Halaman

05 November 2012

Semarakkan Seni Budaya 1Malaysia

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kemeriahan dan gelak tawa penduduk Kampung Cheting dalam penglibatan setiap program yang di anjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara Terengganu dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Daerah Hulu Terengganu serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Telemong membuktikan kejayaan Program Merakyatkan Seni dan Budaya ( PMS ).

 Dari seawal pagi, penduduk kampung berkumpul untuk bersama-sama menyertai sukan rakyat yang di anjurkan serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak Tabika. Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, YB Rozi Mamat tidak ketinggalan bersama-sama penduduk dan berkesempatan menziarahi sebanyak 15 buah rumah yang di kategorikan miskin dan kurang upaya.

Majlis perasmian yang diadakan pada waktu petang turut menyaksikan penduduk kampung dihiburkan dengan tarian kebudayaan yang di bawa khas daripada Kumpulan Keseniaan JKKN .

YB Rozi berkata, PMS telah berjaya merapatkan jurang pemimpin dengan rakyat kerana pengisian yang diadakan seperti ziarah, sukan dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Beliau merasakan PMS adalah satu program yang sangat baik dan perlu diteruskan dari semasa ke semasa untuk pupuk budaya yang semakin di lupakan.

“Kerajaan yang memerintah sekarang adalah kerajaan yang bertanggungjawab menubuhkan agensi-agensi yang ada pada hari untuk memupuk budaya di kalangan masyrakat melayu.Seni budaya wujud dalam kehidupan seharian kita dalam setiap amalan dan perbuatan tapi hari ini ianya makin hilang.

 “Tidak mustahil 10 tahun akan datang, bangsa Melayu akan hilang identiti dan budaya nenek moyang turun temurun jika kita tidak berubah sekarang. Seperti kata orang lama ’Bangsa Yang Hilang Identiti Adalah Bangsa Yang Malang ‘.

 “Saya cukup berharap PMS ini dapat mengembalikan dan memartabatkan seni budaya ini di kalangan generasi sekarang supaya generasi akan datang tidak hilang budaya tanpa bercanggah dengan agama” kata YB Rozi sewaktu berucap pada majlis perasmian.

Pada majlis tersebut turut menyaksikan sumbangan Netbook kepada 100 pelajar Pondok Darul Iman oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia( SKMM ).

ORANG MELAYU DI MALAYSIA BEBAS BERAGAMA- APA PANDANGAN PAS?

Oleh: Ruslan Abdul Rahman-Pengarang Teganukita. 

Sungguh mengejutkan bila Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan Melayu juga bebas pilih agama.

"When you ask me, there is no compulsion in religion... how can anyone say sorry, this (religious freedom) only applies to non-Malays, it has to apply equally." she said.

Itulah kata-kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang membawa maksud: “Jika awak tanya saya, tidak ada paksaan dalam agama. Bagaimana seseorang boleh berkata kebebasan agama hanya terpakai kepada bukan Melayu, ia harus digunakan setara - itu kata Nurul Izzah.... Kita hendak tahu apa pandangan pemimpin Pas sebuah parti yang menjadi sekutu pakatan.

Penulis mendapati dalam Kanun Jenayah Syariah Terengganu yang iaitu hudud yang dikemukakan oleh Pas
menyebut: Seksyen 26. Hukuman Bagi Kesalahan Irtidad atau Riddah.

1) Sesiapa yang disabit melakukan kesalahan irtidad hendaklah sebelum dijatuhkan hukuman ke atasnya dikehendaki oleh Mahkamah supaya bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang daripada tiga hari setelah dia didapati bersalah.

2) Sekiranya dia enggan bertaubat dan masih lagi berterusan dengan pendiriannya terhadap perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan itu, maka Mahkamah hendaklah mengisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya dan memerintahkan supaya hartanya sama ada diperolehi sebelum atau selepas dia melakukan kesalahan itu dirampas dan dipegang oleh Baitulmal;

Dengan syarat bahawa sekiranya dia bertaubat sama ada sebelum dijatuhkan hukuman bunuh ke atasnya atau selepas dijatuhkan hukuman itu ke atasnya tetapi sebelum dijalankan hukuman itu, maka hendaklahdia terlepas daripada hukuman bunuh, dan hartanya yang dihukum rampas itu hendaklah dipulangkan kepadanya:

Dengan syarat selanjutnya bahawa dia hendaklah dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi lima tahun.

Nurul Izzah menjawab soalan peserta sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti seperti orang bukan Melayu pada satu forum bertajuk Negara Islam: versi mana, siapa bertanggungjawab, bertempat di Subang Jaya, kelmarin atau forum bertajuk 'Islamic State: Which version; Who’s responsibility?’ anjuran Gereja Full Gospel Tabernacle di Subang Jaya kelmarin.

Apakah kita sanggup menggadai maruah agama Islam Yang Maha Suci dan Melayu. Jika merujuk Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu ditakrifkan dalam Perkara 160(2) sebagai seseorang yang beragama Islam, lazimnya, mereka ini bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Kalaulah kita menerima pendapat Nurul Izzah, bermakna kita akan menerima kehadiran Melayu yang bukan lagi menganut agama Islam tetapi agama-agama lain dan sudah pasti perlembagaan negara, perkara 160(2) mestilah dipinda.

Marilah kita bantah sekeras-kerasnya pandangan dan pendapat yang cukup menghina dan menyentuh hati kita sebagai seorang Melayu dan Islam.

 

MKJR mahu AES diteruskan

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketika ramai pihak yang mempertikaikan dasar kerajaan menggunakan pendekatan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) menyokong penuh inisiatif itu bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di negara ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Leslie Leon yakin kaedah itu merupakan satu lagi usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya yang masih tinggi.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) berkata, langkah itu bukannya bertujuan menyusahkan pengguna tetapi melatih mereka berdisiplin dan mengubah tabiat buruk.

 "Berilah peluang kepada penggunaan AES untuk melihat keberkesanannya terlebih dahulu. “Malah sistem tersebut telah banyak digunakan di negara-negara maju dan ternyata keberkesanannya,” katanya kepada pemberita pada majlis Makan Malam dan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-53 MKJR Malaysia di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin (3 November).

Leslie berkata, sempena mesyuarat agung itu, pihaknya turut mengadakan seminar sehari yang menyentuh mengenai pelbagai usaha yang digerakkan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya menerusi pembentangan oleh tiga ahli panel termasuk daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

 

Terengganu hilang dua lagi tonggak

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terpaksa menerima hakikat kehilangan dua lagi tonggak utama selepas berdepan kehilangan 10 pemain, apabila kedua-dua pemain berkenaan mengambil keputusan menukar angin bagi menyertai pasukan adik , T-Team pada musim depan.

Pemain bekenaan, Marzuki Yusof dan Mazlizam Mohamad kini sah menyarung jersi T-Team selepas mendapat lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk berhijrah.

Menurut Presiden PBSNT, Dato’ Che Mat Jusoh, persatuan tiada pilihan selain mengambil keputusan untuk melepaskan kedua-dua pemain itu bagi membolehkan mereka meneruskan karier bersama pasukan baru. 

Katanya, pemain terbabit menyatakan hasrat untuk berhijrah dan PBSNT tidak akan menghalang keinginan mana-mana pemain yang ingin menyertai pasukan lain, namun ia perlu dibuat menerusi saluran yang tepat dan mendapat persetujuan serta rundingan secara bersama antara semua pihak yang terlibat.

"Kita mengambil keputusan ini setelah mengadakan rundingan secara bersama dan ia adalah yang terbaik demi pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

 "Kita juga tidak mempunyai sebarang masalah berhubung mana-mana pemain yang ingin berhijrah ke pasukan lain, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan cara yang betul kerana buat apa mahu sekat sekiranya mereka mahu pergi. Kita mahukan pemain yang maju berjuang bersama pasukan,"katanya.

Dato’ Che Mat juga berharap dengan penghijrahan mereka ke pasukan berstatus kelab itu, mereka mampu melonjakkan lagi prestasi sukan bola sepak Terengganu.

Kapten pasukan (Marzuki) dan pemain pertahanan kanan kelahiran Perlis (Mazlizam) antara 12 pemain skuad Penyu yang meminta pelepasan daripada menyertai skuad itu musim depan selain Mohd Sharbinee Allawee (penjaga gol); Mohd Muslim Ahmad (pertahanan); Abdul Hadi Yahya (penyerang); tiga pemain tengah, Joseph Kalang Tie; Reeshafiq Alwi dan Shukor Jusoh.

Pemain lain yang turut berhijrah adalah Hariri Mohd Shafie (pertahanan) dan Ailim Fahmi Kamaruddin (penyerang), manakala PBSNT turut memutuskan tidak memperbaharui kontrak dua pemain import, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva.

 

Rumah Terbuka Deepavali medan berkumpul semua kaum, nikmati menu dan tradisi kaum India

Oleh: Aida Abd Rahman



Rata-rata tetamu yang memenuhi Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2012 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, malam kelmarin gembira dan teruja kerana majlis itu menjadi platform mereka berkumpul, menikmati menu serta persembahan tradisi masyarakat India di negara ini.


Seorang penuntut Institut Perguruan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu, K. Linggatharani, 21 dari Penang, berkata pelbagai persembahan dan sajian kaum India benar-benar membuatnya terhibur dan ceria untuk meraikan sambutan Deepavali tahun ini.

 “Sejak tiga tahun berada di Terengganu kerana menuntut ilmu di sini, inilah pertama kali saya dan beberapa rakan sebangsa berpeluang menyertai rumah terbuka ini dan suasana sungguh meriah serta menghiburkan.

“Inilah peluang keemasan untuk kaum minoriti yang menetap di Terengganu berkumpul dan saling berkongsi kegembiraan ini. Ia juga mampu memperlihatkan keakraban dan penyatuan kaum yang majmuk di negara kita,” katanya.

Seorang lagi tetamu, Encik Wong Choon Kheng, 55, dari Persatuan Buddhis Terengganu, berkata program itu mampu merapatkan hubungan silaturrahim antara semua kaum di negara ini dan menyemarakkan semangat 1Malaysia.

“Bukan sahaja tetamu diraikan dengan makanan dan persembahan tradisional, mereka yang kurang bernasib baik dan miskin dari pelbagai kaum yang tinggal di bandar ini juga diberi perhatian dengan mengagihkan sumbangan barang keperluan yang dapat meringankan bebanan terutama pada musim perayaan.

“Walaupun perayaan ini untuk masyarakat India, masyarakat Cina dan Melayu juga turut diraikan. Budaya ini harus diteruskan sampai bila-bila bagi memastikan kita dapat hidup dalam keadaam aman dan sentosa,” katanya.


Seorang lagi tetamu, Khairul Azwandi Ibrahim, 27, dari Kampung Gong Kemunting, Kuala Ibai, berkata dia dijemput ke majlis itu sebagai penerima bantuan sempena perayaan itu.

“ Saya seronok dan gembira dapat menyertai program ini. Pertama kali dijemput ke sini dan mendapat bantuan barangan keperluan.

“Di sini kita bukan sahaja dapat melihat adat dan tradisi kaum India, malah berpeluang menikmati hidangan kaum itu yang mungkin sukar diperolehi di tempat lain,” katanya.

 





ECER labur RM20 juta ladang herba

Oleh: Fauzi bin Mohd

Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) melabur sebanyak RM20 juta bagi membangunkan ladang herba seluas 406 hektar di Durian Mentangau, Dungun.

 Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pelaksanaan di bawah projek Kelompok Herba ECER itu mampu mengukuhkan kedudukan ECER sebagai pusat kecemerlangan industri yang mampan dan berdaya maju dalam industri herba.

Menurutnya, pembangunan industri itu membantu mempercepatkan pembangunan industri herba dan bioteknologi di ECER, memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar, meningkatkan peluang pekerjaan dan keusahawanan.

“Kerajaan negeri menyokong penuh usaha ini dengan menyerahkan tanah terbiar yang asalnya milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu (LTAWT) kepada ECER untuk dibangunkan dan memberi faedah kepada rakyat tempatan khususnya.

“Manakala, LTAWT akan dapat tanah ganti,” katanya kepada pemberita di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini semalam selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan ECER negeri yang turut disertai Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John.

Sebelum itu, Ahmad dan rombongan turut meninjau pembangunan projek Pulau Bebas Cukai di Pulau Bayas.

Sementara itu, Jebasingam menyeru para penggiat industri, yang mempunyai kepentingan utama dalam industri herba menerokai peluang-peluang dan mengambil bahagian di dalam pembangunan kelompok herba dan bioteknologi di ECER.

 Katanya, projek yang akan bermula Januari tahun depan itu bakal menjamin kesediaan bahan mentah seiring, dengan hala tuju Malaysia dalam menjadi peneraju pengeluaran nutraceuticals dan ubatan botani bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

 Jelas beliau, projek tersebut akan memberi fokus terhadap produk-produk farmasi, nutrisi dan bioteknologi bernilai tinggi yang dihasilkan untuk pasaran eksport.

 “Dalam pembangunan taman herba di ECER, kami telah mengenalpasti 10 herba berpotensi tinggi untuk dibangunkan dan pasaran yang sangat besar, terutama dalam bidang nutraceuticals dan phytomedicine.

“Herba-herba tersebut adalah dukung anak, hempedu bumi, misai kucing, kacip fatimah, tongkat ali, roselle, noni, lemon myrtle dan gaharu,” tambahnya.

 Tambah Jebasingam, selain di Durian Mentangau, projek ladang herba ECER turut dibangunkan di Chegar Perah, Lipis, Pahang seluas 327 hektar dan Rantau Manis, Gua Musang, Kelantan seluas 323 hektar.

 

04 November 2012

45,000 benih ikan dilepaskan di Tasik Kenyir

Oleh FAUZI MOHD

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melepaskan 45,000 ekor benih ikan di Sungai Leban, Tasik Kenyir sebagai salah satu usaha dalam memastikan populasi spesis ikan air tawar tidak pupus di tasik itu.



 Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud berkata, program kerjasama Jabatan Perikanan negeri itu sebagai tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan populasi semulajadi ikan berkenaan.

Katanya, pelepasan itu melibatkan tujuh spesis benih ikan termasuk 30,000 ekor lampan sungai selain baung, rohu, tenggalan, lampam dan jelawat.

 “Program ini diharapkan dapat meningkatkan dan mengekalkan populasi semula jadi ikan di perairan tempatan khususnya Tasik Kenyir yang sememangnya terkenal sebagai destinasi popular untuk kaki pancing,” katanya.

 Beliau berkata demikan selepas Majlis Pelepasan Benih Ikan yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said serta Exco Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Exco Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat.


 Menurut Wan Mat Amin, sejak program itu diperkenalkan tahun 1995, sebanyak 215,000 ekor benih ikan pelbagai spesis telah dilepaskan ke tasik itu termasuklah 28,200 ekor pada tahun 2011 dan masing-masing 50,000 ekor pada 2010 dan 2009.

 Pada tahun 2008 katanya, sebanyak 25,000 ekor benih ikan patin dan baung telah dilepaskan dan 6,800 ekor spesis temoleh dan siakap dilepaskan antara tahun 1995 hingga 1997.






Pulau Rambutan di Tasik Kenyir

Oleh FAUZI MOHD

Pulau Selimbar Selatan seluas 42 hektar di Tasik Kenyir sedang dimajukan sebagai Pulau Rambutan sebagai produk pelancongan baru di kawasan utara tasik itu.



 Produk pelancongan Kenyir Island Hopping (KIH) yang dibangunkan melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) itu melibatkan penanaman lebih 2,000 pokok rambutan daripada hampir 200 spesies dari seluruh dunia.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, sebanyak RM11.5 juta diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan dan menempatkan spesies rambutan kormersil, arboretum serta nadir di pulau itu.

 Menurutnya, projek itu melibatkan dua fasa iaitu pembangunan ladang yang telah bermula bulan lalu hingga Disember tahun depan.



 “Fasa kedua melibatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam bermula Januari tahun depan hingga Disember 2014,” katanya kepada pemberita selepas upacara penanaman pokok rambutan di pulau itu hari ini.

 Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud.

 Menurut Dato’ Seri Ahmad, pembangunan pulau itu melibatkan empat komponen utama iaitu kompleks pentadbiran, tapak semaian, tapak perkhemahan dan ladang rambutan.

 Katanya, kemudahan seperti galeri, kafe, menara tinjau, kios jualan, galeri cenderamata serta pusat penyelidikan mampu menjadikan Pulau Rambutan sebagai destinasi agro pelancongan yang unik.

 “Selain itu, ia diharapkan mampu menjadi tempat edu-pelancongan untuk pelajar atau ahli akademik mengenali pelbagai spesies rambutan seperti muar gading, khaw tow bak, jarum mas, pulasan, pacat dan korlan.

 “Kewujudan pulau tersebut sekali gus meletakkan Terengganu sebagai satu-satunya negeri yang mempunyai pulau khusus untuk rambutan dan bakal menjadi salah satu produk pelancongan di Tasik Kenyir,” ujarnya.





Tiga produk untuk TMT 2013

Oleh: Noraini Jusoh 



Tiga produk menarik bakal diperkenalkan kepada para pelancong khususnya sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 akan datang.

Dengan tema ‘Negeri Cantik, Budaya Menarik dan Orang Baik-Baik’, kebudayaan, cara hidup, kesenian dan warisan yang mencerminkan dan menggambarkan rakyat Terengganu bakal dipromosikan kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) khusus dalam bidang penulisan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, kosa kata negeri Terengganu, makanan tradisional dan sejarah Batu Bersurat akan dibukukan dan dicetak semula untuk tatapan para pelancong sekaligus memperkenalkan keunikan Terengganu di mata dunia.

 “Dengan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai penasihat, pihak kami akan menambah kosa kata sedia ada hasil tulisan Tuan Shariff Tuan Putera untuk menonjolkan keunikan dialek tempatan kita yang tidak dapat dijumpai di tempat lain.

 “Buku masakan milik penulis asalnya Toh Puan Seri Aishahtun yang merupakan isteri bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad juga akan dicetak semula dengan kandungan yang lebih tebal, gambar yang menarik dan lebih cantik untuk mengambarkan kepada pelancong bagaimana rupa dan bentuk kuih-muih tradisional Terengganu,” ujarnya kepada sidang media selepas majlis penyerahan cek kepada PELITA di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Katanya, sejarah Batu Bersurat yang menceritakan tentang permulaan penyebaran agama Islam di negeri ini yang dijumpai di Sungai Tersat, Kuala Berang turut menjadi kebanggaan rakyat tempatan untuk dikongsi dan diceritakan kepada pelancong asing yang datang ke Terengganu nanti.

 “Semua ini adalah usaha kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Terengganu sekaligus menjana ekonomi sampingan masyarakat setempat,” tambah beliau.

 

Seminar Fatwa dan Falak di Setiu

Oleh: Noraini Jusoh 

Seminar Pendidikan Fatwa dan Falak Negeri Terengganu kali ke-2 telah berlangsung di Dewan Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom, Setiu baru-baru ini.



Seminar itu dianjurkan Jabatan Mufti Terengganu dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu, Pejabat Agama Daerah Setiu dan Yayasan Islam Terengganu.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Mufti Terengganu iaitu Dato’ Dr. Haji Alias Haji Abdullah dan majlis perasmian telah disempurnakan oleh Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Y.B Haji Khazan Che Mat.

 Dalam ucapan perasmiannya, Haji Khazan berkata, seminar tersebut bertujuan membincangkan persoalan-persoalan dan kekeliruan yang timbul berkaitan soal agama di kalangan masyarakat Islam.

 “Pada seminar kali ini kita akan fokus kepada persoalan berkaitan ilmu falak dan kepada hadiran yang hadir sekiranya terdapat sebarang pertanyaan boleh ajukan kepada ahli panel,” ujarnya.

 Pada seminar tersebut, pembentangan kertas kerja pertama bertajuk isu-isu semasa dalam penetapan syawal dan zulhijjah telah disampaikan oleh Y.Bhg. Encik Ahmad Taufan Abdul Rashid yang merupakan Penolong Pegawai Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pembentangan kertas kerja bertajuk penyelewengan akidah turut disampaikan oleh Y.Bhg. Ustaz Mohd Aizam.

 Sementara, Alhi Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu, Y.Bhg. Dr. Haji Zulkifli Mohammad Al-Bakri telah membentangkan kertas kerja bertajuk kemurnian akidah.

 Sesi soal jawab turut dibuka kepada hadirin yang hadir pada majlis tersebut yang terdiri daripada para imam dan bilal serta masyarakat setempat.