Halaman

05 April 2012

Penjawat awam negeri dan Pusat wujud gagasan, persefahaman : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta semua kakitangan perkhidmatan awam Persekutuan dan negeri mewujudkan satu gagasan dan persefahaman bagi melancarkan jentera kerajaan terutama dalam aspek memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat bawahan.



“Di bawah program `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’, antara orang politik, kakitangan Kerajaan Pusat dan negeri perlulah bekerjasama dalam apa juga perancangan yang dibuat kerana rakyat yang berhak mendapat perkhidmatan terbaik.

“Apa juga program yang kita rancang dan laksanakan, rakyat jugalah yang perlu menikmati hasilnya, di samping program di bawah Kerajaan Pusat menerusi gagasan 1Malaysia, `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Bersama Kakitangan Perkhidmatan Awam dan Persekutuan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Haji Ahmad Shahrom Haji Yasin.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, penjawat awam yang dibayar gaji oleh Kerajaan Pusat mahu pun negeri perlu menunaikan tanggungjawab kepada rakyat sebaik mungkin kerana rakyat akan menilai sejauh mana mutu perkhidmatan yang diberikan kepada mereka.

“Amanah haruslah dipikul demgan sebagik mungkin. Bagaimanapun, `berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’ kerana kami `orang politik’ terpaksa menjawab setiap lima tahun sekali.

“Bukan setakat lima tahun, kadangkala tidak sampai lima tahun kita perlu berhadapan dengan rakyat dan diadili oleh rakyat (ketika Pilihan raya Umum),” katanya.

Menteri Besar berkata, tanggungjawab beliau sebagai orang politik dan ketua pegawai kerajaan terpaksa menjawab dan mempertahankan sebarang tuduhan serta kesalahan yang dilakukan pegawai kerajaan di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, sebagai contoh, kes Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak yang runtuh menyebabkan beliau perlu menjawab pelbagai kata-kata negatif mengatakan kerajaan tidak bertanggungjawab, rasuah, menyeleweng dan menyalah guna kuasa yang dilemparkan terhadap kerajaan.

“Saya bukan arkitek, saya bukan jurutera, saya juga tidak menjaga projek itu ketika dibangunkan, sebaliknya ada pegawai yang dilantik kerajaan bagi mengendalikan projek itu. Kita (kerajaan) hanya mengeluarkan dasar, tetapi kita terpaksa menerima tohmahan, tuduhan, penghinaan bagi pihak kerajaan.

“Segala kesilapan dan tuduhan itu disebarkan bukan sahaja di sidang Dewan Undangan Negeri, di akhbar-akhbar, tetapi juga di Facebook, SMS, twitter dan macam-macam lagi. Sebab itulah saya katakan kita perlu bekerjasama, perlu memahami tugas dan tanggungjawab kita bersama-sama,” katanya.

Selain itu, Dato’ Seri Haji Ahmad menasihatkan penjawat awam supaya lebih peka dan memahami setiap isu dan tidak hanya menerima sebarang tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan termasuk bertindak menyebarkan maklumat tidak tepat itu kepada umum.