Halaman

19 July 2012

NGO terharu terima sumbangan

Oleh: Suriati Ali
GAMBAR : ZULKIPLI PUTRA

Majlis Perundingan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu terharu di atas kesudian kerajaan negeri yang menghulurkan peruntukan RM2 juta kepada majlis itu untuk diagihkan kepada ratusan NGO.

Pengerusi Jawatankuasa Induk itu, YB Senator Haji Abdul Rahman Bakar, berkata melalui peruntukan itu, setiap NGO layak menerima sumbangan antara RM2,000 hingga RM4,000.

Katanya, pengagihan sumbangan kepada NGO di seluruh negeri itu bergantung kepada jumlah ahli dan peranannya.

“NGO yang aktif dengan pelbagai program kebajikan masyakat, sukan dan aktiviti ilmiah diberi kelebihan dengan mendapat sumbangan maksimum sebanyak RM4,000 bagi setiap NGO.

“Mana-mana NGO yang aktif dan belum memperoleh runtukan seumpama ini, mereka boleh berurusan denga pihak majlis dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program NGO Dihatiku di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Program yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat itu turut dihadiri penceramah khas yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato' Wan Ahamad Wan Muda dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Lebih 2,000 peserta yang juga ahli NGO hadir pada program yang bertujuan memupuk semangat berpersatuan dan menjalin hubungan silaturahim antara pemimpin negeri.

Senator Haji Abdul Rahman turut memberitahu setiap NGO yang wujud di mana-mana daerah merupakan tulang belakang kepada kerajaan negeri dalam membantu pelbagai kejayaan sama ada berkaitan pendidikan, sumber manusia dan sukan.

“Tiada tiada NGO mungkin sukar untuk rakyat berhubung mengenai pelbagai perkara dan kemudahan,” katanya.



NGO diminta jangan jadi topeng pembangkang

Oleh: Suriati Ali
GAMBAR: ZULKIPLI PUTRA



Kerajaan negeri kesal dengan sikap pembangkang yang gemar menjadikan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai perkakas dan topeng untuk menonjolkan diri sendiri kononnya pembela bangsa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata apabila berjaya memikat hati NGO, pelbagai hasutan dan fitnah keji dileparkan supaya pihak itu membenci kerajaan mentadbir.

Katanya, budaya seumpama ini boleh melumpuhkan usaha murni kerajaan yang sememang serius ingin membantu masyarakat dalam pelbagai aspek.





“Mana-mana ahli NGO diminta menjauhi kelompok manusia dikesan mahu menghasut dan mengkhianati agenda kerajaan kerana tiada kesan positif diperoleh sebaliknya memberi kesan buruk pada diri sendiri,” katanya.

Teks ucapan Menteri Besar dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat pada Majlis Perasmian Program NGO Dihatiku di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Perundingan NGO Negeri Terengganu, YB Senator Haji Abdul Rahman Bakar; penceramah khas yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato' Wan Ahamad Wan Muda dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Lebih 2,000 peserta yang juga ahli NGO hadir pada program yang bertujuan memupuk semangat berpersatuan dan menjalin hubungan silaturahim antara pemimpin negeri.


Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu walaupun pertubuhan bukan kerajaan terikat dengan pelbagai undang-undang dan akta yang dikenakan, namun tidak menghalang pertubuhan u\itu untuk bergerak aktif.

Katanya, tidak semua pertubuhan bukan kerajaan yang ada sekarang bersifat `anti estalishment’ sebaliknya banyak daripada mereka berkerjasaa dengan kerajaan.
“Kehadiran pertubuhan bukan kerajaan dalam persekitaran masyarakat tidak harus dipandang mudah.

“Pertubuhan ini mampu berfungsi dsebagai sebuah parti politik yang dapat mambatu menyelesaikan masalah masyarakat,” katanya.



Sultan Terengganu lancar Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan.

Oleh; Esah Abdullah

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah meluluskan penubuhan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan.

“Beta juga menghargai sokongan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili yang berusaha untuk merealisasikan penubuhan yayasan ini,” titah Baginda di majlis Pelancaran Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini (19 Julai).

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili; Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Naib Canselor UMT Prof Dato' Dr. Ibrahim Komoo.



“Beta berbangga yayasan ini dilancarkan setelah genap tujuh bulan selepas lawatan Beta ke Antartika iaitu pada November 2011 dan ini menunjukkan komitmen serta sokongan ikhlas daripada kerajaan terhadap program penyelidikan Antartika oleh rakyat Malaysia,” titah Baginda.

Sultan Mizan Zainal Abidin kemudiannya mengesa pihak-pihak lain dalam sektor swasta untuk menyokong dan bekerjasama dengan yayasan itu dalam usaha untuk meningkatkan penyertaan Malaysia dalam penyelidikan saintifik di Antartika.

Titah Baginda kewujudan yayasan ini untuk memberi ruang bagi pembiayaan penyelidikan di Antartika di samping menyediakan peluang untuk menjalankan penyelidikan saitifik yang bermanfaat kepada manusia.

“Antartika merupakan makmal asli yang penting dan membolehkan penyelidik untuk mengesan dan memantau fenomena alam sekitar di peringkat global seperti penipisan ozon atmosfera, pemanasan global serta perubahan paras laut,”.

“Beta gembira melihat adanya rakyat negara ini sudah memulakan usaha untuk membongkar misteri saintifik yang tersembunyi di benua sejuk itu dan berharap lebih ramai lagi terutama penyelidik muda menyertai usaha ini,” titah Baginda.



Sultan Mizan Zainal Abidin kemudiannnya berkenan menyampaikan Anugerah Penyelidikan Antartika Sultan Mizan kepada tiga orang penyelidik iaitu Dr. Wan Mohd Rauhan Wan Hussin (UMT); Dr Chong Chur Wie (Internasional Medical Universiti) dan Abiramy a/p Krishnan (UMT).






Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan terima suntikan dana lebih RM12 juta

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan terima suntikan dana lebih RM12 juta bagi membiayai penyelidikan Antartika serta aktiviti yayasan itu.



Kerajaan Malaysia telah menyumbangkan RM10 juta dan dana sepadan dengan jumlah maksima RM500,000 setiap tahun manakala kerajaan Terengganu RM2 juta dan selebihnya daripada Universiti Teknologi Malaysia (UMT) RM100,000 dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) RM50,000.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Seri Panglima Maximus Johnity Ongkili berkata, penubuhan yayasan ini mengambarkan komitmen dan sokongan kerajaan terhadap penyelidikan sains di Antartika dan Artik serta pembangunan sains global di negara ini.

Katanya, kehadiran Malaysia secara berterusan untuk menjalankan penyelidikan asas bagi menghasilkan pengetahuan baru adalah selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi masyarakat berilmu.



“Saya amat berbangga kerana yayasan ini adalah yang pertama ditubuhkan di negara ini bagi membantu aktiviti-aktiviti penyelidikan sains kutub,” katanya di majlis Pelancaran Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini (19 Julai).



Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan pelancaran itu. Berkenan berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah; Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Naib Canselor UMT, Prof Dato' Dr. Ibrahim Komoo.

Menurutnya, pada Oktober tahun lalu, Malaysia telah menandatangani Antarctic Treaty System (ATS) 1959 dan menjadi ahli Madrid Protocol yang memberi rangka kerja bagi pengurusan dan pentadbiran Antartika serta kerjasama antara semua pihak dan ahli ATS.

Katanya, penyertaan Malaysia dalam ATS memberi peluang yang sangat luas kepada para saintis negara ini untuk menyertai komuniti penyelidikan antarabangsa dalam sains Antartika melalui Badan Bertindak Antartika dan Pusat Penyelidikan Antartika Nasional bertempat di Universiti Malaya sebagai pusat rujukan penyelidikan saintis Malaysia.

Katanya, sejak ia dimulakan (1999) hingga kini sebanyak 31 projek penyelidikan dalam beberapa bidang termasuk sains atmosfera, polar mikrobiologi, ekologi, remote sensing, geo sains, dasar dan pengurusan Antartika berjaya dilaksanakan oleh penyelidik negara.

“Manakala sebanyak 151 penerbitan saintifik telah dihasilkan dan 105 graduan dan graduan lanjutan telah mendapat latihan dalam program ini,” katanya.

Dato’ Seri Panglima Dr. Maximus menyarankan kerajaan-kerajaan negeri,sektor swasta dan individu untuk tampil kehadapan dan bekerjasama dengan yayasan dari segi sumbangan dana dan sokongan terhadap aktiviti-aktiviti yayasan,” katanya.




TMT 2013 mampu tarik empat juta pelancong

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA



Kerajaan Terengganu optimis mampu mencapai sasaran empat juta pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 menerusi tarikan 27 acara pelancongan bertaraf dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata sasaran itu dibuat berdasarkan peningkatan purata tahunan kedatangan pelancong ke negeri itu sebelum ini.

"Biasanya, peningkatan kedatangan pelancong ini adalah antara lima hingga 10 peratus setiap tahun dan kita yakin dengan promosi besar-besaran serta kerjasama yang melibatkan ramai penggiat dan agensi pelancongan, TMT 2013 bakal mencatat kenangan manis untuk industri pelancongan Terengganu.

"Namun, perlu diingat semua ini hanya akan tercapai dengan penglibatan semua pihak, termasuk rakyat Terengganu supaya kenangan percutian ke negeri ini menjadi memori terindah bagi setiap pelancong," katanya selepas merasmikan pelancaran logo TMT dan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mencipta logo TMT di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Wan Ahamad Wan Muda.

Dato’ Abdul Rahin berkata penganjuran TMT pada tahun 1997 dan 2008 telah merekodkan peningkatan kedatangan pelancong sebanyak 50.4 peratus (1997) dan 23 peratus (2008) berbanding tahun sebelumnya.

"Kadar penginapan pelancong luar di hotel-hotel sekitar Terengganu kini meningkat kepada 71 peratus berbanding sekitar 14 peratus tahun lalu di mana kadar penginapan di hotel hanya 50 peratus.

"Oleh yang demikian, kita berharap agar TMT 2013 ini akan memberi limpahan rahmat secara tidak langsung bagi semua penduduk Terengganu, khususnya dalam menjana ekonomi setempat," katanya.

Di majlis itu, pelajar jurusan Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Siti Nazira Abdul Rahman, 23, yang muncul pemenang utama mencipta logo TMT 2013 turut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.




Latihan pembuatan kek, roti untuk 40 anak asnaf Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bakal menempatkan 40 orang anak-anak golongan asnaf di seluruh Terengganu bagi mengikuti latihan membuat kek dan roti di pusat latihan pembuatan makanan itu, di Marang bermula September ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Dato’ Senara Muda,
Dato’ Mazlan Hashim, berkata pembiayaan pelajar ke pusat latihan di bawah fisabillah dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia dan Pusat Giat Mara menjadi program perintis dan pertama seumpamanya di negara ini yang dilaksanakan badan agama itu.

“Bangunan bagi menempatkan pusat latihan yang pertama seumpanya di negara ini itu akan siap tidak lama lagi dan menjelang September ini, 40 peserta dari kumpulan pertama akan mula mengikuti latihan di situ selama enam bulan.

“Untuk pengambilan pertama, kita menetapkan pelajar dari golongan asnaf yang terdiri daripada 100 peratus anak Terengganu, manakala pengambilan berikutnya barulah kita membuka peluang kepada rakyat negeri lain. Bagaimanapun, 70 peratus daripada mereka kita masih kekalkan anak Terengganu,” katanya.

Dato’ Senara Muda berkata, usaha Maidam itu sebagai satu peralihan fokus dalam membantu golongan miskin dengan memberi tumpuan kepada bimbingan, latihan dan juga pendidikan sebagai persiapan memajukan diri.

Katanya, Maidam mahu generasi kedua penerima bantuan Maidam mampu menggunakan kemahiran yang ada untuk memastikan mereka mampu keluar dari paras kemiskinan.

“Jika kita memberi bantuan kewangan, wang berkenaan akan habis belum sempat melakukan apa-apa lagi. Bagaimanapun, jika dengan adanya kemahiran itu nanti, mereka dapat melaksanakan kemahiran itu untuk meningkatkan taraf kehidupan supaya lebih selesa tanpa bergantung kepada bantuan orang lain lagi satu masa nanti," katanya.




Wakil rakyat ‘bapa angkat’ setiap acara sukan beri kesan positif

Oleh FAUZI MOHD
Gambar ZULKIPLI PUTRA


Kerajaan negeri akan meneruskan program pelantikan bapa angkat bagi memegang setiap satu acara pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) sebagaimana dilakukan pada Sukma ke-15 Pahang baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pelantikan bapa angkat itu dilakukan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen dilihat memberikesan yang sangat positif kepada pencapaian cemerlang atlet yang bertanding pada Sukma edisi kali ini.


"Justeru itu, kita sebulat suara akan teruskan program ini untuk edisi Sukma seterusnya," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu semalam.

Pada majlis itu, kontinjen Sukma Terengganu turut diraikan dengan penuh gemilang oleh lebih 5,000 hadirin dan peminat yang membanjiri dataran itu.

Dato’ Seri Ahmad berkata, program perlantikan bapa angkat itu akan dilakukan lebih awal menjelang Sukma ke-16 di Perlis pada 2014 bagi membolehkan mereka bersama membuat perancangan dengan lebih teliti berhubung sasaran kutipan pingat, latihan dan sebagainya.

"Idea pelantikan bapa angkat dalam kalangan wakil rakyat ini hadir menerusi perbincangan bersama dengan pegawai Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk terus meningkatkan kecemerlangan sukan di negeri ini.

"Kita lihat dengan adanya bapa angkat ini, ia telah menunjukkan graf kemajuan yang memberangsangkan walaupun kita melantik mereka (bapa angkat) dalam jangka masa singkat sebelum atlet bertolak ke Pahang pada ketika itu," katanya.


Pelantikan bapa angkat dengan lebih awal itu nanti mampu memberi peluang kepada wakil rakyat untuk turut sama mengalas tanggungjawab bermula daripada sesi pemilihan atlet sehinggalah ke sesi latihan serta meletakkan sasaran pingat dalam acara sukan masing-masing.

"Justeru, kita mahu wakil-wakil rakyat ini nanti turut menggalas cabaran terlibat secara langsung untuk terus memajukan acara sukan yang di pimpin mereka.

"Begitupun kita juga akan terus meningkat pembangunan sukan-sukan lain yang agak ketinggalan seperti akuatik, gimrama, badminton dan sebagainya. Melalui sukan-sukan ini, kita sedikit ketinggalan dari segi kutipan pingat sepanjang Sukma ke-15," katanya.




18 July 2012

MAJLIS PELANCARAN LOGO TAHUN MELAWAT TERENGGANU 2013

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA









RM830,000 pengisian Ihya Ramadan

Oleh; Fauzi Mohd dan Esah Abdullah
Gambar ZULKIPLI PUTRA




Kerajaan Terengganu menyalurkan peruntukkan sebanyak RM830,000 kepada masjid dan surau di negeri ini bagi merangsang pengisian program Ihya Ramadan tahun ini.

Peruntukkan itu disediakan bagi membolehkan lebih banyak aktiviti berkaitan diatur bagi mengimarahkan sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukkan tersebut diharap dapat mengukuhkan tabung masjid dan surau bagi membantu pentadbiran institusi berkenaan menyemarakkan kedatangan Ramadan.

Katanya, walaupun peruntukan diberi namun ahli jawatankuasa masjid dan surau janganlah semata-mata bergantung kepada sumbangan yang dihulurkan.


''Belanjalah duit tabung yang sememangnya ada di samping berusaha meningkatkan lagi tabungan masing-masing," katanya semasa melancarkan Program Ihya Ramadan Peringkat Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini (18 Julai).

Hadir sama, Pegawai Kewangan, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan timbalannya YB Haji Muhammad Ramli Noh dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Haji Mohd. Rozali Salleh.

Katanya, Terengganu sebenarnya negeri pertama merintis pelaksanaan penyelarasan dan pelancaran Ihya Ramadhan Peringkat Negeri setelah dimulakan sejak tahun 2006.


Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan cek melalui JHEAT kepada masjid dan surau di seluruh negeri berjumlah RM337,000.

Selain itu, sumbangan untuk tabung masjid dan surau sempena Ramadan turut disampaikan kepada setiap Pejabat Agama Daerah iaitu RM127,000 kepada Kuala Terengganu, Kemaman (RM50,000), Dungun (RM47,000), Besut (RM83,000), Hulu Terengganu (RM80,000), Marang (RM53,000) dan Setiu (RM53,000).



Yayasan Islam Terengganu (YIT) turut menyampaikan sumbangan 6,000 naskah al-Quran kepada masjid dan surau seluruh negeri serta 2,500 naskah lagi untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah di Terengganu.

Di samping itu katanya, 20 orang Imam daripada Arab Saudi termasuk 10 dari Masjidil Haram sekali lagi akan dibawa ke Terengganu bagi memimpin solat terawih sepanjang Ramadan ini.

“Maklum balas daripada orang ramai, laporan JHEAT cukup menggalakkan daripada jemaah dan pengurusan masjid kerana mereka mempunyai kualiti taranum yang baik serta memberi kelainan kehadiran bulan yang mulia ini,” ujarnya.






Insentif tambahan RM10,000 untuk Olahragawan Sukma

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA



Kerajaan negeri mengumumkan insentif tambahan RM10,000 kepada Olahragawan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang, Abdul Mubin Rahim, 21, sebagai penghargaan selepas kejayaan meraih anugerah istimewa itu di temasya sukan berprestij negara, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata hadiah berkenaan sebagai mengiktiraf kegemilangan anak kelahiran Seberang Takir, Kuala Terengganu itu selepas mencipta kejutan dengan memecah rekod kebangsaan acara angkat berat yang dipegang Martin Guntali dari Sabah, sembilan tahun lalu.

“Sebagai menghargai kejayaan atlet terbaik kita (Abdul Mubin) kerajaan negeri memutuskan menerusi Mesyuarat Exco yang baru selesai tadi untuk menyumbang kepada Abdul Mubin sebanyak RM10,000,” kata beliau ketika berucap di Majlis Sambutan Kejayaan Atlet dan Pegawai Sukma Ke-15 Pahang, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, imbuhan tambahan kepada Abdul Mubin itu akan diserahkan bersama insentif kemenangan kepada semua atlet dalam majlis khas sebelum Hari Raya Aidil Fitri nanti.

“Kita juga bersetuju untuk mengagihkan insentif kemenangan kepada setiap atlet, masing-masing RM5,000 untuk setiap pingat emas, RM3,000 (perak) dan pingat gangsa RM2,000 dalam tempoh dua minggu hingga 10 hari sebelum menjelangnya Hari Raya (Aidil Fitri) nanti sebagaimana yang diinginkan oleh mereka (atlet),” katanya.

Katanya, pihaknya juga bersedia menimbang permohonan tanah oleh atlet yang berusia 18 tahun ke atas mengikut prosedur biasa yang bergantung kepada kekosongan lokasi tanah berkenaan.

Sempena kejayaan `luar biasa’ Terengganu dengan merangkul 62 emas melepasi sasaran awal 47 emas yang ditetapkan sebelum ini, Menteri Besar turut mengumumkan Ahad ini, 22 Julai 2012, sebagai cuti umum di Terengganu.

Menurutnya, pengisytiharan cuti umum itu juga sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Terengganu yang menyokong atlet Sukma negeri sehingga berjaya melakar kejayaan gemilang di pentas sukan negara.