Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memperkenalkan program amalan terbaik di 17 buah sekolah terpilih di seluruh negara dalam usaha meningkatkan kesedaran dan budaya menghormati hak orang lain di peringkat usia muda.
Pesuruhjaya Suhakam (Bahagian Pendidikan dan Perhubungan Awam) , Prof. Emiritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, program yang diperkenalkan sejak tahun 2010 itu memilih lima buah sekolah menengah kebangsaan sebagai percubaan.
Katanya, tahun lalu sebanyak 12 buah lagi sekolah rendah jenis kebangsaan di seluruh negara dipilih untuk melaksanakan program tersebut melalui subjek tertentu mengikuti kesesuaian sekolah.
Menurutnya, program amalan terbaik dihasilkan melalui beberapa konvensyen yang disertai oleh Suhakam untuk mendidik masyarakat dan bukan hanya sekadar memberi maklumat sahaja.
Beliau berkata, pada masa ini Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan beberapa universiti sedang mengadakan kajian mengenai program tersebut dan dilihat ada menunjukkan peningkatan terutama pergaulan guru dan murid.
``Kita akan melihat sejauh mana cadangan daripada pakar-pakar melalui program pengenalan itu dapat diperluaskan ke sekolah-sekolah di seluruh negara,’’ katanya katanya kepada pemberita di majlis Suhakam Bersama Masyarakat semalam.
Tambahnya, Suhakam akan terus memberikan pengetahun melalui pendidikan terutama dalam membina budaya hormat menghormati hak orang lain dan Orang Kelainan Upaya (OKU).