Halaman

04 August 2012

TNB setia bantu golongan miskin

Oleh: Suriati Ali

Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melakukan kerja-kerja pendawaian semula wayar elektrik di rumah golongan miskin di negeri ini, secara percuma bagi memastikan premis mereka selamat diduduki. 

Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Haji Mohd Yuslan Mohd Yusof, berkata langkah tersebut merupakan sebahagian daripada khidmat sosial TNB, sekaligus mampu meringankan bebanan mereka kurang bernasib baik. 

Katanya, pihaknya akan menggunakan sebahagian daripada wang zakat yang dikeluarkan TNB bagi membiayai projek pemasangan semula pendawaian wayar elektrik di rumah golongan tersebut.

“Melalui program sama iaitu pada 1 Ogos lalu, TNB turut melaksanakan kerja amal dengan menyambung semula  bekalan elektrik seorang penduduk miskin, Jalan Mizan, Kampung Pulau Ketam, Kuala Terengganu.

“Kerja-kerja penyambungan itu dapat dilaksanakan selepas TNB cawangan Kuala Terengganu berusaha  mengutip dana dengan pihak tertentu, ” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti golongan yang layak menerima bantuan tersebut mengikut lapan asnaf yang ditetapkan mengikut syariat Islam. 

“Mereka yang layak boleh menghubungi pejabat TNB yang terdekat bagi mendapatkan bantuan itu atau mana-mana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). 

“Selepas menerima permohonan pihak kami akan mengadakan siasatan dan jika didapati pemohon layak menerima bantuan tersebut, kerja-kerja pendawaian semula di rumah mereka akan dilakukan kontraktor yang dilantik oleh TNB,” ujar beliau. 

Beliau berkata, program tersebut dimulakan sejak Mei tahun lalu dan kebanyakan  pendawaian semula yang dilaksanakan  membabitkan kos RM500 ke bawah. 

“Pihak kami menganggarkan untuk melakukan kerja-kerja pendawaian semula 300 rumah golongan kurang upaya di negeri ini sepanjang tahun ini,” katanya. 




SEKITAR PERTANDINDINGAN PELITA RAYA 2012 DUN TEPOH






03 August 2012

287 guru dan kakitangan awam Pejabat Pendidikan Daerah Besut terima anugerah


Idris menyampaikan sijil penghargaan kepada guru

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 287 guru dan kakitangan awam Pejabat Pendidikan Daerah Besut, menerima anugerah pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pejabat berkenaan semalam.

Anugerah yang diwujudkan bagi memberi penghormatan kepada individu yang berjaya menunjukkan perkhidmatan ketika bertugas itu sebahagian daripada usaha meningkatkan lagi mutu kerja dikalangan guru dan kakitangan awam.

Pengerusi Mara, Dato’Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, merasmikan majlis berkenaan serta menyampaikan anugerah kepada penerima yang terpilih.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut, ADUN Kota Putera Muhamad Pehimi Yusof dan Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Ab Halim Hassan.

Berucap pada majlis itu Idris menegur golongan guru yang kurang memberi perhatian tugas yang diamanahkan sebaliknya ada dikalangan mereka yang lebih aktif menjalankan perniagaan jualan langsung.

Katanya, sikap guru yang mengabaikan tugas boleh membantut usaha kerajaan untuk meningkatkan bidang pendidikan di negara ini. Beliau berkata, sebagai pendidik guru sepatutnya memberi perhatian serius terhadap profesion mereka kerana itulah yang dipertanggngjawabkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, beliau memuji usaha yang dilakukan oleh Pejabat Pendidikan kerana mengambil daya usaha untuk memberi penghargaan kepada guru dan kakitangan jabatan yang sentiasa peka kepada tugas dan tanggungjawab dan mereka sewajarnya diberi pengiktirafan.

1,000 orang keluar dari senarai PPRT setiap tahun.

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu berjaya mengeluarkan antara 1,000 hingga 1,500 orang kalangan penerima bantuan jabatan setiap tahun yang dikenal pasti mampu meningkatkan pendapatan diri dan keluarga.

Pengarahnya, Encik Zuhami Omar berkata, di samping berjaya mengeluarkan antara 1,000 hingga 1,500 senarai nama penerima bantuan setiap tahun, pada masa yang sama penambahan penerima bantuan juga turut berlaku .

Katanya, di samping bantuan bulanan yang diberikan, jabatan juga ada sediakan bantuan geran berdikari di bawah program pembangunan rakyat termiskin (PPRT) untuk mereka menceburkan diri dalam bidang perniagaan, pertanian, kraftangan dan sebagainya.

“Kita berharap golongan miskin tidak selamanya bergantung kepada bantuan jabatan semata-mata sebaliknya perlu berusaha untuk meraih pendapatan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita di majlis Pengurniaan Sumbangan Kepada Fakir Miskin di Terengganu Equestrian Resort (TER) semalam.

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyampaikan sumbangan kepada 100 orang warga emas, ibu tunggal dan penerima bantuan bulanan JKM dari daerah Kuala Terengganu dan Marang.

Menurut Encik Zuhami, tahun ini JKM menerima peruntukan RM93 juta di mana RM47 juta adalah peruntukan kerajaan pusat dan selebihnya kerajaan negeri.

“Setakat ini kita telah membelanjakan lebih RM50 juta di bawah pelbagai bantuan membabitkan 34,000 penerima seluruh negeri,” katanya.



Konvokesyen pertama PHT di TTI

Oleh: Suriati Ali

Politeknik Hulu Terengganu (PHT) bakal melakar rentetan sejarah awalnya dengan majlis konvokesyen pertama yang dijadualkan pada 28 Ogos ini.

PHT dalam satu kenyataan memberitahu, ia melibatkan 80 pelajar kumpulan perintis yang mengikuti pengajian Diploma Perakaunan di samping Diploma Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti.

Majlis akan berlangsung di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu dan perasmian bakal disempurnakan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd. Nor Othman.

Menyingkap sejarahnya, PHT memulakan operasi pada 2 Mei 2008 di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun dengan menawarkan dua program utama itu.
Pada Jun 2010, ia memindahkan operasi ke daerah ini dengan menyewa premis Majlis Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang.

Politeknik itu kini mempunyai hampir 370 pelajar dengan 49 kakitangan pelbagai kelulusan diketuai oleh Pengarahnya, Che Ku Amran Che Ku Ali.

Antara jabatan utama yang terdapat di PHT adalah Jabatan Perdagangan, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Jabatan Matematik, Sains dan Komputer dan Jabatan Pengajian Am.

Selaras dengan visi dan misi kementerian, PHT menawarkan beberapa kemudahan kepada para pelajar dan kakitangan seperti bilik kuliah, makmal komputer, perpustakaan, surau, kiosk dan sebagainya.

Bagi menambahkan lagi keselesaan, PHT juga mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan termasuk majlis daerah untuk menyediakan kemudahan seperti dewan, padang, gelanggang futsal, gelanggang badminton dan juga kemudahan akses Perpustakaan Awam Hulu Terengganu.


PKR ‘lepas tangan’ lambakan pusat urut di Selangor

Beberapa kawasan di Selangor yang diperintah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga sekutu Pas, menjadi lambakan pusat maksiat, khususnya pusat urut dan hiburan, termasuk di lokasi yang tidak sesuai seperti berhampiran kawasan kediaman, masjid, pusat tuisyen dan balai polis.

Keadaan itu menyebabkan pelbagai pihak bimbang maksiat akan berlaku lebih berleluasa di negeri berkenaan yang digambarkan PKR ‘lepas tangan’ dan tidak mengambil inisiatif bagi membanteras kegiatan tersebut.

Akhbar Utusan Malaysia semalam mendedahkan kebanjiran pusat-pusat tidak bermoral itu membuktikan Kerajaan Selangor yang ditadbir PKR seolah-olah ‘lepas tangan’ dengan fenomena ini.

Tinjauan akhbar itu mendapati kewujudan pusat-pusat urut dan hiburan di kawasan seperti Seri Kembangan, Ampang dan Pucong, dilihat tidak sesuai kerana berhampiran dengan kawasan perumahan dan masjid.

Keadaan lebih mengecewakan di mana sesetengah pusat tersebut beroperasi berdekatan pusat tuisyen dan balai polis.

Akhbar berkenaan turut mendedahkan pusat urut kebanyakannya menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan yang terdiri daripada gadis-gadis muda yang diimport dari luar negara.

Masalah ini tidak sepatutnya dibiarkan berterusan kerana dikhuatiri golongan muda, termasuk pelajar akan terpengaruh untuk melakukan maksiat.

Kerajaan PKR sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan menangani segera isu ini agar masalah keruntuhan moral di kalangan generasi muda tidak menjadi lebih parah.



Peserta PJDYPKT tuai hasil lumayan

Oleh: Aida Abd Rahman

Inisiatif Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan kemudahan pinjaman modal perniagaan menerusi Program Jaya Diri YPKT (PJDYPKT) sejak 1995 berhasil mengubah kehidupan ramai peserta menjadi lebih maju dan berdaya saing.

Malah, ada di kalangan peserta mampu meningkat pendapatan sehingga empat kali ganda selepas menyertai program itu, sekali gus membuktikan PJDYPKT berjaya mencapai hasrat penubuhannya.

Seorang peserta dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, Puan Zalina Zakaria, 44, berkata dia memohon pinjaman menerusi PJDYPKT bagi mendapatkan modal yang lebih besar untuk meluaskan lagi perniagaan jagung yang diusahakan di Kampung Pasir Putih, Marang.



“Alhamdulillah saya dapat meraih keuntungan lebih bagi menyara kehidupan saya bersama anak-anak selepas bergelar ibu tunggal.

“Permohonan saya pada 2006 berjaya mendapat pinjaman sejumlah RM3,000 dan kali kedua, kira-kira empat tahun lalu berjaya menggandakan pinjaman kepada RM8,000. Hasilnya pendapatan saya bertambah baik dan pendapatan boleh mencapai RM2,000 sebulan berbanding sebelum ini hanya sekitar RM500 sahaja,” katanya.

Seorang lagi peserta dari DUN Bukit Payong, Puan Meery Sidek, 47, berkata program itu amat membantunya menambah pendapatan bulanan daripada hanya RM850 sebulan kepada Rm3,000 sebulan menerusi perniagaan kedai makan yang diusahakan di Kampung Belukar Jambu, Marang.

Malah, daripada hanya menggunakan dua pekerja, kedai makan yang baru memasuki usia dua tahun itu kini sudah dibantu oleh tujuh pekerja berikutan pelanggan yang kian bertambah.

“Pada 2002 , saya memohon pinjaman RM1,000, bertambah kepada RM5,000 tiga tahun kemudian. Selepas itu, kira-kira empat tahun lalu, PJDYPKT memberi pinjaman sebanyak RM8,000 dan saya memanfaatkan bantuan itu sebaik mungkin,” kata ibu tunggal yang memiliki tujuh anak itu lagi.

Sementara Zakaria Ahmad, dari DUN Alor Limbat pula, berkata perniagaan menjual air batu campur di pasar malam yang diusahakan bersama isteri sejak 21 tahun lalu semakin maju sejak menyertai program anjuran YPKT itu.

Dia yang mewakili isterinya, Tg Noorizam Tg Ghani, 46, dari Kampung Masjid Kepong sebagai peserta PJDYPKT, mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM3,000 pada 2010 berjaya menjana serta menambah pendapatan daripada sekitar RM500 sebulan kepada RM1,600 sebulan.

“Saya dengan dibantu isteri meniaga di beberapa tapak pasar malam sekitar Marang dan Kuala Terengganu. Dengan bantuan modal ini dapat saya meluaskan perniagaan dan bagi kami tiada masalah membayar pinjaman yang hanya RM130 sebulan dan kini berbaki tiga bulan lagi sebelum lunas kesemuanya.

“Bagaimanapun, kini harga barang dan bahan mentah yang semakin naik sedikit menjejaskan perniagaan kami.Pun begitu, saya berterima kasih dan bersyukur dengan keprihatinan kerajaan menyediakan program sebegini kerana membantu peniaga kecil-kecilan seperti saya untuk terus mencari rezeki demi menyara keluarga, isteri dan enam anak yang kini berusia 12 hingga 27 tahun,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan negeri sudah membelanjakan RM38 juta bagi menyediakan pinjaman modal kepada 14,514 peserta program itu sejak 1995 sehingga kini.

Pinjaman modal secara mikro kredit kepada isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin dengan menetapkan kadar bayaran yang mampu dijelaskan oleh peserta membolehkan mereka mengusahakan projek ekonomi untuk menambah pendapatan keluarga.



02 August 2012

Maidam terima bayaran zakat BSN

Oleh: Suriati Ali
Encik Wan Harujan (kiri) mewakili Maidam menerima zakat perniagaan daripada wakil BSN. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima bayaran zakat perniagaan daripada Bank Simpanan Nasional di Majlis Penyerahan Zakat di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, petang ini.

Wakil BSN, Pengarah BSN Terengganu Encik Mohd Hafis Hashim menyerahkan sejumlah RM60,727 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman.

Encik Wan Harujan berkata, Maidam bersyukur kerana jumlah zakat perniagaan yang diterima meningkat pada setiap tahun.

“Apa yang diperoleh dan dicatatkan bermula awal Januari lalu sehingga hari ini, sebanyak RM40 juta jumlah zakat dapat dikumpulkan berbanding RM30 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu. .

“Peningkatan ini membuktikan ekonomi penduduk dan syarikat perniagaan di negara ini khususnya Terengganu bertambah baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.



Polis Besut turun padang jumpa peniaga


Kasmani mengedarkan risalah kepada peniaga pasar Ramadan Kampung Raja

Oleh: Mohammad Ishak

Ramadan bukan bulan untuk berehat kepada penjawat awam terutama pasukan keselamatan seperti Polis kerana mereka perlu meneruskan tugas seperti biasa.

Ini kerana setiap kali bulan puasa dan menjelang Aidilfitri pelbagai kes jenayah sering dilaporkan berlaku malah ia meningkat pada bulan berkenaan.

Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, mengerahkan anggotyanya untuk turun padang dan memantau semua lokasi yang dianggap berisiko tinggi terutama di kawasan yang sering menjadi tumpuan orang ramai.

Program Walkabout Policing yang dilaksanakan Polis Besut sebahagian usaha untuk memantau kegiatan jenayah dan membangkitkan oramng ramai terhadap kesedaran menjaga harta benda dan keselamatan awam.

Bazar Ramadan Kampung Raja menjadi pilihan pasukan polis untuk menjalankan program berkenaan apabila anggota polis berkaitan turun padang menemui peniaga dan mengedarkan risalah

Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Besut, ASP Kamani Hassan, mengetuai anggotanya menemui semua penjual makanan dan kuih di bazar berkenaan sambil beramah mesra dengan mereka.

Menurut Kamani, menerusi pendekatan itu ia diharap dapat membantu polis mengurangkan kegiatan jenayah apabila orang awam turut memahami tanggungjawab mereka dan tahu tugas sebenar anggota polis.

MSN giat latih dan cari atlet renang

Oleh: Suriati Ali

Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kini giat melatih dan mencari atlet-atlet sukan renang di seluruh Terengganu bagi memastikan tidak ketandusan bakat setiap kali menghadapi kejohanan ternama, termasuk Sukan Malaysia (Sukma).

Pelbagai pendekatan dilaksanakan, termasuk mewujudkan Program Pengenalpastian Bakat Akuatik semata-mata mahu melihat bidang itu turut unggul bersama-sama sukan basikal, sepak takraw, judo dan bola sepak.

Timbalan Pengarah MSNT, Encik Ibni Amin Busu, berkata pihaknya mengakui, Terengganu masih gagal memiliki pasukan yang mantap dalam sukan akuatik.

“Kita masih ketinggalan dalam sukan ini kerana pembangunan berkaitan itu belum bertapak di Terengganu selain kurangnya pendedahan atlet terhadap kejohanan-kejohanan tertentu.

“Di negeri lain, individu itu sendiri mengambil inisiatif menyertai mana-mana kelas latihan berbayar atau menyertai kelab renang, tetapi perkara ini tidak berlaku di Terengganu bermungkinan kurangnya sokongan keluarga dan infrastruktur berkaitan itu,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, MSN memandang serius terhadap sukan renang ini kerana ia menawarkan pungutan pingat paling banyak setiap kali Sukma dianjurkan di mana-mana negeri.

“Program Mengenalpasti Bakat ini adalah permulaan kepada kami walaupun kami sedar ia memerlukan masa yang lama untuk memperoleh hasilnya.

“Kami akan mengumpul sebanyak mungkin bakat-bakat muda untuk diserapkan di bawah kendalian persatuan dan mereka yang terpilih akan didedahkan kepada banyak pertandingan sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan,” katanya.