Halaman

07 October 2012

PM galak rakyat tanam pokok petai belalang

Petani menunjukkan buah petai belalang.

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mahu petani digalakkan supaya menanam pokok petai belalang atau nama saintifiknya 'Leucaena Leucocephala' kerana ia merupakan bahan mesra alam dan boleh memberi kesan baik kepada alam sekitar.

Beliau berkata, tanaman tersebut memberi pilihan kepada petani bagi meningkatkan pendapatan mereka serta mudah diurus kerana ia tidak memerlukan penggunaan tanah yang terbaik.

“Tanaman ini tidak memerlukan tanah kategori terbaik, tetapi ia boleh ditanam di tanah yang bukan dari jenis kategori terbaik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Loji Bio-Metionina dan Tiokimia bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, semalam.

Projek bernilai RM2 bilion yang terletak di kawasan seluas 70 hektar itu merupakan projek kerjasama antara CJ CheilJedang dari Korea dan platform tiokimia Arkema dari Perancis, bakal beroperasi pada Disember 2013.

Kemudahan bersepadu itu adalah yang pertama di dunia yang menggunakan proses penapisan dalam menghasilkan L-metionina, sejenis asid amino yang biasa digunakan dalam pembuatan makanan haiwan.

Biopenapisan mempunyai konsep yang serupa dengan loji penapisan petroleum yang menghasilkan pelbagai bahan api dan produk kimia daripada petroleum.

Biopenapisan menggunakan komponen daripada biojisim seperti 'Acacia Mangium' dan Petai Belalang serta produk-produk perantara yang berkaitan, sekali gus memaksimumkan nilai yang diperoleh daripada bahan mentah biojisim.

Perdana Menteri juga mahu tanaman itu diperluaskan ke seluruh negara bagi memenuhi permintaan industri bioteknologi.

Beliau berharap petani dari negeri-negeri lain dapat membekalkan hasil tanaman itu dengan harga yang baik bagi kegunaan industri berkenaan.

Baru-baru ini Kerajaan Terengganu memperuntukkan kawasan seluas 30,000 hektar untuk perladangan biojisim yang akan menghasilkan 10.5 juta tan metrik cip kayu setahun daripada pokok petai belalang.

Malah, Terengganu memulakan projek perladangan biojisim di kawasan seluas dua hektar di Hutan Simpan Merchang, Marang, bulan lepas.

Projek bio-metionina ini dijangka beroperasi pada Disember tahun depan.


Belia kunjung rumah orang tua



Oleh: Mohammad Ishak 

Tidak semua orang muda menyisihkan warga tua dalam kehidupan seharian sebaliknya masih ada golongan berkenaan yang prihaitin dan tanpil merapatkan hubungan silatulrahim dengan menjengok orang tua yang tinggal di kampung.

Perkara ini dibuktikan oleh Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Daerah Besut apabila satu program khas dikenali “Rapat Ziarah” yang memberi fokus kepada usaha mendekati golongan belia dengan warga tua.

Pengerusinya,Wan Adilah Wan Awang berkata, program sehari yang diadakan di Kampung Denger,dekat Jertih, disertai oleh ahli jawatankuasa MAYC daerah itu dan memilih warga tua di Kampung Denger untuk dikunjungi.

Katanya, sepanjang program itu dijalankan pihaknya berjaya menjejak 40 rumah membabitkan warga tua yang uzur, tidak berupaya, keluarga yang mempunyai anak ramai dan ibu tunggal yang daif.

Menurutnya,program itu bertujuan merapatkan hubungan antara generasi muda dengan golongan tuan selain beramah mesra untuk membangkitkan semangat persaudaraan dikalangan penduduk kampung.

Wan Adilah berkata, sempena lawatan itu pihaknya juga turut menyumbangkan makanan yang disampaikan kepada keluarga terbabit.

Menerusi program itu,katanya, orang muda juga dapat mengetahui kisah hidup yang pernah dilalui orang tua ketika menghadapi zaman sukar dengan serba serbi kekurangan sehinggalah mereka juga sempat menikmati zaman pembangunan hasil usaha kerajaan.

Beliau berkata, MAYC daerah itu akan meneruskan aktiviti berbentuk khidmat sosial di sekitar daerah berkenaan dari masa ke semasa berdasarkan kemampuan yang ada kepada kelab berkenaan.

MBKT bawa pulang wang tunai RM20,000

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Datuk Bandar,  Dato' Adzlan Mohd Dagang menerima hadiah kemenangan yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.

Bijak mempamerkan keceriaan dan konsep `Bandaraya Persisir Air’ pada bot penambang memberi kelebihan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) apabila dinobatkan sebagai juara bagi Pertandingan Citra Bot Berhias, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, malam tadi.

Bot berhias MBKT yang turut menekankan beberapa keunikan lain, termasuk logo Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, layar `Moosun Cup’, kubah Masjid Kristal, podium Wisma Darul Iman, songket dan batik layak membawa pulang wang tunai RM20,000.

Manakala naib johan pertandingan sempena sambutan ulangtahun yang ke-50 hari Keputeraan Sultan Terengganu itu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan pulangan wang tunai RM15,000.

Bot berhias MBKT
Tempat ketiga pula disandang, Pejabat Daerah Kemaman, layak memperoleh RM10,000; tempat keempat Pejabat Daerah Setiu dan kelima (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), masing-masing membawa pulang RM5,000.

Sebanyak 13 bot berhias millik jabatan kerajaan dan swasta lain seperti Jabatan Laut Terengganu, Taman Tamadun Islam, Koperasi Warisan Seberang Takir Terengganu Berhad, Pejabat Daerah Terengganu turut menampilkan pelbagai kreativiti menarik walaupun tidak memenangi sebarang hadiah.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri  Haji Ahmad Said itu dikunjungi lebih 5,000 penduduk.


Hadir sama isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah;  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Dato' Haji Rahin Mohd Said dan beberapa barisan exco lain.


Pada malam berkenaan turut diadakan pertunjukan bunga api, tarian tradisional serta cabutan bertuah dan paling menarik pelancong asing akan diarak dengan menaiki beca berhias yang disediakan ke tapak program.

Datuk Bandar MBKT, Dato' Adzlan Mohd Dagang, berkata sokongan padu semua pihak dan kerjasama 20 kakitangan antara petua bot berhias milik MBKT mampu memikat hati juri pertandingan.

“Kakitangan terlibat mengambil masa hanya empat hari dengan membelanjakan hampir RM20,000 bagi menyiapkan konsep yang diinginkan penganjur,” katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah kemenangan.

 

MBKT juara Citra Bot Berhias 2012

TERKINI:
Warna-warni Pertandingan Citra Bot Berhias 2012 yang diadakan di Sungai Terengganu berhampiran Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, malam tadi (6 Oktober 2012).

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Bot berhias dari MBKT dinobatkan juara pertandingan.
Percikan bunga api mewarnai lagi Pertandingan Citra Bot Berhias.

Bot dari Ketengah berjaya memikat orang ramai.
Kuala Sungai Terengganu bermandi cahaya dengan bot berhias.

PMINT dengan kreativiti menghias bot menarik perhatian ramai.


06 October 2012

PM dan isteri hadiri majlis persandingan anak sulung MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor meluangkan masa menghadiri majlis persandingan anak sulung Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di kediamannya di Teluk Kalong, Kijal, Kemaman, hari ini.

Dato' Seri Mohd Najib disambut ribuan rakyat jelata ketika tiba di perkarangan rumah  Menteri Besar Terengganu
Dato’ Seri Mohd Najib tiba ke kediaman Menteri Besar kira-kira jam 1 petang selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih kira-kira tiga jam sebelum itu.


Sejurus tiba, beliau disambut Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud memasuki kediaman untuk bersuai kenal sebelum diiringi ke pentas utama dan menyaksikan persandingan kedua mempelai, Puan Nor Asdayana Dato' Seri Haji Ahmad dengan suaminya, Mohd Hafiz Adnan.

Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Paduka Rosmah menepung tawar pengantin sebelum makan beradap bersama pengantin dan kedua ibu bapa pasangan pengantin.

Turut hadir di majlis itu, Tengku Seri Bendahara Raja; Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Hadir sama, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Ahli Dewan Undangan Negeri ketua-ketua jabatan, pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat setempat.

Selain itu, lebih 10,000 penduduk seluruh Terengganu, khususnya dari kawasan Kijal membanjiri majlis yang bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang itu.

Puan Nor Asdayana dan suami diijabkabul di Kediaman Seri Iman pada sebelah malam 21 September lalu. Kedua-dua pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 15 Oktober tahun lalu.





 

PM lawat bekas Adun Kemasek

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang melawat Terengganu hari ini sempat meluangkan masa menziarahi bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasek, Dato’ Haji Abu Bakar Ali, di kediamannya di Kertih.

Perdana Menteri dan isteri melawat bekas Adun Kemasik, Dato' Haji Abu Bakar Ali di rumahnya di Bandar Baru Kertih, Kemaman.
Dato’ Seri Mohd Najib meluangkan sedikit masa bagi bertanyakan khabar bekas Adun Kemasek itu yang terlantar sakit sejak lebih tiga bulan lalu.

Dato’ Abu Bakar merupakan salah seorang veteran Umno Terengganu yang lama berkhidmat sebagai Adun iaitu selama lima penggal (terakhir bertanding di DUN Kemasek pada Pilihanraya Umum 2004 dan menang).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan saf kepimpinan negeri turut menziarahi bekas pemimpin yang popular dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu itu.

 

Kerjasama erat Kerajaan Negeri, Pusat tarik pelabur asing

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Pusat, mampu menarik pelabur asing datang melabur ke negeri ini, sekaligus membantu memberi pendapatan sampingan dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika memberi ucapan pada majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, Kertih, hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha gigih yang dilakukan pemimpin kerajaan negeri dengan dibantu Kerajaan Pusat telah membantu membawa banyak pelabur asing ke negeri ini sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, kini syarikat dari Korea dan Perancis bersetuju melabur RM2 bilion bagi membina loji bio-metionina pertama di dunia, di Taman Biopolimer Kertih di Kertih.


“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, kerana telah membantu membawa pelaburan yang besar ke negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, Kertih, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pihaknya berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Pusat akan terus kekal bagi memastikan pembangunan dan usaha menarik pelabur ke Terengganu berjalan lancar.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita akan memberi komitmen yang tinggi kepada Syarikat CJ CheilJedang dan Arkema yang terlibat dengan pembinaan loji bio-metionina ini bagi memastikan ia berjalan dengan lancar,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga kini sedang menggalakkan penanaman pokok petai belalang bagi membolehkan ia dibekalkan kepada kilang itu nanti.


Terengganu terpahat di peta dunia - PM

Perdana Menteri, Dato' Seri Moh Najib Tun Abdul Razak diiringi Dato' Seri Haji Ahmad Said serta pelabur utama melihat upacara pecah tanah kilang berkenaan di Kertih, Kemaman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

 Oleh: Kamarudin Mat Akib

Negeri Terengganu, khususnya Kertih, amat bertuah kerana ia akan terpahat di peta dunia dalam sektor industri bioteknologi dengan terbinanya loji bio-metionina pertama di dunia.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata rakyat negara ini tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti kita mampu mempunyai projek sebesar ini (dengan pelaburan RM2 bilion) yang akan membawa Terengganu sebaris dengan pengeluar dan pengeksport global.

Gimik majlis pecah tanah yang dilakukan Perdana Menteri.
“Tapi hari ini, ianya terbukti menjadi kenyataan, hasil daripada perancangan yang teliti serta pelaksanaan yang baik oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, Kertih, hari ini.


Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif CJ Cheiljedang, Encik Kim Chul Ha dan Naib Presiden Eksekutif Arkema, Encik Marc Schuller.


Projek pembinaan loji bio-metionina tersebut diusahakan CJ Cheiljedang dari Korea dan Arkema dari Perancis, akan memulakan operasi pada akhir tahun depan.



Loji pengeluaran 80,000 tan metrik bio-metionina dan platform tiokimia itu akan dibina di atas tapak seluas 70 hektar dan turut memberi manfaat kepada ramai penduduk sekitarnya yanag akan membekalkan petai belalang sebagai bahan utama kilang.

Perdana Menteri berkata, pihaknya berharap projek tersebut juga akan turut memanfaatkan penduduk di negeri lain di maan mereka juga boleh mengusahakan tanaman petai belalang untuk dijual ke kilang berkenaan.


PM Pecah Tamah Loji Bio-Metionina CJ & Platform Tiokimia Arkema

TERKINI:

Perdana Menteri, Dato'Seri Mohd Najib Tun Razak melakukan pecah tanah Loji Pengeluaran Bio-Metionina CJ & Platform Tiokimia Arkema di Taman Bio-Polimer Kertih, Kemaman pagi tadi (6 Oktober 2012).

                          Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA



Perdana Menteri melakukan gimik pecah tanah kilang berkenaan.
Meninjau kawasan pembinaan.

Majlis menandatangani plak perasmian.




Melihat pelan dan kedudukan kilang berkenaan.







30 Anggota TUDM Gong Kedak sertai gotong royong bersih kubur bersama penduduk



Oleh: Mohammad Ishak 

Cuti hujung minggu tidak pernah dipersiakan oleh anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pangkalan Gong Kedak, sebaliknya dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti berfaedah terutama khidmat komuniti bersama masyarakat.

Program gotong royong membersih tanah perkuburan Islam di Kampung Denger, dekat Jertih, oleh anggota pasukan itu bersama kampung sebahagian daripada khidmat komuniti hujung minggu yang kerap dijalankan oleh pasukan berkenaan.

Seramai 30 anggota yang tidak terbabit dengan tugas harian menyertai gotong membersih kubur berkenaan yang turut disertai Pegawai Memerintahnya, Kol Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Kol Mohd Asghar berkata, pihaknya sentiasa turun padang mendekati masyarakat dengan mengadakan pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan bertujuan merapatkan hubungan antara anggota dengan komuniti.

Katanya, menerusi khidmat sukarela itu juga ia dapat membantu pihak terbabit menjayakan sesuatu aktiviti di kampung masing-masing.

Menurutnya, hampir setiap minggu anggota TUDM berkenaan keluar ke kampung sekitar daerah Besut apabila ada pihak terutama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Masjid menjemput untuk mengadakan kerja gotong royong.

“Kerja gotong bersama penduduk selain dapat meningkatkan semangat kerjasama kedua belah pihak ia juga mampu melatih anggota dalam aktiviti amal,” katanya.

Beliau berkata, TUDM kini mengadakan pendekatan baru bagi mempastikan seluruh anggota turut terbabit dalam apa juga aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh penduduk sekitar daerah Besut.