Halaman

22 September 2012

Kesepakatan menentang musuh Islam hindarkan fahaman politik



Oleh: Mohammad Ishak 

Protes terhadap usaha menghina agama Islam menerusi perhimpunan yang ditunjukan oleh rakyat negara ini dengan membabitkan pelbagai parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berhubung filem “Innocence of Muslims” dan karikatur yang dikeluarkan di Perancis di beberapa lokasi seluruh negara semalam menampakkan kesepakatan umat Islam terhadap sesuatu isu sensitif yang dilakukan musuh Islam.

Walaupun perbezaan politik antara parti tetapi dalam keadaan tertentu umat Islam di negara ini dapat bersatu demi menunjukkan perpaduan Islam sebagai menzahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap pihak terbabit yang menghina Islam.

Penyertaan lebih 11,000 umat Islam berhimpun bagi membantah penghinaan terhadap agama yang turut didokong oleh Pemuda Barisan Nasional (BN), Dewan Pemuda Pas serta NGO lain termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa,Jalur Tiga (Jati), Kelab Putera 1Malaysia,Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang diadakan di ibu negara sudah tentu membuka era baru dalam menyatupadukan umat Islam.

Jika ini sering dilakukan oleh pertubuhan politik dan NGO Islam negara ini, musuh Islam akan gerun dan berhati-hati untuk melakukan sesuatu terutama yang menyentuh sensitiviti umat Islam apabila dicetuskan pihak barat.

Apa yang dilakukan semalam ia sebenarnya mengembirakan rakyat negara ini kerana dalam situasi tertentu pemimpin politik dapat mengetepikan fahaman dan ideologi masing-masing sebaliknya dapat bersatu menentang musuh Islam.

Perhimpunan yang diadakan secara aman itu juga menunjukkan rakyat Malaysia begitu matang dan mematuhi undang-undang negara dengan tiada insiden keganasan melampau yang boleh mencetuskan huru hara ketika berhimpun.

Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang gembira apabila dua perhimpunan membantah penerbitan dan penyiaran filem anti Islam itu berlangsung dalam suasana aman dan tenteram.

Menariknya perhimpunan itu turut disertai rakan kongsi BN beragama Kristian,Buddha dan Hindu bagi menyatakan bantahan mereka yang turut mengecam penghinaan agama Islam.

Perkembangan menarik pencantuman idea mengadakan perhimpunan bersama ini diharap dapat meningkatkan lagi usaha sama antara badan induk UMNO dan PAS untuk bekerjasama dalam apa jua tindakan sama ada kepentingan dalam negeri atau menentang musuh luar negara.

Malah, seperti kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Jamil Khir Baharom,protes itu untuk menyatakan ketidaksenangan dan penghinaan terhadap umat Islam supaya dunia memahami bahawa soal agama Islam jangan dipandang sewenangnya.

Graduan UMT pilihan raya kampus 25 Sept

Oleh: Suriati Ali

Seramai 7,738 graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan mengundi bagi memilih seramai 20 kerusi anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu yang dijadualkan pada 25 September ini.

 Tujuh fakulti masing-masing akan memilih dua calon pelajar fakulti serta enam anggota daripada pasca graduan akan mengisi posisi MPP bagi tahun 2012/2013 di mana tempoh penamaan calon akan ditutup pada 11 pagi, 23 September nanti.

 Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata pemilihan yang diadakan setiap tahun itu menggunakan sistem e-Undi melalui komputer, berbeza dengan universiti-universiti di pantai barat yang masih menggunakan kertas undi.

"Kita berharap ia akan berjalan lancar dan tidak ada sebarang gangguan berlaku. Cuma berbeza dengan universiti yang lebih besar di mana mahasiswa yang berkempen adalah lebih hangat kerana terdapat kelompok serta pengaruh dari luar.

 "Di sini, kami sentiasa menjaga sentimen supaya tiada perkara sensitif berlaku. Kita harap pemilihan MPP UMT tidak dimasuki unsur luar atau pengaruh politik dari luar," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian kad diskaun Siswa 1Malaysia di UMT , Kuala Terengganu, baru-baru ini yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

 Dr Yahaya berkata pemenang MPP akan bertanggungjawab merancang dan melaksanakan program-program sebagaimana yang dirancang dan membawa usul kepada pengurusan universiti untuk meperbaiki kemudahan dan kebajikan penuntut.

 Antara isu utama yang menjadi cabaran terhadap kepimpinan MPP ialah meningkatkan kebajikan dan ketrampilan mahasiswa, penerapan nilai-nilai murni, penanaman semangat jati diri serta menangani isu sosial dan ekonomi untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai personaliti terbaik.

 "Mereka akan mewakili universiti ke peringkat nasional bersama dengan MPP universiti lain dan banyak program yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, mereka akan mengikutinya," katanya.

 Sehubungan itu, beliau meminta calon MPP yang akan bertanding supaya tiada masalah dalam mengekalkan pencapaian CGPA yang tinggi dan berkualiti untuk menjadi pemimpin pelajar.  Tempoh berkempen bagi calon pilihan raya ialah mulai 23 sehingga 24 September ini manakala hari mengundi ialah 25 September dari 8 pagi hingga 5 petang

 

21 September 2012

96 pelajar sekolah dari Zon Utara sertai Kem Bahasa Inggeris


Peserta Kem Bahasa Inggeris Zon Utara

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 96 pelajar mewakil ssekolah dari Zon Utara meliputi daerah Kuala Terengganu, Setiu dan Besut menyertai Kem Bahasa Inggeris di Damai Beach Resort, dekat Bukit Keluang,Besut, selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Kem anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia memberi fokos kepada pelajar berinteraksi secara langsung menerusi aktiviti luaran dan dalam dewan yang mampu memberi kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris.

Bagi menjayakan program itu 11 tenaga pengajar terdiri daripada Pembantu Guru Bahasa Inggeris dari Amerika dengan dibantu guru tempatan membimbinbing peserta dalam kaedah yang yang diperkenalkan khas oleh kementerian berkenaan.

Terengganu kini menjadi model kepada pengajaran bahasa Inggeris apabila mengambil guru khas dari Amerika untuk ditempatkan di sekolah terpilih di negeri ini.

Berikutan itu, Pahang dan Johor mengikuti program yang mula diperkenalkan Kerajaan Terengganu dan kini diambil oleh Kementerian Pelajaran.

Sistem pembelajaran menggunakan kaedah bertutur dalam setiap program mempercepatkan pelajar menggunakan bahasa terbabit di sekolah.

Kem yang diadakan kali ini adalah yang kedua selepas kem pertama di adakan di Kemaman bagi sekolah Zon Selatan meliputi daerah Dungun,Marang, Hulu Terengganu,Kemaman dan sebahagian daripada Kuala Terengganu.

Peserta yang mengikuti kem itu adalah pelajar tingkatan dua dari sekolah menengah termasuk sekolah menengah agama dan Imtiaz diberi bimbingan secara praktikan untuk menguasai bahasa Inggeris menerusi model berkenaan.

Gapena anjur Deklamasi Puisi Kemerdekaan

Oleh: Suriati Ali

Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2012 peringkat negeri Terengganu akan diadakan di Batu Buruk Beach Resort di sini pada 22 September ini.

 Dalam program anjuran Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dengan kerjasama Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) itu, seramai 12 peserta akan bersaing untuk mewakili negeri di peringkat kebangsaan kelak.

 Ketua Satu Pelita, Sharif Putera dalam satu kenyataan memberitahu, program tahunan yang sebelum ini diadakan mengikut zon kini kembali dibuat di peringkat negeri.

''Juara akan menerima hadiah wang RM800, piala dan sijil. Hadiah wang juga disediakan bagi naib johan dan tempat ketiga," katanya.

 Sementara itu, katanya, Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa peringkat negeri anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur akan diadakan di Perpustakaan Awam Negeri pada 6 Oktober depan.

 ''Ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu terbuka, sekolah menengah dan sekolah rendah dengan juara bakal menerima piala serta wang RM800, RM500 dan RM250.

''Mereka yang ingin turut serta boleh mendapatkan borang permohonan dan juga puisi pilihan dengan menghubungi Mahani Sulong di Perpustakaan Awam Negeri melalui talian 013-9149430,

 

16 kampung di daerah Besut menyertai pertandingan Kebersihan dan Keindahan


Panel Penilai Pertandingan melawat kampung yang menyertai pertandingan

Oleh: Mohammad Ishak 

Sebanyak 16 kampung di daerah Besut dipilih Pejabat Daerah Besut (PDB) untuk dinilai dalam pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung Peringkat Daerah itu tahun ini.

Kampung terbabit termasuk Kampung Alur Pisang,Lay Out Tok Saboh, Air terjun, RAKR Seberang Jertih,Nyior Tujuh, Amer Hilir,Pak Demalik,Padang Lengkuas,Tanah Merah, Cawangan,Bukit Payong Luar, RAKR Pengkalang Nyireh II, Kubang Ikan, Gong Gucil, Kayu Kelat dan Pasir Akar.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, pertandingan itu bertujuan memilih empat kampung terbaik masing-masing satu mewakili empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai wakil daerah ke peringkat negeri.

Katanya, selain itu ia juga bagi mempastikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah itu sentiasa memberi perhatian terhadap keindahan dan kebersihan kampung masing-masing.

Menurutnya, bagi membantu menjayakan program itu PDB sudah mengarahkan Majlis Daerah Besut (MDB) supaya membantu sebarang bentuk keperluan yang dipohon oleh JKKK yang terbabit dalam pertandingan berkenaan.

Beliau berkata, ahli panel penilai diketuai seorang Penyelia Kanan Penghulu Mukim Daerah disertai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Pertanian, Pejabat Agama, Pejabat Kesihatan dan Majlis Daerah Besut sedang membuat penilaian terhadap kampung berkenaan.

Menerusi pertandingan itu pelbagai aspek diberi penilaian terhadap JKKK antaranya, pengurusan organisasi itu, kebersihan, ekonomi, agama, kemasyarakatan,kepemimpinan dan kerjasama antara JKKK dan komuniti

Beliau berharap, menerusi pertandingan itu juga Daerah Besut akan melahirkan sebuah kampung yang benar-benar menepati matlamat mewujudkan sebuah kampung contoh untuk dijadikan model kepada kampung lain di negeri ini.

20 September 2012

TATIUC Racing Team mampu rancakan penyelidikan

Oleh: Suriati Ali 

 Tati Universiti Kolej (TATIUC) menubuhkan TATIUC Racing Team sebagai galakan merancakkan penyelidikan dan inovasi di kalangan pelajar kolej itu.

 Ketua Pasukannya encik Hairi Basir, berkata bagi mencari pengalaman, pihaknya akan menyertai pertandingan Formula Varsity anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) pada hujung tahun ini dan Formula Pelajar pada 2013, anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Katanya, pojek itu akan melibatkan 10 pelajar dan 6 pensyarah di mana dapat memberi kelebihan kepada mereka dalam pelbagai aspek.

 “Ini termasuk berkaitan latihan praktikal secara terus dengan pembangunan teknologi dan kejuruteraan dalam bidang Automotif, Mekanikal dan Elektrikal.

 “Projek perintis ini juga menjadi asas kepada membudayakan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan tenaga akademik dan juga para pelajar,” katanya dalam satu kenyataan kepada Teganukita.

 

Unisza belanja RM400 juta menaiktaraf tiga kampus

Oleh: Suriati Ali

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membelanjakan lebih RM400 juta bagi menyelenggara dan menaiktaraf pembangunan ketiga-tiga kampus milik universiti itu.

 Pembangunan fizikal Unisza di Kampus Gong Badak, Kampus Kota dan Kampus Besut sentiasa di pandang serius bagi memastikan setiap pelajar mendapat kemudahan setimpal dan selesa.

Naib Canselor Unisza, Prof. Dato’ Dr. Alias Daud , berkata walaupun pihaknya sentisa berusaha menambahbaik pembangunan itu, ia tetap ada kurangnya termasuk kemudahan asrama pelajar yang masih belum mencukupi.

 Katanya, berdasarkan kapasiti semasa, Unisza hanya mampu menyediakan kapasiti perginapan sekitar 5,000 tempat berbanding jumlah pelajar yang ada sekarang iaitu seramai 6,774 orang.

 “Ini bermakna lebih 1,700 pelajar terpaksa menyewa rumah atau bilik di luar kampus di sekitar kampus masing-masing.

 “Pada masa sama, kita berusaha mengatasi masalah ini dengan menambah kapasiti asrama sedia ada,” katanya pada satu majlis baru-baru ini.

 Katanya oleh itu, pihaknya berharap pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri tampil membantu mengatasinya supaya masalah penempatan pelajar ini dapar diatasi segera.

 “Seboleh-bolehnya kita mampu, semua pelajar berada dalam satu kawasan supaya mudah bagi pohak pentadbiran mengawasi dan memantau,” katanya.

 

MAYC Besut anjur pertandingan membakar lemang


Oleh: Mohammad Ishak 

Kemunculan pelbagai kuih moden memenuhi pasaran semasa menyebabkan ramai anak muda sudah tidak pandai membuat kuih dan makanan tradisional yang dikhuatiri ia akan hilang dalam arus perdana. Menyedari hal itu,

Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Besut, mengambil daya usaha mengajak golongan belia mempelajari membuat kuih atau makanan tradisional seperti lemang supaya mereka tahun cara dan kaedah membuatnya.

Sehubungan itu satu bengkel membuat dan membakar lemang dianjurkan oleh MAYC dalam usaha menggalakkan orang muda membuat lemang selain tidak mahu makanan tradisional itu hilang dalam ingatan generasi sekarang.

Bertempat di perkarangan Restoran & Rehat (R&R) Seberang Jertih bengkel sehari membuat dan membakar lemang berlangsung dengan meriahnya yang turut disertai belia dan remaja.

Pengerusi MAYC Besut, Wan Adilah Wan Awang berkata, pihaknya bangga program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 50 peserta menyertai bengkel berkenaan yang julung kali diadakan bagi memberi pendedahan kepada golongan belia.

Katanya, bermula daripada proses menyediakan bahan sehinggalah ia masak dan dapat dimakan peserta begitu berminat dan memberi perhatian walaupun pengalaman terpaksa dilalui apabila berada dalam keadaan cuaca panas kesan daripada api kayu yang digunakan untuk membakar lemang.

Menurutnya, peserta walaupun tidak mempunyai pengalaman tetapi mereka mampu menyiapkan lemang dalam tempoh singkat apabila kerja membakar bermula jam 10 pagi dan dapat dimakan kira-kira jam 3 petang.

Beliau berkata, penganjur juga menawarkan hadiah kepada kumpulan yang berjaya menyiapkan pembakaran lemang paling cepat selain mempunyai kreativiti dan cita rasa yang enak untuk dimakan.

Program membakar lemang terbesar itu dirasmikan oleh Penasihat Agama Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut.

Abdullah turut memuji usaha yang dilakukan oleh MAYC Besut selaku pengajur kerana ia dapat memberi pendedahan kepada belia mengenai selok belok membuat dan membakar lemang yang sebelum ini banyak dilakukan oleh golongan tua. 

Lumba basikal LTdL – Terengganu diberi penghormatan kali kedua

Oleh; Esah Abdullah


Terengganu sekali lagi diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi pusingan peringkat akhir kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-18 bermula 21 Februari hingga 3 Mac tahun depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said (gambar) berkata, perlumbaan peringkat empat itu dari Kuantan ke Dungun – Besut – Pasir Putih Kelantan – Kuala Berang Hulu Terengganu dan berakhir di Kuala Terengganu sama seperti tahun lalu.

“Saya harap peminat lumba basikal di negeri ini keluar beramai-ramai sepanjang laluan untuk menghangatkan suasana LTdL,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Pengerusi Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid.

Gambar fail
Tambahnya beliau yakin sambutan terhadap kejohanan yang berprestij itu menjadi lebih meriah apa lagi tahun depan merupakan Tahun Melawat Terengganu (TMT) dan tumpuan orang ramai tentunya pada pentas terakhir di bandar Kuala Terengganu.

Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek pada majlis Pelancaran LTdL 2013 di Putrajaya semalam berkata, Terengganu mempunyai sebab untuk meraikan kedatangan LTdL 2013 bersama pasukan Terengganu Cycling Team yang kini mendahului senarai keseluruhan berpasukan UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) Asia Tour.

“Terengganu juga muncul pasukan Malaysia pertama akan dimahkotakan sebagai juara berpasukan dalam sirkit benua Asia itu,” katanya.



19 September 2012

TERENGGANU MENCIPTA SEJARAH PERTAMA DUNIA, KAEDAH BARU KE ARAH ALTERNATIF BAHAN API

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.

Bahagian Ketiga


“Abang kenal daun ini,” penulis ajukan pertanyaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Telok Ketapang, Seberang Takir, Haji Mohamad Ibrahim.

Dia lantas mencium lalu berkata: “oh ini daun petai belalang dan banyak khasiatnya untuk ubatan.”

Difahamkan di antaranya dapat mengurangkan risiko penyakit kencing manis jika daunnya dibuat ulam atau direbus akarnya bersama air. Daunnya juga jika ditumbuk boleh menghilangkan batuk (ditampal pada bahagian leher) atau ditampal seluruh badan untuk mengubati penyakit ‘demam campak’.

Beliau adalah seorang dari beberapa orang yang penulis dapatkan pandangan dan ilmu tentang tumbuhan itu.

“Ciptaan Allah tiada yang tidak berguna melainkan semuanya berguna,terpulanglah kepada kebijaksanaan dan kehebatan manusia memanfaatkannya,” katanya tanpa mengetahui sebenar apa yang hendak diberitahu oleh penulis.

Lantas penulis menceritakan bagaimana kerajaan negeri sekarang akan mengangkat nilai pokok yang biasanya terbiar menjadi suatu bahan penting menggantikan bahan api. Nama saintifik pokok ini ialah ‘leucaena leucocephala’.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri Terengganu akan menanam pokok petai belalang secepat mungkin bagi menampung keperluan Kompleks Biopenapisan di Taman Polimer, Kertih.

Bagi tujuan itu, 30,000 hektar tanah disediakan bagi menghasilkan 10.5 juta tan metril cip kayu dari pokok itu setiap tahun untuk kegunaan industri yang berasaskan pertama diperkenalkan di dunia itu.

Dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2015 ditapak seluas 40 hektar akan menjana Pendapat Negara Kasar kira-kira RM5 billion menjelang 2020 di samping pelbagai peluang pekerjaan untuk rakyat.

Ia dikenali sebagai “Isobutanol’ . Ia adalah wadah bahan kimia penting yang boleh diubah menjadi pelbagai produk seperti bahan api, pelarut dan salutan, bioplastik, bioserat dan sebagainya secara komersial.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Gevo Inc (sebuah syarikat biokimia dari Amerika Syarikat), Dr Christopher Ryan berkata, kilang yang dibangunkan di Kertih Kemaman itu akan menghasilkan 60,000 tan bioisobutanol setahun.

Terengganu dan syarikatnya itu kata beliau, akan melakarkan sejarah pertama mengkomersialkan isobutanol berasaskan bio daripada biojisim lignoselulosa dalam industri berkenaan bila beroperasi nanti,” katanya kepada wartawan di Boston.

‘Ligno’ dan ‘selulosa’ adalah dua komponen utama dalam tumbuhan (kayuan) diberi tindakbalas kimia bagi menghasilkan isobutanol berasaskan bio (hidupan) itu untuk dimanfaatkan sebagai sumber alternatif bahan api dan berkaitan dengannya.

Industri yang berasaskan biokimia itu adalah satu yang sungguh hebat, memproses bahan- bahan kimia yang terdapat dalam hidupan, khususnya tumbuhan bagi menghasilkan bahan aktif termasuk bahan api, bioserat, pelarut, salutan, bioplastik dan sebagainya untuk manfaat manusia.

Inilah sebenarnya kepemimpinan yang berwawasan menjangkau jauh ke hadapan, mencipta rekod dunia di bidang sains dan teknologi, tidak lain dan tidak bukan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang diterajui seorang yang hanya berasal dari keluarga miskin (anak penyadat kelapa) di Kijal, Kemaman.

“Mat Said’ yang walaupun kelihatan bersahaja seperti ‘orang biasa’ tidak seperti sesetengah pemimpin lain tetapi anak kampung yang diberi amanah memimpin negeri ini telah memperlihat satu demi satu kehebatan pemikirannya.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, Insya Allah tahun 2014 operasi sudah boleh dimulakan di peringkat awal, katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani dokumen kerjasama bagi pembangunan Kompleks Biopenapisan antara kerajaan negeri Terengganu dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Malaysian Biotechnology Corporation, di Kuala Terengganu baru lalu.

Ia adalah kompleks biopenapisan terbesar di Asia dengan kawasan seluas 1,000 hektar diperuntukkan.

Kehadiran Gevo Inc syarikat dari Amerika Syarikat itu ke Terengganu untuk memulakang langkah pertama di dunia menghasilkan isobutanol berasaskan bio daripada biojisim lignoselulosa adalah tidak syak lagi keyakinan terhadap kemampuan pimpinan kerajaan negeri Terengganu.

Tambahan pula mendapat sokongan yang amat padu dari Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Abdul Razak yang akan merasmikan sendiri projek pertama di dunia itu pada 6 September depan (jika tiada aral).

Dato’ Sri Najib pernah berkata, dengan kewujudan projek ini perkembangan ECERDC berada pada kedudukan yang amat positif dan sungguh mengembirakan penduduk Pantai Timur, termasuk Terengganu khususnya yang mencatat pelaburan benilai RM1.65 billion di Taman Bio Kerteh, Terengganu.

(SIRI SEBELUMNYA)