Halaman

20 November 2012

Gangguan bekalan air

Oleh: Suriati Ali



Syarikat Air Terengganu (Satu) memaklumkan bahawa gangguan bekalan air akan berlaku membabitkan 23 kawasan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada 26 November ini.

 Gangguan itu berlaku disebabkan kerja-kerja pengubahsuaian paip air oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyiapkan Projek Terowong di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu.

 Antara kawasan yang terlibat, Pulau Duyung, Kampung (Kg) Seberang Tuan Chik, Kg Bukit Tunggal, Taman Semarak, Gong Kijang Kg Bukit Datu, Kg Pengkalan Arang dan Kg Pak Katak.

Antara kawasan lain Kg Batu Enam, Kg Tok Jiring, Kg Padang Air, Kg Banggol Air Lilih, Kg Wakaf Tembesu, Jalan Lapangan Terbang, Kg Telaga Batin , Kg Duyung, Kg Telok Ketapang, Seberang Takir, Kg Hulu Takir, Kg Bukit Tok Beng, Kg Batin, Kg Gong Pauh dan Kg Bukit Tumbuh.

 Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Husain Embong, berkata kira-kira 25,000 akaun pengguna Satu akan mengalami gangguan bekalan air terutama pada waktu puncak sepanjang kerja-kerja pengubahsuaian itu dijalankan.

Pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan menyimpan air yang mencukupi sebelum gangguan bekalan air berlaku pada tarikh tersebut.

Satu sedang berusaha untuk meminamakan kesan gangguan bekalan air ini melalui pengezonan semula agihan bekalan air ke kawasn yang terlibat.

 


JKKN kesan seni warisan yang dilupakan

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Terengganu kini giat menjelajah ke serata daerah di negeri ini untuk mengesan seni warisan negeri yang dilupakan.

Pengarahnya, Encik Zaifri Husin berkata, negeri Terengganu mempunyai banyak warisan seni budaya selain kisah dan tarian ulek mayang yang telah sinonim dengan negeri ini.

“Antara budaya yang berjaya diketengahkan termasuklah tarian anak burung baniong, rodat, tarian balai, dan tarian ‘ya abang’,” katanya.

Menurutnya, walaupun mungkin sebahagian besar penggiat asal telah tiada atau sudah uzur, mereka mungkin masih ada anak-anak atau pengikut yang pernah membuat persembahan bersama suatu ketika dulu.

 “Kita sangat berharap dapat mengumpul bahan dan juga maklumat dengan lebih tepat, selain kajian terbaru berkaitan dengan kewujudan ‘nong sakti’ yang dikatakan popular suatu ketika dahulu,” katanya.

Katanya, hasil kajian yang telah dibuat, ia berasal dari Kuala Jengai, Hulu Dungun. Penggiat asal telah tiada (meninggal) tetapi kita berjumpa anaknya yang dapat membantu memberi sedikit-sebanyak maklumat yang diperlukan.

 Selain itu JKKN masih berharap maklumat terperinci daripada orang ramai yang mengetahui tentang kesenian di negeri ini yang telah dilupakan supaya dapat dihidupkan kembali.

 “Sekiranya tindakan tidak dilakukan sekarang, mungkin warisan tersebut terus hilang tanpa sempat diketahui generasi akan datang,” katanya. Tambahnya, pelbagai bentuk penerbitan boleh dilakukan sekiranya maklumat dan info yang lengkap diperolehi.

 

Pesawat penerbangan terus haji dijangka tiba Jumaat ini (23 November)

Jemaah haji dari Pantai Timur yang menggunakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Jeddah/Madinah dijangka pulang ke tanah air pada 23 November ini (Jumaat).

Pesawat kedua membawa jemaah haji bagi penerbangan tersu itu dijadualkan mendarat di LTSM kira-kira jam 8.25 pagi.

Sebelum ini pesawat pertama yang membawa 447 jemaah haji dari Pantai Timur selamat tiba di lapangan terbang itu, kira-kira jam 9.05 pagi, pada 13 November lalu.

Sebahagian besar jemaah haji berkenaan adalah dari Terengganu manakala sebahagian lagi dari Pahang dan Kelantan. Ketibaan mereka disambut oelh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Ustaz Haji Muhamad Ramli Nuh dan petugas Tabung Haji.

Tahun ini merupakan tahun ke-5 bakal haji menggunakan LTSM bagi penerbangan terus ke Tanah Suci di mana seramai 11,000 orang telah menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

 

Koperasi media medium jana ekonomi

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua pengamal media di negeri ini disaran menyertai Koperasi Media Terenggganu Berhad bagi melibatkan diri secara langsung dalam perniagaan yang mampu menjana pendapatan serta ekonomi menerusi rangkaian strategik dalam pelbagai sektor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata menerusi keanggotaan itu nanti, kumpulan media dapat menyalurkan idea bernas dan segar yang boleh diterjemahkankan bagi tujuan menambah pendapatan di kalangan ahli khususnya dalam bentuk dividen menerusi perniagaan dan pelaburan tertentu.

 “Koperasi memainkan peranan cukup besar dan penting sekiranya ia dapat digerakkan secara total dan ditadbirurus dengan bijak menerusi rangkaian kerja yang berkesan dan sistematik.

“Saya yakin dan percaya Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) yang sudah lama mengimpikan koperasi ini dapat diwujudkan dan akhirnya menjadi kenyatan pada hari ini dapat mengembangkan koperasi ini setanding koperasi lain yang maju di negeri ini,” katanya ketika berucap di Kejohanan Boling Tertutup Lima Penjuru Piala YB Dato’ Mohamed Awang Tera, di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Rosol Wahid dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Terengganu, Encik Zahari Omar.

 Dato’ Mohamed turut menyampaikan surat kebenaran menubuhkan Koperasi Media Terengganu Berhad secara rasmi kepada Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Sebelum itu, beliau turut menggesa Koperasi Media Terengganu Berhad supaya merebut peluang terlibat dalam bidang yang mampu memberi pulangan yang baik kepada ekonomi dan pendapatan persatuan itu seperti di sektor peruncitan dan pelancongan, sejajar dengan perkembangan semasa.

Katanya, sebagai koperasi yang baru, pihaknya akan sentiasa menyokong usaha dan aktiviti yang akan dilancarkan bagi memastikan matlamat penubuhannya dapat direalisasikan, berupaya berkembang dan membangun dengan berkesan, selain dapat memberi manfaat kepada seluruh anggotanya.

 

SK Geliga ukir sejarah

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Akhirnya penantian dan debaran setiap calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berakhir pagi semalam setelah keputusan mula diumumkan di setiap sekolah.



Walaupun bukan menjadi sekolah yang terbaik dalam negeri, namun Sekolah Kebangsaan Seri Geliga turut mengukir sejarah mereka apabila keputusan UPSR pada tahun ini amat mambanggakan berbanding sebelumnya.

Seramai 35 calon daripada 241 calon Sekolah Kebangsaan Seri Geliga yang menduduki UPSR telah berjaya memperoleh 5A. Peratusan lulus semua mata pelajaran meningkat tinggi daripada 55.0 % kepada 71.37 %.

Menurut Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Chui Wai Kin, peningkatan dalam keseluruhan mata pelajaran amat memberangsangkan terutama mata pelajaran bahasa Inggeris yang jatuh merundum pada tahun lepas sebanyak 55.83 % dan meningkat kepada 74.27 %.

“Dengan peningkatan yang banyak dalam bahasa Inggeris dapat menaikkan jumlah keseluruhan peratusan lulus berbanding jumlah peratusan lulus pada tahun sebelumnya.

“Keadaan ini amat membanggakan semua pihak terutama guru-guru yang selama ini banyak meluangkan masa dengan pelajar siang dan malam bagi memastikan anak didik mereka berjaya”, katanya ketika ditemual selepas sesi bergambar dengan pelajar yang peroleh 5A.

Hadir sama ketika keputusan UPSR diumumkan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd. Hisham Zubir yang juga Yang Dipertua Sekolah Kebangsaan Seri Geliga yang turut menyampaikan hadiah jam tangan berserta wang tunai RM50 kepada setiap calon yang memperoleh 5A.


19 November 2012

Ramai berlagak jadi 'hero Islam'-MB

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengajak semua umat Islam menghayati dan mengamalkan konsep kesederhanaan sebagaimana tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ‘ Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’.

 “Suasana hari ini dapat dilihat bibit perpecahan sedang berlaku di kalangan umat Islam dan ramai yang berlagak menjadi ‘hero Islam’ dengan menghukum siapa Islamik dan siapa pula tidak Islamik,” .

Menteri Besar berkata demikian di majlis perasmian Pameran Islamik sempena Maal Hijrah 1434H di Kompleks Muzium Negeri Terengganu hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

 Katanya, keadaan ini secara tidak disedari menimbulkan polimik tidak harmoni di kalangan masyarakat Islam sendiri dan pada masa sama mencetuskan kebimbangan kepada golongan bukan Islam.

Menurutnya, setiap hari juga melalui akhbar dan kaca televisyen dipapar berita umat Islam berbunuhan sesama sendiri serta penderitaan saudara kita yang ditindas oleh pemerintah majoriti bulan Islam.

“Islam menuntut kita menghormati penganut agama lain, biarpun Islam sebagai agama rasmi, mereka tetap diberi kebebasan membina gereja, tokong, kuil dan lain-lain tempat ibadat mengikut pegangan masing-masing,” katanya.

Beliau menyarankan agar semua mengenepikan sikap ‘pongoh’ dan mementingan diri serta berhijrah kepada wassatiyyah agar keamanan dan perpaduan dapat dikukuhkan dan usaha pembangunan dapat berjalan lancar.

 “Saya harap orang ramai khususnya pelajar dapat meluangkan masa mengunjungi pameran yang banyak memaparkan sejarah dan tokoh Islam sedunia di mana aktiviti ini mampu menjadi saluran penting bagi gerakan dakwah dengan memberi pengetahuan kepada pelbagai peringkat,” katanya

.

Tindakan Pas boleh timbulkan persepsi negatif masyarakat

Oleh: Noraini Jusoh

Tindakan Pas mengadakan solat hajat dan doa agar Umno dan Barisan Nasional (BN) dihancurkan boleh menimbulkan pelbagai persepsi negatif termasuk orang bukan Islam terhadap agama Islam.

Demikian ditegaskan oleh Timbalan Pengerusi Biro Agama dan Pendidikan Umno Terengganu, Haji Muhammad Ramli Nuh ketika diminta mengulas isu doa yang dipimpin adik kepada Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat sempena perhimpunan Muktamar Tahunan Pas Ke-58.

Muhammad Ramli berkata, perbuatan parti yang kononnya memperjuangkan agama Islam tersebut sudah jauh tersasar daripada matlamat sebenar.

"Perbuatan Pas boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat kita terutamanya kepada golongan bukan beragama Islam.

"Doa sebenarnya permohonan pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba dari Allah s.w.t yang fokus kepada kebaikan dan bukannya bertujuan untuk menghancurkan orang lain,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

 Katanya, perbuatan yang dilakukan Pas bukan kaedah berdakwah yang sebenarnya tetapi lebih kepada sengaja menimbulkan pergaduhan sesama muslim serta menimbulkan pandangan serong oleh orang bukan Islam.

"Tindakan mereka ini sedikit sebanyak akan mengikis minat orang yang bukan beragama Islam mempelajari agama suci ini kerana perbuatan sedemikan seolah-olah memberi gambaran orang Islam tidak bersatu,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat, doa pemimpin dan penyokong Pas yang meminta kehancuran Umno dan BN tidah ubah seperti sikap puak Khawarij yang muncul pada zaman Khalifah Ar-Rashidin keempat, Sayyidina Ali Abi Talib, yang beranggapan kalangan mereka sahaja yang betul.

"Puak ini mengganggap semua orang tidak betul selain turut mendoakan keburukan pemimpin termasuk Sayyidina Ali sendiri.

"Samalah dengan yang dilakukan oleh parti Pas yang beranggapan mereka sahaja yang betul dan Umno itu zalim,” katanya.

 Menurut beliau, Pas berpendapat doa sedemikian tidak salah kerana mendakwa mereka dizalimi oleh Umno sedangkan perkara itu tidak benar.

 Justeru, masyarakat di negeri ini khususnya dinasihatkan tidak terikut-ikut dengan perbuatan yang boleh merosakkan akidah Islam.

 

Masjid Rakyat pertama di Terengganu


Model Masjid Rakyat akan dibina di Kampung Lapang Kotak, Jertih

Oleh: Mohammad Ishak

Bukan perkara mustahil kepada penduduk Kampung Lapang Kotak,dekat Jertih, yang ingin membina sebuah masjid rakyat jika semangat kerjasama dan mufakat dapat diteruskan.

Impian itu tersemat kepada Penduduk Kampung Lapang Kotak, dekat sini bakal medapat sebuah masjid yang dibina atas daya usaha sendiri apabila projek pembinaanya berjaya dilaksanakan tidak lama lagi.

Masjid berharga RM13 juta akan dibangunkan menerusi konsep wakaf dengan hasil sumbangan daripada penderma bakal mencatat sejarah menjadi masjid pertama diusahakan oleh rakyat di negeri ini.

Pengerusi Masjid Kampung Lapan Kotak,Muhamad Ishak berkata, ketika ini pihaknya berjaya mengumpul kira-kira RM60,000 hasil sumbangan orang ramai di sekitar daerah itu.

Katanya, masjid baru yang dicadangkan iu akan dibina di atas tanah seluar 3.5 hektar yang sebahagiannya diwakafkan oleh seorang penduduk manakala selebihnya dibeli oleh jawatankuasa masjid.

Menurutnya, pembinaan masjid itu agak unik karana ia mempunyai lapan kubah yang melambangkan nama kampung itu sendiri iaitu Kampung Lapan Kotak.

Muhamad berkata, reka bentuk dan pelan bangunan masjid itu dilakukan oleh arkitek yang juga bersetuju menyumbangkan idea dan pelan pembangunan masjid terbaabit.

Beliau berkata, usaha sedang digerakkan untuk mengumpul dana bagi pembinaan masjid rakyat itu dan berharap semua pihak khusnya umat Islam di daerah Besut memberi kerjasama dan sokongan untuk menjayakan pembinaan masjid itu.




Pameran merupakan medium utama sebar maklumat

Haji Mohd Yusof menemani Dato' Abdul Rahin melihat pameran.
Oleh; Esah Abdullah

Pameran merupakan medium utama dalam usaha menyebarkan maklumat dan mendidik masyarakat bermaklumat di samping memberi input yang amat penting dan berguna kepada semua.

 Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, melaluinya pelawat didedahkan dengan sejarah awal Islam, al-Quran, manuskrip, tokoh ilmuan,inovasi , kreativiti, kraf dan senibina.

“Banyak yang boleh diketengahkan bagi menarik minat ramai dengan informasi dan koleksi yang istimewa,” katanya di majlis perasmian Pameran Islamik sempena Maal Hijrah 1434H di Kompleks Muzium Negeri Terengganu hari ini.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah.

Katanya, beberapa aktiviti dirancang bagi menghidupkan suasana sepanjang pameran berlangsung antaranya kuiz di geleri dan radio, sembang-sembang suadara baru, persembahan nasyid, klinik al-Quran, klinik khat dan jawi serta gerai jualan.

“Saya harap orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke pameran ini yang banyak memaparkan bahan-bahan sejarah dari serata pelusuk tanah air,” katanya.

Menurutnya, selain koleksi Muzium Terengganu turut menyumbang bahan pameran ialah TV Al Hijrah, Perpustakaan Negara Malaysia, Muzium Kesenian Islam, Jabatan muzium Malaysia, Perbadanan Muzium Melaka, Kelantan dan Kedah,Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor. Institut al-Quran Terengganu.

Selain itu katanya, pameran ini juga memaparkan satu konsep Islam secara global yang mampu memberi pengetahuan kepada masyarakat tentang islam secara umum.

 

UPSR…Hulu Terengganu terbaik Terengganu


Teks dan gambar oleh Mastura Jamaluddin 

Hulu Terengganu tetap pendahulu dalam kecemerlangan pendidikan dan ini terbukti dalam keputusan Ujian Penialain Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Empat buah sekolah Hulu Terengganu telah tersenarai dalam senarai lima terbaik peringkat Negeri Terengganu iaitu tempat pertama Sekolah Kebangsaan Tapu,Sekolah Kebangsaan Kemat di tempat ketiga, keempat Sekolah kebangsaaan Teris dan tempat kelima terbaik ialah Sekolah Kebangsaan Kuala Berang.

Sekolah Kebangsaan Tapu sebuah sekolah yang terletak di kawasan luar bandar telah berjaya membuktikan berkat kesungguhan para guru dan pelajar,seramai 16 orang pelajar daripada 20 orang pelajarnya berjaya mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR.

Ini menjadikan sekolah ini adalah sekolah terbaik di peringkat Negeri Terengganu dengan GPS 1.12. Peratusan yang berjaya mendapat 5A pula sebanyak 80 peratus dan ini merupakan satu pencapaian yang tidak pernah berlaku di mana-mana sekolah di Negeri Terengganu.

Manakala peratusan lulus semua subjek juga meningkat kepada 95 peratus meliputi Bahasa Melayu Pemahaman,Bahasa Inggeris ,Matematik dan Sains.


Menurut Guru Besar SK Tapu,Encik Ahmad Shukri Ghaza,beliau merasa teramat teruja kerana SK Tapu dinobatkan sebagai sekolah terbaik peringkat negeri Terengganu dan ianya tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kami memfokuskan kepada proses pengajaran dan pembelajaran(PMP) kepada semua murid supaya pembelajaran lebih mudah.Selain daripada itu,pihak sekolah juga mengadakan sistem kelas tambahan,solat hajat dan pelbagai bentuk majlis untukmelahirkan pelajar yang terbaik.

“Kem kecemerlangan pelajar juga sentiasa diadakan dengan menjemput para fasilitator yang terbaik bagi memberi tunjuk ajar kepada mereka.

“Kerjasama ibu bapa merupakan tunjang utama kejayaan pada hari ini kerana tanpa sokongan mereka ,kami semua tidak akan Berjaya,” kata beliau ketika ditemui Teganukita untuk mengetahui rahsia kejayaan ini.

Menurut beliau lagi,sejak daripada OTI 1 hingga OTI 2, para murid telah menunjukkan peningkatan masing-masing dan ditambah dengan semangat guru-guru yang luar biasa.Berpegang kepada motto rekod bukan untuk di pertahankan tapi adalah untuk di pecahkan, Cikgu Ahmad Shukri menjadikannya satu cabaran untuk berjaya.

Fatin Qamaria Norhaya salah murid yang berjaya mendapat 5A merasa terharu dan langsung tidak menyangka beliau akan berjaya dengan cemerlang.

Berkat doa Ibu bapa dan guru-guru akhirnya kejayaan memihak kepadanya.Fatin yang sentiasa menelaah pelajaran di samping membaca Al Quran sebagai kunci kejayaan pada hari ini.

Adun Kuala Berang , YB Haji Mohd Zawawi Ismail telah bersetuju untuk menyumbangkan dua ekor lembu sebagai tanda penghargaan beliau di atas kejayaan Sekolah Kebangsaan Tapu untuk mengadakan majlis doa selamat dan kesyukuran.