Halaman

21 August 2012

YIT sasar 9,000 kanak-kanak khatam al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 9,000 kanak-kanak yang mengikuti pendidikan awal di institusi kelolaan kerajaan negeri dan pusat di Terengganu akan menyertai Majlis Khatam dan Pintar al-Quran yang dijangka diadakan pada Oktober atau November ini.

Bilangan itu melibatkan kanak –kanak berusia 5 dan 6 tahun daripada empat gabungan tadika iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional (JPIN).

Berdasarkan rekod, jumlah penyertaan kanak-kanak terhadap program itu semakin meningkat pada setiap tahun berikutan mendapat sokongan dan komiten padu daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa, guru dan pemimpin setempat.

Pengarah YIT, Md Kamarul Al-Amin Ismail, berkata program yang mula diperkenalkan pada 2006 itu, hanya 937 kanak-kanak dari tadika YIT yang menyertainya.

“Setahun kemudian iaitu 2007, tadika JPNT dan Kemas bersetuju bersama-sama tadika YIT menyertai program itu dengan jumlah penyertaan seramai 2,010 kanak-kanak.

“Pada 2008 pula, tadika JPIN menyatakan persetujuan ingin bersama-sama tiga tadika lain dengan menjadikan jumlah 2,660 kanak-kanak kesemuanya,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, apa yang membanggakan jumlah itu terus meningkatkan dengan penglibatan keempat –empat tadika iatu seramai 4,622 kanak-kanak pada 2009; manakala 6,246 kanak-kanak (2010) dan pada tahun lalu pula, seramai 7,930 kanak-kanak berjaya khatam al-Quran.

“Bermula awal persekolahan lagi, mereka mula mengaji dengan bantuan guru tadika masing-masing bagi menguasai al-Quran serta mengamalkan perkara-perkara asas sebagai seorang Islam,” katanya

“Pihak kami yakin dengan adanya program seumpama ini, setiap pelajar di Terengganu mahir membaca al-Quran sebelum memasuki sekolah rendah dan menengah,” katanya





Berwaspada di jalan raya : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berharap anak Terengganu di perantauan yang pulang berhari raya ke kampung halaman masing-masing sempena musim perayaan ini supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga terutama di jalan raya.

Beliau berkata, kesesakan yang ketara di jalan raya boleh mengakibatkan pelbagai insiden, namun kejadian tidak diingini boleh dielakkan jika semua pengguna jalan raya mengamalkan sikap berhati-hati dan berwaspada.

Beliau menasihatkan demikian ketika berucap sempena Majlis Aidilfitri Bersama Perantau di Permai Hotel, Kuala Terengganu, kelmarin (20 Ogos).

Dalam majlis itu, lebih 3,000 perantau memenuhi dalam dewan utama dan ruang legar hotel bagi menemui pemimpin utama negeri dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud itu, selain menikmati pelbagai juadah menyelerakan termasuk sate, ketupat, lemang, rending dan kuih-muih.

Anak-anak Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan To’ Puan Seri Hajah Norliza turut serta dalam program tahunan anjuran Unit Komunikasi Negeri itu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Timbalan Presiden Persatuan Anak Terengganu Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat), Ir Nawawi Embong.



20 August 2012

SEKITAR MAJLIS HARI RAYA MB BERSAMA PERANTAU






























Perantau teruja dapat berbual mesra bersama pemimpin

Oleh: Suriati Ali

“Saya tidak akan melepaskan peluang hadir meraikan majlis seumpama ini jika mendapat jemputan daripada penganjur.

“Apabila berpeluang hadir secara tidak langsung dapat berbual mesra dan mengenali pemimpin-pemimpin Terengganu terutama Menteri Besar secara dekat,” kata perantau dari Selayang, Kuala Lumpur, Ahmad Ambak, 49.

Dia berkata demikian ketika di temui Teganukita di Majlis Aidilfitri Bersama Perantau di Permai Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Lebih 1,000 perantau yang hadir di majlis itu bukan saja dijamu dengan hidangan ketupat, lemang dan rendang malah puluhan juadah tradisional lain.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan anak-anak hadir meraikan perantau.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Dato' Tengku Putera Tengku Awang; beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Dato' Wan Ahamad Wan Muda.

Dikesempatan itu Dato’ Seri Haji Ahmad dan To’ Puan Norliza mengagihkan duit raya kepada anak-anak perantau.

Mereka yang dari serata negeri kelihatan berselera menikmati menu seperti tapai, keropok lekor, laksa Terengganu, laksa penang, nasi biriani, sate dan sebagainya yang jarang ditemui di negeri lain.

Perantau yang berasal dari Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Yap Tian Neo, 47 berkata dia bersama lima lagi ahli keluarga gembira datang ke majlis ini kerana pelbagai persembahan lagu raya dapat di tonton.

“Walaupun kami sekeluarga berbangsa Cina dan tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri, kami gembira kerana dapat bersama-sama orang Melayu meraikannya.

“Tahun depan jika dijemput penganjur pasti kami datang kembali,” katanya yang turut memenangi cabutan bertuah berupa cerek elektrik.


Perantau dari Cheras, Kuala Lumpur, Puan Norhayati Mohamed, berkata dia dan keluarga seronok dapat menghadiri majlis ini kerana berpeluang merasai pelbagai makanan Tradisional Terengganu.

“Laksa Terengganu dan keropok lekor menjadi hidangan wajib bagi kami setiap kali hadir ke majlis ini kerana di Kuala Lumpur sukar untuk mendapatkannya,” katanya datang bersama suami dan anak-anak.





10,000 tetamu hadir majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Besut



Oleh: Mohammad Ishak 

Lebih 10,000 tetamu termasuk masyarakat bukan Islam menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Besut, yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, dekat Jertih,hari ini.

Majlis yang dihostkan oleh Ketua UMNO Bahagian itu,Dato’Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih,turut dihadiri Penasihat Agama Perdana Menteri,Dato’Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut, ADUN Kuala Besut,Dr A Rahman Mokhtar,ADUN Kota Putera.Muhamad Pehimi Yusof,ADUN Jabi,Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Besut A Rahim Jusoh.

Orang ramai mebanjiri dewan itu seawal jam 8 pagi lagi walaupun program sebenar bermula jam 10 pagi dan ini membuktikan semangat dan sokongan kuat penduduk daerah ini terhadap Barisan Nasional (BN).

Majlis sambutan itu juga turut dimeriahkan dengan kehadiran artis tempatan Faizal AF4 dan DJ Kelantan FM Suhaimi Mohamad (Ebeng) dan tanpil menghiburkan orang ramai dengan nyanyian lagu-lagu bertemakan Hari Raya.

Pengunjung juga kelihatan lebih selesa dan santai apabila mereka mendapatkan di 16 gerai khas yang menyediakan pelbagai jenis makanan dan munuman mengikut kesukaan masing-masing.

Malah, kehadiran masyarakat Cina pada majlis itu juga membuktikan orang Cina negeri ini tetap bersama pemimpin BN menjelang PRU13 tidak lama lagi.

Sambutan Aidilfitri itu juga memberi peluang kepada rakyat untuk menemui pemimpin di kawasan masing-masing kerana semua pemimpin kerajaan dari daerah itu hadir dan beramah mesra dengan orang ramai.

Ucapan Selamat Hari Raya

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner, Dato Jamshah Mustapa

"Saya serta keluarga mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada muslimin dan muslimah. Di kesempatan ini marilah kita sama-sama mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t kerana dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna.

"Kepada yang akan meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung,sila pastikan rumah sentiasa selamat dan berkunci.manakala kepada yang memandu,patuhilah undang-undang jalan raya yang ada.

"Sementara kepada anak-anak kecil sekalian, elakkan daripada bermain mercun bagi mengelak tragedi yang tidak diingini berlaku.Marilah bersama-sama kita menyambut hari raya yang mulia ini dalam keadaan aman sejahtera dan bergembira bersama keluarga dan sahabat handai."


Ucapan selamat Hari Raya

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Salam Aidilfitri dan Salam Muhibah diucapkan kepada semua perantau dan umat Islam di Terengganu, semoga hubungan sesama kita bertambah utuh dan erat hendaknya di hari yang mulia dan penuh berkat ini

Dapat mengekalkan keharmonian, kesejahteraan hidup di bawah pimpinan kerajaan yang adil dan telus.




Suburkan amalan menziarah-YB Exco kesihatan

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. Haji A.Rahman Mokhtar semua muslimin dan muslimat menyambut hari raya Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan.

Jangan lupa untuk menyuburkan amalam ziarah menziarahi jiran tetangga, sanak saudara dan kenalan sambil bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Kepada anak-anak perantau yang akan pulang berhari raya, pastikan anda memandu dalam keadaan tenag dan penuh berhemah, semoga ketibaan disambut dengan penuh kegembiraan.

Saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri maaf zahir dan batin.





Amalkan belanja berhemah-Ketua wanita negeri

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga Terengganu walau di mana saja berada.

Kepada kaum wanita, rancang dulu sebelum berbelanja, jagalah ekonomi keluarga sebaik mungkin dan sebagai ibu awasi anak-anak dari bermain mercun dan bunga api.

Tunjuk teladan yang baik kepada anak-anak dan bawa mereka berkunjung ke rumah sanak saudar dan jiran dan didiklah mereka agar menghormati orang yang lebih dewasa.

Kepada perantau yang akan pulang berhari raya di kampung berhati-hati di jalan raya dan memandu secara berhemah, biar lambat asalkan selamat sampai ke destinasi dan jangan biarkan mereka bersedih ketika menyambut ketibaan orang tersayang.




Si badang gegar Sukma

Oleh: Aida Abd Rahman

Badang kelahiran Seberang Takir, Kuala Terengganu mengukir momen paling magis dalam profesionnya apabila angkatan 171kilogram (kg) dalam acara clean & jerk pada Sukan Malaysia (Sukma) Pahang, bulan lalu berjaya memadamkan rekod lama 170kg bekas atlet negara, Mohd Hidayat Hamidon pada Kejohanan Kebangsaan di Pulau Pinang sembilan tahun lalu.

Keupayaan Abdul Mubin Rahim, 21, merangkul kilauan emas bagi kategori berat badan 77kg untuk mencipta rekod baru kebangsaan itu, memahat nama sebagai olahragawan di temasya berkenaan.

Atlet elit kebangsaan Majlis Sukan Negara (MSN) menerima pendedahan awal dalam sukan lasak terbabit bermula di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir ketika berusia 13 tahun sebelum diserapkan menjalani latihan secara intensif di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur dua tahun kemudian.

Minat dan cintanya yang mendalam menyebabkan dia mencari inisiatif mengadakan latihan apabila berada di rumah dengan menggunakan tin berisi simen yang dihasilkan sendiri bagi memantapkan fizikal dan stamina.

“Saya juga sering mengangkat barang-barang berat ketika di rumah. Malah, setiap kali menukar tong gas yang kosong saya juga akan mengangkatnya setinggi mungkin kerana selain membantu ibu, saya juga mahu membuktikan kekuatan sendiri,” tuturnya sambil berselang tawa kepada Teganukita, baru-baru ini.

Keupayaan Mubin meningkatkan prestasi mencuri tumpuan penggiat sukan itu, apatah lagi sukan yang kurang popular di kalangan belia berbanding acara lain seperti bola sepak dan futsal itu sedang ketandusan bakat baru.

Ruang yang terbentang buat anak keenam daripada 13 beradik itu digunakan dengan sebaiknya untuk merangkul posisi paling selesa, demi melenyapkan keraguan keluarga terutama kedua orang tuanya, Rahim Ali, 54 dan Zawiah Abd Rahman, 50, bahawa pemilihan karier sejak di bangku sekolah itu ada asasnya.

Pendedahan demi pendedahan dalam Kejohanan Angkat Berat Remaja yang dianjurkan secara sirkit tiga kali setahun menjadi medan mengasah pengalaman dan meningkatkan tahap angkatan sebelum penglibatannya dijulang untuk mewakili negara di Sukan Komanwel New Delhi bagi kategori 85kg dua tahun lalu.

Pentas Sukma menjadi medan Mubin melebar langkah dalam acara kegemarannya itu yang dimulai dengan Sukma ke-11 Kedah, di mana penglibatan pertama di temasya 2006 itu tidak menghadirkan sebarang pingat, sebelum penyertaan di Sukma Terengganu 2008 berjaya meraih emas selepas mengumpul mata tertinggi 115kg bagi acara snatch dan 156kg bagi acara clerk & jerk.

Sementara Sukma ke-13 Melaka dua tahun lalu pula menyaksikan pemuda yang lahir tanggal 6 Januari 1991 itu mengegarkan arena angkat berat untuk membolot dua emas menerusi angkatan 140 kg acara snatch dan 175kg acara clerk & jerk bagi kategori berat 85kg.

Aksi Mubin itu berjaya meleburkan rekod dipegang sejak 11 tahun lalu untuk memperbaharui rekod baru dan terus dipertahankan sehingga kini, sebelum dia melakar hatrik meraih emas bagi kategori berat 77kg di Sukma Pahang lalu.

“Sebelum ini, saya tidak pernah teruja untuk menyertai penutup Sukma. Bagaimanapun, memandangkan ini adalah pentas Sukma terakhir saya, saya turut serta bersama rakan lain bagi meraikan kejayaan Terengganu yang muncul juara buat kali keempat berturut-turut.

“ Tidak sangka pula, cakap-cakap mengatakan saya mungkin akan menaiki pentas menerima anugerah olahragawan daripada Perdana Menteri benar-benar menjadi kenyataan. Itu sesuatu yang sangat manis dan berbaloi sepanjang karier saya,” katanya yang mendedikasikan kejayaan kepada jurulatih, Mohd Azrul Che Mat serta seluruh keluarganya.

Tanpa kelibat ibu dan bapa di lokasi pertandingan berikutan tiada kemudahan pengangkutan sendiri untuk membawa mereka, bukan halangan untuk atlet itu meresap doa, semangat dan harapan orang tuanya menerusi perbualan telefon sebelum pertandingan, bagi membuktikan kejaguhannya.

“Syukur Alhamdulillah. Penat lelah, perjuangan saya dan pengorbanan masa untuk memberi tumpuan penuh terhadap sukan ini sehingga tiada masa untuk berhibur dan lepak seperti rakan sebaya yang lain akhirnya berbaloi,” kata atlet yang muncul antara penerima insentif tertinggi daripada Kerajaan Terengganu berjumlah RM23,500 termasuk RM10,000 ganjaran khas sebagai olahragawan.

Menurut Mubin lagi, dia berhasrat untuk terus menetap di kampung dan mencari pekerjaan tetap bagi membantu ibu bapa dan keluarganya yang hidup serba sederhana serta hanya bergantung kepada pekerjaan bapa sebagai tukang rumah, sambil meneruskan misi dalam arena angkat berat itu.