Halaman

03 April 2012

Undi orang muda kembalikan kawasan pembangkang : Saiful

Oleh: Aida Abd Rahman

Undi `orang muda’ amat penting dan diperlukan bagi memastikan PRU (Pilihan Raya Umum Ke-13) memihak kepada Barisan Nasional (BN) dan merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai Pas termasuk di Parlimen Marang,” kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Perhubungan Negeri Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin, semalam (1 April).

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Marang menegaskan perkara itu ketika berucap di majlis penutup dan penyampaian hadiah perlawanan futsal sempena Futsal Generasi Belia Gemilang 2012 peringkat Parlimen Marang, di Pekan Budaya, Pantai Peranginan Kelulut, Marang.

Encik Saiful Bahri berkata, melihat kepada kekuatan `orang muda’ di Terengganu dan Marang yang sentiasa bersatu-padu menjayakan setiap program termasuk aktiviti kesukanan meyakinkan pihaknya bahawa Umno dan BN mampu menawan semula DUN dan Parlimen yang dimenangi pembangkang.

“Orang muda dan remaja perlu sedar dan melihat kembali setiap pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri dan Pusat. Segala bentuk bantuan seperti Dana Bakti Remaja dan Bantuan Rakyat 1Malaysia juga mencerminkan kerajaan BN yang prihatin dan sentiasa bertanggungjawab terhadap rakyat khususnya golongan muda.

“Oleh yang demikian orang muda perlu memastikan BN dan Umno yang terbukti memperjuangkan nasib rakyat dan golongan muda menjadi pilihan kita semua pada PRU 13 nanti,” katanya.

Dalam pada itu, pertandingan futsal dijalankan sepanjang dua hari bermula Jumaat lalu melibatkan lebih 40 pasukan yang dijalankan serentak di setiap DUN di Marang.

Selain itu, pihaknya juga berhasrat untuk menganjurkan perlawanan sepak takraw, ping pong dan futsal `3 on 3’ dua minggu lagi berikutan sambutan yang menggalakkan di kalangan belia di Parlimen Marang.

"Kita berharap semua golongan muda di Parlimen Marang dapat menyertai aktiviti kesukanan yang akan kita anjurkan lagi pada minggu akan datang. Selain dapat memupuk semangat setiakawan, kita juga dapat mencegah diri daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat," katanya.