Halaman

15 October 2012

Penyelidik diminta jadikan petai belalang bahan kajian

Oleh:Noraini Jusoh 

Para penyelidik dan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diseru menjadikan Petai Belalang sebagai antara pilihan utama untuk membuat kajian bagi membantu kerajaan negeri memperkenalkan produk ini kepada orang ramai.

Seorang penyelidik dari sebuah IPTA di negeri ini ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya belum menjalankan penyelidikan khusus mengenai tumbuhan dari keluarga kekacang ini atau nama saintifiknya ‘Leucaena Leucocephala’.

Menurut beliau, Petai Belalang merupakan sejenis tumbuhan yang mudah hidup dan boleh ditanam di tanah-tanah terbiar.

“Saya pernah melihat pokok ini di kawasan sekitar tetapi belum berkesempatan untuk membuat kajian terhadapnya,” ujarnya.

Untuk rekod, kerajaan negeri Terengganu dalam usaha menanam pokok Petai Belalang bagi menampung keperluan Kompleks Biopenapisan di Taman Polimer, Kerteh.

Kira-kira 30,000 hektar tanah disediakan bagi menghasilkan 10.5 juta tan metrik cip kayu setahun dari pokok itu bagi kegunaan industri berasaskan biokimia.

Projek yang dijadualkan memulakan operasi menjelang tahun 2015 ini diharap dapat memberi keuntungan kepada rakyat Terengganu di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda khususnya.

Justeru, pelajar IPTA khususnya anak Terengganu boleh memanfaatkan peluang ini bagi menjalankan kajian berasaskan Petai Belalang yang masih belum diterokai dalam usaha membantu meningkatkan imej kerajaan negeri dalam bidang penyelidikan.

 

Pemuda Kuala Terengganu siap siaga

Oleh:Noraini Jusoh 

Walaupun teka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) masih belum terjawab, namun persiapan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu bagi menghadapinya dilihat semakin rancak.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki berkata, pihaknya telah merancang dan mengatur strategi yang rapi dalam memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

“Bagi Parlimen Kuala Terengganu, pihak kami telah mengemaskini daftar pemilih di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di DUN Wakaf Mempelam, DUN Bandar, DUN Batu Buruk dan DUN Ladang.

“Dalam proses mengenal pasti pengundi yang menyokong BN di setiap DUN terutamanya yang baru pertama kali mendaftar sebagai pemilih, kebiasaannya telefon digunakan sebagai medium penghubung,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita.

Ketika ditanya mengenai cara yang efektif untuk mendekati golongan muda khususnya, beliau berpendapat pelbagai saluran yang boleh diwujudkan dan dimanfaatkan sebaiknya.

“Antara pendekatan yang digunakan oleh jentera Pemuda Bahagian di sini ialah dengan memperkenalkan Unit Utusan Pemuda (UUP) yang bertanggungjawab untuk mengedarkan risalah-risalah terutamanya kepada pengundi muda.

 “Selain itu, kita juga mempunyai kesatria pemuda dan pemuda bermotor yang bertujuan untuk membantu jentera BN terutamanya dalam soal gerak kerja dan program-program yang dianjurkan,’’ katanya.

Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu juga turut mempunyai kumpulan sukarelawannya yang tersendiri.

Menurut Badrul Hisham, ‘BN Youth Volunteer’ ditubuhkan untuk menarik minat golongan remaja berumur antara 18 hingga 21 tahun yang belum layak mendaftar sebagai pemilih untuk membantu jentera BN dalam menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.


Portal Sahabat beri manfaat kepada 21,000 usahawan

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) yakin Portal Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) yang dibangunkan Januari lalu mampu memberi manfaat kepada 21,000 usahawan di negeri ini bagi mempromosikan syarikat serta produk masing-masing.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji A. Razak Bin Sulaiman berkata, ia adalah satu alternatif kepada usahawan di bawah YPU untuk memperluaskan jaringan maklumat perniagaan mereka melalui capaian portal ini secara elektronik.

"YPU akan memasukkan data usahawan melalui kad bisnes yang diberikan dan pengguna dari seluruh negara boleh mengakses bagi mendapatkan kad bisnes tersebut serta maklumat tambahan tentang sesuatu syarikat serta produk.

"Melalui portal ini, YPU akan mewujudkan satu pangkalan data yang lengkap mengenai senarai usahawan yang menyediakan perkhidmatan berasaskan makanan, pembuatan, pengangkutan, pertanian serta pelancongan di negeri ini,"katanya.

Tambahnya, YPU memanfaatkan peluang penggunaan internet untuk membantu para usahawan meluaskan promosi perniagaan mereka dan seterusnya dapat mencapai pasaran ke peringkat global dengan mudah dan berkesan.

Katanya, seramai 1,400 usahawan di seluruh negeri telah mendaftar dalam portal SUT yang diwujudkan sejak awal tahun ini.

"Saya harap lebih ramai usahawan dapat memberikan butiran syarikat mereka untuk dimasukkan ke dalam portal SUT kerana ini merupakan peluang bagi memasarkan produk mereka malah pemasaran melalui internet jauh lebih murah berbanding kos yang melibatkan promosi luar dan pengiklanan,” katanya.

Pakatan Pas, PKR, DAP runtuh Kerajaan Islam

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pakatan Pas dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak wajar disokong kerana ia meruntuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, berkata selepas bergabung dengan DAP melalui Pakatan Rakyat, Pas sebenarnya melakukan kerja-kerja jahat yang bertujuan menumbangkan Kerajaan Islam yang telah dibentuk oleh Umno melalui pakatan BN.

“Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Kerajaan BN yang didokong oleh Umno adalah baik dan sentiasa mengutamakan ajaran Islam serta meningkatkan syiar Islam di negara ini.

“Sebaliknya, Pas hanya bercakap untuk memperjuangkan Islam, tetapi mereka sebenarnya mahu meruntuhkan sebuah Kerajaan Islam kerana mereka tunduk kepada kehendak DAP yang memang anti-Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik hadir bersama-sama kira-kira 170 orang terdiri daripada jentera pilihan raya dan perayu undi DUN Bukit Tunggal hadir pada majlis berkenaan.

Haji Shamsuddin berkata, pendekatan yang diambil oleh Kerajaan BN juga jauh berbeza dengan yang dilakukan Pas sewaktu memerintah negeri ini.

“Kerajaan BN tidak memilih bulu dalam soal pembahagian dana atau bantuan kerana memikirkan setiap rakyat yang layak perlu dibantu,” katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, Pas yang memerintah negeri ini dari tahun 2009 hingga 2004 mengamalkan kronisme dalam pemberian bantuan dan dana serta projek-projek kerajaan.

Katanya, Pas, DAP dan PKR cemburu dengan apa yang dilakukan oleh BN sekarang ini dan mereka mahu menumbangkan Kerajaan BN kerana kepentingan peribadi bukan untuk memperjuangkan nasib rakyat.


Umno, BN pertahan kemuliaan agama, bangsa dan negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiada parti lain yang lebih layak dan selamat untuk mempertahankan kemulian dan jati diri bangsa, agama Islam dan negara melainkan parti Umno dan juga kerajaan Barisan Nasional.

Semua parti yang wujud di negara ini sama ada Pas, PKR dan DAP kesemuanya berpaksikan kepentingan peribadi dan `assabiyah’ semata-mata, iaitu mahu merampas kuasa seterusnya mahu memimpin mengikut acuan puak yang mengamalkan multirasional.

Timbalan Ketua Umno Bahagian setiu, YB Asha’ari Idris, berkata sepatutnya rakyat negara ini sudah memanam asas dalam diri untuk terus mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara dengan menjadikan Umno sebagai parti yang paling tulen berjuang demi umat sejagat itu.

“Umno sudah terbukti berjuang bagi membela nasib bangsa dan memperkasakan keunggulan agama Islam dan juga negara sejak merdeka sehingga kini.

 “Tiada sebab untuk kita memilih parti lain yang wujud atas dasar tidak puas hati demi kepentingan individu semata-mata,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

 Haji Asha’ari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Langkap berkata , majoriti rakyat sudah tahu menilai dan merasai nikmat pembangunan yang dilaksanakan oleh pemimpin Umno yang benar-benar ikhlas berjuang kerana agama dan bangsa itu.

Katanya, rakyat di Terengganu terutama di kawasan Langkap juga didapati terus setia terhadap parti yang benar-benar berjuang emmbela nasib dan memahami denyut nadi mereka selama ini.

 “Saya tidak ragu-ragu dengan kesetiaan dan sokongan rakyat khususnya dari kawasan langkap yang sentiasa memahami perit jerih pejuang lampau memperkasakan parti keramat ini, seterusnya memastikan kesinambungan perjuangan diteruskan sehingga saat ini.

 “Kita perlu bersatu dalam satu rumpun dan kekuatan kita hari ini tidak akan memberi ruang langsung kepada pembangkang, sama ada Pas, PKR dan DAP berangan-angan merampas kuasa pemerintahan kerajaan hari ini,” katanya.

 

Anis Natasha juara Bintang Kecil

Oleh: Suriati Ali 

Lagu “Gemilang”membawa tuah kepada murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Bechah Kelubi, Pasir Mas, Kelantan Anis Natasha Zailani apabila muncul Juara pada Pertandingan Bintang Kecil Peringkat Zon Timur.

Kemenangan itu membolehkan adik Anis Natasha membawa pulang wang tunai RM1,500 beserta piala pusingan dan dapat beraksi pada Pertandingan Bintang Kecil Peringkat Akhir yang akan diadakan di Kuching, Sarawak akhir tahun ini.

Pertandingan yang berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kuala Ibai Kuala Terengganu itu turut mempamerkan kehebatan lima finalis lain.

 Naib Johan pula disandang adik Ahmad Marzuki Nordin, 11 tahun juga dari Kelantan dengan mendendangkan lagu Awang Nano.

Manakala adik Mohamad Akmal Zafran Zuraimi, 9 tahun dari Terengganu di tempat ke tiga dengan lagunya Ketulusan Hati.

Hadiah disampaikan Timbalan Pengarah Program Radio, Siti Mohani Saat diiringi Pengarah Penyiaran Negeri Pahang, Mustapha Kamal Abdul Razak.

 Pertandingan bintang kecil mula diperkenalkan sejak 26 lalu itu diadakan bertujuan mencungkil bakat baru dan kecintaan kanak-kanak berbilang kaum terhadap seni suara.

SRS bantu kurangkan jenayah

Oleh; Esah Abdullah

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) digalakkan untuk menubuhkan pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) untuk menjalankan aktiviti rondaan dan kawalan di kawasan penempatan masing-masing terutama pada waktu malam bagi memastikan kadar jenayah dapat dikurangkan ke tahap minimum.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu (JPNIN), Encik Tukimin Sarlan berkata, penubuhan SRS boleh membantu pihak polis dalam mencegah dan mengurangkan kadar jenayah di kawasan perumahan terutamanya.

Menurutnya, daripada sejumlah 371 KRT yang ada di negeri ini, hanya sebahagian sahaja telah mempunyai pasukan SRS.

 “Penubuhan SRS adalah satu inisiatif setiap KRT dengan tujuan untuk memantau dan menjaga keselamatan kawasan kediaman masing-masing. Kewujudannya juga supaya penjenayah tidak mempunyai peluang untuk melakukan jenayah selain membantu menghalang dan mengurangkan kadar jenayah.

 “Walaupun ada sebahagian yang menganggap tidak perlu ditubuhkan pasukan SRS kerana kawasan tempat tinggal mereka telah selamat dan bukan satu kewajipan supaya ditubuhkan pasukan tersebut,” katanya pada program Taklimat dan Penerangan Akta Rukun Tetangga 2012 di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

 Menurutnya, SRS juga menjadi komponen sokongan kepada pasukan keselamatan dan secara tidak langsung dapat mengeratkan perpaduan di kalangan komuniti.

 Tambahnya, melalui Akta Rukun Tetangga yang baru yang mula berkuatkuasa pada 22 Jun 2012 ianya lebih fokus dan juga ada penambahbaikan dari segi pelaksanaan dan juga peruntukkan.

Katanya, setiap KRT mendapat geran berjumlah RM6,000 berbanding hanya RM4,800 sahaja sebelum ini, manakala RM2,400 untuk SRS berbanding hanya RM1,000 sebelum ini.

Selain itu, setiap KRT boleh memohon sehingga empat sektor SRS (pasukan), setiap satu adalah tidak kurang daripada 20 anggota pemastautin yang berumur 18 tahun ke atas.

Katanya, pihaknya akan pergi ke semua daerah seluruh negeri bagi memberikan taklimat dan juga penerangan berkaitan Akta Rukun Tetangga secara berperingkat sebelum akhir tahun ini.

 

Jentera Umno perlu digerak dengan lancar

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jentera Umno di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal diiingatkan supaya bergerak dengan lancar dan mengelakkan daripada berpuak-puak, bagi memastikan DUN berkenaan dirampas semula daripada pembangkang.

Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik, berkata BN mempunyai harapan cerah untuk menang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) jika semua pihak bersatu dan menyokong calon yang ditampilkan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Kita pernah menang di DUN Bukit Tunggal dan tidak mustahil kita boleh menang lagi jika jentera pilihan raya kita bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon BN,” katanya ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Kira-kira 170 orang terdiri daripada jentera pilihan raya dan perayu undi DUN Bukit Tunggal hadir pada majlis berkenaan.

Haji Ismail berkata, masa sudah suntuk bagi pemimpin dan ahli Umno DUN berkenaan untuk membuat persiapan yang sepatutnya bagi menghadapi PRU 13 kerana pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Kita sudah tidak ada masa lagi untuk berbalah sesama sendiri dan memikirkan soal calon. Buat masa ini kita semua perlu bekerja keras untuk mengemaskan jentera dan bersatu padu bagi menghadapi serangan daripada parti lawan,” katanya.

Beliau turut meminta mereka supaya menghentikan perbuatan fitnah memfitnah sesama sendiri kerana perbuatan itu melemahkan jentera parti.

“Marilah kita sama-sama memikul tanggungjawab untuk memenangkan calon BN bagi kawasan DUN Bukit Tunggal pada pilihan raya akan datang,” ujar beliau.


Awas: Penerima suapan buat laporan ke SPRM


Seorang peserta mengemukakan solan kepada Md Yusof

Oleh: Mohammad Ishak

Ramai dikalangan penjawat awam negeri ini sudah mula menunjukkan sikap terhadap gejala rasuah apabila mereka berani tanpil melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mereka diberi suapan oleh pihak lain.

Pengarah SPRM Terengganu,Md Yusof Md Zin berkata, perkembangan sihat itu membutikan kakitangan jabatan kerajaan kini sudah sedar dengan gejala rasuah sebaliknya mereka tanpil melaporkan kepada agensi itu jika ada pihak yang merasuahkan mereka.

Katanya, dalam kes berkenaan hampir 20 peratus penjawat awam membuat laporan kepada SPRM selepas mereka diberi suapan oleh pihak tertentu,

Oleh itu,katanya, orang ramai perlu menghindarkan perbuatan itu kerana selepas mereka cuba memberi rasuah kepada kakitangan dan pegawai kerajaan mereka akan membuat tindakan melaporkan kepada SPRM

“Jangan ingat selepas memberi suapan mereka akan berdiam diri sebaliknya perkara itu akan dilaporkan kepada SPRM dan seterusnya akan membuat siasatan terhadap apa sahaja laporan yang dibuat pihak terbabit,” katanya pada majlis dialog bersama ahli MCA Besut, di sini malam tadi.

Md Yusof berkata, jika dulu kedua belah pihak antara pemberi dan penerima rasuah tidak melaporkan kepada pihak berkuasa tetapi sekarang berlaku sebaliknya kerana penerima rasuah yang membuat laporan akan menerima ganjaran mengikut kes tertentu.

Menurutnya, SPRM Terengganu kini giat memberi taklimnat dan penerangan kepada orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik yang ingin mengetahui perkembangan semasa SPRM.

Katanya, mereka yang berminat untuk mengadakan sesi taklimat dan dialog boleh menghubungi SPRM untuk diatur majlis berkenaan dengan pegawai-pegawai agensi itu.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah kes tangkapan kes rasuah di negeri ini tidak menunjukkan kadar yang tinggi sebaliknya usaha pencegahan sentiasa dilakukan oleh SPRM dengan mengadakan sesi penerangan dan dialog seluruh negeri.

Beliau berkata, golongan peniaga yang menerima ugutan dan perlindungan dengan dikenakan bayaran boleh melaporkan kepada SPRM untuk diambil tindakan terhadap individu dan kumpulan terbabit. TAMAT

Usaha memperkasakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)


Peserta kursus tekun mendengar ceramah

Oleh: Mohammad Ishak 

Tiga bidang utama menjadi teras kepada kejayaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam usaha memperkasakan organisasi itu menjadi sebuah organisisi yang mampu memajukan kampung dan membangun komuniti.

Bidang tebabit termasuklah penyediaan pelan pembangunan kampung,sistem pentadbiran yang tersusun dan profil kampung yang lengkap.

Pegawai Daerah Besut,A Rahim Jusoh, berkata jika semua JKKK mempunyai perkara yang disebutkan itu sudah tentu setiap perancangan kerajaan untuk pembangunan kampung akan mudah dan dapat dilaksanakan mengikuti kehendak penduduk terbabit.

Katanya, kerajaan mampu melaksanakan perancangan untuk faedah penduduk di kawasan JKKK yang mempunyai keupayaan menyediakan pelan pembangunan dan prrofil yang diswediakan JKKK berkenaan.

“Oleh itu semua JKKK hendaklah menyediakan keperluan berkenaan supaya tidak tersisih dan tertinggal daripada menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan,” katanya ketika menutup Kursus Memperkasakan JKKK Peringkat Daerah Besut dan Setiu.

Seramai 80 pengerusi dan setiausaha mewakili daerah berkenaan menghadiri kursus tiga hari yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara semalam.

Kursus anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pejabat Daerah Besut dan Setiu dan dikendalikan oleh Naw K Adis Heritage bertujuan memperkasakan organisasi itu sebagai sebagai agen penting kerajaan dan rakyat.

A Rahim berkata, pemimpin JKKK juga perlu peka dengan dasar-dasar kerajaan supaya mereka mudah memberi info kepada rakyat yang ingin mengetahui sesuatu yang berlaku dari masa ke semasa.