Halaman

04 December 2012

Projek naik taraf HSNZ hampir selesai

Oleh: Noraini Jusoh

Projek naik taraf Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang melibatkan peruntukan RM129.9 juta memasuki fasa terakhir dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Anwa Sulaiman berkata, antaranya membabitkan pembinaan Kompleks Pakar Materniti serta projek naik taraf unit kecemasan.

"Pembinaan Kompleks Pakar Materniti yang menempatkan wad bersalin serta kemudahan yang berkaitan dengan kehamilan serta kelahiran bayi dijangka siap pada 8 Mac depan.

"Apabila siap sepenuhnya nanti, Kompleks Pakar Materniti yang mempunyai blok bangunan setinggi 6 tingkat diharap dapat mengurangkan masalah kesesakan pesakit di wad bersalin sedia ada seperti sekarang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas selesai Majlis Pelancaran Kutipan Derma Kemanusian Palestin 2012, baru-baru ini. 

Katanya, projek naik taraf unit kecemasan pula di peringkat pelaksanaan kerja-kerja terakhir dan pada 6 Disember ini pemeriksaan akhir akan dilakukan oleh pihak jabatan, Kementerian Kesihatan serta kontraktor yang terlibat.

"Projek naik taraf unit kecemasan melibatkan pertambahan bilik serta kelengkapan yang lebih canggih untuk mengatasi masalah kesesakan serta ketidakselesaan pesakit,” ujarnya.

Justeru, dengan siapnya projek tersebut akan memudahkan pesakit dan orang ramai yang berurusan di HSNZ.

 

Pemimpin PAS mula gerun kritikan UMNO

Oleh: Mohammad Ishak 

Tidak ada apa yang perlu ditakuti pemimpin PAS terhadap kritikan dan ucapan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Semua yang dibangkitkan oleh perwakilan sama ada mewakili Puteri,Pemuda,Wanita dan badan induk parti hanya untuk menjaga kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu supaya tidak terjebak dengan idea yang dibawa pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO Besut,Mahadi Musa berkata, sepanjang beliau mengikuti persidangan berkenaan tidak ada perwakilan yang memaki hamun dan mencemuh pembangkang terutama pemimpin PAS.

Katanya, beliau hairan kenapa Mursyidul Am Pas,Datuk Nik Aziz Nik Mat menunuduh PAU sebagai medan untuk orang Umno memaki hamun pemimpin pembangkang termasuk Pas.

Menurutnya, pemimpin Pas mungkin merasakan diri mereka bersalah menyebabkan menuduh PAU sebagai medang untuk menyerang mereka.

“Tetapi sedarkah pemimpin Pas sebenarnya yang sering memaki hamun kepada pemimpin Umno pada setiap ceramah yang mereka adakan di seluruh negara,” katanya.

Mahadi berkata, kenyataan Nik Aziz yang menyatakan persidangan Umno kali ini penuh dengan maki hamun kerana lagak perwakilan yang mengambil bahagian sebenarnya sudah terkena kepada batang hidung pemimpin Pas.

Anehnya,katanya Mahadi, mereka yang sering melakukan perbuatan seperti itu sejak dahulu sehingga sekarang tidak pula menyhalahkan diri sendiri apabila mengutuk dan memfitnah pemimpin Umno dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

Katanya, apa yang mereka lakukan termasuk mendoakan UMNO dan BN musnah serta menuduh Umno murtad, bukankah itu yang dipanggil memaki hamun.

12 pelayar mula berentap pada kejohanan Piala Monsun 2012

Seramai 12 pelayar ternama dari seluruh dunia mula berentap dalam Kejohanan Piala Monsun 2012 di Pulau Duyong, yang bermula hari ini bagi merebut keseluruhan hadiah bernilai RM1.5 juta.



Antara pelayar yang bertanding pada kejohanan yang memasuki edisi ke-8 itu ialah Bjorn Hansen dari Sweden, Laurie Jury (New Zealand), Jeremy Koo (Malaysia), Datuk Peter Gilmour (Australia) dan Johnie Bersson (Sweden).


Perasmian kejohanan tersebut disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan berangkat ke lokasi kejohanan itu, kira-kira jam 2 petang semalam.

Para peserta kejohanan itu akan berentap pada pusingan kelayakan bermula pagi ini dan esok manakala peringkat suku akhir bermula jam 10.30 pagi Jumaat.

Peringkat separuh akhir akan bermula jam 10.30 pagi Sabtu manakala acara kemuncak final akan bermula jam 3 petang hari yang sama.

 

Adun syor tindakan tegas atasi masalah sabotaj


Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Terengganu, Dato’ Rosol Wahid menyarankan tindakan tegas diambil terhadap pemimpin Umno yang melakukan kesalahan sabotaj parti pada pilihan raya umum akan datang bagi membendung masalah tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Ajil, berkata masalah tiada ketegasan diambil ke atas pimpinan dan pengikut parti yang terlibat dengan perbuatan itu sebelum ini, menyukarkan pihak pimpinan parti menangani isu tersebut.

Katanya, perkara itu boleh dilihat melalui beberapa pilihan raya umum lalu apabila nama-nama pemimpin parti yang diambil tindakan dan disiarkan dalam akhbar berkait isu tersebut langsung tidak memberi kesan yang besar, sehingga ia masih berlaku dalam pilihan raya seterusnya.

“Setakat ini saya tidak nampak ketegasan itu sehingga mereka yang melakukan sabotaj masih menguasai parti,” katanya. Perdana Menteri, Dato’ SeriMohd Najib Tun Razak sebelum ini menegaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) pasti memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan kerusi dua pertiga jika tiada sabotaj di dalam parti.

Menurutnya, pembangkang hari ini tidak kuat dan yakin rakyat memilih BN pada pilihan raya akan datang.

Dato’ Rosol berkata, sabotaj boleh memberi kesan besar berdasarkan pengaruh pemimpin dan juga majoriti undi yang diperoleh calon BN pada pilihan raya lepas.

“Kalau orang sabotaj itu mempunyai pengaruh yang besar, maka kesannya besar. Kalau orang itu pengaruhnya kecil, ia tidak menjadi kudis gatal.

“Begitu juga kalau kawasan itu dimenangi tipis calon BN sekurang-kurangnya 1,000 undi, maka kesannya juga besar tetapi kalau kawasan itu mendapat majoriti tinggi, kesannya tidak nampak,” katanya

Bagi mengelak sabotaj berlaku, beliau turut meminta mana-mana calon yang tidak disenaraikan pada pilihan raya umum akan datang tidak dibiarkan begitu sahaja, dengan kata lain diberi jawatan dan juga bahagian tertentu supaya mereka berasa dihargai kerana pernah beri sumbangan kepada parti.



Usahawan perlu ada formula untuk berjaya

Oleh; Esah Abdullah


Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan meneruskan program membudayakan semangat sikap ingin maju dengan mengambil iktibar dan pengalaman usahawan berjaya di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, pihaknya sentiasa bersedia emmberi suntikan semangat kepada usahawan yang ingin berjaya dengan menjemput beberapa tokoh usahawan untuk menyampaikan motivasi.

“Di samping usaha keras, usahawan perlu mencari formula bagaimana untuk menembusi halangan mendaki ke puncak kejayaan,” katanya. Katanya mereka perlu rajin berdamping dengan orang yang telah berjaya serta mengambil iktibar bagaimana kepayahan yang dilalui sebelum berjaya membina empayar perniagaan mereka.

 “Saya harap mereka tidak ‘berkira’ untuk melabur wang kerana kita akan mengenakan sedikit bayaran bagi mendapatkan tempat dalam setiap program bersama usahawan yang kita anjurkan,” katanya.

Menurutnya ada perkara yang boleh diberi percuma dan ada program yang memerlukan bajet agak besar untuk melaksanakannya.

“Memang menjadi hasrat kerajaan untuk melahirkan usahawan jutawan pada masa depan berdasarkan kemajuan dan pembangunan masa kini memungkinkan usahawan dapat mengembangkan rangkaian perniagaan masin-masing,” katanya.

Contohnya, melalui sahabat usahawan yang diwujudkan YPU serta melalui ypu e-mall yang menyediakan kaedah jualan secara dalam talian. “Terengganu satu-satu negeri di negara ini mewujudkan YPU untuk melahirkan usahawan yang boleh dibanggakan dalam pelbagai sektor,” katanya.

 

03 December 2012

SPR adakan taklimat pilihan raya Khamis

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan program taklimat dan simulasi pengundian kepada parti-parti politik di negeri ini sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) di Hotel Primula Beach,Khamis ini (6 Disember).

Wakil-wakil dari parti-parti politik yang akan bertanding pada PRU 13 akan hadir pada taklimat tersebut yang akan bermula dari jam 8.30 pagi hingga 2 petang.

Taklimat tersebut akan disampaikan oleh Timbalan Setiausaha SPR, Dato’ Haji Noordin Che Ngah.

Sistem MyKad perpustakaan dapat sambutan

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 15,296 orang telah mendaftar sebagai ahli Perpustakaan Awam Daerah Hulu Terengganu (PADHT) sehingga ini.

Penolong Pustakawan PADHT, Encik Kamarudin Ismail berkata, bilangan ini membuktikan masyarakat hari ini tanpa mengira peringkat umur mempunyai minat membaca yang tinggi.

Katanya, selain mempunyai prasarana lengkap dan selesa dikunjungi, pelbagai buku disediakan bagi memenuhi selera pembaca di samping buku rujukan untuk pelajar.

 “Perkembangan ini menunjukkan matlamat perpustakaan mencapai sasaran sebagai peneraju penyebaran ilmu dan makumat kepada orang ramai.

Menurutnya, pihaknya telah melaksanakan pelbagai kemudahan kepada orang ramai termasuk memperkenalkan Sistem Bersepadu Perpustakaan secara dalam talian.

“Perkhidmatan ini mula dilancar pada Ogos tahun lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai kerana ia mudah ketika membuat urusan meminjam buku,” katanya.

Katanya, setiap ahli akan diberi MyKad bagi memudahkan membuat urusan meminjam serta memulangkan buku di mana-mana perpustakaan.

Selain itu, pelbagai program diadakan bagi menarik minat orang ramai mengamalkan budaya membaca setiap hari serta rajin berkunjung ke perpustakaan untuk mencari bahan bacaan terkini yang disediakan.

Sultan Mizan rasmi Piala Monsun 2012

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sultan Mizan berkenan menekan suis skrin sentuh sebagai gimik perasmian Piala Monsun  2012
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan merasmikan kejohanan Piala Monsun 2012 di Pulau Duyong, petang ini.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan berangkat ke majlis tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pembesar negeri.



Baginda Sultan Mizan diperkenalkan kepada ketua-ketua pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan bertaraf antarabangsa itu yang disiarkan di seluruh dunia dan menaikkan nama negeri ini.

Para peserta kejohanan itu akan berentap pada pusingan kelayakan bermula pagi esok hingga Khamis dan peringkat suku akhir bermula jam 10.30 pagi Jumaat.

Peringkat separuh akhir akan bermula jam 10.30 pagi keesokan harinya (Sabtu) manakala acara kemuncak final akan bermula jam 3 petang. Konsert mega Piala Monsun yang dijadualkan berlangsung di Dataran Shahbandar pada sebelah malamnya merupakan acara penutup kejohanan tersebut.





Perhimpunan Agung Umno (PAU) suntik semanagt ahli hadapi Pilihan Raya Umum



Oleh: Mohammad Ishak 

Perhimpunan Agung Umno Ke 66 yang berakhir kelmarin bukan sekadar perhimpunan biasa, sebaliknya ramai ahli parti sama ada yang berpeluang ke PWTC atau yang berada di luar dewan mempunyai semangat tinggi untuk menunggu bila pilihan raya umum diadakan.

Rata-rata ahli UMNO mempunyai mood yang cukup bersemangat menunggu kerahan tenaga bekerja bagi menghadapi PRU13 selepas Presiden parti melontarkan kata-kata hikmat untuk melonjak semangat ahli.

Kesungguhan 2,759 perwakilan yang berada di dalam dewan mendengar amanat pemimpin sudah tentu akan di bawa balik kepada peringkat bahagian dan cawangan dan diterjemahkan kepada ahli akar umbi mengenai harapan pemimpin tertinggi parti.

Perhimpunan kali ini yang banyak mencetuskan linangan air mata oleh perwakilan apabila ada perwakilan yang membangkitkan isu agama dan masa depan bangsa Melayu sudah tentu meningkatkan lagi usaha ahli UMNO untuk berjuang habis-habisan dalam PRU13 nanti.

Tambahan pula harapan pemimpin melalui lafaz ikrar dan doa yang memohon restu perjuangan UMNO diberkati Allah semua ahli menyedari mereka kini mempunyai tanggungjawab besar untuk menggalas tugas yang diamanahkan.

Pemimpin pula, sepatutnya menginsafi apa yang diperkatakan oleh Presiden menerusi lima soalan cepumas bagi membuktikan kesetiaan pemimpin terhadap apa sahaja keputusan yang dibuat untuk kemenangan parti pada PRU13 tidak lama lagi.

Pengalaman lampau sudah banyak mengajar pemimpin supaya tidak mengengkari keputusan parti jika ada antara mereka tidak terpilih untuk dicalonkan atau diminta bertukar kawasan, kerana semua yang dilakukan itu untuk kepentingan parti.

Semoga riwayat Terengganu seperti apa yang berlaku pada 1999 tidak lagi berulang sebaliknya terus kekal sebagai negeri yang mampu menumbangkan pembangkag pada pilihan raya yang dianggap gentir pada kali ini.

Kampung bersih cerminan pemimpin yang mantap

Oleh; Esah Abdullah

Kebersihan dan keceriaan sesebuah kampung berkait rapat dengan corak kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang berjaya menerapkan nilai-nilai baik dalam diri setiap penduduknya.

Pengurus Bahagian Kesejahteraan Rakyat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Haji Sedek Embong berkata, kampung yang bersih dan ceria adalah cerminan kepada kepimpinan yang mantap.

“Kita sering pergi ke kampung-kampung dan melalui keadaan persekitaran kita dapat meneka corak kepimpinan sesebuah kampung tersebut,” katanya ketika berkunjung ke Kampung Bukit Wan, Batu Rakit semalam.

Katanya, masyarakat yang rajin pastiya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran kampung dan rumah kediaman masing-masing dihiasi tanaman pokok bunga sekali gus melambangkan gaya hidup sihat kampung berkenaan.

Seramai 50 orang terdiri daripada pengerusi dan jawatankuasa membabitkan 20 buah JKKK dalam Wilayah Ketengah yang mengikuti Kursus Kepimpinan di bandar Kuala Terengganu telah membuat lawatan ke kampung yang pernah menjadi johan dalam pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Peringkat Negeri Terengganu itu sebelum pulang ke kampung masing-masing.

Katanya, setiap pemimpin perlu ada visi dan misi bagi membantu pembangunan masyarakat di kampung-kampung dengan mewujudkan semangat jati diri serta mengukuhkan perpaduan.

“Apa yang berlaku di peringkat atasan bermula dari peringkat akar umbi dan generasi yang terdidik dengan adap sopan dan saling menghormati antara satu sama lain bakal diwarisi apabila melangkah ke dunia luar,” katanya.

Sehubungan itu beliau menaruh harapan kepada ketua-ketua kampung memain peranan masing-masing dengan membentuk semangat perpaduan serta menyemaikan sikap kerjasama dalam masyarakat bermula dari usia kanak-kanak lagi.