Kenyir dengan menawarkan hadiah yang cukup lumayan.

Pertandingan anjuran bersama kerajaan negeri dan Media Prima Berhad membabitkan TV3, TV8, TV9 dan Berita Harian, menarik kaki pancing seluruh negara dan peserta dari Indonesia dan Singapura dijangka turut serta.


BOTR 2012 ini diadakan lebih besar berbanding sebelum ini dengan penyertaan lebih 400 kaki pancing.

Mereka yang menaiki kenderaan 4X4 akan berlepas daripada tiga penjuru iaitu Sri Pentas, Damansara, Selangor; Lenggong, Perak dan Kemaman, Terengganu sebelum menuju ke lokasi pertandingan iaitu di Tasik Kenyir.

“Seperti tahun lalu, kita mengulangi tawaran hadiah wang tunai RM20,000 kepada pemancing yang berjaya menaikkan ikan naga (Arapaima Gigas) yang dipercayai mendiami tasik berkenaan,” katanya.
Katanya, tahun lalu kerajaan menawarkan hadiah RM10,000 kepada peserta jika berjaya membawa naik ikan berkenaan tetapi gagal dilunaskan oleh 200 pemancing yang menyertai pertandingan.

“Tahun ini, hadiah ditambah sekali ganda di samping sembilan jenis ikan lain yang ditetapkan pihak penganjur iaitu sebarau, siakap, kelah, kaloi, temoleh, baung, toman, belida dan patin,” katanya.

Selain memancing, turut diadakan beberapa acara sampingan termasuk sukan air dan demontrasi perlumbaan bot F1 yang diketuai seorang bekas pelumba wanita F1 dunia, Kay Marshall.

Orang ramai yang berminat dipelawa menyertai pertandingan di samping berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti motosikal, barangan elektrik dan banyak lagi yang disediakan pihak penganjur.




Rangkaian 3G Clixster, Ameen dilancar Mei

Oleh FAUZI MOHD

Clixster, rangkaian mudah alih 3G terbaharu di negara ini dengan sistem perkhidmatan telekomunikasi pintar canggih berkonsepkan 'touch n go' akan dilancarkan Mei ini.

Talian Clixster yang disediakan syarikat Samata Communication mampu memberikan lebih banyak kemudahan kepada pelanggan termasuk melancarkan pembayaran bil dan perbankan dengan hanya sentuhan telefon bimbit pada alat yang disediakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Samata Communication Sdn. Bhd., Noor Azlan Khamis berkata, setiap telefon bimbit akan dilengkapi pelekat serta kad SIM khas yang membolehkan pelanggan membuat pembayaran atas talian menggunakan platform 'New Field Communication' (NFC) yang menyerupai sistem ‘touch n go’.

Beliau memberitahu, penyediaan sistem terbaharu itu kelak akan menjadikan Clixster sebagai perintis di negara ini dalam teknologi tersebut, mengikuti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan rantau Eropah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Tanjung Clixster Mobile (TCM) dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Pada majlis MoU itu, YPU diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik, manakala TCM diwakili oleh Pengerusinya, Rasli Ibrahim.

Perjanjian persefahaman itu membolehkan YPU mengenal pasti usahawan-usahawan tempatan untuk merebut peluang perniagaan sebagai penjual serta ejen telekomunikasi Clixster di negeri ini yang mampu menjana pendapatan mereka.

Menurut Noor Azlan, serentak dengan pelancaran Clixster, satu lagi servis baru iaitu Ameen turut diperkenalkan dan kedua-duanya menyediakan pelbagai keistimewaan untuk para pelanggan antaranya caj berpatutan, bil percuma untuk tiga bulan pertama serta kemudahan mengakses Internet.

"Clixster dan Ameen akan dilancarkan serentak pada Mei ini dan buat masa ini kita masih dalam proses percubaan. Clixster lebih tertumpu kepada golongan muda, manakala Ameen pula untuk pengguna muslim.

"Kemudahan ini juga memberi kesempatan kepada penggunanya merakam serta memuat turun khutbah atau ceramah agama di masjid lain walaupun tidak berada di masjid berkenaan ketika itu," ujarnya.

"Kita jangka, Clixster dan Ameen ini mula dilancarkan selepas Persidangan Angkasa ke-23 di Kuala Lumpur Mei ini," katanya.