Halaman

19 June 2012

Pengerusi JKKK dan Imam Masjid Daerah Besut sertai seminar


Seorang peserta seminar bertanyakan soalaan

Oleh: Mohammad Ishak

Seminar Inovasi Memartabatkan Peranan Masyarakat Dalam Pencegahan Jenayah anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pemimpin komuniti daerah Besut melengkapkan lagi usaha pasukan keselamatan berkenaan mendekati masyarakat.

Seminar itu walaupun singkat ia memberi impak besar kepada pemimpin masyarakat yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Imam Masjid di daerah Besut.

Pada program yang diadakan di Dewan Ibnu Sina,Pejabat Agama Daerah Besut, Kampung Raja, peserta yang dipilih khas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, memberi penekanan terhadap usaha memerangi jenayah dan dadah.

Tiga tokoh berkaitan dalam bidang masing-masing menyampaikan ceramah khas yang didahului Ketua Polis Daerah Besut, Superentendan Kamaruddin Mohd Zakaria, diikuti Pegawai Agama Daerah Besut, Azmi Tengah dan ditutup oleh Pegawai Daerah Besut, Ab Rahim Jusoh.

Menerusi seminar itu pemimpin yang menjadi tonggak kepada masyarakat akar umbi itu diminta memainkan tugas dan tanggungjawab untuk membantu pasukan keselamatan dalam memerangi masalah sosial, dadah dan jenayah setempat.

Kamaruddin berkata, pihaknya bimbang indek jenayah di daerah itu sejak kebelakangan ini semakin meningkat terutama dalam kes rogol, pukul dan pecah rumah.

Sehubungan itu, polis daerah itu melancarkan program 1 Polis 1 Masjid bagi mengawasi gejala tidak sihat yang berlaku dikalangan remaja daerah terbabit.

Sementara itu, Abd Rahim pula mahu semua jawatankuasa masjid meningkatkan usaha menjaga kebersihan di pusat ibadat itu supaya semua 80 masjid di seluruh daerah itu sentiasa dalam keadaan bersih dan cantik.

PSKT anjur Program Pencerapan Objek Langit

Oleh: Suriati Ali

Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) akan menganjurkan Program Pencerapan Objek Langit di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu pada 20 Jun (esok).

Program yang akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman turut diselitkan beberapa aktiviti sampingan di lokasi berasingan.

Bengkel penyelanggaraan dan aplikasi teleskop dan ceramah berkaitan rukyah alam akan diadakan di dewan Sekolah Menengah Ibrahim Fikri.

Majlis perasmian Pencerapan Objek Langit dan Pelnacaran Kelab Astronomi Terengganu pula akan diadakan di dataran dan dewan konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Pemangku Pengarah Urusan PSKT, Encik Ahmad Farhan Abdul Wahab, berkata orang ramai yang hadir pada program ini boleh mengetahuinya secara lebih mendalam mengenai objek ciptaan Allah di langit.

“Apa yang membanggakan, mereka akan diberi peluang menerap sendiri objek langit seperti, anak bulan, bintang dan planet,” katanya


Urusan zakat Maidam melalui kaunter bergerak

Oleh FAUZI MOHD

Kemudahan kaunter bergerak bagi perkhidmatan pertanyaan zakat, taksiran dan bayaran zakat secara terus (tunai dan cek) yang disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan itu di negeri ini.

Kaunter bergerak itu telah diubah suai serta dilengkapi dengan peralatan yang sesuai mengikut keperluan untuk tujuan operasinya untuk mengutip zakat dari satu tempat ke satu tempat di seluruh negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman berkata, sebuah van bernilai kira-kira RM180,000 itu diselia oleh beberapa kakitangan Maidam bagi melicikan pelbagai urusan berkaitan zakat.

“Di kaunter itu, kita turut menyediakan pelbagai risalah berkaitan pbayaran zakat kerana Maidam sedar masih ramai di antara kita terutama golongan muda yang tidak faham sepenuhnya tentang perkara itu.

“Hasrat kita, kaunter itu bukan sekadar untuk bayaran zakat, malah ia mampu menjawab beberapa keraguan berkaitan hukum Islam itu. Kita turut paparkan tayangan video untuk tujuan itu,” katanya kepada Teganukita.

Terbaru kata Wan Harujan, kaunter bergerak itu akan berada di Dewan Sivik Felda Kertih 6, Kemaman esok (20 Jun) bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Katanya, kaunter itu turut berada di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang bermula 17 Jun lalu hingga 2 Julai sempena kursus Haji.

“Maidam turut menempatkan kaunter berkenaan pada program dan aktiviti yang melibatkan penyertaan masyarakat yang besar seperti pekan budaya, karnival rakyat dan ekspo niaga,” jelas beliau.

Mana-mana pihak yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu, bolehlah memuat turun borang permohonan itu di laman sesawang, www.maidam.gov.my. Borang yang lengkap diisi hendaklah difaks ke Seksyen Zakat MAIDAM di talian 09-6247917.


Perkhidmatan pakar perubatan ditambah di HSNZ

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan kepakaran dalam rawatan termasuk pakar dalam bidang tertentu yang ada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. Haji A. Rahman Mokhtar berkata, setiap tahun kerajaan meluluskan dan menyalurkan sumbangan dana khas untuk penaiktarafan perkhidmatan perubatan yang lebih canggih.

“Setiap hari hospital dan klinik menerima pesakit dengan pelbagai masalah kesihatan dan perlu rawatan segera, kronik atau rawatan pesakit luar,” katanya.

Tidak dinafikan katanya, pesakit kronik atau berjangkit sentiasa menunjukkan peningkatan setiap tahun dan ini memerlukan penambahanbaikan terhadap peralatan perubatan bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

Katanya, jumlah kemasukan pesakit paling tinggi ke hospital tahun lalu adalah pregnancy , childbirth dan the puerperium (33,744) diikuti penyakit disebabkan oleh respiratory system (13,330) dan certain condition originating in the prenatal period (10,385).

“Manakala sebab kematian pesakit dalam hospital pula adalah diseases of the circulatory system (549), disesses of the respiratory system (4530) dan certain infectious and parasitic disesses (189),” katanya.

Katanya, dari segi bebanan pesakit semasa terutama denggi telah menunjukkan peningkatan sehingga mencapai 46 seminggu berbanding sasaran ditetapkan mesti tidak boleh melebihi 16 kes seminggu.

Namun katanya, jika dibandingkan kes itu di seluruh negeri pada minggu kelima tahun ini masih berada dalam lingkungan penurunan iaitu 14.8 peratus.





Tarian Saba meriahkan Sepakat K1M Dungun

Persembahan Tarian Saba dari Komuniti 1Malaysia Jengai menyerikan program Sepakat Komuniti 1Malaysia (K1M) peringkat daerah Dungun yang diadakan di Padang Astaka, Kampung Seberang Pintasan, Dungun pada 15 dan 16 Jun 2012.

Alunan lagu serta lenggok Trian Saba memukau hampir 2,000 pengunjung yang membanjiri Padang Astaka itu.

Selain persembahan tarian itu, persembahan brass band yang dipersembahkan oleh pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun turut memeriahkan program tersebut.

Program Sepakat Komuniti 1Malaysia peringkat daerah Dungun anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT), merupakan program keenam diadakan selepas Besut, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Kemaman.

Pelbagai acara menarik bermula tayangan video Bersih 3.0 Yang Kotor pada sebelah malam 15 Jun 2012.

Manakala keesokannya program bermula dengan senam seni 1Malaysia diikuti sukan rakyat yang disertai kesemua wakil daripada lapan K1M seluruh Dungun.

Selain sukan rakyat, turut diadakan ialah pertandingan bola jaring, futsal padang, pameran kereta Perodua Kancil yang diubahsuai, demonstrasi memadam kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, pertunjukan sepak raga bulatan, pertandingan gubahan buah-buahan, pameran agensi kerajaan dan gerai jualan produk K1M. Turut diadakan cabutan nama bertuah yang menyajikan lebih 200 hadiah seperti basikal fixie dan hamper.

Pada program itu, K1M Jerangau 2 diumumkan sebagai K1M terbaik daerah Dungun.

Ahli Majlis Kerajaan Negeri Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, YB Dato’ Haji Za’abar Mohd Adib merasmikan majlis penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah JPNT, Encik Mohd Iskandar Jaafar dan Pegawai Penerangan Daerah Dungun, Encik Che Mat Roplan Salim.




WARGA USIA EMAS TERHARU DENGAN BANTUAN JKM

Oleh: Mastura Jamaluddin

Wajah tua yang tersenyum menceritakan kegembiraan yang tidak terkata apabila rumahnya dibaiki oleh pelbagai pihak yang prihatin.

Rumah yang selama ini uzur seolah-olah tidak berpenghuni kini kembali ceria setelah menerima sentuhan daripada Program Karisma Cakna Komuniti sebanyak RM5000 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Hulu Terengganu dengan kerjasama Pejabat ADUN Kuala Berang, RELA, JKKK Kampung Sungai Petai, polis, AADK, Persatuan KOMITH telah bersatu untuk membantu merubah persekitaran dan wajah rumah yang didiami Pak cik Osman Sulong, 86, bersama cucunya Nazri Ishak.


“Pak Cik rasa syukur dan gembira bila ramai orang bantu pak cik membaiki rumah yang uzur ini dan ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada semua yang telah menolong pak cik dari dulu hingga sekarang.”kata Pak Cik Osman ketika ditemui.

Beliau yang kini terlantar sakit tua dan lumpuh sejak lapan tahun lalu, ditemani Nazri dan menetap di Kampung Sungai Petai selama 30 tahun.

Beliau kini menerima bantuan RM300 setiap bulan daripada JKM di bawah Bantuan Pesakit Kronik.

JKM turut membina bilik air di atas rumah bagi memudahkan Pak cik Osman untuk berulang alik yang selama ini terpaksa dikendong oleh cucunya turun ke bawah rumah.

Menurut Pegawai JKM,Encik Mohd Fadzli Ismail,pembinaan ini termasuk dalam peruntukan RM5000 daripada tujuh program yang akan di jalankan di bawah Program Karisma Cakna Komuniti.



Pemimpin pembangkang kumpul kekayaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pendedahan demi pendedahan mengenai kekayaan dan harta yang dikumpul para pemimpin parti pembangkang, sejak kebelakangan ini amat mengejutkan masyarakat negara ini.

Hakikatnya, itulah kerja sebenar pemimpin parti pembangkang selama ini – mengumpul kekayaan – untuk kepentingan diri mereka dan keluarga dan pada masa yang sama gila dan tamak kuasa.

Mereka sanggup melakukan apa saja, bermula dari rasuah, melakukan penyelewengan hinggakan mendapatkan dana dari sember-sumber yang tidak halal, bagi mencapai cita-cita politik mereka.

Banyak maklumat yang diterima, pemimpin pembangkang mendapat sumber dana dari pihak luar yang mahu melihat kehancuran negara Malaysia yang tercinta.

Bahkan, pemimpin pembangkang sanggup menimbulkan suasana huru hara dan keadaan politik tidak stabil dalam negara bagi mendapatkan dana dari luar yang sudah tentu musuh kita semua.

Cuba bayangkan, seorang pemimpin pembangkang boleh mengawal harta yang berjumlah RM3 bilion sejak lebih 10 tahun lalu.

Manakala orang kanan pemimpin pembangkang itu pula mengumpul harta yang jumlahnya berpuluh-puluh juta ringgit ketika dia masih berada dalam kerajaan.

Dari mana mereka mendapat kekayaan luar biasa ini? Itu persoalan yang perlu kita fikirkan bersama.

Ini belum lagi mereka menjadi pemerintah negara ini. Jika pemimpin pembangkang membentuk kerajaan dan mengawal semua projek kerajaan, kita tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi kepada tanah air tercinta ini.

Sudah pasti pemimpin berkenaan akan menjadi kaya raya manakala rakyat menderita. Lebih malang lagi, masyarakat Melayu akan hilang kuasa di bawah pakatan pembangkang yang diterajui oleh DAP.

Di mana letaknya maruah orang Melayu dan umat Islam jika DAP menerajui pemerintahan negara ini?

Itu antara fakta yang perlu kita fikirkan bersama sebelum memberi sokongan kepada Pas, Parti Keadilan Rakyat dan semua parti pembangkang.





Program Jelajah Anak Terengganu Siri 1 2012

Persatuan Belia Myvi Komuniti Terengganu akan mengadakan Program Jelajah Anak Terengganu Siri 1 2012 selama empat hari, mulai 27 Jun depan.

Sebanyak 40 kereta Myvi akan menyertai program tersebut yang bertujuan mempromosikan negeri Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

Konvoi tersebut akan berlepas di Dataran Batu Buruk, kira-kira jam 8 malam pada 27 Jun, menuju ke Bandaraya Melaka Bersejarah.

Mereka akan singgah di beberapa destinasi yang ditetapkan di sepanjang pengembaraan itu dan mengagihkan risalah mengenai tempat-tempat menarik di seluruh Terengganu, bagi tujuan promosi.

Kira-kira 100 peserta akan menyertai program berkenaan yang diadakan dengan kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu (APMT).




Tele Conference langsung PM dan MB di himpunan usahawan

Oleh; Esah Abdullah



Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) akan menganjurkan Himpunan Usahawan Terengganu 2012 pada 21 Jun ini bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.



Program ini diadakan sempena Pelancaran Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Peringkat Nasional yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada tarikh yang sama.



Ketua Pegawai Eksekutif YPUT, Haji Azmi Razik berkata, perhimpunan yang julung kali diadakan ini disertai seramai 1,000 usahawan dari seluruh negeri.

“Pada program ini Dato’ Sri Mohd Najib akan mengadakan ‘Tele Conference’ secara langsung dengan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said mulai jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, antara tujuan utama program ini adalah untuk menzahirkan sokongan padu dan terima kasih usahawan kepada kerajaan dan NGO keusahawanan yang memperjuang dan memartabatkan usahawan di samping komitmen komuniti usahawan sebagai nadi pembangunan ekonomi dan sosio ekonomi negeri.

Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik diadakan sempena program itu termasuk ceramah motivasi keusahawanan, pameran usahawan dan beberapa agensi keusahawanan seperti MARA, TEKUN Nasional dan GABEM turut serta.

Sehubungan itu katanya, semua usahawan diminta tidak melepaskan peluang untuk menyertai program ini di samping dapat bertukar maklumat berkait perniagaan, mampu mewujudkan jaringan yang lebih erat antara rakan niaga.




Taman Panorama dalam proses tentukan tender

Oleh: Suriati Ali



Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini dalam proses menentukan tender kepada operator yang bakal operasi di Taman Panorama,Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Dagang, berkat taman berkenaan yang siap sepenuhnya akhir tahun lalu dan bakal beroperasi pertengahan Julai depan selepas selesai proses berkaitan.

Katanya, pengunjung tidak akan dikenakan sebarang bayaran jika ingin merasai keindahan alam ketika berada di taman itu kecuali apabila perkhidmatan `buggy’ disediakan kelak mungkin dikenakan sedikit bayaran.

“Taman yang bakal menaikkan imej Terengganu itu dilengkapi pelbagai kemudahan dan prasarana moden, termasuk kawasan rekreasi, laluan pejalan kaki, pondok rehat dan menara tinjau.

“Sebuah restoran yang mampu memuatkan 200 pengunjung pada satu masa dikenali sebagai panorama kafe turut dibina semata-mata mahu menarik minat pelancong tempatan dan luar negara bertandang ke taman itu,” katanya.

Menurutnya, setiap pengunjung pasti teruja kerana hampir keseluruhan kawasan Bandar Raya Kuala Terengganu dapat di lihat melalui menara tinjau di taman itu.

“Pihak kami berharap, pelbagai pihak terutama mana-mana agensi perlancongan dapat membawa rombongan pelancong ke destinasi menarik ini sekaligus dapat memprosmosi keindahan Kuala Terengganu secara keseluruhan.

“Kawasa itu bakal menjadi kawasan tumpuan baru bagi penduduk negeri ini dan pelancong selain daripada lokasi menarik lain seperti Taman Tamadun Islam, Pasar Besar Kedai Payang dan Pantai Batu Burok,” katanya,