Kerajaan negeri terus mempergiatkan usaha bagi memastikan umat Islam di negeri ini kekal dalam satu rumpun dan tidak berpecah belah terutamanya dalam aspek menggunakan rumah ibadat.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat, berkata usaha secara intensif ini sejajar dengan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 16 Disember lalu yang melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu tanpa kebenaran pemerintah.
Titah baginda lagi, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.
Baginda selaku ketua agama negeri melahirkan perasaan sedih dengan kepincangan itu dan menyeru rakyat supaya sama-sama mencari jalan ke arah kedamaian dan kemurnian hubungan antara dua pihak yang bertelagah agar masyarakat hidup dalam keadaan aman sejarahtera.
Haji Khazan berkata, pelbagai cara digunakan kerajaan menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) termasuk menggunakan `orang ketiga’ dan panel bebas untuk menyelesaikan masalah itu supaya mereka dapat kembali ke masjid yang diiktiraf kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, sebahagian tempat permasalahan ini dapat diselesaikan hasil perbincangan dan pertemuan yang diatur JHEAT dari masa ke semasa. Insya-Allah sebahagian lagi yang agak sukar untuk diselesaikan akan kita usahakan supaya dapat diatasi dengan mengatur pertemuan bersama penduduk, pemimpin dan jemaah masjid,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri berharap supaya tiada mana-mana pihak yang mencampuri soal hukum agama serta urusan pentadbiran di masjid-masjid di negeri ini dengan sentimen politik atau kepartian.
Dalam laporan sebelum ini, Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd Rozali Saleh berkata, pihaknya akan mewujudkan satu jawatankuasa kecil bagi memperhalusi perkara itu sebelum dipersembahkan kepada Sultan Terengganu.
Selain itu, JHEAT telah membuat pemantauan dan akan menyerahkan laporan lengkap kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu untuk tindakan lanjut.