Halaman

24 December 2012

Sokongan rakyat terhadap BN makin kuat

 Oleh: Suriati Ali 

Sokongan rakyat terutama peringkat akar umbi di negeri ini dilihat semakin kuat kerana mereka menyedari keupayaan Barisan Nasional (BN) yang telah membawa satu anjakan pembangunan kepada Terengganu berbanding masa lalu.

 Tanggapan pihak tertentu kononnya rakyat di negeri ini semakin menolak UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) disifatkan satu kenyataan yang tidak berasas dan menyimpang dari fakta yang sebenar.

 Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, YB Khazan Che Mat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata pihaknya menyifatkan kenyataan seperti ini hanyalah cubaan pihak-pihak tertentu yang semakin gelisah dengan arus sokongan semasa BN yang terus bersemarak.

"Malah dengan keupayaan BN yang ditunjangi UMNO mentadbir negeri dan membela nasib rakyat secara menyeluruh membuatkan golongan yang tersepit ini tidak senang duduk sehingga memaksa mereka mencipta dakyah palsu sedemikian rupa.

 “Kita menafikan sekeras-kerasnya pelbagai dakwaan karut yang datang daripada pembangkang, mereka gemar menidakan apa yang dilaksanakan kerajaan kerana mahukan perhatin,” kata ketika berucap di satu majis baru-baru ini.

 Katanya, pembangkang bimbang bantuan dan kebajikan yang ditaburkan kepada rakyat akan memberi kesan negatif terhadap puak itu.

 “Kita percaya rakyat di negeri ini akan menilai rekod pentadbiran kerajaan yang ada sekarang berbanding fitnah yang dilemparkan.

 "Sebab itu kita tidak hairan dengan fitnah dan dakwaan tanpa asas yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

 YB Khazan yakin selagi BN berjaya mentadbir dengan baik dan peka terhadap tuntutan rakyat, segala tohmahan yang dilemparkan tidak akan meninggalkan kudis.

 

23 December 2012

TESDEC komited lahirkan belia berkemahiran

Oleh: Noraini Jusoh


Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) yang telah ditubuhkan kerajaan negeri pada awal 90-an komited dalam melahirkan golongan belia berkemahiran khususnya anak Terengganu.

TESDEC yang ditubuhkan sejak 16 tahun yang lalu kini semakin melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan pelbagai program kemahiran yang boleh diikuti oleh golongan belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun graduan lepasan universiti.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Razali Adis berkata, terdapat kursus kemahiran peringkat persijilan yang boleh diikuti oleh pelajar lepasan SPM termasuk berkaitan kimpalan, elektrik serta pembuatan pakaian wanita.

"Selain itu, TESDEC turut menyediakan kursus peningkatan kemahiran kepada graduan lepasan universiti melalui program seperti Program Pengukuhan Kemahiran Industri (Insep) dan Skim Latihan Sambil Bekerja Untuk Siwazah Terengganu (T-Gas),” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media sempena Program Gemilang Siswa Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta 2012, di TESDEC, baru-baru ini.

Menurut Che Razali, apabila berjaya menamatkan pengajian di TESDEC pihaknya menyasarkan 85 hingga 90 peratus pelajar mampu memperolehi pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kemahiran yang dimiliki.

"Jika empat tahun lalu, TESDEC hanya menyasarkan 60 hingga 70 peratus sahaja pelajar lepasan kolej ini yang mampu mendapat pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang mereka ceburi.

"Namun kini, dengan pertambahan kursus dan tenaga pengajar yang profesional, tidak mustahil suatu hari nanti TESDEC mampu melahirkan 100 peratus sumber tenaga mahir dalam pelbagai bidang dan mengurangkan kadar pengangguran di kalangan siswazah di negeri ini khususnya,” katanya.

 

Golongan muda sokong Umno, BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sokongan golongan muda kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin terserlah apabila mereka sentiasa memberi sokongan padu terhadap program-program yang dianjurkan oleh Umno dan BN di Terengganu sejak kebelakangan ini.



Terbaru, lebih 5,000 muda mudi membanjiri padang bola Kampung Bahagia, Manir, semalam, bagi menyambut kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, yang melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu.

Tidak cukup dengan itu, mereka membawa pelbagai sepanduk bagi melahirkan sokongan golongan muda kepada Umno dan BN.

Sepanduk berbunyi “Orang Muda Sokong BN” menarik perhatian Timbalan Presiden Umno itu apabila beliau menyebutnya dalam ucapan di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di padang bola berkenaan.

“Saya tengok ramai orang muda yang datang ke majlis ini bagi memberi sokongan kepada Umno dan BN. Mereka bawa sepanduk lagi bagi menzahirkan sokongan tersebut,” katanya sambil diiringi tepukan gemuruh lebih 5,000 belia yang turut berada di majlis berkenaan.

Lebih 20,000 orang hadir pada majlis itu, termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.


Jelas sekali kehadiran golongan muda amat menggembirakan Timbalan Perdana Menteri yang menaruh harapan besar agar sokongan seumpama itu diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pada bulan lalu, lebih 4,000 pemuda dan pemudi membanjiri Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam bagi menghadiri majlis Himpunan Generasi Muda Marang yang turut dihadiri Menteri Besar.

Dengan sokongan golongan itu, pelbagai pihak menaruh keyakinan Umno dan BN akan menang PRU 13 di Terengganu dan seluruh negara.

 

Setelah 40 tahun baru sedar sandiwara Pas

Oleh; Esah Abdullah


Setelah 40 tahun menjadi penyokong tegar Pas, akhirnya Encik Jusoh Idris, 68, dari Kampung Kuala Besut ambil keputusan tinggalkan parti itu kerana sudah hilang keyakinan terhadap perjuangannya.

 “Saya sudah sedar sandiwara Pas yang berjuang hanya bermotifkan politik dan bukannya untuk membela umat islam seperti yang disyarahkan,” katanya ketika ditemui di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia dan Pelancaran Gelombang Kebangkitan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, di padang bola Kampung Pulau Bahagia semalam.




Pada majlis itu Encik Jusoh mengetuai 210 orang menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin disaksikan Menteri Besar merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, beberapa perkara yang dicetuskan oleh Pakatan Rakyat (PR) seperti perhimpunan jalanan di Kuala Lumpur serta doa-doa menghancurkan sesama saudara Islam menampakkan ini suatu yang tidak menguntungkan rakyat di negara ini.

 “Saya yakin ramai telah tinggalkan parti itu terutama orang-orang muda yang bimbang masa depan mereka tidak terbela jika menyokong parti Pas,” katanya.

Kenyataan Encik Jusoh turut disokong rakannya Encik Ahmad Ibrahim, 57 yang turut kecewa kerana pemimpin Pas tidak pernah ambil tahu masalah penduduk di kawasan mereka.

 “Saya pernah suarakan pemasalahan yang dihadapi penduduk tempatan kepada pemimpin Pas tapi bukannya meraka nak bantu selesaikan sebaliknya saya pula kena kutuk,” katanya

Katanya, beliau rasa bertanggung jawab terhadap masyarakat kampung dan ingin membantu, tetapi pemimpin Pas tidak menganggapkan ia suatu yang perlu diberi perhatian yang penting bagi mereka ceramah sana sini.

 “Saya juga hilang hormat bila ada pemimpin Pas sanggup berdoa semata-mata untuk hancurkan saudara sendiri, Islam menganjurkan umatnya sentiasa mendoakan kesejahteraan orang lain,” katanya.



Kerajaan BN mampu beri perkhidmatan terbaik

 Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

 Pemimpin setempat, termasuk imam dan bilal di Terengganu diminta memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana pasti pihak itu mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebagai pemimpin sewajarnya mengajak masyarakat untuk bersama-sama memberi dokongan supaya kerajaan sedia ada terus memerintah dan menjaga keharmonian negeri.

 “Adakah kita sanggup memilih pembangkang di mana secara realitinya gemar mengeluarkan fatwa mengarut sehingga memecahkan hubungan kekeluargaan.

“Saya membuat anologi bahawa beberapa bom yang diletakkan oleh pemimpin Pas kini meletup dan terkena mereka sendiri.

 “Bom pertama menjadi kafir jika berpakat atau berikat dengan orang bukan Islam, sepertimana fatwa pemimpin Pas sebelum ini yang dinamakan sebagai kafir berikat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Hadir sama pada majlis itu,Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta Barisan Nasional.

Majlis yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dihadiri lebih 2,000 peserta terdiri daripada penghulu, ketua kampung, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), imam dan bilal dari seluruh Terengganu.

Menteri Besar turut memberitahu bom itu dipasang oleh pemimpin untuk orang Umno yang bermuafakat dalam Perikatan atau sekarang Barisan Nasional (BN).

“Akhirnya bom itu meledak ke muka mereka sendiri apabila Pas kini bersama dalam pakatan dengan DAP (bukan Islam) dan berbagai lagi, bahkan tindakan DAP menentang Islam menjadikan bom itu meledak lebih kuat lagi,” katanya.

 Katanya, bom kedua Pas ialah dengan mengatakan Umno menjadi kafir kerana mengekalkan perlembagaan penjajah yang diasaskan oleh Lord Reid; sehingga Haji Hadi membuat fatwa menentang Umno itu jihad dan kalau mati adalah syahid, seperti peristiwa di Memali.


 “Apabila Pas memerintah beberapa negeri perlembagaan kafir itulah juga yang dikekalkan. “Bom ketiga yang pemimpin Pas memerangkap Umno dengan mengatakan Umno menentang hukum Allah kerana tidak melaksanakan Hukum Hudud dan jika Pas diberi kuasa akan melaksanakannya sebelum ‘ayam berkokok”.

 “Tetapi apabila Pas berkuasa, hukum hudud tidak dijalankan dan apabila ditanya Haji Hadi menjawab hukum hudud itu kecil sahaja iaitu satu persepuluh ribu (0.0001) sahaja dari keseluruhan perundangan Islam” katanya. .

 

Teliti pelbagai aspek sebelum ambil guru Bahasa Inggeris dari India

Oleh: Aida Abd Rahman


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memberi jaminan bahawa cadangan pengambilan guru dari India untuk mengajar bahasa Inggeris di Malaysia ini akan diteliti dengan terperinci sama ada menepati dengan keperluan pendidikan negara.

Kementerian Pelajaran akan mengambil kira daripada pelbagai aspek dan mengkaji perkara itu terlebih dahulu termasuk menilai latar belakang dan kemahiran guru berkenaan.

 "Kita akan teliti apakah guru bahasa Inggeris dari India ini sesuai, sudah tentu orang yang kita hendak ambik mungkin dia ada kelulusan Cambridge atau Oxford dan daripada univesiti yang diiktiraf, misalnya, boleh mengajar dengan baik.

“Bukan disebabkan longhatnya bagi sesetengah pihak merasa tidak berapa sesuai tetapi kandungan pengajaran menyebabkan banyak perkara yang Kementerian Pelajaran perlu ambil kira untuk meneliti bahawa guru yang diambil itu adalah guru yang benar-benar sesuai, pakar dan terlatih mengikut kehendak kita," katanya di sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Khas Bersama Pengurusan Tertinggi dan Profesional, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini yang mahu kajian mendalam dilakukan berhubung cadangan pengambilan guru bahasa Inggeris dari India.

Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, semasa lawatannya ke New Delhi tiga hari lalu bercadang mengambil sejumlah guru bahasa Inggeris dari India mengajar di Malaysia.

 “Jadi biar kita kaji dahulu, kaji dalam erti kata apabila kita hendak ambil esok, apakah jenis guru bahasa Inggeris yang ada di India yang dianggap sesuai untuk sistem pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris di Malaysia dan bagaimana latar belakang dan kemahiran dia serta sebagainya itu hendaklah kita diambil kira,” katanya.


Bantuan persekolahan dibayar Januari depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan RM560 juta bagi membiayai bantuan persekolahan anak-anak di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata bantuan tersebut yang bertujuan meringankan ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah akan mula dibayar pada bulan Januari.

“Kita akanm minta wakil-wakil rakyat atau pemimpinmasyarakat supaya mengagih-agihkan bayaran tersebut mulai bulan Januari depan,” katanya ketika berucap di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di padang bola Kampung Pulau Bahagia, Manir, semalam.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyat, Barisan Nasional memutuskan untuk meneruskan bantuan persekolahan dan Batuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun depan.

“Kerajaan sentiasa mencari jalan bagi memberi bantuan untuk meringankan beban rakyat,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak membeza-bezakan dalam pemberian bantuan dan subsidi kepada rakyat di mana semua pemohon yang layak akan menerima habuan masing-masing.

Melalui bantuan persekolahan setiap pelajar akan diberi wang tunai RM100 bagi membeli pakaian dan peralatan sekolah.

 

22 December 2012

Tidak laksana hukum hudud bukan bermaksud tolak hukum Islam- TPM

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menegaskan tindakan kerajaan tidak melaksanakan hudud bukan bermaksud menolak hukum Islam sebaliknya menggantikan dengan undang-undang syariah yang menghukum setiap pesalah itu dengan adil.



“Banyak perkara perlu diselidik sebelum melaksanakannya, di negara kita ini terdapat pelbagai bilangan bangsa, sudah tentu mereka tidak faham erti sebenarnya mengenai hukum itu.

“Di Kelantan, pemimpin mereka pernah menyatakan mahu melaksanakan hukum hudud, tetapi sehingga sekarang ini, belum juga dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Khas Bersama Pegawai Pengurusan Tertinggi &Profesional di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, para pembesar negeri dan pemimpin-pemimpin Umno serta Barisan Nasional.

 Katanya, itu belum lagi masuk soal hukum yang pernah dilemparkan oleh pemimpin Pas bahawa menolak hudud dan undang-undang Allah menjadi kafir, tetapi dalam persoalan sekarang ke mana hukum itu hendak dituju bila keputusan mereka bersama pakatan dengan orang-orang bukan Islam, menolak pelaksanaan hudud.

 “kerajaan buat apa yang kita mampu dan laksanakan apa yang perlu diutamakan, serta apa yang dituntut oleh agama rasmi di negara kita,” katanya.

 

Umum calon BN pada waktu sesuai, ambil kira isu strategik

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali


Pengumuman calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dilakukan pada waktu yang sesuai dengan mengambil kira isu strategik khususnya kelebihan kepada calon BN sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

 "Ia akan sampai waktu di mana apabila Presiden (Umno) sudah membuat keputusan, maka mereka yang hendak jadi calon itu akan diberitahu, tetapi kita tidak boleh buat satu keputusan mengatakan sekarang masanya, apabila tiba waktu yang sesuai, ikut situasi, ikut keadaan dan ikut calon yang berkenaan.

“Kita kena ada satu pendirian yang akan strategik , bila Perdana Menteri hendak buat satu keputusan pun kena ada isu yang strategik. Apakah (dengan) mengumumkan lebih awal itu akan memberi kelebihan kepada kita atau hal-hal yang lain," katanya di sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Khas Bersama Pengurusan Tertinggi dan Profesional, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Tan Sri Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Umno Pahang yang meminta pucuk pimpinan supaya menimbangkan untuk mengumumkan nama calon BN lebih awal supaya gerak kerja kempen dapat dilaksanakan lebih teratur.

Katanya, apa yang lebih mustahak adalah semua pemimpin dan ahli parti Umno sebulat suara dan akur menerima keputusan senarai calon PRU13 itu nanti.



Dialog jenayah curi kabel dan langkah pencegahan

Oleh: Mohammad Ishak 

Kes jenayah curi kabel Telekom Malaysia (TM) semakin meningkat dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk mencegah perbuatan tidak bertanggung pihak terbabit.

Ini kerana jika berlaku kecurian pengguna telefin termasuk internet akan turut terjejas dan menghadapi masalah untuk berhubung dengan pihak lain.

Jika ini berlakau bukan sahaja kerugian dihadapai oleh Telekom Malaysia tetapi orang ramai juga akan berhadapan dengan pelbagai masalah untuk mendapatkan perkhidmatan komunikasi berkenaan.

Berikutan itu, TM mengambil daya usaha mengajak masyarakat supaya menyertai sesi dialog berkenaan yang akan berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong pada Isnin 24 Disember.

Sempena program sehari itu pihak penganjur,turut mengadakan pelbagai acara ,menarik termasuk kuiz, penyampaian reward dan sijil perlantikan Sukarelawan TM, serta jamuan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Mara, akan merasmikan program berkenaan.

Program sehari bertemakan TM Mesra Sepakat Komuniti itu dijangka dihadiri ribuan penduduk sekitar daerah Besut yang juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.