Halaman

20 June 2012

Taman Panorama Bukit Pak Apil beroperasi bulan depan

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra




Taman Panorama yang terletak di Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu bakal memulakan operasinya pada pertengahan bulan depan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang berkata, pihaknya sedang dalam proses menentukan tender kepada operator yang bakal menguruskan operasi di taman itu.

“Kita jangkakan taman berkenaan dapat dibuka kepada orang ramai pada pertengahan bulan depan selepas proses menentukan tender selesai serta akan menentukan kadar bayaran kepada pengunjung,” katanya.

Menurutnya, buat permulaan tiada kutipan bayaran dikenakan dalam jangka waktu tertentu dan berharap agensi pelancongan dapat membawa seberapa ramai pelancong ke taman itu bagi tujuan promosi.

“Bayaran mungkin akan dikenakan nanti apabila perkhidmatan ‘buggy’ untuk urusan turun naik ke atas bukit itu diperkenalkan,” katanya.






Terengganu bina Pusat Sains dan Kreativiti



Oleh: Mohammad Ishak

Pembinaan sebuah Pusat Sains dan Kreativiti di negeri ini mampu memberi kemudahan dalam pembangunan sains apabila kompleks yang sedang dibina itu siap sepenuhnya pada akhir 2014.

Pengerusi Pusat Sains dan Kreativiti Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, pusat berharga RM43.8 juta yang terletak di kawasan seluas 25 hektar di Cendering,Kuala Terengganu kini sudah 76 peratus kemajuan pembinaannya.

Katanya, usaha pembinaan pusat itu dijangka dapat meningkatkan minat dikalangan anak tempatan dalam bidang sains dan dapat melahirkan kalangan saintis di kalangan remaja bermula dari pelajar sekolah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, pusat sains baru itu mempunyai lima kompleks iaitu bangunan induk yang menempatkan Kompleks Utama Pusat Sains dan Kreativiti, Zon Dunia Maritim (Maritime World), Dunia Sains Tumbuhan (Flora World), dunia angkasawan dan Kompleks Inkubator untuk kajian sains .

“Kerja pembinaan yang menggunakan teknologi dan reka bentuk Korea, serbuah nergara yang maju dalam bidang sains di rantau ini,” katanya selepas merasmikan Karnival Sains dan Inovasi di Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmod 2, di Besut, dekat sini semalam.

Kerajaan negeri,katanya, memandang serius terhadap kuota penyertaan pelajar Terengganu dalam bidang sains masih di tahap rendah 20% .Beliau berharap dengan pembinaan pusat baru ini penyertaan pelajar dalam bidang sains di sekolah akan dapat diperbaiki.

Dr A Rahman meminta ibu bapa supaya menanamkan semangat dan cintakan sains di kalangan anak-anak.Sehubungan itu,katanya, kerajaan negeri mengeluarkan peruntukkan RM1 juta setiap tahun untuk mengadakan aktiviti sains di sekolah-sekolah negeri ini

“Apabila siap nanti, pusat sains lama di Jalan Sultan Mohamad akan dijadikan sebagai balai pencerapan bagi melihat objek langit dan anak bulan sepenuhnya,” katanya.

TATiUC kekal kejuaraan Masiswa Zon Timur 2012

Oleh: Aida Abd Rahman
Kolej Universiti TATI (TATiUC) mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut dalam Karnival Sukan Majlis Sukan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Masiswa) Zon Pantai Timur 2012 yang berlangsung di Kemaman, baru-baru ini.

Pengarah karnival, Encik Wan Zulkarnain Othman berkata, TATiUC muncul juara untuk tahun kedua, malah memahat pencapaian lebih kali ini selaku tuan rumah penganjuran karnival itu.

Katanya, daripada 11 kategori yang dipertandingkan, tuan rumah berjaya memonopoli kemenangan dengan meraih emas untuk acara bola sepak, futsal perempuan, badminton lelaki dan perempuan, ragbi dan bola jaring.

Program selama empat hari itu menarik penyertaan lebih 1,000 peserta termasuk 127 atlet tuan rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Pengerusi Lembaga pengarah TATiUC merasmikan karnival itu.



19 June 2012

Pengerusi JKKK dan Imam Masjid Daerah Besut sertai seminar


Seorang peserta seminar bertanyakan soalaan

Oleh: Mohammad Ishak

Seminar Inovasi Memartabatkan Peranan Masyarakat Dalam Pencegahan Jenayah anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pemimpin komuniti daerah Besut melengkapkan lagi usaha pasukan keselamatan berkenaan mendekati masyarakat.

Seminar itu walaupun singkat ia memberi impak besar kepada pemimpin masyarakat yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Imam Masjid di daerah Besut.

Pada program yang diadakan di Dewan Ibnu Sina,Pejabat Agama Daerah Besut, Kampung Raja, peserta yang dipilih khas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, memberi penekanan terhadap usaha memerangi jenayah dan dadah.

Tiga tokoh berkaitan dalam bidang masing-masing menyampaikan ceramah khas yang didahului Ketua Polis Daerah Besut, Superentendan Kamaruddin Mohd Zakaria, diikuti Pegawai Agama Daerah Besut, Azmi Tengah dan ditutup oleh Pegawai Daerah Besut, Ab Rahim Jusoh.

Menerusi seminar itu pemimpin yang menjadi tonggak kepada masyarakat akar umbi itu diminta memainkan tugas dan tanggungjawab untuk membantu pasukan keselamatan dalam memerangi masalah sosial, dadah dan jenayah setempat.

Kamaruddin berkata, pihaknya bimbang indek jenayah di daerah itu sejak kebelakangan ini semakin meningkat terutama dalam kes rogol, pukul dan pecah rumah.

Sehubungan itu, polis daerah itu melancarkan program 1 Polis 1 Masjid bagi mengawasi gejala tidak sihat yang berlaku dikalangan remaja daerah terbabit.

Sementara itu, Abd Rahim pula mahu semua jawatankuasa masjid meningkatkan usaha menjaga kebersihan di pusat ibadat itu supaya semua 80 masjid di seluruh daerah itu sentiasa dalam keadaan bersih dan cantik.

PSKT anjur Program Pencerapan Objek Langit

Oleh: Suriati Ali

Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) akan menganjurkan Program Pencerapan Objek Langit di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu pada 20 Jun (esok).

Program yang akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman turut diselitkan beberapa aktiviti sampingan di lokasi berasingan.

Bengkel penyelanggaraan dan aplikasi teleskop dan ceramah berkaitan rukyah alam akan diadakan di dewan Sekolah Menengah Ibrahim Fikri.

Majlis perasmian Pencerapan Objek Langit dan Pelnacaran Kelab Astronomi Terengganu pula akan diadakan di dataran dan dewan konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Pemangku Pengarah Urusan PSKT, Encik Ahmad Farhan Abdul Wahab, berkata orang ramai yang hadir pada program ini boleh mengetahuinya secara lebih mendalam mengenai objek ciptaan Allah di langit.

“Apa yang membanggakan, mereka akan diberi peluang menerap sendiri objek langit seperti, anak bulan, bintang dan planet,” katanya


Urusan zakat Maidam melalui kaunter bergerak

Oleh FAUZI MOHD

Kemudahan kaunter bergerak bagi perkhidmatan pertanyaan zakat, taksiran dan bayaran zakat secara terus (tunai dan cek) yang disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan itu di negeri ini.

Kaunter bergerak itu telah diubah suai serta dilengkapi dengan peralatan yang sesuai mengikut keperluan untuk tujuan operasinya untuk mengutip zakat dari satu tempat ke satu tempat di seluruh negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman berkata, sebuah van bernilai kira-kira RM180,000 itu diselia oleh beberapa kakitangan Maidam bagi melicikan pelbagai urusan berkaitan zakat.

“Di kaunter itu, kita turut menyediakan pelbagai risalah berkaitan pbayaran zakat kerana Maidam sedar masih ramai di antara kita terutama golongan muda yang tidak faham sepenuhnya tentang perkara itu.

“Hasrat kita, kaunter itu bukan sekadar untuk bayaran zakat, malah ia mampu menjawab beberapa keraguan berkaitan hukum Islam itu. Kita turut paparkan tayangan video untuk tujuan itu,” katanya kepada Teganukita.

Terbaru kata Wan Harujan, kaunter bergerak itu akan berada di Dewan Sivik Felda Kertih 6, Kemaman esok (20 Jun) bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Katanya, kaunter itu turut berada di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang bermula 17 Jun lalu hingga 2 Julai sempena kursus Haji.

“Maidam turut menempatkan kaunter berkenaan pada program dan aktiviti yang melibatkan penyertaan masyarakat yang besar seperti pekan budaya, karnival rakyat dan ekspo niaga,” jelas beliau.

Mana-mana pihak yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu, bolehlah memuat turun borang permohonan itu di laman sesawang, www.maidam.gov.my. Borang yang lengkap diisi hendaklah difaks ke Seksyen Zakat MAIDAM di talian 09-6247917.


Perkhidmatan pakar perubatan ditambah di HSNZ

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan kepakaran dalam rawatan termasuk pakar dalam bidang tertentu yang ada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. Haji A. Rahman Mokhtar berkata, setiap tahun kerajaan meluluskan dan menyalurkan sumbangan dana khas untuk penaiktarafan perkhidmatan perubatan yang lebih canggih.

“Setiap hari hospital dan klinik menerima pesakit dengan pelbagai masalah kesihatan dan perlu rawatan segera, kronik atau rawatan pesakit luar,” katanya.

Tidak dinafikan katanya, pesakit kronik atau berjangkit sentiasa menunjukkan peningkatan setiap tahun dan ini memerlukan penambahanbaikan terhadap peralatan perubatan bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

Katanya, jumlah kemasukan pesakit paling tinggi ke hospital tahun lalu adalah pregnancy , childbirth dan the puerperium (33,744) diikuti penyakit disebabkan oleh respiratory system (13,330) dan certain condition originating in the prenatal period (10,385).

“Manakala sebab kematian pesakit dalam hospital pula adalah diseases of the circulatory system (549), disesses of the respiratory system (4530) dan certain infectious and parasitic disesses (189),” katanya.

Katanya, dari segi bebanan pesakit semasa terutama denggi telah menunjukkan peningkatan sehingga mencapai 46 seminggu berbanding sasaran ditetapkan mesti tidak boleh melebihi 16 kes seminggu.

Namun katanya, jika dibandingkan kes itu di seluruh negeri pada minggu kelima tahun ini masih berada dalam lingkungan penurunan iaitu 14.8 peratus.





Tarian Saba meriahkan Sepakat K1M Dungun

Persembahan Tarian Saba dari Komuniti 1Malaysia Jengai menyerikan program Sepakat Komuniti 1Malaysia (K1M) peringkat daerah Dungun yang diadakan di Padang Astaka, Kampung Seberang Pintasan, Dungun pada 15 dan 16 Jun 2012.

Alunan lagu serta lenggok Trian Saba memukau hampir 2,000 pengunjung yang membanjiri Padang Astaka itu.

Selain persembahan tarian itu, persembahan brass band yang dipersembahkan oleh pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun turut memeriahkan program tersebut.

Program Sepakat Komuniti 1Malaysia peringkat daerah Dungun anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT), merupakan program keenam diadakan selepas Besut, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Kemaman.

Pelbagai acara menarik bermula tayangan video Bersih 3.0 Yang Kotor pada sebelah malam 15 Jun 2012.

Manakala keesokannya program bermula dengan senam seni 1Malaysia diikuti sukan rakyat yang disertai kesemua wakil daripada lapan K1M seluruh Dungun.

Selain sukan rakyat, turut diadakan ialah pertandingan bola jaring, futsal padang, pameran kereta Perodua Kancil yang diubahsuai, demonstrasi memadam kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, pertunjukan sepak raga bulatan, pertandingan gubahan buah-buahan, pameran agensi kerajaan dan gerai jualan produk K1M. Turut diadakan cabutan nama bertuah yang menyajikan lebih 200 hadiah seperti basikal fixie dan hamper.

Pada program itu, K1M Jerangau 2 diumumkan sebagai K1M terbaik daerah Dungun.

Ahli Majlis Kerajaan Negeri Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, YB Dato’ Haji Za’abar Mohd Adib merasmikan majlis penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah JPNT, Encik Mohd Iskandar Jaafar dan Pegawai Penerangan Daerah Dungun, Encik Che Mat Roplan Salim.




WARGA USIA EMAS TERHARU DENGAN BANTUAN JKM

Oleh: Mastura Jamaluddin

Wajah tua yang tersenyum menceritakan kegembiraan yang tidak terkata apabila rumahnya dibaiki oleh pelbagai pihak yang prihatin.

Rumah yang selama ini uzur seolah-olah tidak berpenghuni kini kembali ceria setelah menerima sentuhan daripada Program Karisma Cakna Komuniti sebanyak RM5000 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Hulu Terengganu dengan kerjasama Pejabat ADUN Kuala Berang, RELA, JKKK Kampung Sungai Petai, polis, AADK, Persatuan KOMITH telah bersatu untuk membantu merubah persekitaran dan wajah rumah yang didiami Pak cik Osman Sulong, 86, bersama cucunya Nazri Ishak.


“Pak Cik rasa syukur dan gembira bila ramai orang bantu pak cik membaiki rumah yang uzur ini dan ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada semua yang telah menolong pak cik dari dulu hingga sekarang.”kata Pak Cik Osman ketika ditemui.

Beliau yang kini terlantar sakit tua dan lumpuh sejak lapan tahun lalu, ditemani Nazri dan menetap di Kampung Sungai Petai selama 30 tahun.

Beliau kini menerima bantuan RM300 setiap bulan daripada JKM di bawah Bantuan Pesakit Kronik.

JKM turut membina bilik air di atas rumah bagi memudahkan Pak cik Osman untuk berulang alik yang selama ini terpaksa dikendong oleh cucunya turun ke bawah rumah.

Menurut Pegawai JKM,Encik Mohd Fadzli Ismail,pembinaan ini termasuk dalam peruntukan RM5000 daripada tujuh program yang akan di jalankan di bawah Program Karisma Cakna Komuniti.



Pemimpin pembangkang kumpul kekayaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pendedahan demi pendedahan mengenai kekayaan dan harta yang dikumpul para pemimpin parti pembangkang, sejak kebelakangan ini amat mengejutkan masyarakat negara ini.

Hakikatnya, itulah kerja sebenar pemimpin parti pembangkang selama ini – mengumpul kekayaan – untuk kepentingan diri mereka dan keluarga dan pada masa yang sama gila dan tamak kuasa.

Mereka sanggup melakukan apa saja, bermula dari rasuah, melakukan penyelewengan hinggakan mendapatkan dana dari sember-sumber yang tidak halal, bagi mencapai cita-cita politik mereka.

Banyak maklumat yang diterima, pemimpin pembangkang mendapat sumber dana dari pihak luar yang mahu melihat kehancuran negara Malaysia yang tercinta.

Bahkan, pemimpin pembangkang sanggup menimbulkan suasana huru hara dan keadaan politik tidak stabil dalam negara bagi mendapatkan dana dari luar yang sudah tentu musuh kita semua.

Cuba bayangkan, seorang pemimpin pembangkang boleh mengawal harta yang berjumlah RM3 bilion sejak lebih 10 tahun lalu.

Manakala orang kanan pemimpin pembangkang itu pula mengumpul harta yang jumlahnya berpuluh-puluh juta ringgit ketika dia masih berada dalam kerajaan.

Dari mana mereka mendapat kekayaan luar biasa ini? Itu persoalan yang perlu kita fikirkan bersama.

Ini belum lagi mereka menjadi pemerintah negara ini. Jika pemimpin pembangkang membentuk kerajaan dan mengawal semua projek kerajaan, kita tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi kepada tanah air tercinta ini.

Sudah pasti pemimpin berkenaan akan menjadi kaya raya manakala rakyat menderita. Lebih malang lagi, masyarakat Melayu akan hilang kuasa di bawah pakatan pembangkang yang diterajui oleh DAP.

Di mana letaknya maruah orang Melayu dan umat Islam jika DAP menerajui pemerintahan negara ini?

Itu antara fakta yang perlu kita fikirkan bersama sebelum memberi sokongan kepada Pas, Parti Keadilan Rakyat dan semua parti pembangkang.