CUKUP mendamaikan, tenang dan udara yang menyegarkan, mungkin perkataan itu yang terpancul daripada mulut pengunjung jika berpeluang singgah di Pantai Merang, Setiu.
Terletak kira-kira 40 kilometer dari Bandar Raya Kuala Terengganu dan berada di kawasan perkampungan nelayan membuatkan pelancong seakan `terpikat’ dengan keindahan pantai yang bersih dan air laut membiru itu.
Deretan gerai menjual pelbagai jenis hasil laut seperti ikan, sotong, ketam dan udang segar sentiasa menjadi pilihan ketua keluarga dan suri rumah untuk dijadikan hidangan tengahari atau malam.
Jika ingin menikmati resepi air batu campur, air nyior (kelapa) ikan celup tepung dan tapai goreng pula, terdapat beberapa peniaga gerai makan setia menanti tetamu di kawasan itu.
Situasi itu menjadi antara faktor mengapa Pantai Merang terus tersohor walaupun terdapat banyak pantai lain di Terengganu.
Pada hujung minggu dan cuti sekolah, orang ramai termasuk pengunjung luar Terengganu pasti mengambil peluang membawa keluarga masing-masing untuk beriadah dan berkelah.
Bagi penduduk terutama golongan muda di perkampungan itu, mereka gemar menjadi pantai itu sebagai `port’ bagi membuktikan kehadalan dengan bermain bola sepak pantai dan bola tampar.
Apa yang istimewanya di pantai itu terdapat lagun yang memisahkan antara kawasan air masin dan daratan. Selain itu, kelihatan juga benteng pemecah ombak yang membolehkan ramai penduduk mencari hasil laut dengan aktiviti menjala dan memancing.
Berdekatan dengan pantai itu terdapat taman reakreasi yang menawarkan kemudahan seperti bilik seminar, tapak perkhemahan, tapak sukaneka dewan orang ramai, tandas dan surau.
Mereka mereka yang ingin bermalam pula, bilik penginapan turut disediakan dengan mengenakan kadar sewa yang berpatutan iaitu serendah RM40 sahaja.