Oleh: Aida Abd Rahman
Piala Monsun bukan sekadar menjadi acara pelayaran terkemuka dunia, malah menukar wajah Pulau Duyong daripada sebuah perkampungan nelayan yang sepi kepada pekan yang sibuk dengan pelbagai aktiviti ketika musim tengkujuh sekali gus memperkenalkan kekayaan warisan dan kebudayaan negeri kepada pelancong tempatan dan asing.
Penganjur acara pelayaran tahunan itu, T-Best Events, menjadikan Pulau Duyong sebagai perhentian terakhir Siri Jelajah Kejohanan Pelayaran Dunia dengan menganjurkan aktiviti yang bertemakan keluarga yang menjanjikan keseronokan dan suasana menghiburkan.
Antara aktiviti yang dirancang sepanjang tempoh ini adalah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka, pertandingan kuiz, permainan tradisional, pertandingan karaoke, muay thai kick boxing, pertandingan perlumbaan perahu naga dan konsert.
Sementara acara `Monsoon Ride’ yang julung kali diadakan tahun ini bertemakan `cycling for all’ atau berbasikal untuk semua merupakan satu acara berbasikal yang terbuka kepada orang ramai, termasuk negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand.
Penganjur program dari Kelab Berbasikal Go8, Encik Mohd Kamarul, berkata acara berkenaan dijangka disertai 500 penunggang basikal bakal diadakan di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa pada 8 Disember ini, jam 8.30 pagi.
Katanya, pertandingan anjuran bersama Pejabat Pelancongan Terengganu dan Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013 dapat memperkenalkan keindahan dan warisan negeri kepada penunggang basikal dari seluruh negara apabila peserta perlu melakukan kayuhan sekitar 100 kilometer di sekitar kawasan menarik di Bandar Raya Kuala Terengganu dan pinggir bandar raya.
Beliau berkata, antara laluan utama peserta adalah di sepanjang Pulau Duyong, Pulau Warisan, Pasar Payang, Pantai Batu Burok, perkampungan sekitar Maras dan Marang, seterusnya ke Batu Rakit dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud sebelum kembali ke Pulau Duyong.
"Laluan 100km bukan sahaja akan melalui kawasan bandar, kampung-kampung dan pantai, tetapi juga menaiki curam di sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur. Aktiviti mencabar ini melibatkan pelbagai kaedah berbasikal bagi menempuhi cabaran sepanjang laluan keseluruhan, " katanya.
Menurutnya lagi, acara yang pertama kali dilaksanakan dengan penglibatan ramai peserta akan dikawal 60 marshal yang membentuk organisasi berbasikal, polis dan pasukan paramedik.
“Kami berharap acara ini akan menggalakkan gaya hidup sihat dan penggunaan jalan yang selamat di kalangan para pemandu, "tambah Kamarul.
Katanya, yuran pendaftaran sebanyak RM30 termasuk beg cenderahati dan tiket untuk cabutan bertuah, manakala 20 hadiah cabutan bertuah termasuk baucar penginapan hotel di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Primula Beach Resort dan Permai Inn menanti pemenang.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Mohd Kamarul di talian 019 2855987. Pendaftaran ditutup pada 30 November 2012.