Halaman

12 September 2012

Rakan media, kakitangan awam memeriahkan Majlis Raya Ukom

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih 1,000 kakitangan awam dan rakan media daripada pelbagai agensi seluruh Terengganu memeriahkan sambutan Majlis Hari Raya Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) 2012, di perkarangan pejabat itu, di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman ketika menghadiri majlis aidilfitri di pejabat Ukom

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Haji Alias Abdullah.


Antara rakan media yang hadir pada majlis aidilfitri pejabat Ukom

Majlis bermula jam 10 pagi berakhir kira-kira empat jam kemudian menyediakan pelbagai juadah menyelerakan seperti nasi dagang, nasi minyak, sate, nasi himpit, mee goreng, tapai pulut, asam gumpal dan cendol.

Tuan rumah yang juga Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, mengucapkan terima kasih dengan kehadiran tetamu yang memeriahkan majlis tahunan anjuran Ukom itu.

“Program seumpama ini bukan sahaja memeriahkan sambutan Syawal walaupun sudah hampir ke penghujungnya, malah dapat merapatkan hubungan silaturahim sesama kita.

"Pada masa yang sama, majlis ini juga menjadi medan untuk kita menjernihkan kekeruhan sebelum ini sambil beramah-mesra dan bertanya khabar antara kita tanpa mengira latar belakang," katanya.




TNB yakin dapat atasi gangguan




Oleh: Suriati Ali

Tenaga Nasional Berhad (TNB) optimis tempoh purata gangguan bekalan elektrik dapat dikurangkan kepada 50 minit pada tahun 2015 berbanding 70 minit ketika ini dengan pembinaan beberapa loji janakuasa baharu, di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azman Mohd berkata purata masa gangguan kini jauh lebih baik berbanding tempoh antara 300 minit dan 400 minit, lima tahun lepas.

"Sistem Indeks Tempoh Purata Masa Gangguan (SAIDI) yang merekod durasi masa serta frekuensi gangguan adalah penunjuk aras yang diguna pakai oleh TNB dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kami.

"Apabila kesemua projek itu siap tiga tahun lagi, TNB yakin masalah gangguan bekalan elektrik dapat dikurangkan dengan tahap SAIDI yang semakin pendek," katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan Aidilfitri TNB di Jalan Cherong Lanjut, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata antara loji kuasa hidroelektrik berskala besar yang sedang dalam pembinaan ialah di Hulu Terengganu di sini dan Ulu Jelai di Pahang, manakala loji jana kuasa arang batu, di Manjung, Perak.





TTI perkenal persembahan bentuk cahaya dan bunyi

Oleh: Suriati Ali

Taman Tamadun Islam (TTI) di sini akan memperkenalkan persembahan berbentuk cahaya dan bunyi sempena Tahun Melawat Terengganu 2013, bagi menarik lebih ramai pengunjung ke taman itu.

Pengarah Urusan TTI Management Sdn Bhd Engku Md Azmi Engku Abd Rahman berkata persembahan itu dijangka bermula Januari depan, sekali gus membolehkan Taman Monumen TTI dibuka kepada pengunjung pada waktu malam.

"Persembahan itu mempunyai komponen-komponen seperti hologram, video mapping, laser, 'sky tracker' dan juga air pancut," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kerja pemasangan kelengkapan bagi persembahan itu sedang berjalan dan dijangka siap Disember ini.

Sementara itu Engku Md Azmi berkata TTI menerima 343,890 pengunjung untuk tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

"Sepanjang tahun lepas TTI menerima 602,180 orang pengunjung dan dengan persembahan baru ini kita harap pengunjung akan bertambah tahun depan.

"Sejak dibuka pada tahun 2008 hingga sekarang, TTI menerima kedatangan lebih 4.2 juta pelancong dari dalam dan luar negara," katanya


LENSA AIDILFITRI UKOM


SEKITAR SAMBUTAN AIDILFITRI DI PEJABAT UNIT KOMUNIKASI NEGERI TERENGGANU


Pengarah Unit Komunikasi (UKOM) Haji Shamsudin Sulong sedang menyambut kehadiran tetamu yang hadir pada majlis aidilfitri yang di anjurkan oleh Ukom


Tetamu yang hadir gembira dengan layanan mesra Pengarah Ukom



Pekerja Ukom bersama-sama melayan tetamu yang hadir


Nasi Dagang, antara menu yang menjadi rebutan ramai pada majlis tahun ini.


Timbalan pengarah Ukom, En Ruslan Abdul Rahman tidak ketinggalan melayan tetamu yang hadir.


Kehadiran Setiausaha Akhbar Menteri Besar dan para petugas media menyerikan lagi majlis sambutan aidilfitri





UMNO, BN DAN KERAJAAN NEGERI TERENGGANU DI HATI RAKYAT

BAHAGIAN 1

Umno dan Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu sudah berada di landasan siap siaga untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 13.

Sudah tentu sebagai parti yang diberi amanah mentadbir negeri dan pusat, ia akan sentiasa memikirkan sesuatu yang terbaik untuk rakyat dari semasa ke semasa.

Difahamkan manifesto khas atau tambahan peringkat negeri akan diumumkan kepada rakyat Terengganu tidak lama lagi sebagai tambahan kepada pelbagai program pembangunan yang sedang dinikmati rakyat.

Maksud manifesto ialah, satu pernyataan umum atau deklarasi yang digunapakai oleh seseorang atau sebuah parti politik sebagai pernyataan akan perjuangannya, bagi mendapat perhatian pengundi.

Manifesto yang baik ialah manifesto yang boleh membangkitkan rasa keinginan atau kebersamaan di kalangan pengundi ke arah perjuangan yang cuba diterajui oleh parti itu, bersesuaian benar dengan kehendak, naluri, pemikiran dan pegangan serta kehendak rakyat.

Sudah tentu bagi BN, tradisi membela rakyat akan menjadi teras. Walaupun Pas baru berbicara tentang negara kebajikan, tetapi BN dan Umno telah lama berjuang ke arah itu dan rakyat telah dapat menikmati tradisi Umno dan BN itu.

Umno dan BN Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said seorang pemimpin yang berpengalaman sama ada dalam kerajaan mahupun politik dilihat sedang mendapat sokongan kuat dari rakyat, dari peringkat pegawai kerajaan sehingga ke akar umbi.

Kehadiran rakyat di majlis-majlis BN dan kerajaan hingga puluhan ribu membuktikan sokongan pada pimpinan yang ada.

Gandingan pemimpin yang berjiwa dan berorentasikan rakyat di peringkat pusat dan negeri ini cukup akrab, malah Perdana Menteri sentiasa menyokong pendekatan merakyat di Terengganu dengan beberapa hadir sendiri menyaksikan sokongan padu rakyat kepada kerajaan BN Terengganu masa kini.

Di peringkat pegawai-pegawai tadbir sudah lama merasakan perlantikan Dato’ Seri Ahmad Said yang suatu masa dulu pernah menjadi pegawai tadbir negeri sebagai sesuatu yang cukup berharga.

Kedudukan rakan karib mereka itu, terutama bagi pegawai-pegawai yang seangkatan Dato’ Seri Ahmad cukup dirasakan suatu pengiktirafan kepada para pegawai berkenaan.

Apatah lagi, sikap Ahmad Said itu tidak berubah, mesra dan tawaduk dengan rakan-rakan seangkatan dulu, sekalipun beliau kini sudah bergelar Menteri Besar atau Ketua Kerajaan.

Gurau sendanya, hilai tawanya dengan kawan-kawan masih seperti dulu dan beliau berasa cukup rapat dengan para pegawai tadbir kerana itu juga institusi yang memulakan beliau sebagai anggota kerajaan.

Sesuatu yang tidak benar kalau ada tohmahan kononnya pegawai-pegawai kerajaan tidak sukakan Menteri Besar itu; suatu anggapan yang jauh dari kebenaran dan hakikat yang sebenar.

Peristiwa kejatuhan BN Terengganu 1999 tidak boleh disamakan sama sekali kerana dahulu isu Menteri Besar terlalu lama dan isu Anwar Ibrahim yang masa itu rakyat masih kabur.

Ahmad Said baru beberapa tahun menjadi Menteri Besar, bukan belasan atau puluhan tahun; justeru itu menyamakan 1999 dengan keadaan sekarang amat tidak logik sama sekali, apatah lagi keakraban Dato’ Seri Ahmad dengan para pegawai kerajaan negeri yang kebanyakannya sahabat-sahabat semasa sama-sama menjadi pegawai tadbir di tahun-tahun 80 an.

Sebenarnya, kecemerlangan Terengganu sekarang dengan pelbagai kejayaan dalam pendidikan, sukan, pentadbiran, perumahan dan sebagainya adalah hasil kerjasama rapat yang diberikan oleh para pegawai kerajaan kepada Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

(bersambung..)


Pertandingan masakan Hong Bak MCA dan JKKK meriah



Oleh: Mohammad Ishak 

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Seberang Jertih dengan kerjasama Wanita MCA Bahagian Besut menganjurkan program Jom masak Hong Bak yang berlangsung di Dataran Rumah Awam Seberang Jertih semalam.

Program bertujuan merapatkan hubungan antara ahli komuniti terbabit mendapat kerjasama dan sokongan peserta dan penduduk setempat.

Seramai 20 peserta antara Melayu dan Cina secara berpasangan menyertai pertandingan yang julung kali diadakan di Bandar Jertih membabitkan kaum berkenaan.

Selain, pertandingan memasak peserta dan orang ramai juga berpeluang mendapatkan khidmat pemeriksaan secara percuma menerusi MCA Mobil Klinik yang didatang khas dari Kuala Lumpur.

Pada pertandingan itu, pasangan Teo Huey Lan dan Maimun Jusoh muncul johan dan menerima sebuah dapur gas, hamper dan plug.

Timbalan Pengerusi Penyelaras DUN Jertih, Baharom Said mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dato’Seri Idris Jusoh merasmikan program berkenaan dan menyampaikan hadiah kepada peserta yang berjaya.

Setiausaha JKKK Rumah Awam, Wan Mohamad Ibrahim berkata, pihaknya bangga kerana dapat menganjurkan program bersama membabitkan Wanita MCA dan JKKK terbabit.

Katanya, program Gerak Mesra 1Malaysia yang pelopori Wanita MCA itu amat baik dan berkesan kerana ia dapat menjalin hubungan silatulrahim dan mewujudkan perpaduan kaum yang ada di negeri ini.

YIT bakal tempatkan PDI di kompleks bernilai RM20 juta

Oleh: Aida Abd Rahman
Yayasan Islam Terengganu (YIT) bakal menempatkan pusat pengajian sistem pondok moden dikenali sebagai Pondok Darul Iman (PDI) di kompleks bernilai RM20 juta yang bakal dibina penghujung tahun ini.

Pengarah YIT, Haji Md Kamarul Al-Amin Ismail, berkata PDI yang diwujudkan tiga tahun lepas dijangka akan beroperasi di kompleks itu sebaik kerja pembinaannya selesai pada 2014.

"Pembinaan kompleks setinggi empat tingkat itu akan mengandungi kemudahan seperti bilik darjah, dewan, rumah guru, asrama pelajar dan kemudahan asas yang lain.

"Bangunan ini akan dibina secara berperingkat dengan peringkat pertama bangunan asrama bermula akhir tahun ini dengan kos RM5 juta," katanya.

Haji Md Kamarul berkata permintaan masyarakat yang amat menggalakkan menyebabkan PDI memerlukan ruang pengajian yang lebih luas bagi menampung pertambahan pelajar kelak.
Sehingga kini, PDI mempunyai kira-kira 200 pelajar.

Beliau berkata bermula tahun depan, PDI akan memperluaskan skop pembelajaran sehingga ke Tingkatan Lima berbanding hanya setakat Tingkatan Tiga sekarang.

"Kita juga akan mula menerima kemasukan pelajar-pelajar wanita tahun depan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata YIT akan mengadakan kerjasama dengan Institut Agama Islam Negeri Medan, Sumatera Utara, Indonesia tahun depan bagi membolehkan penuntut lulusan YIT melanjutkan pengajian di sana.

Katanya YIT merancang untuk menghantar antara 15 dan 20 pelajar dalam bidang Pengajian Islam di institut itu tahun depan



11 September 2012

Orang Melayu, Umno mesti berjiwa besar : MB

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (Pelatih)

Setiap ahli dan pemimpin parti seharusnya berjiwa besar dan mengelakkan sikap berdendam kerana situasi itu bukan sahaja tidak menguntungkan, malah akan berdepan kesukaran bagi mendapatkan sokongan sesiapa sahaja termasuk penyokong atas pagar.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sikap dendam dan permusuhan hanya akan merosakkan parti Barisan Nasional (BN) dan Umno sendiri. Bagaimanapun, jika berjiwa besar segala perselisihan yang timbul dapat diketepikan dan kembali di kedudukan asal sebagai ahli parti sebaik sahaja selesai pemilihan calon.

“Saya percaya bahawa Terengganu lebih teruk daripada Kedah sebab Terengganu hanya menang empat daripada 32 kerusi (Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) 1999). Pas menang 28 kerusi. Tetapi, di Kedah (PRU12), pembangkang menang dan memerintah hari ini dengan 19 kerusi. BN masih ada 17 kerusi. Hanya dua kerusi berbeza. Jadi, untuk menang tiga hingga empat lagi bagi pandangan saya, satu perkara mudah apabila kita melihat dari segi sejarahnya berikutan majoriti yang diperolehi Pas itu adalah tidak besar,”kata beliau di sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Pergerakan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kubang Pasu 2012, di Dewan Besar Institut Pendidikan Guru, Kompleks Darul Aman, Jitra, Kedah, kelmarin (8 September).



Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, orang Umno sendiri perlu kembali menyokong Umno kerana atas faktor itu sahaja sudah cukup untuk mengembalikan kemenangan BN.

“Sebab itu adalah satu perkara utama yang memberi peluang begitu besar untuk BN kembali memerintah Kedah. Insya-Allah, dengan kehendak Allah Ta’ala. Yang pentingnya semangat persefahaman, kerjasama di kalangan jentera parti kita, akar umbi kita tanpa memikirkan siapa calon. Yang penting, parti kita (BN) mesti menang,” katanya.

Menteri Besar berkata, inilah masa paling sesuai untuk semua ahli dan pemimpin Umno kembali bersatu seterusnya menangkis segala penghinaan yang dilontarkan oleh pembangkang, sedangkan pembangkang tidak pernah berjasa dan bertanggungjawab kepada rakyat sebagaimana budi yang ditaburkan oleh Umno.

Katanya, Umno harus bangkit menawan semula di kerusi yang tewas dan mengekalkan kemenangan sebelum ini supaya Pas tidak sewenang-wenangnya meuar-uarkan kepada rakyat segala nikmat dan kemudahan dihasilkan oleh mereka.

“Kita mesti melihat dan memuhasabah diri. Hari ini kita lihat orang lain semakin berani menuntut hak mereka ataupun menuntut hak kita supaya diberi kepada mereka kerana kita lemah. Bila kita lemah, contoh mudah adalah apabila kita berniaga, kita cari rakan kongsi. Pernah atau tidak, dalam perkongsian yang kaya cari yang miskin untuk jadi rakan kongsi..Tidak ada. Tidak akan berlaku. Kecuali, apabila kita kaya orang datang hubungi kita. Kalau kita kuat, orang akan bantu kita. Kalau kita lemah, orang tidak akan menghiraukan kita.

“Sekarang kita lihat bagaimana masyarakat cina, masyarakat india telah cuba menjauhkan diri sebab kita lemah. Tapi, bila kita kuat, mereka akan datang balik. Ini kita mesti faham, penghakisan kuasa Melayu ini kerana kita berpecah, adanya Pas..adanya PKR dan sebagainya,” katanya lagi.

Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, pemimpin dan ahli BN serta Umno berdukacita disebabkan Pas sanggup bersengkongkol, bekerjasama dan berbaik dengan DAP serta parti lain sehingga sanggup menolak Umno walaupun pembangkang mendakwa perjuangan mereka berpaksikan agama Islam.




Risda belanja RM13.5 juta untuk TSGG

Oleh; Esah Abdullah

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Terengganu telah membelanjakan RM13.5 juta untuk pembangunan program Tanam Semula Getah ke Getah (TSGG) dan program sokongan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Haji Zakaria Mat Zin berkata, peruntukan keseluruhan yang diterima tahun ini sebanyak RM18.35 juta dan setakat ini hampir 80 peratus telah dibelanjakan.

“Perbelanjaan berkenaan membabitkan kawasan seluas 1,050 hektar seluruh negeri,” katanya kepada pemberita di majlis Sambutan Hari Raya Risda negeri , di Dewan Majlis Daerah Marang hari ini.

Katanya, selain program TSG pihaknya juga melaksanakan program Tanam Semula Sawit ke Sawit (TSSS) dan Tanam Baru Komoditi Getah (TBKG).

Menurutnya, permohonan bantuan tanam semula boleh dibuat sepanjang masa dan hendaklah menggunakan borang yang boleh diperolehi dari semua Pejabat RISDA Negeri (PRN) dan semua Pejabat RISDA Daerah (PRD) secara percuma.

Berhubung dengan sambutan majlis Aidilfitri tahun ini, Haji Zakaria berkata , pihaknya telah mengabungkan kesemua anak-anak syarikat Risda dengan membuka 12 gerai yang menghidangkan pelbagai menu tempatan.

“Kerja keras semua yang terbabit dalam menjayakan majlis ini begitu terserlah sekaligus mengeratkan ikatan silatulrahim antara kakitangan negeri, daerah dan anak syarikat yang sama-sama bergabung tenaga menjayakan majlis ini,” katanya.





Empat homestay baru sempena TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman
Terengganu bakal mewujudkan empat homestay baru menjadikan jumlah keseluruhan sepuluh homestay yang berdaftar melalui Kementerian Pelancongan Malaysia sehingga 2013 nanti.

Usaha mewujudkan produk baru tarikan pelancong itu sejajar dengan matlamat kerajaan negeri bagi menyemarakkan kedatangan pelancong ke Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Sehingga kini, enam homestay di Kuala Terengganu (Teluk Ketapang dan Pulau Duyung) dan masing-masing sebuah di Dungun (Kampung Pasir Raja), Setiu (Kampung Rhu Sepuluh), Besut (Felda Selasih) dan Hulu Terengganu (Kampung Buluh)
.

Homestay Pasir Raja adalah yang tertua di negeri ini bermula 16 tahun lalu, manakala terbaru, Homestay Kampung Buluh beroperasi pada 2009.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria, berkata dua homestay yang baru dikenalpasti di negeri ini akan didaftarkan di bawah kementerian dan dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini.

“Dua homestay baru itu masing-masing Felda Keruak (Besut) yang melibatkan 19 peserta dan Persatuan Homestay Nelayan Kijal di Kemaman yang melibatkan 10 peserta.

“Mungkin terdapat pertambahan dua hingga tiga homestay baru tahun depan dan kita sedang melakukan pemeriksaan bagi menilai aspek yang menepati kriteria sebagai homestay,” katanya di Majlis Karnival Raya Homestay 2012 dan Program Titian Kasih PPPNT, di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Encik Mohd Sabri berkata, terbaru pihaknya turut mengenalpasti Kampung Bukit Wan (Batu Rakit ) bagi dijadikan homestay pada tahun depan.

“Saya sudah berbincang dengan JKKK (Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung) dan kemungkinan akan memberi taklimat sama ada mereka berminat untuk menyertai program homestay berikutan mereka mempunyai produk kampung yang tersendiri, selain eko dan alam semula jadinya yang menarik.

“Kampung mereka juga memiliki sungai, air terjun, kebun getah, kebun durian selain musim ubi gadung dan terdapat taman herba yang menarik dan boleh menjadi tarikan pengunjung. Kita akan membuat pemeriksaan rumah dan peserta yang boleh menyertai program homestay nanti,” katanya.

Sehingga kini, enam kawasan homestay yang terdapat di Terengganu melibatkan seramai 103 peserta.