Akhir tahun lalu, ADUN Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak yang melakukan ‘Eksplorasi Terjah’ ke Pulau Terengganu Mati, Tasik Kenyir mendakwa projek Taman Burung di pulau seluas 1.7 hektar itu dibuat tanpa kajian dan tiada faedah ekonomi kepada rakyat.
Kerana terlalu gopoh untuk menjadi popular dengan menghentam projek-projek Kerajaan Barisan Nasional (BN), Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu itu turut mendakwa Pulau Burung sebagai ‘projek mengigau’.
Tidak cukup dengan tohmahan itu, beliau yakin projek itu terpaksa dihentikan ‘separuh jalan’ berikutan banyak angsa dan itik di pulau itu ‘lesap’ dibaham biawak, musang dan burung helang.
Dalam perkara itu, Dr. Alias menjadikan biawak dan ular sawa sebagai alasan projek itu ‘mati’ separuh jalan dan Kerajaan BN tidak pandai mentadbir negeri.
Dari segi politik murahan, pemimpin PAS ‘terhutang budi’ dengan biawak dan ular sawa yang membaham angsa dan itik itu sehingga ia menjadi modal ceramah dalam kempen ‘PAS ganti UMNO’ di Terengganu.
Bagi kepimpinan Kerajaan Negeri serta pelbagai agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), perkara itu diatasi dengan bijak melalui langkah-langkah keselamatan lebih ketat di pulau itu.
Selain memastikan ekosistem kehidupan spesies burung itu terjamin, pihak pengurusan pulau yang terletak empat kilometer dari Pengkalan Gawi itu turut membina beberapa prasarana sokongan seperti pagar elektrik, rumah rawatan dan bilik kuarantin.
Pekerja yang menyelia taman itu turut ditambah bagi tujuan pemantauan, aspek pemakanan dan kesihatan, termasuk kawalan pada waktu malam.
Hasil daripada beberapa penambahbaikan itu, Pulau Burung yang siap dibina pada Jun 2010 itu mula menunjukkan hasil positif seperti termasuk kedatangan jumlah pengunjung yang cukup baik.
Tinjauan Teganukita hari ini mendapati hidupan spesies burung mula ‘serasi’ di Pulau Terengganu Mati apabila terdapat empat ekor burung Merak sudah mula mengeram dan seekor lagi sudah menetaskan tiga ekor baka baru sejak seminggu lalu.
Perkembangan itu menunjukkan usaha manghalang ancaman haiwan pemangsa berhasil kerana burung Merak itu bebas mengeram telur masing-masing di umbi pokok dan tepi kayu mati di luar sangkar.
Sehingga kini, pulau berkenaan mengandungi 17 spesies burung berjumlah 153 ekor termasuk 62 ekor burung Kuang.
Turut dipelihara, 11 spesies itik dan angsa berjumlah 101 ekor.
Ia turut dilengkapi prasarana lain seperti jeti, pintu gerbang, jambatan gantung, menara tinjau, kolam ikan dan mini cafe.
Turut menyertai lawatan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mat Razali Kassim dan beberapa wakil pelabur dari Dubai.
Rombongan berkenaan turut meninjau perkembangan pembangunan pulau bebas cukai di Pulau Bayas dan Taman Orkid di Pulau Hulu Selimbar.
Perkembangan positif itu mampu menaikkan imej sektor pelancongan di Tasik Kenyir yang sebelum dan sehingga hari ini menjadi mangsa tohmahan pemimpin PAS untuk meraih undi pilihan raya.
Apa yang diharapkan pemimpin PAS terutamanya ADUN Bukit Tunggal, projek pembangunan yang sedang berjalan itu menemui kegagalan bagi mempelbagaikan isu ceramah mereka di seluruh pelusuk negeri.
Cerita ini bertambah lucu! Harapan PAS musnah dek kerana ada burung Merak yang mengeram dan menetaskan anak baru.
Mungkin tiga ekor anak burung Merak yang baru seminggu menetas itu bakal menjadi ‘musuh’ Dr. Alias di Tasik Kenyir kerana ‘kelahiran’ itu membuatkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu ‘malu muka’.
Teganukita mencadangkan kepada Dr. Alias melawat ‘bayi’ yang baru menetas itu dan membetulkan semula tohmahan beliau selama ini yang begitu mengimpikan hanya yang buruk berlaku di Tasik Kenyir.