Halaman

15 November 2012

IPGKDRI adakan misi kemanusiaan

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 27 guru pelatih termasuk empat pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI) Kuala Terengganu akan mengadakan program Misi Kemanusiaan – Dana Kemboja 2012 selama enam hari mulai 18 November ini.

Program yang bertemakan ` Kemanusian Penyelamat Kesejahteraan Sejagat’ adalah untuk membantu pendidikan di Kemboja serta menyalurkan sumbangan bagi membina bilik darjah (kelas) yang akan dikenali Akademi Imam Syafei-Dana Kemboja di Kampot Phnom Penh.

Pensyarah Penasihat program, Puan Anisah Harun berkata, program yang julung kali diadakan itu adalah untuk memupuk nilai prihatin dan kasih sayang kalangan pelatih di samping membantu masyarakat Islam di Kemboja khususnya dalam bidang pendidikan.

Katanya, program itu juga menjadi medan latihan dan praktikal kepada pelatih dalam usaha memupuk nilai-nilai murni kemanusian serta mempelajari pengurusan aktiviti antarabangsa sejajar dengan peranan mereka sebagai bakal pendidik.

Beliau juga berharap, program yang berorentasikan antarabangsa itu dapat menimba pengalaman luas sekaligus berpeluang melakukan khidmat sosial kepada manusia lain terutama masyarakat Islam yang kurang berkemampuan

``Sepanjang enam hari berada di negara itu peserta akan bergotong royong membina bilik darjah di samping mengadakan aktiviti menziarah keluarga miskin dan menyampaikan sumbangan,

Selain itu turut mengadakan aktiviti sukaneka bersama penduduk setempat dan majlis dialog bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai masyarakat di situ,’’ katanya.

 

Isu Jambatan Sungai Pinang tertangguh selesai

Oleh: Aida Abd Rahman

Isu jambatan Sungai Pinang, Kemaman yang terbelangkai sejak tujuh tahun lalu akhirnya selesai apabila infrastruktur awam itu akan disiapkan tidak lama lagi.

Kerja menaiktaraf jambatan utama yang menghubungkan lebih 20,000 penduduk dari beberapa kampung termasuk Kampung Binjai dan Air Putih dengan Bandar Cukai itu melibatkan peruntukan kira-kira RM8 juta.

Ahli Dewan undangan Negeri (Adun) Air Putih, Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata selepas tertangguh sekian lama, jambatan yang amat penting bagi kegunaan penduduk sekitar serta pengguna jalan raya yang melalui Bandar Cukai itu dapat diteruskan semula selepas mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

 “Projek menyiapkan jambatan yang tertangguh dan menjadi rungutan ramai penduduk itu akhirnya dapat dijalankan semula selepas Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan bagi tujuan itu.

“Terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan juga kerajaan negeri yang menyelesaikan pemasalahan dan isu melibatkan kepentingan penduduk di DUN ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, jambatan itu dijangka mengambil masa dua tahun dibangunkan sebelum dapat digunakan pada akhir 2014.

Jambatan berkenaan sebelum ini dibina terlalu rendah yang menyebabkan ditelenggami air apabila banjir melanda kawasan itu.

 

Pelatih PLKN dibenar berpolitik


Abdul Hadi bersama pelatih PLKN Saujana Jabi.

Oleh: Mohammad Ishak 

Modul baru yang diperkenalkan Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) yang mendedahkan pelatih dengan kewarganegaraan bertujuan memberi mereka menyertai aktiviti politik sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memberi kefaham kepada golongan berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara,Dato’ Abdul Hadi Awang berkata, mudul berkenaan juga bagi mempastikan pelatih belajar menjadi pemimpin selain mengenali apa itu politik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kebenaran berpolitik hanya bagi dalaman dan bukan seperti berpolitik di luar kem.

Katanya, pilihan raya yang diadakan di 18 pusat latihan PLKN seluruh negara yang pertama kali diadakan baru-baru ini sebahagian percubaan untuk melahirkan golongan pelatih yang mahir dalam politik dalaman.

“Kejayaan itu membolehkan PLKN mengadakan pilihan raya berikutnya pada tahun hadapan membabitkan 81 PLKN seluruh negara,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika melakukan lawatan pertama ke PLKN Saujana, Jabi, yang mulka beroperasi pada September lalu.

Menurutnya, pada pilihan raya yang diadakan tahun depan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan dua parti untuk bertanding bagi memilih pemimpin dikalangan pelatih.

 Abdul Hadi berkata, sistem berpolitik di dalam kem PLKN tidak sama dengan cara berpolitik di luar kem kerana ia hanya untuk melatih pelajar bagaimana amalan demokrasi yang dijalankan di negara ini.

14 November 2012

Tasik Kenyir antara produk pelancongan alternatif

Oleh: Noraini Jusoh

Usaha kerajaan negeri dalam memberi tumpuan terhadap pembangunan Tasik Kenyir dilihat mampu meningkatkan kehadiran pelawat dan pelancong ke Terengganu sempena penganjuran Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, Tasik Kenyir mampu menjadi lokasi alternatif tumpuan pelancong terutamanya pada penghujung tahun.

“Kebiasaannya aktiviti pelancongan pulau akan terhenti seketika pada waktu tersebut disebabkan musim tengkujuh yang kebiasaannya melanda kawasan pantai timur.

"Justeru, kita memilih Tasik Kenyir sebagai produk sedia ada yang akan diberi nilai tambah agar ia menjadi lokasi pelancongan alternatif buat pengunjung terutama yang ingin meneroka khazanah alam semulajadi,” ujarnya.

 Katanya, Tasik Kenyir yang sememangnya kaya dengan pelbagai khazanah alam semulajadi membolehkan pelbagai aktiviti diadakan disana tanpa diganggu faktor lain seperti musim tengkujuh.

“Cadangan kepada kerajaan negeri agar menambah dan melepaskan spesis ikan yang cepat membiak telah dibuat dalam usaha menarik pelancong terutama kaki pancing datang ke Tasik Kenyir,” katanya kepada sidang media selepas majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil seminar pembangunan pakej-pakej pelancongan sempena TMT 2013, baru-baru ini.

 Katanya, diharap dengan kerjasama semua pihak terutamanya yang terlibat dalam sektor pelancongan dalam memberi nilai tambah mampu menjadikan Tasik Kenyir sebagai salah satu destinasi pilihan utama pelancong yang datang ke negeri ini pada masa akan datang.

 

Pinjaman pelajar sertai perhimpunan Bersih ditarik balik

Yayasan Terengganu (YT) menyambung semula pinjaman pengajian seorang pelajar di Universiti Al-Azhar setelah ditahan menyertai perhimpunan Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah, Mesir tahun lepas.

 Ketua Penolong Pengarah Tajaan Pelajar YT Mohd Razali Mahmud berkata Muhamad Hasyim Che Ngah, 21, telah membuat pengakuan dan rayuan mengenai penglibatan beliau dalam perhimpunan itu.

 "Jadi bagi menentukan nasibnya, kita bawa kesnya ke mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu yang bersidang pada 8 Oktober lalu.


"Lembaga itu dalam keputusannya bersetuju untuk menyambung semula pinjaman pelajar berkenaan setelah ditamatkan apabila dia didapati terlibat dalam himpunan berkenaan tahun lepas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

 Muhamad Hasyim, 21, pelajar tahun tiga jurusan perubatan Universiti Al-Azhar adalah antara sembilan pelajar anak Terengganu yang terlibat dengan perhimpunan itu sebelum masing-masing ditamatkan pinjamannya tahun lepas.

 Beliau adalah salah seorang daripada sembilan pelajar yang terlibat, telah menemui Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pada 1 Ogos lepas dan membuat pengakuan serta merayu agar pinjamannya disambung semula.

 Mohd Razali berkata semasa pinjamannya diberhentikan pada Mac lalu, Muhamad Hasyim telah membelanjakan sebanyak RM170,000 daripada RM301,144 yang diluluskan YT sebelum itu.

 Katanya kini pelajar berkenaan meneruskan pengajian enam tahunnya di bidang perubatan di universiti berkenaan- Bernama



PPSPPA anjur Larian Kitar Semula

Oleh: Suriati Ali

 Lebih 5,000 peserta dijangka menyertai Larian Jom! Kitar Semula dan Habitat 2012 bertempat di Dataran Teratai, Batu Burok, Kuala Terengganu pada 17 November ini.

 Larian anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri (PPSPPA) itu melibatkan murid sekolah dan warga emas dengan 10 kategori dipertandingkan dan jarak larian antara tiga hingga 10 kilometer.

 Pengarah PPSPPA, Puan Fatimah Ahmad berkata, kejohanan yang diadakan serentak di seluruh negara merupakan acara julung kali diadakan di negeri ini.


 Katanya, pendekatan itu mampu membudayakan amalan kitar semula di kalangan masyarakat setempat seterusnya mengamalkan amalan gaya hidup sihat rakyat di Terengganu.

 Menurutnya, seramai 5,000 peserta dijangka akan mengambil bahagian melibatkan murid sekolah dan warga emas dengan 10 kategori dipertandingkan dengan jarak larian antara tiga hingga 10 kilometer.

 “Alhamdulilah penyertaan yang diterima amat mengalakkan dan kami yakin sasaran awal 5,000 penyertaan mampu direalisasikan menjelang kejohanan itu nanti,” katanya.

 Puan Fatimah, berkata elain Terengganu, lokasi lain bagi kejohanan larian itu turut diadakan di Johor, Kelantan, Pahang, Perlis, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Negeri Sembilan.

 "Setiap peserta akan dibekalkan dengan sehelai baju-T, minuman dan sijil penyertaan, manakala hadiah wang tunai akan disediakan kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga bagi setiap kategori,” katanya.

 “Pihak penganjur turut menyediakan hadiah cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal sepanjang kejohanan itu berlangsung,” katanya.

 Justeru, orang ramai yang ingin mendapakan maklumat lanjut berhubung larian ini boleh menghubungi talian 09-6310034 bermula jam 8 pagi hingga 5 petang atau layari laman web www.ppsppa.gov.my.

 Untuk rekod Terengganu merupakan negeri paling tinggi yang berjaya mencatatkan rekod jumlah kutipan barangan kitar semula dengan 240,041 kilogram bersamaan RM69,460 hasil kutipan dalam usaha mencapai sasaran 22 peratus kitar semula sisa pepejal menjelang 2020.

 

JKNT giat atur kempen cegah denggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merekodkan sejumlah 663 kes melibatkan 618 demam denggi dan 45 kes demam denggi berdarah dilaporkan di seluruh Terengganu sejak Januari hingga 3 November lalu.

Jumlah itu meningkat 18.4 peratus berbanding 560 kes dengan 462 kes demam denggi dan 98 kes demam denggi berdarah bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Pengarah JKNT, Dr Anwa Sulaiman, berkata pihaknya memberi tumpuan serius terhadap peningkatan kes denggi di seluruh negeri sepanjang tahun ini dengan mengatur pelbagai inisiatif dan usaha pencegahan menerusi Kempen Kebersihan Cegah Denggi.

“Enam daerah menunjukkan trend peningkatan kes di mana Besut (110.9 peratus), Kemaman (51.8 peratus), Setiu (42.9 peratus), Marang (tujuh peratus) dan Kuala Terengganu serta Hulu Terengganu, masing-masing dua peratus.

“Hanya Dungun sahaja menunjukkan penurunan sebanyak 2.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, baru-baru ini.

Dr Anwa berkata, pihaknya mengatur pelbagai tindakan bagi mengatasi masalah itu termasuk menyediakan Pelan Tindakan Pencegahan dan Kawalan Denggi Khas bulan Oktober hingga Disember ini di seluruh Terengganu mengikut daerah.

Katanya, pelan tindakan ini disediakan berdasarkan masalah sebenar di daerah masing-masing dan pelaksanaan pelan ini dipantau secara terperinci oleh Pihak Vektor negeri.

 “Fokus diberikan kepada lokaliti yang bermasalah denggi di daerah dengan merencanakan serta melaksanakan aktiviti kawalan serta pencegahan secara berkesan.

 “Tindakan lain JKNT bagi mengatasi masalah denggi seperti mengadakan Kempen Gotong-royong di semua kemudahan kesihatan di negeri Terengganu yang mana dijalankan sebanyak empat kali sepanjang tahun ini,” katanya.

Menurutnya, JKNT turut mengedarkan hebahan dan peringatan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu bagi menjalankan pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes di sekolah khususnya sempena cuti sekolah tidak lama lagi.

Katanya, pihaknya turut mengadakan pondok informasi denggi di tempat strategik, mengedarkan teks hebahan `Alert Denggi’ di masjid daerah, hebahan menerusi media dan perkongsian maklumat dengan klinik swasta, sekolah, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat daerah dan jabatan yang berkaitan mengenai kes denggi serta langkah pencegahannya.

 

Tuanku Mizan berangkat rasmi sambutan Maal Hijrah esok

Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1434 Hijrah/2012 Masehi, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kira-kira jam 9 pagi, esok (15 November).

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Sambutan Maal Hijrah pada kali ini membawa tema `Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ akan diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh qari jemputan dan diikuti dengan ucapan Menteri Besar.

Sebaik selesai ucapan Dato’ Seri Haji Ahmad, Baginda Tuanku Mizan seterusnya menyampaikan titah ucapan seterusnya melancarkan sambutan Maal Hijrah kali ini.

Majlis kemudiannya disusuli dengan persembahan nasyid dan penyampaian anugerah kepada Tokoh Maal Hijrah serta pelbagai anugerah bersempena kedatangan hari penting dalam sejarah Islam itu.

Sebelum itu, kira-kira jam 5.30 petang ini, Menteri Besar dijadualkan akan ke Majlis Sambutan Ambang Maal Hijrah di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Penceramah terkenal, Ustaz Syed Nur Hisham Tuan Padang akan menyampaikan Bicara Khas Maal Hijrah yang turut disertai jemaah sekitar.

Selesai doa akhir tahun, jemaah akan menunaikan solat maghrib berjemaah dan diikuti doa awal tahun, solat hajat dan bacaan Yasin serta al-Quran.

Menteri Besar kemudiannya turut menyampaikan ucapan khas sempena sambutan Maal Hijrah 1434 Hijrah/ 2012 Masehi.


PTPTN buka cawangan di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini mempunyai cawangan di negeri Terengganu dan beroperasi di Tingkat 1 dan 2, Dataran Emas di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Pengurusnya, Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman berkata, pejabat PTPTN negeri telah mula beroperasi pada 11 September lalu dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.

Menurutnya, antara perkhidmatan yang disediakan adalah termasuk urusan pembiayaan pendidikan, bayaran balik pembiayaan dan juga pembukaan akaun atau penambahan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

 “Sehubungan itu, orang ramai boleh membuat sebarang urusan berkaitan di pejabat PTPTN pada waktu pejabat, iaitu pada hari Ahad hingga Rabu bermula pada jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang manakala pada hari Khamis bermula 8.30 pagi hingga 3.30 petang,” katanya.

 

13 November 2012

LKIM peruntuk RM100 juta bina rumah nelayan.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang membina dan membaiki kira-kira 10,000 buah rumah nelayan di seluruh negara membabitkan kos sebanyak RM100 juta.

Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mohd Khazin Hamzah, berkata perbelanjaan daripada peruntukkan Bajet 2012 itu meliputi sebahagian daripada peruntukkan yang diluluskan bagi menaik taraf golongan nelayan.

"Sebanyak RM200 juta baki peruntukan itu akan digunakan untuk tujuan sama pada tahun ini dan awal tahun depan bagi memastikan lebih ramai nelayan yang tidak berkemampuan dapat menikmati kemudahan itu." katanya.

 Menurutnyam LKIM juga akan menawarkan kemudahan berkenaan kepada nelayan sungai di seluruh negara yang memerlukan rumah atau untuk membaiki rumah mereka yang usang dengan memohon kepada LKIM, melalui persatuan nelayan kawasan,

Mohd Khazin berkata, elaun sara hidup sebanyak RM200 yang sebelum ini dimasukkan setiap bulan ke dalam akaun bank nelayan, akan dibayar secara tunai mulai Oktober hingga Disember depan.

“Pembayaran secara tunai membabitkan peruntukkan RM12 juta kepada seramai 60,000 nelayan di seluruh negara itu akan dilakukan LKIM,” katanya. .

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan nasib golongan nelayan sebaliknya Perdana Menteri amat prihatin kepada nelayan negara ini.