Halaman

07 April 2012

Terengganu ketuai 5 pasukan ke suku akhir Piala Khir Johari

Oleh FAUZI MOHD

Naib juara Liga Siri Super PSM 2011, Terengganu mengetuai lima pasukan yang mara ke suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-49, 2012 di Dewan Majlis Perbandaran Manjung, Perak.

Turut menempah tiket peringkat kalah mati ke johanan berpasukan itu yang berlangsung malam ini ialah juara 2010 dan 2009, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain Kelantan serta Pulau Pinang.

Terengganu hanya akan melengkapkan jadual perlawanan terakhir dengan tuan rumah pagi ini selepas mendahului Kumpulan D dengan menumpaskan Putrajaya, Kedah dan Negeri Sembilan 3-0.

PDRM pula mengesahkan kemaraan dengan mengejutkan juara bertahan yang dibarisi tiga pemain skuad elit dan ramai bekas pemain kebangsaan, Selangor 2-1 selain Perlis 3-0 dalam Kumpulan A.

ATM turut mengejutkan naib juara di Kuching, tahun lalu - Kuala Lumpur 2-1 dan Sabah 3-0 dalam Kumpulan B sementara muka baru Putrajaya dengan segelintir bekas pemain negara, menyaingi tiket suku akhir dari Kumpulan D dengan Negeri Sembilan.

Pulau Pinang dan Kelantan pula hanya perlu berentap bagi penentuan juara Kumpulan C setelah masing-masing mengalahkan dua lagi lawan, Sarawak dan Pahang.