Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada masyarakat sekeliling apabila beberapa kemudahan khusus untuk mereka diragut oleh pihak lain.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) (Bahagian Pendidikan dan Perhubungan Awam, Prof. Emiritus Dato’ Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid berkata, Suhakam mengadakan persidangan meja bulat di setiap negeri dalam usaha memberi kesedaran masyarakat terhadap OKU.
“Masyarakat perlu diberi pengetahuan kewajaran mereka menjaga dan memberi perhatian kepada golongan yang tidak bernasib baik untuk menikmati kehidupan seperti insan normal lain,” katanya kepada pemberita di majlis Suhakam Bersama Masyarakat di Bilik Rekreaksi, Pejabat Daerah Kuala Terengganu hari ini.
Beliau mencadangkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bersama-sama membantu menyuburkan budaya hormat menghormati yang perlu dipupuk dari kalangan usia muda.
Katanya, dari segi undang-undang sudah menampakkan kesungguhan kerajaan, namun pelaksanaan yang lemah terutama budaya kalangan masyarakat itu membuatkan perancangan yang disusun dilihat tidak berkesan.
“Ada sesetengahnya terdapat kecuaian pegawai bertugas yang tidak begitu ‘understanding’ menjadikan perancangan yang dibuat tidak lancar,” katanya.
Contohnya, ada parkir khas yang disediakan tapi digunakan orang awam, begitu juga kemudahan tandas dan sesetengah bangunan termasuk institusi kewangan langsung tidak menyediakan ruang khas OKU untuk berurusan.
“Setakat ini kerajaan sudah main peranan yang baik dengan menyediakan akta dan peraturan untuk golongan ini cuma kemahiran dalam melaksanakan perkara berkenaan perlu diberi perhatian lebih serius,” katanya.