Halaman

04 April 2012

1,002 bekas anggota Polis di Terengganu akan terima RM3,000


Balu bekas pesara polis terima RM3,000 daripada Pengerusi Perkep Besut


Oleh: Mohammad Ishak


Nasib bekas anggota polis yang bertugas ketika zaman darurat tidak pernah diabaikan, sebaliknya kerajaan Barisan Nasional (BN) kini memberi perhatian serius untuk membantu mereka yang pernah berjasa kepada negara.

Pengerusi Persatuan Bekas Polis Terengganu, Haji Hussein Awang Ngah berkata, menerusi bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat, bekas anggota terbabit diberikan saguhati RM3,000 seorang tahun ini.

Katanya, di Terengganu seramai 2,000 bekas anggota polis yang berkhidmat ketika darurat dan menjadi ahli persatuan berkenaan sudah mengemukakan dokumen kepada kerajaan untuk mendapatkan bantuan RM3,000 yang diumumkan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 1,002 sudah pun diluluskan dan agihan sedang dilakukan sekarang kepada penerima yang berjaya.

Beliau berkata, agihan akan dilakukan oleh Ketua Polis Daerah di kawasan masing-masing bagi membolehkan bekas anggota mengenali Ketua Polis Daerah.

Hussein berkata, mereka yang belum menerima surat diminta bersabar kerana agihan akan dilakukan dari masa ke semasa.

Hari ini 10 bekas anggota polis dari daerah Besut turut menerima sumbangan berkenaan yang disampaikan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Besut, Superantendan Kamaruddin Mohd Zakaria kepada penerima di rumah masing-masing.

Kamaruddin ditemani isterinya Fadzilah Abd Manan ,yang juga selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Daerah Besut bersama ahli jawatankuasanya.