Halaman

25 July 2012

Selamat berpuasa -YB Khazan

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Kazan Che Mat mengucapkan selamat bulan Ramadhan yang mulia kepada semua rakyat Terengganu, khususnya para pelayar blogteganukita.blogspot.com.

Beliau berdoa dan mengharapkan mudah-mudahan puasa dan ibadah-ibadah kita di sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini diterima oleh Allah s.w,t.

“Selamat hari raya Aidilfitri daripada saya dan keluarga, maaf atas segala salah dan silap selama ini,” katanya kepada Teganukita.

Beliau meminta kepada mereka yang berada jauh di perantauan dan ingin pulang ke kampung supaya berhati-hati sewaktu berada di jalan raya dan mematuhi segala peraturan ditetapkan.

“Jangan jadikan hari raya hari yang duka, biarlah keluarga di kampung menerima kita dalam keadaan selamat,” ujar beliau





Sedia RM8.7 juta untuk pelajar sambung belajar

Oleh: Suriati Ali
Gambar ZULKIPLI PUTRA

Kerajaan negeri memperuntukan kira-kira RM8.7 juta bagi membantu 11,316 pelajar seluruh Terengganu melanjutkan pelajaran ke pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta sepanjang tahun ini.

Melalui peruntukan itu, seramai 5,594 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah layak menerima sumbangan sebanyak RM1,000 seorang; 1,344 pelajar diploma (RM750 seorang), 1,986 pelajar matrikulasi (RM500) dan seramai 2392 bagi pelajar sijil dan Sekolah Berasrama Penuh masing-masing memperoleh RM500.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata seramai 5,257 pelajar sudah pun menerima sumbangan masing-masing pada Jun lalu manakala selebihnya iaitu 6,059 akan menerimanya dalam tempoh terdekat.



“Kerajaan negeri sanggup melakukan apa saja semata-mata mahu melihat anak didik Terengganu terus cemerlang mencipta nama di serata negeri dan negara.

"Oleh itu apa yang kurang kita tambah, termasuk menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1.2 juta kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu bagi melaksanakan program,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu kerajaan negeri cukup bangga kerana apa yang disumbangkan kepada pelajar sebelum ini mula menampakkan hasil yang membanggakan sama ada dalam bidang pendidikan mahupun sukan.





JKKK bawa hidangan berbuka puasa di rumah Ahli Exco Kerajaan Negeri


YB Dr A Rahman menadah doa sebelum berbuka puasa di rumahnya semalam


Oleh: Mohammad Ishak 


Tradisi membawa hidangan masing-masing ke majlis berbuka puasa rumah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar, di pekan Kuala Besut petang semalam amat menari dan mempunyai kelainan tersendiri. 


Ini kerana tuan rumah tidak menyediakan hidangan jamuan berupa lauk atau kuih sebaliknya ia dibawa sendiri oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan DUN Kuala Besut. 


Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, tradisi itu sudah dilakukan sejak tiga tahun lalu oleh JKKK di kawasan berkenaan dan ia dilihat sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan semangat kerjasama penduduk dengan pemimpin. 


Katanya, program itu pada awalnya mungkin dianggap menyusahkan JKKK tetapi ia sebenarnya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak termasuk NGO lain yang datang embawa hidangan. 


Bagi menjayakan majlis itu DR A Rahman turut mengeluarkan seikit peruntukan kepada JKKK terbabit bagi menampung kos menyediakan hidangan untuk dijamu kepada jemputan yang hadir. 


Katanya, beliau hanya menyediakan kanopi dan kemudahan lain selain seikit tempahan nasi untuk dijamu kepada orang ramai yang berpeluang hadir. 


Majlis berbuka puasa yang diadakan di rumah beliau semalam sekali lagi membuktikan kaedah itu berjaya menarik minat penduduk dan ramai yang menghadiri majlis berkenaan. 


Beliau mengucapkan penghargaan terima kasih kepada semua JKKK terbabit yang menjayakan perogarm itu malah akan meneruskan lagi tradisi membawa hidangan apabila tiba Ramadan tahun hadapan.

Puasa merawat sifat keras hati

Oleh; Esah Abdullah

Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan keterlaluan. Justeru pensyariatan puasa dapat mendidik jiwa dan mengurangkan sifat tersebut.

Pendakwah Bebas, Dr. Zukfifli Mohamad Al-Bakri berkata, antara asas penting yang membangunkan masyarakat Islam ialah sifat kasih sayang di kalangan mereka.

“Terdapat kalangan orang kaya tidak dapat merasai dan menghayati kasih sayang yang sebenar terhadap orang miskin tanpa merasai sendiri keperitan dan kesempitan hidup dan kepahitan diburu kelaparan,” katanya di Seminar Khas ‘Ramadan Bulan Transformasi Keluarga’ di Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) hari ini (25 Julai).

Seminar anjuran Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam JHEAT menampilkan Dr. Zulkifly Muda selaku moderator. Hadir sama Timbalan Pesusuhjaya Khidmat Pengurusan JHEAT, Encik Mohamad Daud dan Ketua Penolong Pesuruhjaya Undang-undang Keluarga Islam, Encik Ismail Abdul Ghani.

Katanya, bulan puasa adalah waktu terbaik bagi golongan yang kaya dapat mengalami perasaan orang miskin dan puasa juga adalah dorongan terbaik menimbulkan perasaan kasih sayang dan simpati di dalam jiwa.

“Mengikut sebuah hadis, syaitan berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut perjalanan darah. Justeru hendaklah kamu sempitkan perjalanannya dengan cara berlapar,” katanya.

Katanya, ini bermakna orang yang berpuasa tidak terpengaruh dengan pujuk rayu syaitan tetapi mempunyai tahap keimanan yang kukuh lagi ampuh untuk menghadapai segala tribulasi kehidupan.

“Uniknya puasa dapat menyembuhkan dua penyakit iaitu rohani dan jasmani dan apa pun ibadat yang dilakukan seseorang tetap akan menyebabkan dirinya lebih hampir kepada Allah SWT,” katanya.




Erni belayar 52 hari kelilingi negara Asean

Oleh: Aida Abd Rahman
Keupayaan menempatkan diri sebagai wakil tunggal dari Terengganu untuk mewakili Malaysia menyertai Program Pelayaran Untuk Belia Timur Selatan Asean (SSEAYP 38) tahun lalu memberi kelebihan kepada Ernisalwani Saidi, 26, dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Program pelayaran menaiki Kapal Fuji Maru dari Jepun untuk mengelilingi negara Asean sepanjang 52 hari turut disertai 380 belia dari negara Asean melibatkan pelbagai aktiviti yang menguji ketahanan mental dan fizikal peserta.

“Pengalaman menyertai program itu bukan sahaja memupuk disiplin yang tinggi bagi menempatkan diri sebaris dengan peserta luar negara yang lain, malah kita juga perlu mempunyai ketahanan mental dan semangat yang tinggi sepanjang pelayaran sambil boleh mempelajari, mengenali adat serta budaya asing,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu (APMT) yang aktif dalam persatuan belia sejak 17 tahun lagi itu terpilih menyertai program berkenaan selepas berjaya dalam sesi temuduga dan ujian mental, fizikal, personaliti, kreativiti selain boleh berbahasa Inggeris selama tiga hari dua malam pada awal tahun lalu.

Menurut anak muda berusia 26 dari Taman Sri Seratus, Kuala Besut itu lagi, program itu banyak mematangkan diri, malah hasil perkongsian pengalaman, pertukaran idea dan perbincangan isu semasa, melibatkan persekitaran dan hal sejagat turut dibawa balik untuk dimanfaatkan dalam persatuan dan masyarakat negara sendiri.

Apa yang lebih utama katanya, hasil pertemuan dengan belia negara lain, Erni merumuskan bahawa rakyat Malaysia lebih beruntung dan bertuah kerana mempunyai kerajaan yang amat mengambil berat mengenai aspek kesihatan, pendidikan dan kebajikan penduduknya berbanding nasib rakyat negara lain yang kurang terbela akibat krisis ekonomi dan kuasa di negara masing-masing.

Selain itu, Erni turut menyarankan belia yang masih terumbang-ambing dan tiada hala tuju hidup, supaya menyertai persatuan belia yang ternyata mampu memberi lebih pendedahan, kematangan, ilmu pengetahuan, menambah kenalan selain memantapkan diri menerusi pelbagai taklimat, bengkel kepimpinan dan pengurusan organisasi yang dianjurkan kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Erni turut meluahkan perasaan gembira kerana berpeluang meraih anugerah itu, malah berharap pengiktirafan itu mampu menaikkan semangat belia lain serta menjadi ikon kepada generasi muda untuk melakukan lebih baik demi masa depan bangsa, agama dan negeri yang tercinta.

Dengan kemenangan bagi kategori wanita itu, Erni berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala iringan dan sijil, manakala hadiah yang sama bagi kategori lelaki diraih Mohd Fauzi Mat Adam, dari Kemaman .

Dia turut memuji langkah dan usaha kerajaan hari ini yang amat prihatin membela dan menyediakan saluran untuk belia mengembangkan bakat, kemahiran dan keperluan mereka sebagai pewaris dan pemimpin masa depan negara.

“Belia di Malaysia beruntung kerana kerajaan kita amat cakna dan menyedari keperluan masa kini untuk masa depan mereka. Oleh itu, sebagai membalas jasa dan melihat kesinambungan suara belia terus diambil perhatian, generasi muda harus menyokong kerajaan yang ada hari ini,” katanya.

MB solat terawih di Masjid Terapung

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menunaikan solat terawih bersama-sama penduduk tempatan di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, malam tadi.



Turut mengiringi beliau ialah Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh dan Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz serta pegawai-pegawai dan Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan.

Dua imam dari Timur Tengah menjadi imam solat terawih di masjid berkenaan.

Selesai menunaikan solat terawih Menteri Besar menikmati moreh bersama-sama jemaah di masjid tersebut.



Pada malam ini beliau akan menunaikan solat terawih di Masjid Seberang Takir, selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama pegawai dan anggota tentera Batalion 18 RAMD, di Kem Seri Pantai.






21,000 OKU diminta tukar kad baru

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengadakan kempen secara meluas dalam usaha menggalakkan kira-kira 21,000 pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) menukarkan kepada kad OKU baru menjelang Ogos nanti.

Timbalan Pengarah 1, JKM negeri, Hajah Che Mah Darus berkata, sempena Ramadan ini risalah mengenai maklumat penukaran kad baru itu akan disebarkan melalui masjid-masjid di seluruh negeri.

Selain itu katanya, kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut diadakan supaya maklumat tersebut dapat disampaikan kepada mereka yang terlibat atau keluarga terdekat bagi membolehkan ianya dilakukan secara berkelompok.

Beliau berkata, kad baru yang bercirikan MyKad itu bertujuan untuk memastikan golongan tersebut mendapat akses terbaik memperolehi 32 kemudahan yang disediakan oleh kerajaan termasuk bayaran di hospital kerajaan, pembelian kereta nasional, potongan tambang pengangkutan dan biasiswa pengajian.

``Selain itu bagi membolehkan JKM mengemaskini rekod pendaftaran OKU secara online,’’ katanya ketika ditemui dipejabatnya di Wisma Negeri semalam.

Justeru itu beliau berharap mana-mana OKU yang sudah berdaftar mahupun belum, diharap dapat berbuat demikian di pejabat JKM berdekatan atau di Pusat Khidmat Komuniti di seluruh daerah.

Katanya, proses penukaran kad OKU baru telah bermula Ogos tahun lalu dan sehingga kini hanya kira-kira 7,000 ahli sudah berbuat demikian.

"Oleh itu saya berharap semua OKU dapat menukar segera kad keahlian OKU lama yang diberi secara percuma sebelum ia dimansuhkan ," katanya.

Menurut beliau, sebelum ini pelbagai usaha termasuk turun padang dan hebahan untuk daftarkan mereka, tetapi masih ramai OKU gagal berbuat demikian.

Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira RM987,000 diperuntukkan untuk bantuan elaun pekerja cacat yang melibatkan seramai 3,966 orang bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Sepanjang tahun lalu JKM membelanjakan kira-kira RM5.6 juta elaun pekerja cacat yang melibatkan seramai 3,622 OKU.



Program imarah masjid untuk belia

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan peruntukan kira-kira RM1.3 juta kepada masjid dan surau di seluruh negara bagi melaksanakan Program Rakan Muda Ramadan sepanjang bulan puasa tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bantuan berkenaan akan diagih kepada 600 masjid dan surau bagi membolehkan jawatankuasanya mengatur program berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan penyertaan 24,200 remaja di seluruh negara untuk mengimarahkan masjid dan surau melalui program itu.

Katanya, dengan falsafahnya melahirkan remaja berilmu, beriman, dan beramal, program ini diharap dapat melahirkan golongan remaja yang mempunyai keperibadian dan sahsiah diri tinggi serta unggul.

“ Pengisian program termasuk solat terawih dan witir secara berjemaah, bertadarus dan aktiviti penghayatan Ramadan.

“Program Khatam al-Quran juga akan dilaksanakan di semua negeri seluruh negara pada 10 Ramadan terakhir” katanya.




Rumah baru hadiah Ramadan untuk 40 keluarga di DUN Tepoh

Oleh: Aida Abd Rahman

Sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi akan lebih bermakna kepada 40 keluarga miskin yang tinggal di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Parlimen Kuala Nerus apabila menerima kunci rumah masing-masing, kira-kira jam 5.30 petang esok.

Majlis penyerahan kunci rumah yang turut disusuli pengagihan zakat hari raya bagi DUN itu serta berbuka puasa akan disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Perkarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot.

Projek penyerahan rumah bernilai kira-kira RM2 juta menerusi kerjasama Kerajaan Terengganu dengan Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islmaic, Encik Kamarul Ariffin Mohd Jamil, berkata bank mengambil berat mengenai pengagihan zakat kepada mereka yang asnaf, miskin dan benar-benar memerlukan bantuan.

“Kami amat sukacita kerana berpeluang menghadiahkan rumah kepada keluarga miskin ini, apatah lagi sempena bulan Ramadan yang penuh berkat dan mulia ini.

“Melalui sumbangan ini, kami berharap dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik ini, dengan harapan satu masa nanti mereka pula akan menyumbang dan memberi balik hasil kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan keluarga yang menerima rumah baru itu annti tidak memiliki rumah sendiri dan hidup dalam serba kekurangan serta miskin.

Menurutnya, dengan kemudahan asas dan tempat perlindungan yang lebih selesa itu nanti diharap penduduk terlibat akan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, masa depan lebih cerah dan dapat membesarkan anak-anak dalampersekitaran hidup yang lebih kondusif.

Sehingga kini, Affin sudahpun menyumbang lebih daripada 300 unit rumah di seluruh negara bagi golongan miskin dan memerlukan bantuan.

Pada tahun ini, Affin memperuntukkan kira-kira RM6 juta dari dana zakat untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang layak.




24 July 2012

Sultan Mizan berbuka dengan pemimpin negeri

Sultan Mizan berkenan hadir pada majlis berbuka puasa dengan pemimpin-pemimpin kanan kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Istana Maziah, malam tadi.



Permaisuri Nur Zahirah bersama-sama anakanda-anakanda baginda turut berkenan berangkat pada majlis berkenaan.



Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaaan Negeri, wakil-wakil rakyat; Pegawai Kewangan N egeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri, bersama isteri masing-masing.



Majlis berbuka puasa dimulakan dengan bacaan tahlil oleh Mufti Negeri manakala solat terawih turut diadakan di situ.