Halaman

05 December 2012

Empat jabatan mendapat penarafan empat bintang

Oleh: Suriati Ali 

Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama Dato' Haji Mazlan Ngah ketika menjawab pertanyaan wartawan ketika sidang media selepas mesyuarat mingguan exco tadi.
Kerajaan negeri memberi sumbangan RM80,000 kepada empat jabatan kerajaan Terengganu di atas kejayaan memperoleh penarafan empat bintang Anugerah Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Terbaik 2011 daripada Jabatan Audit Negara.

Empat jabatan itu adalah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Pejabat Perbendaharaan Negeri dan Pejabat Tanah Kemaman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dengan kejayaan itu, setiap jabatan layak memperoleh RM20,000 sebagai pendorong untuk terus kekal cemerlang.

Katanya, dengan pengiktirafan dan sumbangan yang dipersetujui ini, diharapkan banyak lagi jabatan lain tampil cemerlang, terutama bagi 11 pihak yang kini berada di taraf tiga bintang.

 “Untuk mendapat pengiktirafan empat bintang, setiap jabatan perlu memperoleh markah antara 90 hingga 100 peratus.

“Kebanyakan jabatan di negeri ini memperoleh penarafan dua bintang dan tiada pihak yang memperoleh satu bintang,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ahli-ahli Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu kira-kira 91,000 hektar kawasan di seluruh Terengganu akan diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Katanya, kawasan yang dikenalpasti paling luas adalah Gunung Tebu, Setiu dan beberapa lokasi di Hulu Terengganu.

 “Dalam tempoh terdekat 60,000 hektar lagi akan diwartakan selepas selesai kajian daripada pihak berkaitan,” katanya

 

YPU dan Risda jalin kerjasama lahir usahawan

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bekerjasama untuk melahirkan usahawan berjaya dari kalangan pekebun kecil.

Ketua Pegawai Ekesekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, melalui perjanjian persefahaman yang telah dimeterai dengan Risda baru-baru ini, YPUT diberikan tanggungjawab untuk membimbing usahawan bimbingan Risda untuk diketengahkan.

“Usaha ini bagi merealisasikan hasrat Risda untuk melahirkan 10,000 pekebun kecil yang bergelar usahawan menjelang 2015,” katanya.

Katanya, YPU akan memberi kerjasama dalam menyediakan latihan dan kursus pembangunan modal insan untuk meningkatkan taraf usahawan kelas menengah ke peringkat global.

 “Mereka ini akan dibantu dari segi latihan usahawan, latihan kemahiran dan juga pembungkusan serta pemasaran produk dengan lebih kreatif sebagai persediaan bukan saja untuk pasaran tempatan sebaliknya mampu menembusi pasaran global,” katanya.

Selain itu, YPU dan Risda capai persetujuan menyediakan kursus kepada peserta-peserta program keusahawanan kendalian Risda.

“Usaha ini dilihat mampu meningkatkan motivasi dan juga menambah ilmu pengetahuan berkaitan bidang keusahawanan bagi mencapai matlamat meningkatkan pendapatan isi rumah kalangan pekebun kecil,” katanya.

Sehubungan itu YPU akan cuba membantu kira-kira 772 usahawan pekebun kecil yang ada di seluruh negeri supaya berjaya meningkatkan produktiviti di samping membimbing mereka orang baru untuk menjadi usahawan.

 

Morvan dan Canfield ungguli hari pertama Piala Monsun 2012

Pelayar negara, dari pasukan Koo Racing Team gagal memungut sebarang mata pada  peringkat awal.
Pelayar Perancis, Pierre Antoine Morvan dari pasukan Vannes Agglo Sailing Team dan pelayar dari Virgin Island, Taylor Canfield (pasukan USOne) mendahului saingan awal Piala Monsun 2012 yang sedang beralngsung di Pulau Duyong, pada saingan hari pertama pusingan kelayakan semalam.

Morvan dan Canfield masing-masing mengumpul dua mata untuk berkongsi kedudukan selaku pendahulu kejohanan tersebut yang menawarkan hadiah berjumlah RM1.5 juta.

Pertandingan awal saingan itu menyaksikan bekas juara dunia, datul Peter Gilmore (Yanmar Racing), Johnie Berntsson (Berntsson Racing Team) serta pendatang baru, David Gilmore (Team Giilmore) berkongsi satu mata.

Pelayar negara, Jeremy Koo dari pasukan Koo Racing Team bermula dengan baik, tetapi gagal memungut sebarang mata. Pelayar lain juga gagal mendapat mata iaitu Bjorn Hansen dari Sweden yang menyertai Mekonomen Sailing Team.

Pertandingan hari ini yang merupakan hari kedua kejohanan tersebut dijangka semakin sengit dengan pasukan-pasukan yang bertanding akan bertungkus lumus bagi memastikan mereka mendapat mata yang tinggi bagi mengatasi saingan pihak lawan.

 

MB bentang Bajet 2013 Isnin depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan membentangkan Bajet 2013 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, yang akan bersidang selama empat hari mulai 10 Disember depan.

Mengikut jadual persidangan DUN Terengganu, Menteri Besar akan membentangkan Bajet 2013 pada hari pertama persidangan itu. Bajet berkenaan akan menjana ekonomi dan pelbagai program pembangunan negeri ini bagi tahun 2013.

Ini merupakan pembentangan bajet kali kelima yang akan dibentangkan Dato’ Seri Haji Ahmad sejak beliau menerajui pemerintahan negeri ini mulai tahun 2008.

Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan RM1.95 bilion bagi Bajet 2012 yang bertemakan “MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN: BAJET KESEJAHTERAAN RAKYAT” iaitu pertambahan RM62.07 juta atau 3.29 peratus berbanding Bajet 2011.

Daripada jumlah itu, RM112.2 juta digunakan bagi membiayai Perbelanjaan Mengurus manakala RM1.838 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

 

Kolej Ketengah sasar 350 pelajar tahun depan

Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mensasarkan 350 pelajar cemerlang bagi pengambilan pertama mulai tahun depan.

Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud berkata, usaha ini dirancang melalui kerjasama strategik antara Ketengah dan MARA untuk pembangunan dalam sektor pendidikan.

“Pelajar terbabit akan melanjutkan pengajian peringkat persediaan A-lever dan International Baccalaureate di kolej ini sebagai persediaan ke universiti terkemuka di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, kolaborasi antara dua agensi ini mampu bersaing di peringkat globalisasi di samping membangunkan modal insan yang akan menjadi nadi dalam memacu bidang pendidikan ke tahap global.

“Pendidikan berkualiti bertaraf dunia merupakan satu pelaburan jangka panjang yang berdaya maju dan mampu menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara,” katanya.

Kolej Ketengah dilengkapi 16 bilik kuliah, sebuah dewan utama dan auditorium, kompleks sukan serta asrama yang selesa serta tenaga pengajar yang professional dan berpengalaman dari MARA.

“Saya yakin pelajar di kolej ini nanti mampu memberi satu pencapaian ampuh dalam memacu kecemerlangan seperti lain-lain pusat pengajian tinggi di negara ini,” katanya


YIT anjur seminar 'serangan akidah di zaman globalisasi'

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan menganjurkan seminar sempena dengan sambutan Maal Hijrah 1434H bertempat di Dewan Utama, Menara YIT Kuala Terengganu esok (6 Disember)..

 Penolong Pengarah (Penyelidikan dan Penerbitan) YIT, Habibie Hamzah berkata, program ini akan mengundang beberapa ahli penal yang berpengalaman.

“Antaranya penceramah jemputan termasuklah Ustaz Fathul Bari Mat Yahya dan Dr. Zulkifli Muda yang akan membincangkan tentang serangan akidah di zaman globalisasi dan juga wasatiyyah mengikut perspektif akidah,” katanya.

Menurutnya, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat akan merasmikan majlis berkenaan yang dihadiri oleh golongan pelajar, wakil-wakil jabatan kerajaan, badan berkanun dan swasta serta pemimpin masyarakat.

 

Kerajaan negeri perkasa Sekolah Imtiaz

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan Terengganu akan memperkasa Sekolah-Sekolah Imtiaz di negeri ini kerana ia mampu menjana masyarakat yang mampu hafaz al-Quran serta cemerlang di bidang pelajaran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tahun ini 287 pelajar dari sekolah berkenaan mampu menghafal al-Quran dan mereka diberi RM1,000 seorang sebagai imbuhan.

 “Bagi tujuan itu kerajaan negeri membelanjakan RM287,000 bagi memberi sagu hati sebagai dorongan kepada pelajar yang telah menghafal al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pada masa ini terdapat lima buah Sekolah Imtiaz di negeri ini di mana setiap daerah kecuali Marang dan Setiu, mempunyai sekolah berkenaan.

“Kita akan memperkasakan sekolah Imtiaz sedia ada dan membina dua buah sekolah lagi iaitu di daerah Marang dan Setiu bagi membolehkan lebih ramai pelajar masuk ke sekolah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, ramai ibu bapa dari negeri-negeri lain berminat menghantar anak-anak mereka belajar di Sekolah Imtiaz, tetapi setakat ini kerajaan negeri hanya memberi peluang 10 peratus pelajar luar melanjutkan pelajaran di sekolah berkenaan.

“Kita tidak bercadang untuk menambah kuota berkenaan bagi memastikan pelajar tempatan diberi lebih peluang untuk belajar di sekolah Imtiaz,” katanya.

 

04 December 2012

Anugerah kedai rakyat 1Malaysia terbatal jika langgar syarat

Oleh; Esah Abdullah

Premis perniagaan yang menerima anugerah Kedai Pilihan Rakyat 1Malaysia (KPR1M) bakal menerima tindakan ditarik balik gelaran itu sekiranya melanggar syarat penganugerahan yang ditetapkan.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan membuat pemantauan untuk memastikan perkara tersebut dipatuhi.

Menurutnya, anugerah ini pada asalnya dikenali sebagai Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2003 lagi, namun telah dibuat penjenamaan semula pada tahun ini.

 “Anugerah berkenaan sebagai mengiktiraf premis perniagaan yang menawarkan produk dan perkhidmatan pada harga yang berpatutan dan kompetitif, bertepatan dengan kualiti barangan serta perkhidmatan pelanggan ditawarkan kepada pengguna,” katanya.

Katanya premis ini juga memberikan kelebihan kepada pengguna untuk mengenalpasti kedai patut dikunjungi, menawarkan produk dan kedai yang baik, bersifat mesra pelanggan supaya mereka dapat membuat pilihan dan memuaskan hati.

Di samping mengekalkan prestasi, peniaga perlu mesra pelanggan, suasana persekitaran bersih, tiada aduan daripada pengguna dan juga mengadakan promosi jualan murah yang betul (jujur).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah KPR1M peringkat Zon Timur 2012 di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, baru-baru ini.. Hadir sama, Timbalan Pengarah Pejabat KPDNKK Terengganu, Encik Ab Ghani Harun.

Pada majlis itu, 263 premis perniagaan dari Zon Timur menerima anugerah, termasuklah Terengganu 80 buah premis, Pahang ( 91), dan Kelantan (92). Menurutnya, penerima anugerah terdiri daripada enam kategori, iaitu barangan pengguna, makanan, ketrampilan, gajet, informasi dan pasaraya .

Katanya, penarafan setiap calon dibuat berdasarkan kepada undian daripada orang ramai (50 peratus) dan panel penilai juga adalah 50 peratus.

 “Percalonan dibuka sepanjang tahun dan boleh dibuat secara atas talian melalui www.1pengguna.com atau secara manual di pejabat-pejabat KPDNKK di seluruh negara. sehingga ini, 4,000 usahawan telah mengisi borang untuk percalonan bagi tahun hadapan,” katanya.

 

Pasukan Mekonomen juara Piala Coronation

Pasukan Mekonomen Sailing yang merupakan pendahulu Siri Jelajah Dunia Match Racing Alpari (AWMRT) muncul juara Piala Coronation yang berlangsung di Pulau Duyong, petang semalam.



Pelayar terkemuka Bjorn Hansen dari Sweden yang mengemudi pasukan tersebut mengetepikan tujuh saingan yang turut berentap merebut piala itu, memungut lima mata bagi mengungguli perlumbaan yang berlangsung selama hampir dua jam.

Pasukan Black Swan Racing yang dikemudi Keith Swinton muncul naib johan dengan pungutan 10 mata.

Manakala pasukan YANMAR Racing yang turut disertai Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, meraih tempat ketiga.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang berkenan berangkat pada majlis perasmian Piala Monsun 2012 yang disempurnakan Sultan Mizan, menyampaikan piala kepada pemenang.

 

UMNO DITUDUH KAFIR BEKERJASAMA DENGAN BUKAN ISLAM, PAS BEKERJASAMA DENGAN DAP BAGAIMANA PULA?

Oleh: Ruslan Abdul Rahman, Pengarang Teganukita. 

“Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia.

UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud.

Kesan amanat pada tahun 1981 itu bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi juga telah menanamkan benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam.

Natijahnya, muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua Imam, perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan oleh orang-orang UMNO.

Soalnya, adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau.”

Di atas adalah merupakan sedut ucapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak dalam perhimpunan agung Umno baru lalu selaku Presiden Umno. Memanglah semua tahu bahawa amanat atau ucapan Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang adalah merupakan racun berbisa membawa perpecahan umat Islam seperti beberapa natijah yang disebut oleh Dato’ Seri Najib itu.

SEMBAYANG DUA IMAM

Sembahyang dua imam bukan dongeng, contohnya ini berlaku pada 17 Julai 1982 di masjid Gong Pasir, Besut. Pada tahun 1963, Dewan Ulamak Pas Kelantan menyebut: Orang Islam Umno menjadi kafir kerana bekerjasama memerintah negara dengan orang kafir, atau ringkasnya disebut sebagai ‘kafir berikat’.

Jadi persoalannya sekarang bagaimanakah dengan fatwa itu apabila Pas sendiri bekerjasama dengan bukan Islam (DAP) memerintah di Pulau Pinang, Perak sebelum ini, Selangor?

Itulah persoalan yang sebenarnya dan perkara yang berkaitan Islam tidaklah boleh dipermainkan sesuka hati, maksudnya membuat hukum dan fatwa yang mengikut selera dan kepentingan politik.

TUHAN SURUH KITA BERGADUH

Haji Hadi juga pernah mengatakan “Tuhan Jadikan Kita Untuk Bergaduh’.

Bayangkan sampai begitu sekali beliau sanggup menafsir ayat suci al-Quran surah Al-Baqarah ayat 251, dalam satu ucapannya di Bukit Kulim Marang Terengganu pada 24 September 1980, lebih awal sebelum amanat Haji Hadi di Banggol Peradong pada 1981.

PAS PARTI ALLAH?

Dato’ Abu Bakar Chik pada 13 November 1983 di Kampung Darat Batu Rakit menyebut dalam ucapannya bahawa Pas adalah Hizbullah (parti Allah) dan Umno adalah Hizbul Syaitan (parti Syaitan) dengan menafsirkan sesuka hatinya ayat 19 dan 22, surah Al Mujadalah.

Haji Hadi juga yang pada tahun 1986, waktu itu menjadi Naib Presiden Pas juga menyatakan dalam ceramahnya di Jertih Besut bahawa Pas parti Allah, dengan katanya parti yang bermatlamat mewujudkan negara Islam boleh ditafsirkan sebagai parti Allah.

Persoalannya sekarang bila Pas telah bertukar kepada memperjuangkan negara kebajikan bagaimana? Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri ketika mengulas dakwaan Pas parti Allah sebagai perbuatan menyekutukan Tuhan untuk kepentingan politik.