Sikap pemimpin pembangkang yang terus menghentam dan sengaja menimbulkan pelbagai isu terhadap Pangsapuri Ladang Gemilang (PLG) cukup dikesali dan memualkan pelbagai pihak.
Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato' Wan Hisham Wan Salleh, berkata apa yang dikesalkan mereka yang bertindak menabur fitnah dan memutarbelitkan fakta itu bukannya penduduk Ladang dan di tinggal di pangsapuri berkaitan.
“Sebaliknya puak pembangkang yang tinggal di kawasan Batu Burok gemar bercakap dan mengeluarkan fakta tanpa diselidik dan mengetahui kedudukan sebenar.
“Puak itu sengaja menimbulkan pelbagai isu semata-mata mahu menimbulkan kebencian terhadap yang kerajaan memerintah. Jika perkara itu berlaku kita buat baik pun, mereka nampak buruk,” katanya ketika ditemui Teganukita di pejabatnya baru-baru ini.
Katanya, pelbagai cerita kurang enak dilemparkan melalui saluran tertentu termasuk Sistem Pesanan Ringkas (SMS), blog dan ceramah-ceramah.
“Isu seperti jenazah terpaksa dikendong untuk dibawa turun, harga sewa beli mahal dan pampasan yang dibayar tidak setimpal dan harga sewa mahal sengaja diputarbelit agar timbul kebencian rakyat terhadap kerajaan.
“Saya mencabar mereka terutama pemimpin Pas yang menyatakan pembinaan Pangsapuri Ladang Gemilang mendatangkan pelbagai masalah kepada penghuni,” katanya.
Katanya, mereka perlu sedar kerajaan bina pangsapuri itu untuk keselesaan kerana sebelum ini kebanyakan penghuni terpaksa tingggal berhimpit di rumah daif yang dibina di atas tanah milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
“Kita bina pangsapuri itu lengkap dengan dua kemudahan lif di mana terdapat satu lif besar dan kecil.
“Jika mereka menyatakan jenazah sukar diturunkan dan terpaksa dikendong, itu hanya kenyataan bohong dan penipuan yang sengaja diwujudkan,” katanya.
Seorang penghuni, Abu Bakar Salleh, 70, ketika ditemui meluahkan rasa terharu apabila berpeluang mendiami rumah kos rendah itu setelah sekian lama tinggal di Kampung Ladang Tok Pelam, hampir 40 tahun lalu.
Katanya, selama tempoh itu, dia dan keluarga terpaksa tinggal di atas tanah milik kerajaan di kampung berkenaan sebelum diberi tinggal di Pangsapuri Ladang Gemilang.
“Walaupun terpaksa menyewa RM300 sebulan, dia bersama isteri serta dua orang cucu tetap gembira dan bersyukur kerana berpeluang tinggal di kediaman yang lebih selesa,” katanya.
Bagi Mahaimi Ismail, 37, pula, peluang tinggal di pangsapuri itu sekurang-kurangnya menjadi pengubat impiannya sekeluarga untuk tinggal di rumah baru yang lebih selesa.
“Sungguh pun berbeza dengan sebelumnya yang ‘tinggal percuma’ di Kampung Ladang Mengabang di sini sejak kecil lagi, dia tetap berterima kasih kepada kerajaan negeri yang menyediakan kemudahan itu.
“Sudah lama kami sekeluarga menunggu sebuah kediaman baru yang lebih selesa dan hari ini terbukti, tak lama lagi kami akan pindah ke rumah sewa baru, terima kasih kepada kerajaan negeri,” katanya yang mempunyai dua orang anak.
Seorang lagi penghuni, Ngah @ Awang Salleh, 73, turut terharu atas keprihatinan kerajaan negeri menyediakan kemudahan kediaman yang jauh lebih baik kepadanya sekeluarga.