Halaman

06 April 2012

Jalan alternatif baru buat penduduk Rhu Rendang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri meluluskan projek pembinaan jalan yang menghubungkan simpang Bukit Kor ke jalan Kilang Emas Lubuk Mandi, Rusila, Marang sepanjang 1.7 kilometer sebagai laluan alternatif kepada penduduk Marang menghala ke Bukit Payong.

Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, berkata peruntukan bagi membina jalan baru itu dianggarkan melibatkan peruntukan sehingga RM8 juta.

“Pada dasarnya kerajaan bersetuju meluluskan permohonan itu dan meminta kami menyediakan `lay out’ baru untuk membangunkan infrastruktur dengan menggunakan peruntukan tahun depan.

“Pembinaan jalan alternatif itu memberi kemudahan kepada kebanyakan penduduk di Rusila (Marang) terutama seperti Taman Kalongan Melur dan Kalongan Mas serta taman perumahan baru dimajukan mengandungi 20 hingga 30 rumah setiap taman yang sebelum ini hanya menggunakan satu jalan saja,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Haji Nik Dir berkata, apabila `lay out’ pembinaan jalan itu selesai dalam tempoh terdekat, kerja-kerja awal pembinaannya akan dimulakan tahun depan bagi memudahkan penduduk menggunakan jalan baru ke Bukit Payong, selain jalan sedia ada.

Bagaimanapun, pihaknya akan memastikan sebelum projek itu dimulakan dan siap sepenuhnya, akses jalan dapat dibina terlebih dahulu dengan peruntukan antara RM300,000 hingga RM400,000 bagi membolehkan ia dilalui pada musim kemarau.