Halaman

21 November 2012

Kerajaan terbit 1,000 prosa kata loghat Terengganu pelancong

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Penulis Terengganu (Pelita) akan menerbitkan makalah kecil prosa kata loghat rakyat tempatan untuk diedarkan kepada pelancong domestik dan luar sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, sehingga ini terdapat lebih 1,000 prosa kata loghat Terengganu dari daerah-daerah berjaya dikumpul.

“Kita juga turut mencetak buku kuih-kuih tradisional negeri ini dengan kerjasama Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi),” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Pameran Islamik sempena Maal Hijrah 1434H di Kompleks Muzium Terengganu.

Menurutnya, negeri ini kaya dengan pelbagai jenis kuih tradisional yang sebahagiannya tidak lagi dikenali oleh generasi baru.

 Sehubungan itu katanya, terdapat 500 bilik hotel, chalet dan rumah penginapan baru diwujudkan bagi menampung limpahan pelancong ke negeri ini dengan sasaran empat juta orang tahun depan.

Beliau juga mengingatkan peniaga barangan kraf dan pengusaha makanan di negeri ini tidak mengambil kesempatan dengan menaikan harga makanan sempenan TMT nanti.

“Saya harap mereka perlu memikirkan keuntungan jangka panjang kerana keuntungan dalam jangka masa singkat kebiasaanya tidak bertahan lama dan mereka akan serik untuk datang kali kedua,” katanya.

Dato’ Haji Abdul Rahin seterusnya meminta pihak penguatkuasaan sentiasa membuat pemantauan dan penyelarasan secara berkala mengenai harga makanan dan barangan di negeri ini bagi mengelak kenaikan harga mendadak yang boleh menjejaskan imej negeri.

 

Piala YB Dato' Mohamed Awang Tera milik Kawat

Oleh: Aida Abd Rahman

Piala pusingan Kejohanan Tenpin Boling 5 Penjuru Piala YB Dato’ Mohamed Awang Tera menjadi milik Pasukan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) B yang mengatasi sembilan pasukan lain untuk muncul juara dalam kejohanan yang berlangsung di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu, semalam (18 November).

Hasil jatuhan 1,007 pin menerusi dua pusingan perlawanan memihak kepada Kawat B yang dianggotai Mohd Kamal Ariffin, Zubir Sulaiman, Nik Mohd Faridzal Nik Jaafar dan Rosamiza Omar untuk bergelar johan keseluruhan.

Sementara naib johan pula menjadi milik pasukan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) B yang diketuai Nik Fahmi Nik Nordin, Mohd Adzhar Zahari, Mohd Nasir Kassim dan Tengku Chik Abu Bakar Tengku Ibrahim dengan perbezaan 130 jatuhan pin apabila sekadar meraih 877 mata.

Pasukan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) A, menerusi gandingan Pengurus Besarnya Haji Azmi Razik bersama Tengku Khairi A Rahman, Engku Mohd Hairul Nizam dan Zulkifli Yunus berjaya menghasilkan 855 jatuhan pin untuk berada di tempat ketiga.

 Kejohanan yang julung kali diadakan itu melibatkan lima agensi dan persatuan yang masing-masing diwakili dua pasukan iaitu YPU, Upen, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kawat.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan & Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Rosol Wahid. Juara kejohanan berjaya membawa pulang wang tunai RM400 beserta piala pusingan, tempat kedua RM300 dan ketiga RM200.


20 November 2012

Perebutan jadi Perdana Menteri bukti pakatan tidak konsisten



Oleh: Mohammad Ishak 

Belum pun menang pilihan raya dan menjadi pemerintah pakatan pembangkang sudah berebut untuk menjadi Perdana Menteri sekali gus memperlihatkan Pakatan Rakyat (PR) tidak mampu untuk ke Puterajaya.

Sekalipun berkemungkinan mereka berjaya menakluk Puterajaya ia tidak akan kekal lama kerana masing-masing mempunyai agenda tersirat untuk kepentingan diri dan bukan untuk mensejahterakan rakyat dan negara.

Tindakan DAP yang jelas menolak Dewan Ulama PAS yang mahukan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Perdana Menteri jika pembangkang berkuasa di negara ini, menyemarakkan lagi poltik pembangkang.

Malah, DAP dilaporkan tidak berganjak dengan ketetapan sebelum ini dan mahu jawatan itu diberikan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia diakui sendiri oleh Setiausaga Agung DAP, Lim Guan Eng yang berkeras dengan pendirian parti itu dan tidak akan mengubahnya.

Bagaimanapun, Dewan Pemuda PAS tetap dengan keputusan parti mahu Abdul Hadi dilantik sebagai Perdana Menteri jika mereka berkuasa.

Kini timbul kecelaruan antara DAP dan PAS bagaimanapun satu pihak lagi iaitu PKR masih berdiam diri dalam mempertahankan keputusan berkenaan yang dilihat masih membisu.

Pemerhati politik berpendapat,perebutan untuk menjadi Perda Menteri dikalangan pemimpin pembangkang hanyalah satu khayalan kerana mereka sudah awal-awal lagi menunjukkan sikap tamak untuk berkuasa.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, Barisan Nasional (BN) sudah melihat sejak awal lagi permainan politik pembangkang yang hanya ingin menjadi Perdana Menteri semata-mata dan lupa untuk menjaga rakyat.

Katanya, rakyat sendiri boleh menilai sejauh mana perjuangan pembangkang untuk memerintah negara sedangkan dalam masa sama merka hanya untuk menjaga kepentingan diri.

“Pemimpin BN tidak pernah berebut untuk menjadi Perdana Menteri, sebaliknya semua komponen parti mempunyai kata sepakat dalam memilih siapa menjadi pemimpin negara,” Katanya ketika mengulas isu perlantikan PM oleh pembangkang.

Episod perang dalam Pakatan Rakyat bermula

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Semakin lantang Pas menyuarakan hasrat untuk merebut jawatan Perdana Menteri jika parti pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Berdasarkan maklumat mutakhir, pucuk pimpinan Pas di beberapa negeri memilih Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Hadi Awang, sebagai calon paling layak menjadi Perdana Menteri jika pakatan menang pilihan raya tersebut.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa menyifatkan Hadi mempunyai semua kelayakan untuk diangkat sebagai PM sesuai dengan imej serta personaliti beliau.

Ramai lagi pemimpin Pas dari negeri-negeri lain turut meluahkan hasrat yang sama, iaitu mengangkat Presiden mereka sebagai PM.

Maka bermula satu lagi episod ‘peperangan’ dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana selama ini PR memukul canang di seluruh negara bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan dilantik sebagai PM jika mereka mampu menawan Putrajaya.

Cadangan berupa angan-angan PR ini disokong oleh DAP yang turut memberi persetujuan Abdul Hadi bakal dilantik sebagai salah seorang Timbalan Perdana Menteri.

Mengikut cadangan PR, DAP juga akan diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri jika PR menang PRU 13. DAP pasti akan menentang habis-habisan cadangan melantik Abdul Hadi sebagai PM seperti mana mereka menetang hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud jika PR memerintah negara.

Sejauh mana pemimpin Pas Pusat berani menyuarakan hasrat pemimpin mereka di peringkat negeri untuk mengangkat Abdul Hadi sebagai PM?

Mengenali kepimpinan Pas yang ada sekarang ini, penganalisis politik yakin mereka tidak akan sanggup mengetengahkan cadangan tersebut seperti mana juga mereka bertindak ‘memendam’ hasrat melaksanakan hudud, demi bagi menjaga hati DAP dan PR.

Jika benar telahan ini, di manakah letaknya moral dan ‘kejantanan’ pemimpin Pas? Sanggupkah mereka mengetepikan hasrat masyarakat bawahan (grassrout) selama-lamanya bagi menjaga hati rakan-rakan dalam DAP dan PKR?


Fama anjur Karnival Halal

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) cawangan Terengganu akan menganjurkan Karnival Halal 1Malaysia Best selama empat hari bermula 20 Disember ini.

 Karnival terbuka kepada semua peniaga, terutama usahawan Industri Kecil dan Sederhana itu akan diadakan di Pusat Dagangan Terengganu, Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

 Pengarah Fama , Encik Hasan Jusoh berkata, karnival itu bertujuan mempromosikan produk makanan dari negeri Pantai Timur yang mendapat pengiktirafan 1Malaysia Best.

“Karnival ini juga terbuka kepada masyarakat di luar Pantai Timur yang berminat mempromosi produk mereka,.

“Sebanyak 100 gerai akan disediakan FAMA Terengganu pada karnival itu, selain mempromosi produk, usahawan juga berpeluang menjalin hubungan kerja serta memperluas pasaran, katanya.

 Usahawan yang berminat untuk menyertai karnival itu boleh menghubungi FANA Terengganu di talian 09-6224144, 6224191.

 

SMK Padang Midin terima padang sintetik taraf dunia

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu dijangka dapat terus melahirkan atlet hoki yang mampu melangkah sehingga ke peringkat antarabangsa apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu yang berperanan sebagai pusat kecemerlangan sukan itu di negeri ini, menerima padang sintetik bertaraf dunia, semalam (19 November).

Prasarana sukan di sekolah yang melibatkan kos RM3.3 juta itu merupakan antara 11 padang hoki yang sedang disiapkan di seluruh negara sebagaimana agenda kementerian menerusi pelan induk Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Pengarah Kanan Cawangan Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Jabatan Kerja Raya (JKR), Maman K. T George, berkata kemudahan itu bertujuan memberi kemudahan kepada murid mengembangkan bakat mereka dalam bidang sukan dalam suasana yang lebih kondusif dan selesa.

“Pembinaan padang hoki sintetik bernilai RM3.3 juta di sekolah ini bermula awal Mac lalu dan dijangka siap sepenuhnya bulan ini.

 “Malah saya difahamkan padang hoki ini juga sudah mendapat pengiktirafan badan induk Hoki Dunia kerana memenuhi spesifikasi yang ditetapkan pihak itu, selain mendapat sijil pengiktirafan sementara selepas tiga wakil badan induk berkenaan dari negara Hong Kong, China serta Korea menjalankan pemeriksaan pada 15 November lalu ,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Padang Hoki Sintetik kepada Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad. Hadir sama, Jurutera Daerah JKR Kuala Terengganu, Encik Md Zaid Ali, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Haji Zainal Abidin Hussin, Penyelaras Projek Sukan Hoki, Encik Nik Rozemi Nik Mohamad dan wakil persatuan hoki negeri .

Sementara itu, Nik Rozemi berkata, kemudahan padang hoki itu bakal dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam usaha memartabatkan lagi sukan itu serta melahirkan pemain hoki yang berwibawa di peringkat negeri serta negara amnya.

Menurutnya, pelbagai perancangan akan dilakukan bermula awal tahun depan termasuklah menganjurkan kejohanan hoki peringkat antarabangsa dengan melibatkan pasukan hoki sekolah dari beberapa negara Asia.

“Dalam perkembangan terbaru, pasukan hoki wanita sedang menjalani latihan pusat bagi menghadapi Kejohanan Hoki Wanita Bawah 16 Tahun peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada 12 hingga 20 Disember depan.

 “Sehingga kini, seramai 90 pelajar giat menjalani latihan di bawah projek hoki di SMK Padang Midin dan sebahagian daripada mereka ini merupakan atlet pelapis bagi skuad Sukan Malaysia (Sukma) negeri,” katanya.

Projek hoki SMK Padang Midin ditubuhkan sejak 986 dan mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Hoki Tunas Cemerlang pada 1989 daripada Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) serta mencapai pelbagai kejayaan antaranya termasuklah menjadi juara Sukma Pahang Julai lalu bagi pasukan lelaki dan wanita.


PPAT sedia program BI sempena cuti sekolah

Oleh; Esah Abdullah

Pusat Bahasa Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) sediakan program bahasa Inggeris bersempena dengan cuti sekolah untuk murid sekolah rendah dan menengah.

Penolong Pengurus Pusat Bahasa Terengganu, Puan Norrinal Othman berkata, program yang telah memasuki tahun ketiga itu menyediakan dua siri meliputi siri pertama pada18 hingga 29 November dan kedua bermula 2 hingga 13 Disember.

Menurutnya, ia terbuka kepada empat kelas, iaitu dua kelas bagi murid sekolah rendah dan dua kelas untuk sekolah menengah, iaitu tujuh hingga sembilan tahun satu kelas, (10 hingga 12 tahun), (13 dan 14) serta 15 dan 16 tahun satu kelas.

“Penyertaan masih dibuka. Setakat ini, kita membuka hanya satu kelas bagi tiap-tiap ketegori, namun jika mendapat sambutan kita bersedia untuk tambah kelas. Setiap kelas hanya dihadkan kepada 30 orang murid kerana lebih praktikal.

“Tenaga pengajar adalah pensyarah jemputan yang berpengalaman dan juga pernah bekerjasama dengan kita sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, kelas bermula pada jam 8.30 pagi hingga 1 tengahari turut menyediakan makan, sijil dan yuran pula adalah berpatutan dengan manfaat diperolehi dalam kelas hampir dua minggu itu.

Katanya, biasanya kelas yang mendapat sambutan adalah bagi murid tahun satu hingga tahun tiga. “Tidak dinafikan mereka yang pernah mengikuti program sama sebelum ini meneruskannya sebagai program susulan untuk tahap seterusnya bagi memenuhi aktiviti cuti sekolah,” katanya..

 

Gangguan bekalan air

Oleh: Suriati Ali



Syarikat Air Terengganu (Satu) memaklumkan bahawa gangguan bekalan air akan berlaku membabitkan 23 kawasan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada 26 November ini.

 Gangguan itu berlaku disebabkan kerja-kerja pengubahsuaian paip air oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyiapkan Projek Terowong di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu.

 Antara kawasan yang terlibat, Pulau Duyung, Kampung (Kg) Seberang Tuan Chik, Kg Bukit Tunggal, Taman Semarak, Gong Kijang Kg Bukit Datu, Kg Pengkalan Arang dan Kg Pak Katak.

Antara kawasan lain Kg Batu Enam, Kg Tok Jiring, Kg Padang Air, Kg Banggol Air Lilih, Kg Wakaf Tembesu, Jalan Lapangan Terbang, Kg Telaga Batin , Kg Duyung, Kg Telok Ketapang, Seberang Takir, Kg Hulu Takir, Kg Bukit Tok Beng, Kg Batin, Kg Gong Pauh dan Kg Bukit Tumbuh.

 Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Husain Embong, berkata kira-kira 25,000 akaun pengguna Satu akan mengalami gangguan bekalan air terutama pada waktu puncak sepanjang kerja-kerja pengubahsuaian itu dijalankan.

Pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan menyimpan air yang mencukupi sebelum gangguan bekalan air berlaku pada tarikh tersebut.

Satu sedang berusaha untuk meminamakan kesan gangguan bekalan air ini melalui pengezonan semula agihan bekalan air ke kawasn yang terlibat.

 


JKKN kesan seni warisan yang dilupakan

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Terengganu kini giat menjelajah ke serata daerah di negeri ini untuk mengesan seni warisan negeri yang dilupakan.

Pengarahnya, Encik Zaifri Husin berkata, negeri Terengganu mempunyai banyak warisan seni budaya selain kisah dan tarian ulek mayang yang telah sinonim dengan negeri ini.

“Antara budaya yang berjaya diketengahkan termasuklah tarian anak burung baniong, rodat, tarian balai, dan tarian ‘ya abang’,” katanya.

Menurutnya, walaupun mungkin sebahagian besar penggiat asal telah tiada atau sudah uzur, mereka mungkin masih ada anak-anak atau pengikut yang pernah membuat persembahan bersama suatu ketika dulu.

 “Kita sangat berharap dapat mengumpul bahan dan juga maklumat dengan lebih tepat, selain kajian terbaru berkaitan dengan kewujudan ‘nong sakti’ yang dikatakan popular suatu ketika dahulu,” katanya.

Katanya, hasil kajian yang telah dibuat, ia berasal dari Kuala Jengai, Hulu Dungun. Penggiat asal telah tiada (meninggal) tetapi kita berjumpa anaknya yang dapat membantu memberi sedikit-sebanyak maklumat yang diperlukan.

 Selain itu JKKN masih berharap maklumat terperinci daripada orang ramai yang mengetahui tentang kesenian di negeri ini yang telah dilupakan supaya dapat dihidupkan kembali.

 “Sekiranya tindakan tidak dilakukan sekarang, mungkin warisan tersebut terus hilang tanpa sempat diketahui generasi akan datang,” katanya. Tambahnya, pelbagai bentuk penerbitan boleh dilakukan sekiranya maklumat dan info yang lengkap diperolehi.

 

Pesawat penerbangan terus haji dijangka tiba Jumaat ini (23 November)

Jemaah haji dari Pantai Timur yang menggunakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Jeddah/Madinah dijangka pulang ke tanah air pada 23 November ini (Jumaat).

Pesawat kedua membawa jemaah haji bagi penerbangan tersu itu dijadualkan mendarat di LTSM kira-kira jam 8.25 pagi.

Sebelum ini pesawat pertama yang membawa 447 jemaah haji dari Pantai Timur selamat tiba di lapangan terbang itu, kira-kira jam 9.05 pagi, pada 13 November lalu.

Sebahagian besar jemaah haji berkenaan adalah dari Terengganu manakala sebahagian lagi dari Pahang dan Kelantan. Ketibaan mereka disambut oelh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Ustaz Haji Muhamad Ramli Nuh dan petugas Tabung Haji.

Tahun ini merupakan tahun ke-5 bakal haji menggunakan LTSM bagi penerbangan terus ke Tanah Suci di mana seramai 11,000 orang telah menggunakan perkhidmatan yang disediakan.