Halaman

01 June 2012

Masyitah Sutera tawar reka corak terkini

Oleh: Suriati Ali

SUTERA digital ekslusif dengan reka corak terkini, titisan kasih, flamingo, fatansia, trologi, merak, bonia dan brush, boleh didapati di Masyitah Sutera, Pasar Besar Kedai Payang dengan kadar harga yang berpatutan.

Pengurusnya, Puan Masyitah Alias, 26, berkata tekstil dengan reka corak itu adalah yang paling laris dan diminati pelanggan tempatan mahu pun luar Terengganu setiap kali singgah di premis milik keluarga mentuanya.

“Sebagai peniaga, saya perlu memahami apa kehendak pembeli kerana cita rasa mereka sentiasa bertukar-tukar mengikut peredaran masa.

“Jika tidak, pasti kedai yang diusahakan bersama suami, Mahatdir Mohd,28, tidak laris dan jauh ketinggalan berbanding premis perniagaan lain,” katanya.

Perniagaan itu asalnya kepunyaan bapa mentua, Haji Mohd M Kassim sedia menerima tempahan menjahit pakaian seragam batik secara berkumpulan atau dalam kuantiti banyak.

Harga tempahan yang ditawarkan serendah RM100 hingga RM250 sehelai bergantung kepada kualiti dan jenis kain.

Menurutnya, , persaingan antara peniaga lain antara cabaran yang perlu ditempuh kerana pada masa sekarang begitu ramai individu yang meminati bidang jualan kain.

“Saya menganggap semua itu persaingan positif yang boleh mematangkan lagi Masyitah Sutera yang sudak bertapak di PBKP hampir 30 tahun ini.

“Alhamdullilah rezeki saya bertambah setiap kali tiba musim cuti sekolah dan ketika ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Menurutnya, dia manfaat sepenuhnya apabila tiba `durian runtuh’ itu dengan menawarkan harga berpatutan supaya pelanggan tidak jemu dan paling penting, mereka datang kembali.

“Rata-rata pelanggan yang datang ke kedai saya semuanya menyatakan puas hati dan memuji kerana corak dan jenis kain yang dijual moden dan terkini.

“Pembeli luar Terengganu lebih mengemari sutera, batik lukis dan songket asli kerana di tempat mereka sukar untuk memperolehnya,” katanya.

Masyitah Sutera yang dibuka jam 9.00 pagi hingga 6 petang itu turut mempunyai cawangan di tingkat 2, Bazar Warisan.






Penerima dana raya, bakti remaja perlu lahir rasa syukur

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Mengikut bancian, hampir 200,000 keluarga di negeri ini akan menerima dana hari raya tahun ini. Bantuan tersebut disediakan Kerajaan Terengganu pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan keluarga berpendapatan rendah membeli pelbagai keperluan bagi menyambut Aidilfitri.

Pada tahun ini, kerajaan negeri dijangka membelanjakan kira-kira RM55 juta untuk bantuan tersebut yang dimulakan sejak 10 tahun lalu, bagi menambah keceriaan penduduk tempatan menyambut hari lebaran.

Pada masa ini, mereka yang layak sedang dikenalpasti dengan sebahagian besarnya sudah mengisi borang yang disediakan dan dana berkenaan akan mula diagih kepada rakyat mulai pertengahan bulan Ramadan.

Bagi bantuan dana raya, setiap warga emas akan diberi RM200, keluarga miskin dan orang kurang upaya (RM300) manakala mereka yang mempunyai ramai tanggungan RM400.

Mulai tahun ini, kerajaan menaikkan had pendapatan isi rumah daripada RM1,500 kepada RM2,000 bagi membolehkan lebih ramai layak menerima bantuan tersebut.

Bermula bulan Jun pula, agihan bantuan Dana Bakti Remaja RM200 seorang bagi setiap remaja yang berusia 21 tahun ke atas akan mula dilakukan, bagi membolehkan mereka membeli pelbagai keperluan, termasuk persiapan menghadapi Aidilfitri.

Tahun ini, dijangkakan kira-kira 95,000 remaja mendapat manafaat daripada program berkenaan di seluruh negeri dengan perbelanjaan hampir RM24 juta.

Jika dihalusi begitu ramai penduduk Terengganu mendapat manfaat daripada program cakna saf kepimpinan Negeri Terengganu untuk membela nasib penduduk tempatan.

Sewajarnya mereka yang menerima bantuan berkenaan melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih mereka kepada pemimpin yang sentiasa menunjukkan keprihatinan mereka terhadap nasib rakyat negeri ini.

Pemimpin kerajaan negeri tentunya amat kecewa jika penerima bantuan berkenaan menentang Umno dan BN, apatah lagi jika mereka memberi sokongan kepada parti pembangkang.

Golongan ini perlu muhasabah diri mereka dan usah terikut-ikut dengan rentak segelintir penduduk tempatan yang suka ‘mengigit tangan yang memberi mereka makan”, akibat fahaman politik sempit.




PMINT bina tempat letak kereta

Oleh: Suriati Ali

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan membina tempat letak kereta bertingkat di Jalan Engku Embong Fatimah, Kuala Terengganu sebagai langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas yang semakin ketara di kawasan bandar raya.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda, berkata kemudahan setinggi 9 tingkat itu akan mengadungi 718 lot tempat letak kereta berada di tingkat 1 hingga tingkat 6) dan lapan lot kedai di tingkat 1.

“Manakala kemudahan lain iaitu pusat boling yang mempunyai 30 lorong ditempatkan di tingkat 7 dan 10 dewan panggung payang berada di tingkat 8 hingga tingkat 10.

“Kos bagi projek ini masih dalam perbincangan dengan pihak berkaitan perundingan dan jika tiada aral, kita akan membinannya dalam tempoh terdekat,” katanya.

Katanya, apa yang dilaksanakan itu menggambarkan keseriusan kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat.

“Sewajarnya, kita sebagai rakyat tidak mensia-siakan apa yang diberi supaya pihak mampu meneruskan kesinambungan pada maa depan,” katanya.


31 May 2012

102 terima Geran Teman 1Azam

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 102 wanita yang berkecimpung dalam perniagaan kecil di negeri ini dibantu keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi pemberian geran berbentuk peralatan perniagaan di bawah program Teman 1Azam.



Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata, peralatan keperluan perniagaan itu termasuk kelengkapan berniaga burger, andaman, dobi, menjahit dan gunting rambut.

Menurutnya, fasa permulaan itu melibatkan semua empat program iaitu Azam Tani, Azam Niaga, Azam Kerja dan Azam Khidmat.

“Program yang berteraskan konsep keusahawanan sosial itu menawarkan bantuan barangan perniagaan dengan kadar maksimum RM5,000 seorang.



“Selain itu, mereka turut dipertimbangkan bagi memohon pinjaman kewangan melalui skim pinjaman mikro di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia," katanya pada majlis penutup Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia di Pasar Awam Binjai Rendah, Marang hari ini.

Program penutup itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said. Turut hadir, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Tan Sri Napsiah Omar.

Geran Teman 1Azam itu adalah salah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membantu golongan wanita dan ibu tunggal yang berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan diri dan keluarga.

Menurut Dato’ Yahya, usaha kerajaan memperkenalkan program itu merupakan strategi bagi menggalakkan golongan tersebut berdikari menerusi bidang keusahawanan.

"Program ini mampu membantu rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan dan terbukti sebelum ini ramai peserta berjaya meningkatkan jumlah pendapatan antara RM500 sehingga RM700 sebulan," jelasnya.


JKKK diminta pantau hal ehwal kampung -MB

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta Jawatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sentiasa memantau perkembangan yang berlaku sekitar kampung serta mengambil tahu mengenai kesihatan penduduk.



“Jangan sampai mereka masuk surat khabar, kerana ini membabitkan nama baik wakil rakyat kawasan berkenaan,” katanya di majlis Perjumpaan Menteri Besar bersama JKKK Daerah Kuala Terengganu bertempat di Stadium Negeri Kuala Terengganu hari ini (31 Mei).

Katanya, kerajaan beri peruntukan RM1 juta setiap kawasan untuk bantu rakyat di kampung-kampung yang menghadapi pelbagai kesukaran.

“Bantulah siapa saja yang layak, biar pun mereka berlainan parti, mudah-mudahan mereka nampak siapa yang lebih mengambl berat terhadap kebajikan rakyat,” katanya di hadapan kira-kira 2,227 orang daripada 293 JKKK dalam daerah ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Sahlan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan Ketua Pengarah Biro Tata Negara, Raja Arif Raja Ali.

Turut serta dalam perjumpaan itu, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Adun Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh ; Pegawai Pembangunan DUN Batu Burok, Dato’ Haji Che Mat Jusoh dan Pegawai Pembangunan DUN Manir, Haji Yusof Hitam.

Menteri Besar juga berharap tidak ada yang mengambil sikap sabotaj parti semata-mata kerana tidak sebulu dengan calon yang dipilih pucuk pimpinan parti.

“Kalau parti kuat, kerajaan akan kuat dan JKKK juga akan teguh tapi jika parti rebah JKKK pun akan lenyap,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya mengajak semua organisasi dalam kampung termasuk cawangan UMNO dan JKKK berpadu tenaga pertahankan parti dan kerajaan demi masa depan bangsa Melayu yang gemilang.





Dana Remaja diagih esok

Oleh: Suriati Ali

Anak jati Terengganu terutama golongan belia di negeri ini terus mendapat manfaat daripada kerajaan negeri yang sememangnya prihatin mengenai pelbagai aspek terutama berkaitan kebajikan, kemudahan dan pendidikan.

Terbaru, kira-kira 91,517 belia yang layak di seluruh Terengganu akan menerima Dana Remaja bermula besok (1 Jun) di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Daripada kira-kira RM18.3 juta akan diperuntukan di mana setiap belia berusia antara 18 hingga 40 tahun dan belum berkahwin layak menerima RM200.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jumlah itu meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu iaitu seramai 83,197 belia membabitkan peruntukan RM16.6 juta menerima dana itu.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan belia dan remaja supaya sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan BN yang sentiasa membela nasib mereka.

“Dalam hal ini, adalah tidak wajar jika golongan belia ‘mengigit’ tangan yang memberi mereka makan.

“Mereka tidak wajar tepengaruh dengan hasutan pembangkang agar membenci Kerajaan BN, sebaliknya menyokong kerajaan pada setiap masa bagi memastikan BN terus memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti,”katanya.


Belanja RM36.26 juta, bayar elaun imam dan bilal

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membelanjakan kira-kira RM36.26 juta sepanjang tempoh 2008 hingga tahun lalu, bagi membayar elaun kepada 2,100 imam dan bilal seluruh Terengganu.

Daripada jumlah itu, pembayaran elaun sebanyak RM12.95 tahun lalu meningkat sekali ganda berbanding RM6.70 juta pada 2010 berikutan imam dan bilal menerima penyelarasan elaun baru.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd Rozali Saleh, berkata kadar elaun yang diterima golongan itu bermula 1 Januari tahun lalu adalah sebanyak RM800 bagi seorang iman berbanding tiga skim sebelum ini iaitu RM650, RM625 dan RM600.

“Manakala bilal pula dibayar sebanyak RM600 seorang berbanding RM450, RM425 dan RM400,” katanya.

Menurutnya, JHEAT turut membelanjakan kira-kira RM480,000 bagi melaksanakan kursus pengimarahan masjid seluruh Terengganu sepanjang 2010 hingga tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh siri kusus dijalankan pada 2010 dengan melibatkan perbelanjaan hampir RM277,000, manakala lima siri kursus diadakan pada tahun lalu dengan peruntukan RM203,000.

“Seramai 1,830 peserta di kalangan imam dan bilal menyertai kursus mengimarahkan masjid menerusi tujuh siri dengan setiap siri merangkumi tiga sesi sepanjang 2010,” katanya.

Katanya, sehingga kini, lebih 70 peratus peserta berjaya hadir ke setiap sesi kursus yang lazimnya diperuntukkan kepada 100 hingga 120 peserta itu,” katanya.

“Pihak kami akan terus mengadakan program pengimarahan itu bagi memastikan peranan pemimpin barisan depan dalam masyarakat itu akan terus diperkasakan dan di pandang tinggi seluruh umat Islam,” katanya.


JKKK Jalan Tekukur, Gong Lingai muncul johan kampung bersih peringkat negeri

Oleh: Aida Abd Rahman



Menjadikan Kampung Bukit Wan, Batu Rakit yang memenangi pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Peringkat Negeri 2010/2011 sebagai indikator dan panduan memberi pulangan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Jalan Tekukur, Kuala Terengganu apabila memahat kejayaan serupa bagi kategori dalam kawasan operasi pada tahun ini.



Kemenangan kampung yang memiliki kepadatan 2,750 penduduk dan berbilang kaum diketuai Pengerusi JKKK, Puan Arpah Othman berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000 beserta RM250,000 sebagai dana bagi menjalankan projek pembangunan kampung.

Hadiah kemenangan disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Padang Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu, petang semalam (30 Mei).

Selain menggondol hadiah utama, JKKK Jalan Tekukur turut meraih hadiah terkumpul RM4,000 masing-masing bagi kategori Kebersihan Persekitaran Dalam Kawasan kampung, Keceriaan Landskap, Kawalan Vektor dan Kepimpinan.

Menurut Puan Arpah, sifat muafakat dan kerjasama semua AJK JKKK dan penduduk dengan bantuan penghulu sejak September tahun lalu bagi memastikan kampung mereka boleh memenangi pertandingan yang julung kali disertai itu membuahkan hasil apabila diumumkan johan pertandingan.

Katanya, ramai wanita kampung berkenaan terlibat dengan Industri Kecil Sederhana termasuk mengusahakan makanan seperti sate, karipap, popia, selain mengusaha kedai kek popular di bandar ini, Ziq Bakery & Cake.

“Ziq Bakery turut membantu memberi peluang dan ruang kepada anak muda yang menganggur untuk mempelajari selok-belok penyediaan biskut dan kek sebagai persiapan melibatkan diri dalam perniagaan itu.

“Malah, kami juga akan menganjurkan bengkel perniagaan untuk penduduk kampung bagi memberi pendedahan dan memajukan lagi kampung kami pada masa depan,” katanya.

Selain itu, Puan Arpah berkata balai raya di kampungnya juga akan dinaiktaraf dengan peruntukan RM265,000 bagi dijadikan dewan serbaguna untuk kegunaan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno menjalankan aktiviti persatuan, selain berfungsi sebagai gelanggang badminton serta juga lokasi bagi mengadakan majlis keraian serta kenduri.

Sementara itu, bagi kategori kampung luar kawasan operasi pula dimenangi oleh Kampung Gong Lingai yang membawa pulang wang tunai RM25,000 serta peruntukan RM250,000 bagi menjalankan projek pembangunan kampung.

Selain hadiah kemenangan itu, kampung berkenaan yang diketuai Pengerusi JKKK, Encik Mohamad Mat Ali, 55, itu turut menggondol wang tunai RM3,000 masing-masing bagi kategori Kebersihan Infrastruktur Dalam Kawasan Kampung, Keceriaan Landskap dan kawalan Vektor.





TERIMA KASIH FELDA DAN KERAJAAN BARISAN NASIONAL…….


Oleh: Mastura Jamaluddin
Gambar oleh Mastura Jamaluddin

“ jangan sesekali lupa pada jasa FELDA yang banyak membantu orang Melayu dalam mengubah kehidupan sehingga menikmati kesenangan yang ada sekarang.

“Bila dah senang, ada segelintir peneroka yang sudah lupa pada jasa FELDA dan menjadi pengkhianat kepada bangsa Melayu, ”demikian pesanan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kepada peneroka Felda yang sudah banyak menerima bantuan daripada kerajaan.

Menurut beliau, sikap lupa diri sesetengah peneroka Felda adalah ciri-ciri mereka yang tidak tahu mensyukuri nikmat yang di terima malah mendengar bisikan-bisikan luar untuk menentang kerajaaan.

“FELDA yang berdiri teguh sekarangan ini ditubuhkan hasil ilham daripada Parti Perikatan yang kini lebih di kenali sekarang Barisan Nasional,” katanya pada majlis perjumpaan dengan warga Felda Bukit Bading, semalam.

Durian runtuh sebanyak RM8,775,000 dalam bentuk cek telah di serahkan kepada peneroka yang diwakili Ketua Peneroka Felda Bukit Bading, Abdul Rahman Hassan.

FELDA Bukit Bading merupakan FELDA yang tertua di daerah Hulu Terengganu dan merupakan kawasan penerokaan terbaik di negeri Terengganu.

Majlis tersebut diteruskan lagi selepas itu dengan Perasmian Pecah Tanah 130 Lot Perumahan Generasi Baru oleh YAB Menteri Besar dan diikuti dengan persembahan kebudayaan pada sebelah malam.



Promo Teganu Kita @ Tv3! (Setiap Khamis - 6.00 petang)