Satu hakikat yang semua orang kena terima ialah persepsi rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) sekarang ini semakin baik berbanding semasa Pilihan Raya Umum tahun 2008.
Dengan pelbagai inisiatif yang dirangka Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, golongan muda mula kini dapat menilai kesungguhan kerajaan untuk mencorakkan masa depan negara yang lebih meyakinkan.
Perubahan persepsi ini berlaku berikutan inisiatif mentransformasikan negara menerusi Program Transformasi Politik, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, yang telah membuahkan hasil dan dapat dirasai sendiri oleh rakyat.
Bajet 2012 dan terbaru Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini menyediakan berbagai-bagai imbuhan kepada kakitangan kerajaan, golongan kurang berada, pelajar, pesara dan pelbagai lapisan masyarakat.
Majoriti rakyat kini sedar mengenai pelbagai program berbentuk sosial dan kebajikan yang dilaksanakan Kerajaan BN hingga sukar bagi pembangkang menafikannya.
Program-program itu termasuklah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia), Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) dan Menu Rakyat 1Malaysia yang kian dekat di hati rakyat.
Program meningkatkan taraf hidup, kebajikan dan keselesaan rakyat yang jelas seperti inilah yang dimahukan semua rakyat, khususnya pengundi di luar bandar.
Bagi pengundi di bandar pula, selain menikmati hasil program itu, mereka turut menghargai ketelusan pemimpin BN yang mendengar rintihan masalah mereka dan berusaha mencari penyelesaian.
Usaha-usaha dan projek pembangunan di seluruh negara dan pendekatan mesra rakyat yang dilakukan Perdana Menteri dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, berjaya menghakis persepsi negatif rakyat terhadap BN.
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hampir dan golongan atas pagar dilihat berhati-hati untuk memilih parti mana yang mampu mewakili mereka untuk meneruskan pembangunan negara dan bukan menabur pelbagai janji kosong.
Dalam diam, mereka kini sedang menilai apa yang telah dibuat oleh Kerajaan BN dan apa yang telah dibuat kerajaan pembangkang di negeri-negeri yang mereka kuasasi sepanjang pemerintahan sejak 2008.
Berdasarkan prestasi hebat Kerajaan BN kebelakangan ini, pemerhati politik mengandaikan BN boleh mendapat balik sokongan daripada pengundi protes pada tahun 2008.
Dengan gerak kerja berterusan Perdana Menteri dan timbalannya, BN mampu menarik sokongan pengundi atas pagar, apatah lagi jika kesungguhan yang sama ditunjukkan juga oleh segenap lapisan pemimpin BN.
Kajian Majlis Belia FELDA mendapati lebih 60 peratus belia di seluruh negara kini menyokong BN.
Persepsi buruk yang dilempar pembangkang kononnya kerajaan BN zalim, menindas rakyat dan mengabaikan rakyat termasuk belia ternyata tidak dapat mempengaruhi mereka kerana mereka sendiri sudah merasai satu demi satu hasil usaha kerajaan BN, baik ke atas diri mereka mahupun keluarga mereka.