Halaman

02 October 2012

Sokongan terhadap Kerajaan BN meningkat

Satu hakikat yang semua orang kena terima ialah persepsi rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) sekarang ini semakin baik berbanding semasa Pilihan Raya Umum tahun 2008.

Dengan pelbagai inisiatif yang dirangka Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, golongan muda mula kini dapat menilai kesungguhan kerajaan untuk mencorakkan masa depan negara yang lebih meyakinkan.

Perubahan persepsi ini berlaku berikutan inisiatif mentransformasikan negara menerusi Program Transformasi Politik, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, yang telah membuahkan hasil dan dapat dirasai sendiri oleh rakyat.

Bajet 2012 dan terbaru Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini menyediakan berbagai-bagai imbuhan kepada kakitangan kerajaan, golongan kurang berada, pelajar, pesara dan pelbagai lapisan masyarakat.

Majoriti rakyat kini sedar mengenai pelbagai program berbentuk sosial dan kebajikan yang dilaksanakan Kerajaan BN hingga sukar bagi pembangkang menafikannya.

Program-program itu termasuklah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia), Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) dan Menu Rakyat 1Malaysia yang kian dekat di hati rakyat.

Program meningkatkan taraf hidup, kebajikan dan keselesaan rakyat yang jelas seperti inilah yang dimahukan semua rakyat, khususnya pengundi di luar bandar.

Bagi pengundi di bandar pula, selain menikmati hasil program itu, mereka turut menghargai ketelusan pemimpin BN yang mendengar rintihan masalah mereka dan berusaha mencari penyelesaian.

Usaha-usaha dan projek pembangunan di seluruh negara dan pendekatan mesra rakyat yang dilakukan Perdana Menteri dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, berjaya menghakis persepsi negatif rakyat terhadap BN.

Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hampir dan golongan atas pagar dilihat berhati-hati untuk memilih parti mana yang mampu mewakili mereka untuk meneruskan pembangunan negara dan bukan menabur pelbagai janji kosong.

Dalam diam, mereka kini sedang menilai apa yang telah dibuat oleh Kerajaan BN dan apa yang telah dibuat kerajaan pembangkang di negeri-negeri yang mereka kuasasi sepanjang pemerintahan sejak 2008.

Berdasarkan prestasi hebat Kerajaan BN kebelakangan ini, pemerhati politik mengandaikan BN boleh mendapat balik sokongan daripada pengundi protes pada tahun 2008.

Dengan gerak kerja berterusan Perdana Menteri dan timbalannya, BN mampu menarik sokongan pengundi atas pagar, apatah lagi jika kesungguhan yang sama ditunjukkan juga oleh segenap lapisan pemimpin BN.

Kajian Majlis Belia FELDA mendapati lebih 60 peratus belia di seluruh negara kini menyokong BN.

Persepsi buruk yang dilempar pembangkang kononnya kerajaan BN zalim, menindas rakyat dan mengabaikan rakyat termasuk belia ternyata tidak dapat mempengaruhi mereka kerana mereka sendiri sudah merasai satu demi satu hasil usaha kerajaan BN, baik ke atas diri mereka mahupun keluarga mereka.


Sultan Mizan berangkat ke majlis santapan bersama warga istimewa

Sultan dan Sultanah Terengganu berkenan mengurniakan sumbangan kepada Warga Istimewa di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Santapan Bersama Warga Istimewa sempena sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-50 Hari Keputeraan Sultan Terenggau di Perkarangan Istana Maziah, Kuala Terengganu hari ini.


Berkenan berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Dato’ Haji Embong Awang dan Dato’ Dr Alias Abdullah serta Setiausaha Kerajaan Dato Haji Mazlan Ngah dan isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.


Sebaik majlis santapan selesai baginda telah berkenan mengurniakan sumbangan wang kepada 486 orang terdiri daripada warga emas, fakir miskin, orang kurang upaya (OKU), anak yatim dan ibu tunggal.

Mereka ini mewakili lapan Parlimen iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Besut yang masing-masing menerima RM500 seorang.

 

Kurang subsidi gula, tidak wajar dijadikan isu

Oleh: Suriati Ali

Pembangkang tidak wajar menjadikan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen bagi setiap kilogram gula sebagai isu politik sehingga menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, langkah diumumkan kerajaan dalam Bajet 2013 itu perlu dilihat dari konteks positif yang menyedarkan lebih ramai rakyat tentang kepentingan penjagaan kesihatan.

''Mereka sepatutnya membudayakan amalan mengelak penggunaan atau pengambilan gula berlebihan dalam makanan dan minuman harian di mana pencegahan itu merupakan satu penjimatan bagi mereka dalam jangka masa panjang.

''Apalah sangat kenaikan 20 sen bagi setiap kilogram dan setiap rumah mungkin hanya mengunakan dua atau tiga kilogram gula sebulan.

Justeru cuma pertambahan 60 sen dan peniaga yang tamak sahaja mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan,” katanya.

 Katanya, kerajaan bukan sengaja ingin mengurangkan subsidi, sebaliknya ia dilakukan berikutan statistik rakyat di negara ini dikesan semakin tinggi mengalami penyakit diabetis.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najid Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2013 mengumumkan pengurangan gula sebanyak RM0.20 sen sekilogram berkuatkuasa, semalam.

 Berdasarkan rekod, gula sebagai barangan kawalan mengalami kenaikan sebanyak empat kali sejak 1 Januari 2010 iaitu sebanyak RM0.20 sekilogram, RM0.25 sekilogram (18 Julai 2010), RM0.20 sekoligram (4 Disember 2010) dan kali terakhir 10 Mei 2011 (RM0.20 sekilogram) menjadikan harga runcit RM2.50 sekilogram sehingga kini.

Persidangan perlebahan jadi platform promosi TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Persidangan Persatuan Perlebahan SeAsia & Apiexpo (AAA) ke-11 2012 yang berlangsung lima hari berakhir hari ini menjadi satu platform bagi mempromosi Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 ke seluruh dunia.

Kebanyakan peserta bukan sahaja mendapat pendedahan serta berpeluang menerokai keunikan dan keindahan Terengganu, malah dapat menyebar informasi kepada rakan dan saudara mereka mengenai negeri ini apabila pulang ke negara masing-masing nanti.

Naib Pengerusi Persatuan Perlebahan SeAsia (AAA), Dato’ Dr Makhdzir Mardan (gambar), berkata persidangan itu bukan sahaja berjaya mencapai matlamat bagi membawa industri lebah ke peringkat lebih global dan berdaya saing, pada masa yang sama turut memperkenalkan Terengganu ke mata dunia, apatah lagi dalam usaha kerajaan mempromosikan TMT tahun depan.

“Peserta turut berpeluang melawat tempat menarik seperti Tasik kenyir, Pulau Kapas dan Pusat Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu dalam tempoh tujuh hari lalu.

“Ada di kalangan mereka memanjangkan tempoh berada di sini dengan menyambung percutian untuk ke tempat menarik, sekali gus dapat mempromosi lebih banyak tarikan sempena TMT 2013 nanti,” katanya ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Perpisahan Sempena Persidangan AAA dan & Apiekspo ke-11 2012,di Hotel Primula Beach Resort, semalam.

Berkenaan berangkat ke majlis itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Baginda diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Tengku Sri Temenggong Raja, Tengku Sri Paduka Raja dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama, Penasihat Undang-undang negeri, YB Noorbahri Baharuddin dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.

Dato' Dr Makhdzir berkata, kesemua peserta persidangan membelanjakan lebih RM1 juta bagi tujuan penginapan, tiket penerbangan dan makan-minum selain membeli-belah cenderahati dan produk tempatan sepanjang seminggu berkampung di negeri ini.


Seramai 300 peserta menyertai persidangan dengan 243 daripada mereka merupakan peserta dari 29 negara Asia, Eropah, Amerika Utara dan Amerika Selatan seperti China, Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja, Iran, Jepun, Australia, Venezuela, Kanada, United Kingdom, Czechoslovakia, Cameroon, Jerman, Mesir, India dan Libya.

 

Kesal sikap pembangkang putar belit isu Ladang Gemilang- Dato' Wan Hisham

Oleh: Suriati Ali

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato' Wan Hisham Wan Salleh (gambar),mencabar mereka terutama pemimpin Pas yang menyatakan pembinaan Pangsapuri Ladang Gemilang mendatangkan pelbagai masalah kepada penghuni.

“Tidak guna puak pembangkang memutarbelitkan keistimewaan pangsapuri itu melalui mana-mana saluran tanpa usul periksa.

 “Apabila kita bersemuka, mereka boleh bagi tahu kepada saya, apa yang tidak puas hati tentang pembinaan itu, saya boleh jelaskan semuanya berdasar fakta,” katanya.

Katanya, mereka perlu sedar kerajaan bina pangsapuri itu untuk keselesaan kerana sebelum ini kebanyakan penghuni terpaksa tingggal berhimpit di rumah daif yang dibina di atas tanah milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

 “Kita bina pangsapuri itu lengkap dengan dua kemudahan lif di mana terdapat satu lif besar dan kecil. “Jika mereka menyatakan jenazah sukar diturunkan dan terpaksa dikendong, itu hanya kenyataan bohong dan penipuan yang sengaja diwujudkan,” katanya.

 Katanya, berkaitan harga sewa RM300 sebulan yang dikatakan mahal itu adalah tidak benar. , ia jauh lebih murah kerana mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

 “Kalau harga sewa sebenar tentulah RM700 atau RM800 sebulan, mereka yang tidak bermampuan dan cukup syarat diberikan pula subsidi bayaran sewa rumah itu.

“Apabila penghuni itu membayarnya secara teratur dan berdisplin selanjang tiga tahun, ia layak memohon untuk menukar syarat rumah kepada sewa beli,” katanya.

 Katanya, kerajaan terpaksa meletakkan peraturan seumpama itu bagi mengelak pemilik memberi sewa dan menjualnya kepada orang lain atau penduduk luar.

 

Sultan Mizan berangkat rai majlis perpisahan persidangan perlebahan

Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Perpisahan Sempena Persidangan Persatuan Perlebahan SeAsia & Apiexpo ke-11 2012, di Hotel Primula Beach Resort, semalam.


Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Tengku Sri Temenggong Raja, Tengku Sri Paduka Raja dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama, Penasihat Undang-undang negeri, YB Noorbahri Baharuddin dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.

Seramai 300 peserta persidangan AAA termasuk 243 dari 29 negara Asia, Eropah dan juga Amerika Utara dan Amerika Selatan turut diraikan di majlis penutup persidangan itu.


Mereka ceria diraikan dengan juadah istimewa makan malam disusuli dengan persembahan kesenian artis kebudayaan negeri sebagai bingkisan penutup tirai selepas seminggu berkampung di Kuala Terengganu itu.

Peserta bukan sahaja terhibur dan teruja diraikan bersama tetamu kenamaan, malah mengambil peluang merakamkan gambar kenang-kenangan sepanjang majlis istimewa itu.

 

Kelab Veteran MAYCTerengganu tubuh 1Komuniti 1Malaysia

Oleh; Esah Abdullah

Kelab Veteran MAYC Kebangsaan akan memperkenalkan program `1 Komuniti 1 Malaysia’ di seluruh negara dalam usaha menggerakkan aktiviti di peringkat kampung.

Presidennya, Dato’ Nasir Safar berkata, sebagai permulaan setiap negeri akan menubuhkan `I Komuniti 1 Malaysia’ sebelum dilaksanakan di setiap daerah yang memberi tumpuan kepada aktiviti di peringkat komuniti kecil seperti yang dilaksanakan oleh pemimpin terdahulu.

Menurut beliau, program itu akan dijadikan model kepada generasi baru yang ingin menjadi pemimpin supaya sentiasa mendekati masyarakat di akar umbi.

`Program tersebut adalah sebagai usaha dan sumbangan kelab veteran untuk bersama-sama kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri,’’ katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kelab Veteran MAYC Terengganu di Laman Inap Desa, Teluk Ketapang, Seberang Takir semalam.

Hadir sama Pengerusi Kelab Veteran MAYC Terengganu, Encik Alias Mustafa. Katanya, melalui program itu akan diketengahkan aktiviti di peringkat komuniti setempat seperti bidang pendidikan, agama, kebudayaa dan sukan.

 Nasir berkata, sehingga ini semua negeri telah menubuhkan kelab veteran masing-masing kecuali Perak yang akan dilancarkan pada 12 Oktober ini dan diikuti Pahang. Selain itu katanya, dengan penubuhan kelab veteran itu dapat mengumpulkan semula seramai mungkin bekas-bekas ahli Mayc di seluruh negara.

“Sebahagian besar golongan ini masih berkemampuan untuk melaksanakan pelbagai program jika bukan dari segi fizikal, tetapi dari idea yang boleh diketengahkan,” katanya.

 Dalam perkembangan lain beliau mengingatkan semua jawatankuasa kelab veteran yang dilantik perlu menjalankan tugas yang diamanah dengan ikhlas dan jujur.

 ``Mereka diberi masa tiga bulan dan jika dilihat tidak mampu menggerakkan kelab tersebut saya tidak teragak-agak untuk menarik balik jawatan yang diberikan,’’ tegasnya.

Ini kerana katanya,semua jawatan dalam kelab veteran itu dilantik oleh Presiden dan jawatan berkenaan boleh ditarik pada bila-bila masa jika gagal berfungsi dengan baik.

 Sempena majlis itu, Kelab Veteran MAYC negeri turut menyampaikan anugerah `Jasamu Dikenang’ kepada sepuluh orang bekas pemimpin MAYC di peringkat negeri. Mereka menerima cenderamata dan sijil yang disampaikan oleh Dato’ Nasir.

 

01 October 2012

Rakyat DUN Ladang mula sedar

Oleh: Suriati Ali 

Pendekatan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato’ Wan Hisham Wan Salleh melaksanakan pelbagai perubahan di kawasan Ladang mampu diterima secara baik oleh rakyat.

Katanya, perubahan paling ketara apabila mereka sanggup meluangkan masa mengikuti pelbagai program yang dilaksanakan semata-mata mahu mengetahui maklumat terkini berkaitan pelbagai perkara.

“Mereka mula sedar tentang kebaikan yang dilaksanakan pemimpin kerajaan memerintah, termasuk pengagihan e-Book, infrastruktur di setiap kawasan, perumahan dan bantuan persediaan belajar.

“Selain itu, di DUN Ladang turut mengagihkan Bantuan Rakyat 1malaysia (BR1M) berjumlah RM500 setiap keluarga, selain dana hari raya, dana remaja, bantuan membaiki rumah dan atap biru turut diagihkan tanpa mengenal fahaman politik,”katanya.

 Katanya, melihat keadaan ini, puak pembangkang seakan tidak senang duduk dan boleh diibaratkan sebagai `cacing kepanasan’, setiap kali kerajaan menghulurkan bantuan kepada rakyat.

 “Pasti mereka menabur fitnah apabila mengetahuinya dengan menyatakan apa yang dilaksanakan kerajaan itu hanya sekadar meraih undi, gimik pilihan raya dan sebagainya.

“Sehingga kini, mereka tidak putus-putus memutarbelitkan pembinaan Pangsapuri Ladang Gemilang dengan pelbagai isu dan perkara yang sememangnya tidak benar,” katanya.

 Menurutnya, apa yang menyedihkan, mereka yang menabur fitnah bukan di kalangan penghuni itu sendiri, sebaliknya puak pembangkang di kawasan Batu Burok.

 

Kanak-kanak TPK hafaz surah lazim meningkat

Oleh: Suriati Ali 

Kira-kira 1,200 kanak-kanak Taska Permata Keluarga (TPK) di negeri ini akan menyertai Program Menghafaz Surah Lazim yang dijangka berlangsung pertengahan bulan ini.

Pengarah yayasan itu, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa, jumlah itu meningkat berbanding 1,012 kanak-kanak yang menyertainya program sama pada tahun lalu.

Katanya, ketika mula diperkenalkan dulu iaitu pada 2007, seramai 250 kanak-kanak saja berjaya menghafaz 23 surah lazim, diikuti 455 orang (2008) dan 594 (2009) dan 753 kanak-kanak pada 2010.

“Jadual waktu hafaz enam kali sehari yang dipraktikkan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu yang mengambil masa lima hingga enam minit setiap sesi bacaan, mendorong peningkatan jumlah kanak-kanak hafaz al-Quran setiap tahun.

“Setiap hari, antara waktu bemain dan aktiviti pembelajaran lain, mereka akan berehat sekejap untuk membaca Muqaddam dan cara begini diterima baik golongan kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun,” katanya.

Katanya, kanak-kanak berkenaan dipastikan peka dengan amalan itu supaya tidak ketinggalan dan mereka yang menunjukkan minat saja akan terpilih.

“Ibu bapa disarankan membantu anak-anak menghafaz setiap surah dikehendaki di rumah supaya lebih cepat ingat dan lancar,” katanya. 

Katanya, YPKT mengharapkan jumlah lebih besar boleh dicapai kanak-kanak TPK dalam menghafaz 23 surah lazim pada tahun seterusnya.

 

Unit perang siber tangani persepsi negatif

Oleh: Aida Abd Rahman

Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu mewujudkan kumpulan penggerak di peringkat akar umbi yang dikenali sebagai `unit perang siber’ bagi menangani persepsi negatif mengenai Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengarah Strategik Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Rosli Mat Hassan, berkata kumpulan yang berfungsi sebagai perisai di peringkat Kerajaan BN serta Umno negeri bertujuan menangkis dan menguruskan persepsi itu dengan baik sama ada menerusi facebook, twitter, blog dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

“Kita tidak pernah lekang daripada berdepan dengan pelbagai tanggapan buruk dan persepsi yang diuar-uarkan oleh segelintir kumpulan, sama ada dari pihak pembangkang mahu pun pemimpin dan ahli parti sendiri.

“Jika pembangkang kerja menabur fitnah dan menyebar maklumat tidak tepat itu sudah amalan mereka demi meraih sokongan rakyat supaya parti diwakili mereka dipilih penyokong. Malah, mereka sebagaimana yang kita tahu akan berusaha meyakinkan rakyat dengan apa cara sekali pun,” katanya ketika ditemui Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Rosli berkata, Umno negeri melihat persepsi negatif di kalangan pemimpin dan ahli parti sendiri perlu ditangani secara berhemah serta dianggap sesuatu yang serius memandangkan penyokong BN dan Umno Terengganu tidak besar berbanding negeri lain.

Katanya, selain menangani persepsi kurang baik menerusi media maya dan alam siber, semua pihak sama ada ketua di peringkat bahagian, Dewan Undangan Negeri mahu pun cawangan masing-masing perlu bertindak menghuraikan fakta sebenar kepada rakyat bagi membetulkan tanggapan negatif itu.

 Pada masa yang sama, beliau juga meminta semua pemimpin dan ahli parti bukan sahaja tidak mengingkari janji dan lafaz ikrar sebagai ahli parti, malah perlu menyemat rasa cinta dan hormat terhadap Kerajaan BN dan Umno yang sudah banyak berjasa serta memberi faedah kepada seluruh umat Islam dan pelbagai kaum sejak merdeka lagi.

 “Kadang-kadang wujud persepsi negatif terhadap parti disebabkan kita rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan dan pandangan kerana kepentingan hendak menjadi calon, hendak dihargai dan dihormati.

“Dalam satu organisasi besar, ia merupakan perkara biasa, tetapi kita berharap semua pemimpin dan ahli kembali bersatu di bawah satu bumbung dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi parti, bukan kerana kepentingan peribadi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berbangga kerana masih ramai di kalangan pemimpin dan ahli Umno sendiri yang tetap meneruskan perjuangan melaksanakan kerja parti dan menyokong kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said walaupun gagal mendapat jawatan yang mereka cita-citakan.

 “Perkara ini harus menjadi ikutan dan contoh kepada negeri lain, di mana kepimpinan parti peringkat bahagian sentiasa akur keputusan pucuk pimpinan dan bergerak seiring dalam memberi sokongan kepada kepimpinan tertinggi .

“Dalam hal ini walaupun mereka meletakkan kepentingan peribadi satu perkara yang penting, mereka masih lagi menjadikan partisebagai asas utama perjuangan,” katanya.