Oleh: Aida Abd Rahman
Penjawat awam di negeri ini perlu meningkatkan integriti termasuk tidak sesekali membocorkan rahsia kerajaan, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.“Setiap penjawat awam harus memegang amanah dan mengekalkan integriti dalam diri masing-masing kerana sebagai kakitangan kerajaan kita dipertanggungjawabkan menyimpan segala rahsia kerajaan dengan sebaik mungkin.
“Sekarang kita melihat banyak berlaku kebocoran rahsia kerajaan dan perkara ini boleh dilelakkan sama sekali jika semua penjawat awam memikul amanah sebagaimana akujanji mereka pada hari pertama memulakan tugas berkenaan,” katanya ketika berucap di hadapan kakitangan Wisma Darul Iman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2012, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-undang Negeri, YB Noorbahri Baharuddin serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menteri Besar berkata, kakitangan awam perlu jujur dan tidak mengkhianati dasar dan prinsip dalam bidang tugas masing-masing yang boleh boleh mendatangkan impak negatif serta mencemarkan imej jabatan.
Beliau turut menasihatkan golongan itu agar berusaha memenuhi aspirasi kerajaan bagi memastikan peranan mereka sebagai jentera yang menerajui barisan hadapan dalam memberi perkhidmatan yang baik dan cemerlang kepada rakyat sentiasa dipandang tinggi.
“Saya berharap penjawat awam sentiasa mengamalkan kerja yang diamanahkan dengan tekun dan komited. Setiap tugasan yang perlu diselesaikan hari ini, harus diselesaikan pada hari ini juga, malah jika hari esok, perlu disiapkan hari esok mengikut masa ditetapkan,” katanya.