Halaman

07 April 2012

Terengganu menuju negeri maju 2020

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar berharap kerajaan negeri dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan untuk kepentingan rakyat Terengganu pada masa depan sekaligus muncul sebagai negeri maju pada 2020.

Sehubungan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad said berkata sejak empat tahun lalu, Terengganu meraih pelaburan yang besar melibatkan projek yang berimpak tinggi seperti pembesaran kilang besi Perwaja Steel Sdn Bhd dengan kos hampir RM300 juta, pembukaan kilang keluli bersepadu antara syarikat tempatan, Hiap Teck Venture Bhd dan China Shougang Group dari China (RM3.8 bilion) di Taman Perindustrian Berat di Kemaman serta mampu memberi peluang pekerjaan kepada 2,000 orang.

“Ladang ternakan akuakultur udang dengan kos RM250 juta dibuka di Kampung Nyatoh, Setiu yang bakal mengubah lanskap penternakan udang di Terengganu secara keseluruhannya,” katanya di sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Kakitangan Perkhidmatan Awam dan Persekutuan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (4 April).

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata demikian sebagai mengulas pencapaian serta harapan beliau selepas empat tahun berjaya mentadbir Terengganu.

Katanya, pada Mei ini juga akan bermula kerja menambak tanah untuk industri akuakultur bagi ternakan udang putih di Marang dengan pelaburan kira-kira RM1 bilion yang akan memberi peluang pekerjaan kepada 1,000 orang serta pembukaan kilang berasaskan bioteknologi di Taman Polimer, Kertih bernilai kira-kira RM2 bilion yang akan bermula pertengahan tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berusaha menarik beberapa pelabur lagi untuk membuka kilang besi di Kemaman. Malah, terdapat tujuh syarikat yang menunjukkan kecenderungan untuk menjalankan pelaburan di Terengganu yang melibatkan lima syarikat dari China dan dua lagi masing-masing dari India serta Dubai.

Di samping itu juga, usaha membangunkan sektor pelancongan seperti mewujudkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama di negara kita yang bakal dibuka kepada pelawat selewat-lewatnya pada 2014.

Katanya, dalam tempoh empat tahun juga, bidang pendidikan di negeri ini juga menunjukkan peningkatan yang ketara terutama dengan kejayaan mengungguli setiap peperiksaan awam (UPSR, PMR, SPM dan STPM).

“Kejayaan itu melalui usaha berterusan semua pihak menerusi program Terengganu Anjung Ilmu dan program `201052’ yang diharapkan akan menjadi kenyataan satu masa nanti.

“Bukan sahaja pendidikan, sebagaimana umum sedia maklum, dalam bidang sukan juga, Terengganu yang muncul sebagai kuasa baru sukan negara kerana kita menghasilkan ramai atlit terbaik dan merekod pelbagai kejayaan. Selain itu, kita akan menubuhkan akademi bola sepak dan akademi badminton serta merancang untuk mengadakan kemudahan sukan lebih baik pada masa depan,” katanya.