DAHULUNYA pemilik nama Mohd Pozi Hassan, 28, bergelar `tauke’ Nasi Ayam Periuk Besar , di Shah Alam, Selangor, kini beliau digelar pula pengusaha Pozi Food Services (PFS) yang menawarkan pelbagai pakej katering menarik.
Perniagaan nasi ayam terpaksa ditutup kerana usahawan muda itu ingin berhijrah dan berbakti di tanah kelahiran sendiri sambil membantu beberapa penduduk setempat mendapatkan pekerjaan.
Membuka perniagaan di Taman Tanjung Permata, Gong Badak, Kuala Terengganu nyata berbaloi apabila PFS kini menjadi pilihan penduduk setempat jika ingin mengadakan kenduri kahwin, rumah terbuka, kenduri akikah dan majlis berkhatan.
Program Tunas Mekar peringkat negeri Terengganu yang diikuti selama setahun iaitu pada 2006 memberi penuh makna bagi Encik Pozi kerana dapat mengetahui selok belok ilmu perniagaan berkaitan restoran dan katering secara lebih mendalam.
Melalui program itu, beliau mampu menguruskan PFS secara lebih bersistematik, cekap dan teratur kepada ratusan pelanggan.
Encik Pozi yang memiliki Diploma Teknologi Tektil dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berkata sejak dibangku sekolah lagi, dia bercita-cita mahu memiliki perniagaan sendiri kerana beranggapan mudah untuk membuat keputusan selain tidak mahu terikat dengan arahan majikan.
“Menggunakan moto perniagaan `Pakar Sajian Makanan Anda’, PFS yang dibantu lapan pekerja mampu menambat hati pelbagai agensi kerajaan, swasta mahupun persendirian.
“Rata-rata pelanggan terdahulu seperti Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, RHB Bank Wilayah Timur, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin, Yayasan Islam Terengganu dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berpuas hati di atas perkhidmatan dan layanan yang diberikan,” katanya.
Setiap kali mendapat tempahan PFS berazam menyajikan makanan berkualiti dan memberi layanan terbaik supaya pelanggan tidak serik dan kembali mendapatkan perkhidmata yang disediakan
Pada masa sama, Encik Pozi turut membuka Pozi Kiosk di UniSZA sebagai usaha memperluaskan perniagaan sedia ada.
Pozi Kiosk yang dibuka awal 2009 mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pelajar yang ingin merasai makanan segera seperti buger, jagung cawan dan waffle.