Halaman

01 April 2012

Pelajar Jepun berhasrat kembali ke Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Persekitaran yang menarik, makanan yang menyelerakan serta sikap mesra dan ramah penduduk negeri ini membuatkan sekumpulan 34 pelajar Jepun berhasrat untuk berkunjung lagi ke Terengganu pada masa depan.



Menerusi bantuan jurubahasa, Mohamad Nabil Mohamad Nasir kesemua peserta yang mengenakan baju Melayu dan baju kurung ketika ditemui sempena penutupan Program Homestay Hippo Club Jepun anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kelab Antarabangsa Hiroshima di Kuala Lumpur, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, melahirkan rasa teruja dan seronok berkampung di negeri ini.

Malah, keceriaan mereka terserlah apabila tidak henti bergelak ketawa dan berbual mesra bersama rakan senegara ketika dijemput mengiringi artis kebudayaan negeri membuat persembahan di majlis itu.

Seorang peserta, Jonpei Ohasyi, 11 berkata, dia teruja dan sangat seronok menyertai program ini, malah tidak menolak untuk terus mengunjungi negeri ini lagi kelak.

“Saya mendapat pengalaman baru melalui lawatan ini dan pertama kali memakai baju Melayu beserta dengan samping dan songkok. Selain itu, saya berpeluang mendapat keluarga angkat yang baik,” katanya.

Sementara Yukino Iwasaki, 11, pula seronok setiap kali berpeluang mengikuti program yang diatur pihak penganjur kerana dapat melihat pelbagai persembahan kebudayaan.

"Di setiap sekolah yang saya lawati ada persembahan oleh pelajar dan persembahan berlainan antara satu sekolah dan sekolah yang lain," kata pelajar perempuan itu yang ingin tinggal lebih lama di Terengganu.

Manakala Okada Kazuya, 17, dari Hiroshima pula berkata banyak pengalaman diperoleh sepanjang berada seminggu di Terengganu yang terkenal dengan pelbagai tempat yang menarik dan makanan yang lazat.

"Kami juga dibawa ke tempat-tempat yang menarik seperti Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam, Pasar Payang dan lain-lain," katanya.

"Persekitaran di sini amat menarik dan orangnya juga baik-baik. Semasa di sini saya belajar makan makanan tradisi seperti nasi dagang. Walaupun sedikit pedas tetapi saya menggemarinya," katanya.

Seramai 34 pelajar melibatkan 19 pelajar lelaki dan 15 perempuan serta tiga guru pengiring dari Jepun berkampung selama seminggu di Terengganu bermula 25 Mac lalu menerusi Program Homestay Pelajar Antarabangsa Jepun ke Malaysia.

Program kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kelab Antarabangsa Hiroshima bagi bertukar pengalaman berkaitan sistem pendidikan sekali gus membina rangkaian persahabatan sejagat.

Peserta program tinggal bersama keluarga angkat di Terengganu yang terdiri daripada guru Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu dan Serikandi.