Halaman

20 May 2012

Sultanah Nur Zahirah berkenan rasmi Kempen Kesedaran Penyakit Hepatitis


Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat merasmikan Kempen Kesedaran Penyakit Hepatitis peringkat negeri Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Baginda tiba di dewan itu kira-kira jam 9.30 pagi bersama anakanda, Tengku Nadhirah Zaharah.

Ketibaan baginda di sambut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar; Presiden Yayasan Hepar Malaysia (YPM), Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Mohd Ismail Merican dan Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr T. Ramelah Senik.

Baginda kemudiannya bertitah dan seterusnya berkenan merasmikan program yang dianjurkan YPM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan UMT.

Baginda turut diberi penerangan lanjut oleh Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Mohd Ismail mengenai kesan dan siptom Hepititis kepada manusia.

Sultanah Nur Zahirah kemudianya berkenan melawat gerai pameran yang disedia peserta program.

Tan Sri Dato’ Seri Dr Haji Mohd Ismail, berkata kira-kira 2.5 juta rakyat Malaysia dikesan menjadi pembawa kuman virus hepatitis B.

 Katanya, penyakit hepatitis B adalah sejenis wabak yang boleh menyerang secara senyap pada organ tertentu, terutama hati.

“Mereka ini kelihatan sihat tetapi mampu secara senyap-senyap menjangkiti orang lain.

“Pihak kami menganggarkan kira-kira 350 juta penduduk di dunia mengalami penyakit kronik dan 600,000 penduduk mati akibat hepatitis B pada setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, virus penyakit itu 100 kali lebih mudah berjangkit berbanding dengan virus HIV.

“Penyakit ini boleh dicegah sekiranya seseorang itu mempunyai kesedaran tentang risiko selain bertindak awal dengan mendapatkan vaksin di hospital berdekatan,” katanya.




Pakej berbasikal kunjungi tempat menarik

Oleh; Esah Abdullah

Tourism Malaysia memperkenalkan 33 Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1 Malaysia di seluruh negara sebagai satu lagi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi negara ini sebagai destinasi percutian.

Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Encik Musa Yusof berkata, sebanyak 21 agensi pelancongan di seluruh negara terlibat dengan program tersebut yang menawarkan pelbagai pakej berbasikal menarik.

Beliau berkata, pakej berbasikal yang diperkenalkan itu merupakan antara produk pelancongan domestik terbaru Tourism Malaysia sebagai menyokong usaha memelihara alam sekitar di samping mengenali pusat-pusat pelancongan.

“Berbasikal adalah baik untuk kesihatan selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1 Malaysia peringkat negeri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said di Taman Awam Batu Burok semalam. Hadir sama Pengarah Tourism Malaysia Negeri ,Encik Mohd Nasir Khusairi.

Menurutnya, program tersebut yang dilancarkan diperingkat kebangsaan pada 1 April lalu diharap dapat mempromosikan lagi tempat-tempat rekreasi setempat dan pelancongan menarik di seluruh negara.

Beliau menambah, melalui pakej berbasikal yang diperkenalkan itu tiga pakej ditawarkan oleh agensi pelancongan dengan melawat tempat-tempat menarik dan bermalam di samping dapat menyemai budaya gaya hidup sihat terhadap sukan berbasikal.

Katanya di Terengganu kini mempunyai lima agensi pelancongan yang menawarkan pakej berbasikal. Difahamkan harga pakej yang ditawarkan antara RM150 hingga RM829 seorang.

Beliau memberitahu, sepanjang tahun 2010, sebanyak RM35 billion pendapatan dapat dijana melalui industri pelancongan domestik yang melibatkan seramai 115.5 billon pelawat.

Mengenai program pelancaran pakej berbasikal di Terengganu beliau berbangga kerana lebih 1,200 peserta daripada 29 kelab seluruh negeri termasuk Kemaman dan Besut menyertainya.

Sehubungan itu katanya, Tourism Malaysia bercadang untuk mengadakan aktiviti berbasikal yang turut mengundang peserta berbasikal dari negeri-negeri lain.





Payang Walk bakal jadi kawasan tumpuan pelancong

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan menaiktaraf beberapa jalan utama sekitar Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu sebagai kawasan pelancongan yang dikenali `Payang Walk’ tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata Payang Walk akan bermula dari Pejabat Pos cawangan Terengganu, Jalan Kampung Cina hingga ke Waterfront yang dianggarkan sejauh kira-kira 2.5 kilometer.

Katanya, pada masa ini beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan pelbagai agensi berkaitan termasuk peniaga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi sama-sama membantu melaksanakan projek berkenaan.

“Payang Walk berkonsepkan kawasan tumpuan pelancongan bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai produk tempatan dan persembahan kebudayaan selain melihat keindahan warisan negeri,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pakej Berbasikal Terengganu Cuti-Cuti 1 Malaysia 2012 di Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Musa Yusof dan Pengarah Tourism Negeri, Mohd Nasir Khushairi.

Dato’ Abdul Rahin berkata, projek Payang Walk itu dijangka akan dilancarkan pada Julai ini serentak dengan pra pelancaran Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dengan acara berbasikal sebagai acara besar-besaran.

Katanya, melalui program itu nanti kira-kira 7,000 peserta daripada seluruh negeri akan berbasikal melalui persisiran pantai sejauh kira-kira 240 kilometer yang bermula di Besut melalui beberapa daerah kecuali Hulu Terengganu hingga ke Kemaman.

“Aktiviti berbasikal di negeri ini dilihat satu fenomena yang luar biasa dan ianya perlu disokong bagi menjadikan satu aktiviti riadah yang sihat serta bebas dari pencemaran asap,” katanya.

Mengenai pakej berbasikal yang dilancarkan pada hari ini beliau berkata, ia merupakan satu pakej baru yang diperkenalkan dengan kerjasaman Toursim Malaysia, hotel dan agensi pelancongan.

Di majlis itu beliau turut melepaskan konvoi Kayuhan Riadah Pelancongan Senior sejauh 23 kilometer dan Kayuhan Riadah Pelancongan Junior sejauh lima kilometer yang melibatkan lebih 1,000 peserta.



Jelajah Terengganu kempen 1MG 1MC

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak dua lagi kawasan baru homestay di negeri ini akan didaftarkan di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia pada penghujung tahun ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria berkata, dua kawasan tersebut itu ialah Felda Keruak di Besut sebanyak 19 peserta dan Persatuan Homestay Nelayan Kijal di Kemaman membabitkan 10 peserta.

Katanya, lawatan di kedua-dua kawasan tersebut akan diadakan dalam waktu terdekat oleh pasukan daripada Pejabat Kementerian Pelancongan bersama Tourism Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Persatuan Homestay sebelum lesen dikeluarkan bagi memastikan semua aspek yang ditetapkan dipatuhi.

``Pada masa ini sebanyak enam kawasan di negeri ini didaftarkan sebagai homestay yang melibatkan seramai 103 peserta,’’ katanya dalam sidang media sempena Jelajah Terengganu Kempen 1 Malaysia Green, 1 Malaysia Clean (1MG 1MC) di Permai Hotel semalam. Hadir sama Penolong Pengarahnya, Puan Mazshida Roslal.

Katanya, enam kawasan terbabit ialah dua di Kuala Terengganu (Teluk Ketapang dan Pulau Duyung) dan masing-masing sebuah di Dungun ( Kampung Pasir Raja), Setiu
(Kampung Rhu Sepuluh), Besut (Felda Selasih) dan Hulu Terengganu (Kampung Buluh).

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak terkeliru dengan homestay yang berdaftar dengan kementerian adalah berkonsepkan tinggal bersama penduduk dan menikmati aktiviti yang dijalankan di homestay berkenaan.

Ini kerana katanya, pada masa ini banyak individu yang menggunakan nama homestay untuk mengiklankan rumah rehat atau rumah penginapan mereka.

``Sehubungan dengan itu pihak kementerian pada masa ini sedang berusaha untuk mangazetkan nama homestay supaya ianya tidak mengelirukan orang ramai terutama pelancong,’’ ujarnya.

Beliau menambah, kementerian tidak mempunyai peraturan untuk mengambil tindakan kepada pihak terbabit kecuali setelah digazetkan kerana lesen tersebut dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Mengenai program Jelajah Terengganu sempena kempen 1MG dan 1MC beliau berkata, sebanyak empat aktiviti diadakan sepanjang tahun ini dalam usaha memupuk semangat cintakan keindahan dan kebersihan terutama di kawasan tumpuan pelancong.

Aktiviti berkenaan ialah pertandingan fotografi (19 Mei hingga 30 Jun), pelancaran kempen di Gunung Berembun (15 -17 Jun) , Kempen Pantaiku Bersih di Homestay Rhu Sepuluh (12 -14 Julai) dan Kempen Sungaiku Bersih di Sungai Terengganu (15 -16 September)





UMT lancar buku ‘Ahmad Said Dari Rakyat Untuk Rakyat’

Oleh FAUZI MOHD



Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melangkah setapak lagi dalam penerbitan buku apabila karya terbaru ‘Ahmad Said Dari Rakyat Untuk Rakyat’ dilancarkan malam tadi.



Buku tulisan bekas Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman dan Dekan Fakulti Pembangunan Sosial, Prof. Madya Dr. Noraien Mansor memaparkan perjalanan hidup Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Rujukan ilmiah setebal 198 muka surat itu menceritakan sisi berbeza Dato’ Seri Ahmad yang merupakan anak kampung yang tegar dengan kepayahan hidup di masa kecil hingga berjaya mencapai menara gading.

Pendokumentasian itu merangkumi lapan bab termasuklah mengenali Ahmad Said, alam pendidikan, tapak kerjaya, pentas politik dan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Pelancaran buku itu disempurnakan Pro-Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman sambil disaksikan Dato’ Seri Ahmad di Palm Garden Hotel, IOI Resort Putrajaya, malam tadi.
Turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Komoo.

Dato’ Dr. Ibrahim dalam ucapannya menyeru warga universiti itu lebih giat dalam menghasilkan karya-karya ilmiah dan bukan ilmiah di samping melibatkan diri dalam penerbitan kritis dan mencabar.

“UMT di bawah naungan dan kerjasama Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mapim) akan terus berusaha menyahut seruan badan itu untuk meningkatkan kadar penerbitan 10 peratus setahun.

“Ia selaras dengan hasrat negara mensasarkan bilangan penerbitan buku sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada jumlah penduduk,” kata beliau.

Tambahnya, buku itu bukan sahaja berjaya menterjemah latar belakang dan penitian kehidupan peribadi Menteri Besar, malah ia begitu unik dengan untaian pantun yang dicipta khas oleh kedua-dua pengarang itu.

“Tajuk buku itu sendiri sudah cukup untuk menterjemahkan kehidupan Dato’ Seri Ahmad Said yang begitu dekat dengan rakyat,” jelasnya.


19 May 2012

100 Usahawan Bumiputera daerah Besut dan Setiu ikuti kursus



Oleh: Mohammad Ishak

Peserta kursus Usahawan Muda anjuran MARA yang berlangsung di Demong Resort,dekat Jertih, kelmarin terkejut dengan tindakan Pengerusi Mara,YB Datuk Seri Idris Jusoh, yang tanpil memberi ceramah kepada mereka.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, yang diundang khas untuk melakukan upacara penutup kursus berkenaan secara sportan tanpil dihadapan peserta dan turun ke bawah pentas khas kemudian bertindak menyampaikan ceramah.

Beliau kemudian memberi pelbagai input berguna kepada bakal usahawan terutama cara untuk menjadi usahawan berjaya.

Menurutnya, tujuh prinsip yang perlu dipegang oleh usahawan yang ingin maju ialah mesti kreatif, kuat bekerja,berani, berdisplin, menambah ilmu,mempunyai simpanan dan kurang bergantung kepada pihak lain terutamanya kepada kerajaan.

Katanya, usahawan yang mengamalkan prinsip berkenaan mampu menjadi golongan usahawan yang berjaya dan perkara itu tidak mustahil jika usahawan berani melakukannya.

Ketika merasmikan kursus itu Idris berkata, Mara sentiasa memberi peluang kepada usahawan muda untuk mambabitkan diri secara aktif dalam bidang keusahawan.

Beliau berkata, bukan itu sahaja golongan pelajar yang menuntuk di institusi milik agensi itu juga kini diberi peluang untuk mendapatkan pinjaman tanpa faedah sehingga RM50,000 bagi menjalankan perniagaan. 

Katanya, Mara juga sedang berusaha untuk melahirkan profesional keusahawan dikalangan pelajar dengan memberi mereka pelbagai bentuk bantuan dan skim latihan untuk meneroka bidang keusahawanan.

287 Peneroka Felda Tenang,Hulu Besut dapat durian runtuh

YB Nawi menyampaikan replika cek kepada wakil peneroka Felda Tenang,Hulu Besut.

Oleh: Mohammad Ishak

Selepas peneroka Felda Selasih,Jabi, Setiu menerima durian runtuh tiba pula giliran peneroka Felda Tenang,Hulu Besut, mendapat rezeki tambahan RM15,000 hasil pemberian Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Felda Tenang ,Hulu Besut, itu seramai 287 peneroka menerima durian runtuh berjumlah RM1.4 juta hasil agihan agensi tanah terbesar dan di negara ini kepada penerokanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohammad menyampaikan replika cek kepada wakil peneroka sempena majlis penyampaian wang durian runtuh itu. Dengan pemberian itu, janji Kerajaan

Barisan (BN) sudah ditepati dan peneroka terbabit menerimanya dengan perasaan gembira sambil meenyifatkan ia perkara tidak diduga.

Berucap pada majlis itu, Nawi berkata, tuduhan pembangkang yang menghasut peneroka yang mendakwa kerajaan BN ingin menipu mereka memang meleset dan terbukti dengan pemberian cek berkenaan.

Katanya, beliau gembira kerana tidak ramai peneroka Felda Tenang yang terpengaruh dengan dakyat pembangkang sebaliknya terus memberi sokongan dan kepercyaan kepada pimpinan kerajaan sekarang.

“Peneroka Felda sememangnya golongan bernasib baik kerana pelbagai kemudahan dan insentif diberikan kepada mereka berbanding tempat lain,” katanya.

Beliau berharap, peneroka terus memberi sokongan terhadap kerajaan BN jika ingin melihat nasib mereka sentiasa dibela dan diberi perhatian pada masa akan datang.

Qari Marang, qariah Besut johan tilawah Terengganu

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Peserta dari daerah Marang, Haji Mohamad Hafas Ali, 30, dan Besut, Puan Siti Mas Ismail, masing-masing muncul johan qari dan qariah Tilawah al-Quran 2012 Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Padang Astaka, Kemaman, kelmarin.

Haji Mohamad mengutip markah 93.25 peratus manakala Encik Aziz Mohamad dari daerah Dungun yang memperolehi markah 89 peratus menduduki tempat kedua. Tempat ketiga dimenangi peserta dari daerah Kuala Terengganu, Encik Abu Bakar Abdul Rahman (83.5 peratus).

Manakala johan Qariah disandang peserta dari daerah Besut, Puan Siti Mas Ismail yang memperoleh markah 87 peratus dan naib johan dimenangi Puan Hajah Azizah Zakaria, dari daerah Setiu yang mendapat markah 86.76 peratus.

Peserta dari Hulu Terengganu, Puan Hajah Nasirah Ibrahim yang memperolehi markah 83.58 peratus mendapat tempat ketiga.

Johan qari dan qariah peringkat negeri Terengganu membawa pulang wang tunai sebanyak RM7,000 beserta piala pusingan manakala naib johan memperoleh wang tunai RM5,000 dan tempat ketiga wang tunai RM4,000.

Setiap pemenang turut menerima piala iringan beserta hadiah sampingan sumbangan daripada Rayhar Travel.

Pemenang qari dan qariah peringkat negeri Terengganu akan mewakili negeri ini ke peringkat kebangsaan yang diadakan di Johor Bharu pada 4 hingga 8 Jun ini
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Saleh, berkata masih terdapat banyak kelemahan di kalangan peserta dari segi penguasaan sebutan huruf, masalah pernafasan yang menyebabkan bacaan ayat suci al-Quran tidak jelas kedengaran dan kebanyakan peserta tidak boleh menguasai bacaan dari segi sebutan Arab.

Pihak juri hakim berharap semua peserta terutama Johan Qari dan Qariah yang mewakili ke peringkat kebangsaan akan menguasai kefasihan bacaan ayat suci al-quran, menguasai ilmu-ilmu hukum tajwid dan mempelajari penguasaan pernafasan ketika membaca dan penguasaan sebutan Arab.



18 May 2012

Hari terbuka Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Seberang Jertih meriah


Oleh: Mohammad Ishak

Hari Terbuka Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Seberang Jertih yang berlangsung sehari di kawasan Perumahan Awam Seberang Jertih mendapat sambutan meriah daripada komuniti setempat.

Program tahunan anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Seberang Jertih, Telekom Malaysia (TM). Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) dan MSD Digitil memberi peluang penduduk setempat mendekati tenologi maklumat.

Pelbagai acara menarik berkonsepkan pertandingan menerusi talian dan internet berjaya menarik minat peserta bukan sahaja dikalangan kanak-kanak Tabika, murid sekolah malah golongan dewasa turut menunjukkan bakat dalam pertandingan yang diadakan.

PJK Seberang Jertih ditubuhkan pada 1 April 2009 sehingga kini mempunyai hampir 1,000 ahli memberi pembelajaran komputer dan melayani internet percuma.

Hari terbuka yang diadakan setiap tahun itu bertujuan memberi maklumat dan pendedahan aktiviti yang dijalankan oleh PJK sepanjang tahun selain mengajak masyarakat meneroka bidang teknologi maklumat.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut, Saidi Sulong ketika meramikan penutupan program itu berkata, penduduk kawasan itu beruntung kerana dapat mempelajari komputer dan melayari internet secara percuma yang disediakan pihak terbabit.

“Penduduk hendaklah memanfaatkan kemudahan yang disediakan sama ada oleh kerajaan atau pihak swasta kerana ia bertujuan memberi pendidikan dan kemahiran kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, rakyat negeri ini mempunyai celik kumputer cukup tinggi dengan adanya pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan paling membanggakan ia diberikan secara percuma.

157 peneroka Felda Selasih,Jabi, terima pemberian durian runtuh

YB Mohd Jidin menyampaikan replika cek kepada Ketua Peneroka Felda Selasih Alias Abd Rani 

Oleh: Mohammad Ishak 

Penantian 157 peneroka di rancangan tanah Felda Selasih,Jabi, Setiu untuk mendapatkan pemberian “Durian Runtuh” dari agensi tanah terbesar itu akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka menerimnya semalam.

Majlis penyampaian berjumlah RM790,000 itu yang dilakukan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee berlangsung di Dewan JKKR Felda Selasih itu turut dihadiri Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu Abd Malib Abd Rani

Penyampaian wang durian runtuh itu mencatat sejarah kepada golongan peneroka di Felda kerana ia juga hasil keuntungan agensi itu yang kemudian diagihkan semula kepada peneroka.

Mohd Jiden berkata, beliau yang juga anak peneroka amat bangga kerana kerajaan amat prihatin terhadap nasib peneroka rancangan tanah Felda.

“Inilah satu-satunya kerajaan yang mengamalkan kebajikan untuk rakyat dan peneroka sepatutnya menghargai kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

Beliau sedih kerana ada peneroka yang mudah menerima hasutan pembangkang sehingga ada pihak yang sanggup mengambil tindakan mahkamah dengan menyaman Felda kerana tidak puas hati terhadap sesuatu perkara.

Berbanding dengan mereka yang tinggal di luar Felda menjadi peneroka adalah lebih baik dan menguntungkan kerana kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap masalah kehidupan peneroka.

Sementara itu, Abd Malib berkata ketika ada 7,000 peneroka di 21 rancangan tanah Felda di Terengganu, dijangka menerima durian runtuh RM15,000 yang akan diagihkan secara berperingkat-peringkat.