Halaman

09 July 2012

Pengusaha bijak tidak gadai kualiti kerja

Oleh; Esah Abdullah

Pemain-pemain dalam sektor pembinaan dan pembekalan yang mampu bertahan lama dalam bidang ini adalah mereka yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada pelanggan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, mereka yang bijak tidak akan mengadaikan kualiti kerja yang diberikan semata-mata untuk mendapat keuntungan sementara.



“Reputasi dan kepercayaan masyarakat terhadap kualiti kerja yang dihasilkan perlu diberi perhatian,” katanya ketika merasmikan Seminar Transformasi Pembinaan dan Pembekalan dan Summit serta Pelancaran T-Hardware di Terengganu Equestrian Resort (TER) hari ini.

Teks Menteri Besar telah dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insfrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato’ Haji Zaaba Mohd Adib.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Landar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera; Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Luar Bandar Kementerian Kerja Raya, Encik Azhar Basiron dan Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Dato’ Izzat Emir.



Katanya salah satu aspek yang perlu diberi perhatian adalah melebarkan aktiviti perusahaan di luar sempadan negara serta lakukan pendekatan untuk membolehkan pengusaha di sektor ini dapat menimba pengalaman dan kepakaran dengan melakukan kerja-kerja di luar negara.

“Perubahan sikap, merubah cara berfikir, bijak mengambil peluang, tidak mengenal putus asa dan sentiasa mengenal pasti potensi yang wujud pasti mampu mencipta lebih banyak kejayaan,” katanya.

Menurutnya, menjadi harapan semua , program sebegini mampu melahirkan usahawan pembinaan dan pembekalan yang kompeten, menguasai ilmu serta berupaya untuk mengeluarkan produk pada harga paling kompetetif.






TNB belanja RM60j untuk penambahbaikan sistem musim Ramadan, perayaan

Oleh: Aida Abd Rahman
Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan penambaikan sistem penjanaan dengan membelanjakan kira-kira RM60 juta khususnya bagi menanggung pertambahan beban tenaga elektrik yang mendadak di seluruh Terengganu sepanjang bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Beban penggunaan keperluan asas itu meningkat lima peratus sehingga mampu mencapai kapasiti maksimum 525 megawatt sepanjang musim berkenaan berbanding pada musim biasa.

Pengurus Besar TNB Terengganu, Haji Md Yuslan Md Yusof, berkata langkah melakukan penambahbaikan sistem bagi mengelak berlakunya gangguan bekalan elektrik akibat penggunaannya yang mendadak di gerai dan bazar Ramadan seluruh Terengganu.

“Sejarah gangguan bekalan elektrik pada tahun lalu (musim Ramadan) kita gunakan data input untuk melakukan penambahbaikan. Bermakna kalau pada tahun ini jika berulangkali berlaku gangguan semasa bulan Ramadan, insya-Allah kita melakukan penambahbaikan supaya tidak berulang kembali pada musim Ramadan akan datang.

“Malah, pertambahan beban yang mendadak (selain bulan Ramadan) apabila hampir menjelang hari raya, apabila anak-anak pulang kampung, melakukan persiapan hari raya membuat kuih dan sebagainya. Masalah gangguan terjadi menyeluruh di seluruh Terengganu, tidak tertumpu hanya pada satu-satu kawasan sahaja,” katanya di sidang media sempena Majlis Program Ramah Mesra TNB Bersama Media, di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Audio Visual Unit Komunikasi Negeri, Kamarudin Mat Akib, ketua biro dan 30 wartawan serta jurugambar media seluruh Terengganu.

Haji Md Yuslan berkata, faktor kepulangan ahli keluarga mendorong kepada peningkatan penggunaan barangan elektrik seperti ketuhar pembakar menjadi antara punca bertambahnya beban penggunaan tenaga itu pada musim berkenaan.





Pelbagai negara minat sertai TIIAF 2012

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri dengan kerjasama Taman Tamadun Islam (TTI) akan menganjurkan `Terengganu International Islamic Arts Festival (TIIAF) 2012’ di TTI, di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Program yang berlangsung selama empat hari dan bermula 14 September itu akan melibatkan 17 negara, termasuk Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Jepun, China, India dan Pakistan.

Pengerusi Jawatankuasa Induk TIIAF yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato' Wan Ahamad Wan Muda, berkata apa yang membanggakan, pakar-pakar seni khat dan pemuzik dari Mesir, Turkey, Syria, Iran, Afrika Selantan dan Sepanyol turut terlibat secara langsung bagi menjayakan festival itu.

Katanya, festival yang akan berlangsung nanti adalah kesinambungan daripada program Inspirasi Seni Khat Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada tahun lepas.

“Sambutan yang diterima pada program itu sangat menggalakkan sehingga mendorong TTI memperluaskan program sama ke peringkat antarabangsa.

“Di samping seni khat yangdiperkenalkan tahun lepas, pengunjung festival kali akan meyaksikan keunikan Muzikhat iaitu suatu konsep persembahan muzik yang digubah dan dialun dengan keindahan seni khat,” katanya.

Menurutnya, batikhat akan diperagakan secara ekslusif kepada orang ramai supaya lebih memahami fungsi dan teknik batikhat.

“Pihak kami berharap dengan adanya festival seumpama ini, ia akan menjadi satu lagi produk pelancongan tersohor seiring dengan acara lain seperti Moosun Cup, Sukan Berkuda dan 4x4 Challange,” katanya.


SMK Keat Hwa juara pancaragam sekolah 2012

Oleh FAUZI MOHD

Persembahan kreatif kumpulan pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keat Hwa, Kedah berjaya memukau penonton sekali gus dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pancaragam Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2012.

SMK Keat Hwa muncul johan selepas mengalahkan tujuh buah sekolah dalam kategori Piala Menteri Pelajaran Malaysia dengan markah 84.45 peratus dalam pertandingan sengit di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.

Pertandingan yang masuk edisi ke-18 itu turut menyaksikan SMK St John, Kuala Lumpur menduduki tempat kedua dengan markah 80.15 peratus dan ketiga, SMK Victoria, Kuala Lumpur (79.65 peratus).

Pasukan yang terdiri daripada 119 peserta itu turut meraih empat lagi anugerah lain iaitu Warna Pasukan Terbaik, Percussion Terbaik, Peralatan Muzik Terbaik dan Kesan Umum Terbaik.

Sementara itu, Drum Major Terbaik disandang peserta SMK St John, Atta Emran Kholid dan Konduktor Terbaik milik peserta SMK Victoria, Amirul Asyraf Abdullah.

Bagi kategori Piala Presiden Persatuan Pancaragam Malaysia, johan disandang kumpulan pancaragam SMK Perlis, Perlis dengan pungutan markah 60.95 peratus menewaskan empat pesaing.

Naib johan diungguli pasukan SMK Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Selangor dengan pungutan markah 55.7 peratus dan tempat ketiga, SMK Derma, Perlis dengan mendapat 54.05 peratus.

Drum Major Terbaik dan Konduktor Terbaik bagi kategori itu dibolot peserta pasukan SMK Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, iaitu Muhamad Fadil Yasin dan Haneesa Abdullah.

Ketua Pasukan pancaragam SMK Keat Hwa, Ang Jia Wei berkata, dia dan pasukannya amat gembira dengan kejayaan itu kerana sekali lagi menjadikan juara pertandingan berkenaan milik pasukan dari Negeri Kedah.

Tahun lalu katanya, pasukan SMK Sultanah Asma dari Kedah muncul juara dan satu lagi kumpulan pancaragam dari negeri itu, Kolej Sultan Abdul Hamid di tempat ketiga.

"Ini merupakan ganjaran hasil disiplin anggota pasukan dan kem latihan yang diadakan seawal dua bulan seisi persekolahan tahun ini untuk melatih anggota pancaragam yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu sehingga tingkatan lima.

"Pengorbanan masa yang dihabiskan di sekolah setiap hujung minggu oleh pelajar, guru dan jurulatih ini akhirnya membuahkan hasil sehingga dapat menggondol juara," katanya kepada pemberita.

Hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang, Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zin. Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran, Mohd. Rashid Mean.

Tiga pasukan tuan rumah turut memberi saingan, SMK Chung Hwa Wei Sin, di sini (Tempat keempat Piala Menteri), SMK Lembah Bidong, Setiu (Tempat ketujuh Piala Menteri) dan SMK Chukai, Kemaman (Tempat Keempat Piala Presiden).



TMT 2013 : Pakat mari Terengganu!

Oleh: Aida Abd Rahman

Simbolik dan imaginatif. Logo Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 hasil kreativiti penuntut Art & Design Universiti Teknologi Mara (UiTM) menterjemahkan identiti dan simbiosis keunikan bumi Terengganu sebagai destinasi pilihan pelancong utama negara.

Logo berkenaan memaparkan ilustrasi penyu sebagai latar utama, selain elemen warna, imej dan grafik menonjolkan tradisi serta warisan negeri khususnya seni ukiran kayu, tembaga, kapal layar, songket mahupun batik, selain dihiasi matahari sebagai lambang keindahan Terengganu yang terletak di pesisir pantai terpanjang di Malaysia.

Tarikan logo yang diangkat sebagai pemenang utama pertandingan bertemakan `Aspirasi Darul Iman- Satu Idea Seribu Harapan' bakal digunakan secara meluas dalam usaha kerajaan negeri mencapai sasaran kehadiran empat juta pelancong ke bumi Darul Iman sepanjang tahun depan.

Jika 3.8 juta pelancong mengunjungi Terengganu tahun lalu, manakala sasaran 3.9 juta pelancong pada tahun ini, pastinya sasaran kenaikan 0.1 peratus pelancong sepanjang 2013 turut menuntut komitmen padu semua pihak khususnya penggiat pelancongan di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata kerajaan negeri menjangkakan perbelanjaan bagi menjayakan TMT 2013 bertambah sekali ganda berbanding penganjuran TMT 2008 berikutan kos promosi, tambang penerbangan serta syarikat perunding yang semakin meningkat.

“Jika kos TMT 2008 memperuntukkan RM14 juta, kerajaan negeri menjangkakan kemungkinan perbelanjaan meningkat sekali ganda lagi bagi merealisasikan hasrat dan hala tuju TMT 2013 untuk menjual nama Terengganu ke serata dunia,” katanya kepada media di pejabat beliau, baru-baru ini.

Susulan itu, beliau berkata kerajaan sentiasa mencari peluang bagi menyertai sebarang usaha promosi di ekspo dan pameran pelancongan di dalam dan luar negara melalui Tourism Malaysia, termasuk menyertai MATTA Fair Kuala Lumpur, Malaysia International Dive Expo Kuala Lumpur, NATAS FAIR Singapore, ITB Berlin, World Trade Market London, Shanghai Travel Expo China, Beijing International Travel Fair China dan Korea World Tourism Fair Seoul.

Selain memberi tumpuan kepada penganjuran acara pelancongan berasaskan destinasi seperti Kapas - Marang International Swimathon, Fiesta Candat Sotong, Kenyir Cup, Perhentian Island Challlenge, Kenyir Lake International Triathlon dan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun, kerajaan negeri yang menggariskan 27 acara utama TMT 2013, turut melakukan nilai tambah di beberapa pusat pelancongan yang menjadi tarikan utama pelancong ke negeri ini.

Membuka tirai kesemua acara utama dalam kalendar TMT adalah Karnival 1Malaysia Tahun Baru Cina, Kuala Terengganu (Januari), diikuti Le Tour De Langkawi 2013 yang melibatkan seluruh daerah di negeri ini pada Februari hingga Mac.

Manakala International Terengganu Starhill 4X4 Challenge 2013 (pinggiran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak), Kenyir Lake International Triathlon 2013 (Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir) dan Cabaran Reka Cipta Islam dan Perasmian Kincir Air Taman Tamadun Islam (TTI) sepanjang Mac.

“Kemudiannya pada April akan berlangsung Bidong Underwater & Land Challenge (Pulau Bidong), Petronas Cub Prix (Kompleks Sukan Gong Badak), Boat On The Road (Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu), Terengganu World Invitational Jetrace Chellenge 2013 (Pantai Batu Buruk,Kuala Terengganu) dan Kapas-Marang International Swimathon 2013 (Pantai Kelulut, Marang),” katanya.

Dato’ Abdul Rahin berkata, sebahagian lagi program TMT bermula Mei termasuk Pelancaran Karnival Candat Sotong Harian Metro 2013, ( Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu), Karnival GP Joran 2013 (Pantai Teluk Lipat, Dungun) dan Pesta Pantai Terengganu 2013 pada Mei hingga Jun.

“Pesta Pantai pada musim depan akan diadakan di jajaran pantai dan kerajaan negeri bersetuju untuk menganjurkan program untuk rakyat itu di Pantai Mengabang Telipot, Batu Rakit, Kuala Terengganu, di mana sinonim dengan tradisi acara itu sendiri yang bermula di kawasan pantai,” katanya .

Pada Jun, acara Terengganu International Islamic Art Festival (TTI), International Tebu Mountain Challenge 2013 (Hutan Lipur Air Terjun Chemerong), menjelang Ogos pula diadakan Pertandingan Pelita Raya 2013 (Tepoh, Kuala Terengganu), diikuti Larian Jambatan Sultan Mahmud (penamat di Pantai Batu Buruk.)

Sementara sepanjang Oktober hingga Disember pula, Piala Sultan Mizan (Lembah Bidong, Setiu), International Perhentian Island Challenge, Kenyir Cup, Terengganu Eco & Marine Tourism Conference, Terengganu Quiksilver Best Event Surfing Contest 2013 (Pantai Batu Buruk) serta Kejohanan kapal Layar Piala Monsun 2013 (Pulau Duyong) dan Chemerong International Challenge (Hutan lipur Chemerong, Dungun) menutup tirai acara TMT 2013.




Puteri tangkis isu melalui siber

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Puteri UMNO memberi tumpuan lebih kepada penulisan siber yang membuka ruang lebih luas kepada mereka menepis tomahan dan fitnah parti pembangkang terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Dato’ Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, 80 peratus anggota Pergerakan Puteri menguasai taknologi maklumat dan ini memudahkan mereka menangkis sebarang isu yang ditimbulkan berdasarkan fakta yang tepat.

“Pilihan raya kali ini adalah luar biasa dan semua petugas Puteri diminta berfikir dan bertindak diluar kotak untuk berhadapan dengan pihak pembangkang,” katanya di majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Katanya, Puteri tidak mahu membina kekuatan hasil fitnah sebaliknya berdasarkan fakta yang sahih dan bahan berkenaan perlu diperolehi daripada sumber yang betul.

Menurutnya, Puteri mewujudkan kumpulan tertentu yang memberi fokus sepenuhnya kepada penulisan siber dan mereka yang lain berperanan memantau cerita atau tuduhan isu dibangkit pembangkang.

Beliau juga melahir rasa bangga kerana pergerakan tersebut reaktif terhadap isu yang dibangkitkan terutama yang membabitkan parti.




Sukma Pahang : Ummi raih emas kelima Terengganu

Atlet Terengganu Ummi Hamimah Mohamad dan Mohd Fattah Amri Zaid dari Kedah mencipta kejutan apabila menundukkan peserta pilihan untuk meraih emas acara 200m pecut wanita dan lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Temerloh, semalam (8 Julai).

Ummi Hamimah,18, mengalahkan peserta yang lebih senior daripadanya Jupha Somnet dari Perlis dengan kiraan mata 2-0 manakala Mohd Fattah mengatasi prospek emas Muhd Arfy Qhairant Amran dari Melaka 2-1 dalam pusingan akhir.

Menurut Ummi Hamimah, 18, berkata beliau mengakui sukar untuk menang ke atas Jupha yang lebih berpengalaman daripadanya.

"Saya sangat gembira. Jurulatihlah yang banyak memberi cadangan dan pandangan dalam menghadapi perlawanan akhir menentang Jupha tadi. Hasil daripada strategi yang diaturnya saya dapat mencapai kejayaan ini," katanya.

Pelumba berasal dari Dungun itu turut mendedikasikan kemenangan tersebut kepada ibunya Rozita Chik yang menyambut harijadinya hari ini.

Sementara itu, Mohd Fattah, 20, berkata perlumbaan di atas jalan raya lebih mencabar berbanding di dalam velodrome memandangkan pelumba tidak boleh menggunakan kelebihan ranking.

"Taktik lebih penting dalam perlumbaan seperti ini. Kita perlu pandai menggunakan fikiran sendiri untuk memenangi perlumbaan," kata pemuda dari Alor Setar itu.

Beliau berkata sokongan keluarganya yang datang dari jauh telah menaikkan semangatnya untuk tidak berputus asa ketika terikat 1-1 dengan Muhd Arfy Qhairant.

Beliau juga amat terharu dan bangga dengan kemenangan tersebut setelah sekadar memperoleh perak pada Sukma Terengganu 2008 dan Sukma Melaka 2010.

(Untuk rekod pada Sukma 2011 di Kuala Lumpur acara berbasikal diadakan di dalam trek velodrome.)

Gangsa bagi kategori wanita dan lelaki menjadi milik Lauretta Eva Adrian dari Sabah dan Muhamad Fakhruddin Daud@Dawod dari Johor.






JR jalan tugas pemutihan

Oleh; Esah Abdullah

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan rasa bangga kerana mempunyai barisan jentera Wanita yang setia terhadap parti yang memerintah negara.

Katanya, sokongan padu yang ditunjukkan Wanita Umno dan MIC, MCA dan Gerakan memberi semangat kepadanya untuk terus pertahankan kepentingan parti demi agama, bangsa dan negara.

“Usaha mereka (pembangkang) yang cuba memutarbelitkan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) untuk mengheret saya ke dalam kontroversi ternyata sia-sia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir di Program Pemantapan Jentera Jalinan Rakyat (JR) Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) Kuala Terengganu.

Hadir sama, Setiausahanya, Dato’ Rosni Sohar; Ketua Penerangan Dato’ hamidah Othman dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat.

“Saya bersyukur kerana masih diberi kepercayaan dan mendapat sokongan padu daripada Wanita Umno dan akan terus memperjuangkan kepentingan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Shahrizat mengingatkan JR sentiasa memantau dakyah pembangkang yang cuba mengelirukan rakyat terutama di kampung-kampung.

“JR telah menjalankan tanggung jawabnya dengan ikhlas dan jujur demi memenangkan parti dan usaha pemutihan diteruskan sehingga tarikh pilihanraya diumumkan,” katanya

Beliau kemudiannya menerima senarai nama JR daripada Datuk Hajah Fatimah disaksikan kira-kira 1,200 JR seluruh negeri.




TSG giat jalani latihan

Pasukan Lumba Basikal Profesional, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) akan mengadakan latihan pada sebelah malam sepanjang Ramadan ini sebagai persediaan menghadapi Tour of China dan Tour of Brunei pada September.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Hadi Hassan berkata TSG akan menyertai kedua-dua kejohanan itu sebelum menutup tirai aktivitinya tahun ini.

"Sepatutnya kita menyertai empat kejohanan sebelum melabuhkan tirai aktiviti tahun ini tetapi kita terpaksa menolak dua lagi acara iaitu Tour of Hokkaido, Jepun dan Tour of East Java, Indonesia," katanya.

Hadi berkata kejohanan Tour of China akan diadakan dalam dua peringkat iaitu peringkat pertama dari 7 hingga 12 Sept manakala peringkat kedua pula daripada 23 hingga 25 September.

Tour of Brunei berlangsung dari 26 hingga 29 September dan TSG akan menghantar pelumba ke kedua-dua kejohanan itu masing-masing tujuh dan enam orang.

Katanya mereka akan menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih dari Itali Sebastian Duclos.

Hadi berkata TSG telah menyertai 12 kejohanan di peringkat antarabangsa tahun ini termasuk dua di Malaysia iaitu Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Jelajah Malaysia di Kota Bharu, Kelantan


08 July 2012

Kerajaan negeri sokong penganjuran TIIAF 2012

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri sentiasa aktif dan fokus dalam memajukan pelbagai sektor terutama yang mampu memberi faedah secara terus kepada rakyat dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata atas faktor itu, pihaknya memberi sokongan penuh terhadap penganjuran `Terengganu International Islamic Arts Festival (TIIAF) 2012’ kerana menyedari ia akan memberi pulangan jangka panjang kepada pelbagai pihak.

“Hasil yang bakal diperoleh bukan hanya sekadar membawa pulang dari segi eknomi semata-mata, bahkan mampu menyumbang kepada penyuburan dan pembangunan modal insan negeri,” katanya ketika mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan Majlis Pelancaran Awal TIIAF, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Induk TIIAF yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato' Wan Ahamad Wan Muda.

Tetamu kehormat lain Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato' Haji Osman Muda; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato' Haji Adzlan Mohd Dagang dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Jelajah TIIAF 2012, akan mula bergerak pada 11 Julai dan berakhir 19 Julai itu akan singgah di destinasi-destinasi terpilih di semua negeri dengan menaiki enam kenderaan pancuan empat roda bersama 20 peserta.

TIIAF 2012 pula akan bermula 14 hingga 17 september ini di TTI dengan melibatkan penyertaan 17 negara Asia Tenggara, termasuk Jepun, China, India, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Katanya, dia difahamkan, pihak Taman Tamadun Islam bakal menjalin kolaborasi dengan Pusat Penyelidikan Sejarah, Kesenian dan Kebudayaan Islam Dunia (IRCICA) Turki bagi memasarkan produk dan program TTI di serata negara.

“Dengan kolaborasi itu, kita berharap TTI akan terus gemilang sebagai pusat dan gedung Ilmu bersifat antarabangsa,” katanya.