Halaman

11 October 2012

500 mangsa ribut Kemaman terima bantuan

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Bantuan segera sebanyak RM500 dan sedikit barangan dapur untuk mangsa ribut baru-baru ini telah disampaikan sendiri oleh YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek yang juga merangkap Ahli Parlimen Kemaman, petang semalam di perkarangan rumah Pengerusi JKKK Kg. Mak Chili.

Menurut Pengerusi JKKK Kg. Mak Chili, Haji Maydin Hassan selama 60 tahun beliau menetap disini belum pernah berlaku ribut sebegitu kuat sehingga 58 buah rumah ranap dipukul ribut yang kuat.

Walaupun kawasan jagaannya tidak pernah menang dalam pilihan raya namun keprihtinan pihak kerajaan terhadap raktyat yang tidak memilih bulu samada mereka daripada pihak pembangkang layak untuk menerima bantuan.

“Lebih membanggakan Yang Berhormat (YB) kita lebih awal tiba di tempat kejadian daripada YB mereka sendiri yang menang di kawasan tersebut,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek dalam ucapannya berkata pihak kerajaan cuba sedaya mungkin untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa seberapa segera agar dapat meringankan beban mereka.

Beliau yang pada ketika itu sedang berada di Kuala Lumpur bergegas pulang ke Kemaman untuk melihat sendiri keadaan rumah mangsa ribut yang dikatakan semakin meningkat sehingga mencecah ratusan buah rumah.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Haji Wan Mokhtar, Ketua Wanita UMNO Kemaman Senator Hajah Rohani Abdullah dan Setiusaha UMNO Bahagian Kemaman Rosli Ahmad.


Program Jalinan Rakyat di DUN Rhu Rendang

Oleh :Amirullah Othman

Demi memperjuangkan kepentingan rakyat dan menyemai sikap mengenang budi kepada kerajaan, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, berusaha gigih bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai program pembangunan serta bantuan yang setiap masa disalurkan oleh Kerajaan Terengganu.

Mutakhir, seramai 200 orang yang terdiri daripada golongan wanita telah diundang dalam satu majlis Jalinan Rakyat di Dewan Majlis Daerah Marang di Kampung Paya.

Maklumat-maklumat mengenai bantuan dan program kerajaan negeri bagi kesejahteraan rakyat disampaikan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsudin Sulong dan Penolong Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, Encik A.Latiff Awang.

Haji Nik Dir berkata, usaha ini sangat penting kerana golongan ini biasanya hanya berada di rumah dan tidak terdedah dengan dunia luar.

“Dengan adanya majlis seumpama ini, sedikit sebanyak telah membuka mata mereka di mana golongan ini boleh bertindak sebagai agen maklumat dasar-dasar kerajaan untuk disampaikan kepada jiran-jiran dan ahli keluarga yang lain,” katanya.

Beliau berharap dengan adanya kesedaran di kalangan golongan wanita mereka akan bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan kepada keluarga masing-masing dan terus menyokong kerajaan negeri.

“Bagi meningkatkan hubungan antara rakyat dengan pemimpin setempat, perjumpaan-perjumpaan dalam kuantiti yang kecil akan diadakan dengan kerap supaya setiap permasalahan dapat diselesaikan,” katanya.



Lapan atlet terima P.J.K

Oleh; Esah Abdullah

Lapan(8)  atlet di negeri ini adalah di antara 185 orang penerima di Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran Negeri sempena ulang tahun yang ke-50 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Maziah, Kuala Terengganu hari ini.

Mereka ialah Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim yang tersenarai di antara 158 orang penerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K).

Kahirul Anwar dan Nurul Syafiqah telah mewakili negara ke Sukan Olimpik London baru-baru ini dalam acara sukan memanah di mana Khairul Anwar telah melayakkan diri ke peringkat suku akhir

Manakala tiga atlet berbasikal yang telah mengharumkan nama negeri dan negara turut menerima P.J.K ialah Amir Mustafa Rusli, Muhamad Adiq Husainie Othman dan Mohd Harrif Salleh.

 itu dua atlet sukan paralimpik iaitu Mohamad Azwar Abu Bakar@Ibrahim (ping pong) dan Abdul Rahman Razali (lawan pedang) serta Muhamad Zubir Mohd Azmi (bola sepak) turut menerima anugerah berkenaan.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negeri di Istana Maziah.

Turut hadir Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Selain itu seramai 11 orang lagi menerima Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C) dan 16 penerima Pingat Lama Berjawatan (P.L.B).




Sementara itu atlet orang kurang upaya (OKU) Mohd Azwar dan Abdul Rahman ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas kurniaan yang diterima dan berazam untuk terus  bekerja keras demi mengharumkan nama negeri dalam bidang yang diceburi.




Negara Islam luar negara kagum sistem pendidikan Islam Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Negara-negara luar kagum dengan sistem pendidikan yang dilaksanakan di Terengganu, terutama yang berasaskan al-Quran.

Sehubungan itu, tidak hairanlah jika Sekolah Menengah Imtiaz dan kelas-kelas tadika Yayasan Islam Terengganu yang melaksanakan Program Pintar al-Quran sering dilawati masyarakat Islam dari luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata terbaru 23 peserta yang terdiri daripada bakal imam dari negara Indonesia, Thailand dan Kemboja datang melawat Sekolah Menangah Imtiaz Besut, baru-baru ini.

“Mereka kagum dengan keistimewaan dan keunikan sistem pendidikan berasaskan al-Quran yang digunakan di sekolah berkenaan,” katanya ketika ditemui Teganukita kelmarin.

Menurutnya, masyarakat Islam dari luar negara turut kagum dengan usaha-usaha kerajaan negeri menyemai sikap gemar membaca al-Quran di kalangan kanak-kanak seawal usia merea berada di tadika lagi.

“Mereka memuji kehebatan Terengganu yang berjaya mengendalikan program yang membolehkan hampir 10,000 kanak-kanak tadika khatam al-Quran pada setiap tahun,” katanya.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, bagi pihak kerajaan negeri program berkenaan akan diperkemaskan dari semasa ke semasa agar hasrat membentuk masyarakat ‘celik al-Quran’ tercapai.

“Inilah yang kita lakukan bagi membolehkan masyarakat negeri ini mahir membaca al-Quran dan ia diharapkan menjadi ‘role model’ bukan saja di kalangan negeri-negeri lain, tetapi meliputi negara Islam peringkat global,” ujarnya.

 

Sultan Mizan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Bintang Kebesaran Negeri

Oleh; Esah Abdullah



Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran Negeri sempena perayaan ulang tahun yang ke-50 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Maziah, Kuala Terengganu hari ini.

 Berkenan berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Turut hadir Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah; Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara.

Pengurniaan Pingat-pingat Kebesaran Negeri dimulakan dengan Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C) seramai 11 orang, Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) seramai 158 orang dan Pingat Lama Berjawatan (P.L.B) seramai 16 orang.


Sultan Mizan Zainal Abidin berkenaan mengurniakan P.J.C, P.J.K dan P.L.B kepada semua penerima.





Sedia RM43 juta bantu golongan miskin

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri melalui Bajet 2013 memperuntukkan RM43 juta bagi membasmi kemiskinan, menampung dana pinjaman dan mewujudkan pelbagai program kepada golongan miskin di Terengganu.

 Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, berkata, pihaknya komited dan bertanggungjawab mengeluarkan belanja besar pada setiap tahun semata-mata tidak mahu rakyat negeri ini terus dibelenggu kemiskinan.

“Apa yang diusahakan sebelum ini menampakkan kejayaan cukup positif apabila golongan yang dibantu itu berjaya keluar daripada kelompok e-Kasih atau miskin tegar.

 “Selain itu, mereka juga tidak lagi bergantung kepada bantuan pihak tertentu, termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya selepas hadir pada satu majlis di Marang, baru-baru ini.

 Katanya, apa yang membanggakan, Terengganu disenaraikan negeri paling berjaya berbanding negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Kedah menurunkan kadar kemiskinan.

 “Berdasarkan perangkaan, seramai 14,000 peserta daripada 43,000 golongan itu keluar dari paras kemiskinan bermula 2008 hingga kini.

 “Pelbagai faktor mengapa seseorang itu disenaraikan sebagai peserta e-Kasih, antaranya sikap malas berusaha, mangsa perceraian, masalah tekanan hidup dan sebagainya,” katanya.

Kerajaan negeri sudah berusaha pelbagai cara semata-mata mahu mambantu golongan itu berjaya, termasuk memberi pinjaman perniagaan, peruntukan membaiki rumah serta atap dan bantuan persekolahan.

 

Derita Mohd Azmi, koma sejak enam bulan lalu

Oleh: Noraini Jusoh

Sisi hidup seorang pemuda yang dulunya ceria dan lasak berubah sejak enam bulan lalu apabila hanya mampu mengerdipkan mata, sementara pancaindera lain tidak lagi mampu bergerak seperti biasa selepas insiden enam bulan lalu yang hampir meragut nyawanya.

ADUN Tepoh, YB Ustaz Haji Ramli melawat Mohd Azmi Mustafa.
 Mohd Azmi Mustafa, 21, dari Pengkalan Maras, Tepoh terjatuh ketika berada di belakang lori yang sedang bergerak sewaktu pulang dari mencandat sotong di laut mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah di kepala dalam kemalangan  pada 11 April lalu.

Akibat tragedi berkenaan, anak keempat daripada lapan beradik itu sudah empat kali dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan termasuk sepuluh kali membuang air dan menghentikan pendarahan dalam kepala.

 kejadian itu juga menyebabkan bekas pelajar Sekolah Menengah Kompleks Wakaf Tengah itu terpaksa diuruskan sepenuhnya oleh ibu bapanya, Mustafa Abdullah, 58 dengan Maimun Tahir, 48, sekali gus mendorong bapanya berhenti kerja bagi memberi sepenuh tumpuan kepada Mohd Azmi.

 “Kami dari keluarga susah dan suami saya terpaksa berhenti kerja sebagai nelayan untuk bersama-sama membantu menjaga Azmi.” katanya yang turut memohon bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi meringankan bebanan keluarganya.

Menurut Maimun, kos perubatan untuk membeli keperluan harian Mohd Azmi seperti lampin, susu, dan rawatan susulan di hospital mencecah sehingga RM1,000 sebulan.

Katanya, penderitaan Mohd Azmi turut dirasai adik beradiknya yang lain namun faktor memiliki tanggungjawab kepada keluarga masing-masing serta pendapatan tidak tetap mengehadkan mereka untuk menghulurkan bantuan yang secukupnya.

“Azmi memerlukan sebuah katil yang lebih selesa, bagaimanapun keadaan kewangan kami sekarang tidak mengizinkan saya untuk membelinya.

YB Ustaz Haji Ramli menyumbang sebuah kerusi roda kepada Encik Mustafa untuk kegunaan   Mohd Azmi

 “Bagaimanapun, bantuan kerusi roda dari Adun Tepoh ini merupakan sumbangan yang cukup berharga, sementara kami masih berharap ada pihak lain dapat membantu kami terutama menampung perbelanjaan harian Azmi,” katanya.

 Terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh apabila pemimpin itu turun padang bagi menyerahkan bantuan kerusi roda, ketika kunjungan beliau ke rumah mangsa, kelmarin (9 Oktober).

 YB Haji Muhammad Ramli turut berjanji akan melihat keperluan dan bantuan yang sewajarnya bagi meringankan bebanan keluarga serta penderitaan pemuda malang itu.

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Maimun Tahir di talian 014-8298264 atau menyumbang terus ke akaun Bank Rakyat (MAIMUN BINTI TAHIR) (Nombor akaun : 221161060967)

 

Bajet 2013 perkukuh imej BN

Oleh : Amirullah Othman

Semua lapisan masyarakat terdiri daripada pelbagai golongan iaitu muda, pertengahan dan dewasa berpuas hati dengan Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, baru-baru ini kerana ia sangat adil, telus, seimbang dan menyeluruh.

Temubual Wartawan Teganukita dengan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Abdul Rahman Bakar, mendapat maklum balas sangat positif di mana beliau memuji keseluruhan peruntukan bajet itu yang menggembirakan rakyat.

Beliau berpendapat bajet yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri itu rata-ratanya mendapat sambutan yang hangat daripada pelbagai bentuk lapisan masyarakat memandangkan bajet tersebut memberi manfaat yang besar kepada mereka.

Beliau juga berharap semua rakyat dapat bersyukut kepada Allah s.w.t dan berterima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional kerana sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya.

“Bajet ini merupakan tanda terima kasih BN kepada rakyat dan menepati slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” serta “Janji Di tepati”,” katanya.

Katanya, slogan “Janji Di tepati” adalah sifat menepati hasrat Barisan Nasional untuk menolong rakyat dan memberikan manfaat yang sangat baik kepada rakyat. “Ini dapat disimpulkan bahawa BN menjadi semakin kuat dan bertenaga dan bertambah yakin bagi menghadapi PRU 13 nanti,” tambahnya.


Web kamera pantau banjir dipasang di empat lokasi

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (Pelatih)

Web kamera pemantau banjir dipasang di empat kawasan berisiko banjir di Terengganu sebagai langkah berwaspada dan meningkatkan keselamatan nyawa serta harta benda sepanjang musim tengkujuh bermula tahun ini.

 Sehubungan itu, Jabatan Parit dan Saliran (JPS) akan memasang web kamera berkenaan di Kampung Gong Terap, berdekatan Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh (Setiu), Jambatan Jerteh dan Kampung La (Besut). 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata bermula tahun ini, pihaknya akan memastikan empat kawasan berisiko itu dilengkapi web kamera pemantau banjir selain mengekalkan pemasangan 25 siren amaran banjir di seluruh Terengganu.

“Empat lokasi iaitu di Kampung Gong Terap berdekatan dengan Jambatan Kampung Gong Terap, yang keduanya, berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh, Setiu iaitu jalan ke Kampung Hulu Seladang. Ketiga, di jambatan Jerteh, (Besut) berdekatan dengan Balai Polis Trafik Jerteh dan keempat di Kampung La, Besut, iaitu berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Kampung La. Web kamera akan beroperasi pada tahun ini.

 “Siren amaran banjir kita ada di 25 kawasan seluruh negeri iaitu Besut (lima), Setiu (enam), Hulu Terengganu (lima), Kemaman (empat), Marang dan Dungun, masing-masing dua unit dan Kuala Terengganu satu,” katanya di sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, semalam (10 Oktober).

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Dato’ Mazlan berkata, kerajaan negeri sentiasa meningkatkan langkah keselamatan dan juga persiapan menghadapi musim tengkujuh dan banjir di negeri ini menerusi jawatankuasa yang dibentuk melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri dan juga Persekutuan.

Sebelum itu, beliau meminta semua penduduk negeri ini sentiasa peka dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku air pasang tinggi, walaupun berdasarkan laporan kaji cuaca jumlah taburan hujan seluruh Terengganu berada pada paras purata.

 “Cuaca tahun ini dijangka dari segi laporan kaji cuacanya, berkaitan hujan adalah dalam paras purata. Cuma dibimbangi lebih dari paras purata.

 “Sebagai contohnya, bulan November nanti, dijangka hujan antara 570 hingga 860 milimeter pada paras purata, pada Disember adalah 430 hingga ke 660 milimeter. Bagaimanapun yang kita bimbangnya apabila air pasang tinggi di mana dijangka air pasang tinggi pada November adalah dua kali, iaitu pada 14 hingga 19 November dan 27 hingga 30 November. Manakala, pada Disember pada 12 hingga 19 Disember dan 25 hingga 31 Disember. Kita bimbangnya apabila hujan berlaku pada musim ini, air tidak turun ke laut,” katanya.

 

Kesenian Tarian Balai makin dilupakan

Oleh: Mastura Jamaluddin

Tarian Balai pada asalnya bersangkut paut dengan pemujaan semangat padi dan ditarikan oleh anak-anak gadis desa di daerah Hulu Terengganu.

Tarian ini di kenali sebagai Tarian Balai dan berasal dari Kampung Bukit Gemuruh tapi kini tarian ini hanya menjadi khazanah kebudayaan Negeri Terengganu.

Ini adalah kerana penari-penari asalnya sudah berusia dan mulai dilupakan searus dengan peredaran zaman. Pergerakan dalam tarian mengambarkan kebudayaan petani atau penanam padi.

Payung yang berwarna-warni diletakkan di tengah-tengah pentas dan gadis-gadis penari tersebut akan menari mengelilingi payung yang menjadi simbol dan lambang semangat padi.

Semasa tarian itu, sebilangan perkakas-perkakas menanam padi digunakan seperti cangkul, penuai padi, topi penanam padi dan seumpamanya digunakan.

Tarian ini pada kebiasaannya akan diiringi dengan nyanyian.Jika di teliti lirik lagunya banyak mengandungi kata-kata yang berunsurkan nasihat kepada mereka yang mendengarnya.

Tarian balai bergerak aktif pada tahun 70-an sehingga akhir tahun 90-an. Namun kebudayaan yang ada pada tahun itu, kini sudah tidak lagi bergerak aktif dan hampir pupus kerana tiada golongan pelapis yang berminat untuk mempelajarinya.

Sebagai inisiatif bagi menghidupkan kembali budaya ini, satu badan iaitu Majlis Kebudayaan Daerah Hulu Terengganu memainkan peranan penting bagi memperkenalkan Tarian Balai dengan melatih generasi baru yang berminat untuk mempelajarinya di Kampung Bukit Gemuruh.

Berikut adalah lirik lagu tarian tersebut yang mengasyikan pendengar.

Ya bani ya badang Gok gelek tumbuh di bukit Untung batu tumbuh di lembah Nok tengok barang sedikit Bukan mudoh sebarang mudoh Nok sambut badang menari

Ramai : Ya bani ya badang Gok gelek tumbuh di bukit

Solo : Bukit Peroh Bukit Gemuruh Tari Balai mula asal Cari ilmu jangan tangguh Kalau lambat kita nyesal

Ramai : Ya bani ya badang Gok gelek tumbuh di bukit

Solo : Jalan redup ke Bukit Perepat Tingkah gendang sayup bergema Kalau hidup dok beradat Comel rupa dok berguna

Ramai : Ya bani ya badang Gok gelek tumbuh di bukit Batu Bersurat sejarah bangsa Kuala Berang kota budaya Budi adat jangan dilupa Baik amal sepanjang masa Muzik

solo Ulang semula rangkap 2 sampai 6

Ramai : Ya bani ya badang Gok gelek tumbuh di bukit Pulut panggang pulut lepa Dua nama benda serupa Ini lagu dok mengata Nok beringat sesama kita