Halaman

27 January 2013

RM100 akses kepada pendidikan kualiti

Oleh: Mastura Jamaluddin

Keluarga dan pelajar yang menerima bantuan pendidikan RM100 amat bersyukur kerana ia membantu meringankan tanggungan keluarga, terutamanya di kalangan penduduk luar bandar yang sebahagian besarnya berpendapatn rendah.

“Sekarang saya tidak perlu risau mencari duit untuk pakaian seragam, kasut dan beg sekolah untuk anak-anak saya. Wang itu sungguh bermakna untuk saya. Ia memang meringankan kos bebanan saya walaupun ia tidak mencukupi untuk meliputi semua perbelanjaan walaupun sesi persekolahan telah pun berjalan. Terima Kasih Perdana Menteri kerana prihatin kepada rakyat” kata Encik Wan Nazeli Azhar, bapa kepada empat orang anak ketika ditemui oleh Teganu kita, semalam.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian bantuan persekolahan yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, YB Haji Mohd Zawawi Ismail.

Dalam ucapannya YB Haji Mohd Zawawi berkata, bantuan RM100 itu bukanlah satu-satunya bantuan wang yang kerajaan telah sediakan dalam usahanya untuk meringankan bebanan kewangan untuk rakyat Malaysia sebagai akses kepada pendidikan berkualiti.

“Pihak Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai bantuan bagi kecemerlangan pendidikan dalam negeri Terengganu bagi melahirkan insan yang berwibawa.

“Dengan bantuan wang yang disediakan kerajaan yang bermurah hati terhadap pendidikan, rakyat Malaysia boleh menikmati akses yang lebih mudah kepada pendidikan berkualiti. Inisiatif-inisiatif ini bukan hanya untuk meringankan kos bebanan kewangan untuk para keluarga tetapi juga menolong untuk membangunkan asas pendidikan ke arah sebuah negara yang maju.” kata YB Mohd Zawawi.


BN & UMNO Terengganu tunggu keputusan SPRM

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu masih menunggu keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih menyaring senarai nama calon-calon dari negeri ini yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13).

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sehingga kini pihaknya masih lagi belum menerima laporan sama ada terdapat antara nama yang dikemukakan tidak melepasi tapisan.

Katanya, Terengganu telah menyerahkan nama semua calon yang akan bertanding kepada SPRM dan menjadi negeri terawal menyerahkan senarai nama calon untuk disaring.

“Bagaimanapun, setakat ini kita masih belum menerima laporan lengkap daripada SPRM dan kita masih menunggu,” katanya.

Beliau berkata semikian kepada pemberita selepas melancarkan Festival Permainan Tradisional Terengganu 2013 sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT 13) yang berlangsung di Padang Astaka, Taman Bandar Chukai semalam.

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, beliau pada masa sama bersedia untuk menerima apa juga keputusan SPRM serta bersiap sedia dengan sebarang kemungkinanan.

Menurutnya, BN dan UMNO Terengganu mempunyai senarai nama calon yang ramai sekiranya ada dalam kalangan nama yang dikemukakan tidak melepasi saringan.


Sedia RM11.8 untuk kecemerlangan pelajar

Dato' Ahmad Razif
Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM11.8 juta pada tahun ini bagi menggerakkan beberapa program khusus untuk meningkatkan tahap kecemerlangan pelajar anak negeri dalam peperiksaan awam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, sebagai permulaan peruntukan itu dimanfaatkan untuk pengendalian kelas-kelas tambahan atau tuisyen.

Katanya, peruntukan itu merupakan sebahagian langkah mencapai sasaran '20 10 5 2' dalam empat peperiksaan awam yang semakin hampir ke arah membudayakan kecemerlangan dalam pendidikan dan menjayakan

Program Terengganu Anjung Ilmu. Angka itu merupakan 'tagline' mencapai sasaran semua A dengan 20 peratus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 10 peratus Penilaian Menengah Rendah (PMR), lima peratus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dua peratus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Sebagai permulaan, ia diperuntukkan untuk kelas-kelas tambahan atau tuisyen dan kita sudah minta Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) melaksanakannya mulai awal bulan ini," katanya kepada pemberita selepas hadir pada satu majlis di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dato’ Ahmad Razif memberitahu, kerajaan negeri komited memperkasakan beberapa buah sekolah elit, sekolah premier dan sekolah Imtiaz di Terengganu selain memberi pengiktirafan kepada guru serta pelajarnya yang cemerlang.

"Selaras sasaran meningkatkan tahap kecemerlangan pelajar, dua sekolah elit, enam sekolah premier dan lima sekolah Imtiaz di negeri ini akan diperkasakan," ujarnya.

Bagi tujuan itu katanya, majlis perjumpaan dengan kira-kira 7,000 guru akan diadakan dalam masa terdekat sebagai bentuk motivasi dalam usaha mengekalkan kecemerlangan keputusan dalam peperiksaan.

 

639 murid SK Kompleks Seberang Takir terima RM100

Oleh: Noraini Jusoh

Sejak kerajaan memberikan wang tunai RM100 melalui Bantuan Khas Awal Persekolahan yang bermula 15 Januari lalu, ramai murid Tahun 1 hingga pelajar Tingkatan 5 di seluruh negara telah menerima sumbangan tersebut.

Seramai 639 murid Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir turut menerima keistimewaan itu dalam satu majlis yang diadakan di sekolah terbabit, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, dengan pemberian bantuan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Beliau turut menasihatkan agar ibu bapa melakukan transformasi terhadap kaedah mendidik anak-anak dengan menggunakan cara yang betul dan lebih berkesan.

"Cara mendidik anak pada masa dahulu dengan sekarang sangat berbeza.

"Dulu tidak ada masalah ibu bapa merotan anak-anak untuk tujuan menjadikannya sebagai tauladan dan ingatan tetapi kini jika tersilap cara boleh dikira sebagai kes dera,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan bagi Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, hari ini.

Katanya, ibu bapa perlu peka dengan sikap anak masing-masing dan menggunakan pendekatan yang terbaik dalam mendidik mereka supaya menjadi insan yang berguna.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Seberang Takir juga berharap, orang Melayu dan Islam sentiasa bersatu supaya generasi akan datang terus menikmati pelbagai keistimewaan terutamanya dalam bidang pendidikan dan kebajikan di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional dan Umno.

 

1,707 anggota polis jalani simulasi pilihan raya serentak


Hamzah (kanan) bersama pegawai kanan polis Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Polis kontijen Terengganu menasihatkan orang ramai jangan panik apabila melihat ramai anggota pasukan itu berada di kawasan masing-masing terutama di sekolah.

Ini kerana Polis Terengganu mengadakan latihan khas kepada anggota pasukan itu secara serentak seluruh Terengganu hari ini. 

Sempena latihan itu 1,707 anggota dan pegawai kanan polis pelbagai peringkat menjalani latihan khas sebagai persediaan tugas sepanjang tempuh kempen pilihan raya umum.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, latihan khas yang diadakan serentak seluruh negeri ini bertujuan melengkapkan anggota dalam situasi sebenar menghadapi pilihan raya. 

Katanya,angota terbabit juga diberi panduan mengenai tanggungjawab dan pengetahuan mengenai undang-undang bagi memudahkan anggota menjalankan tugas dalam tempoh berkenaan.

 Menurutnya,orang ramai dinasihatkan jangan panik dan takut apabila melihat anggota polis berada di sekolah yang dijadikan pusat pembuangan undi kerana ia satu latihan oleh pasukan terbabit.

 Hamzah berkata, pihak polis mungkin mengadakan latihan lebih kerap sebelum pilihan raya bagi mempastikan anggota mahir dan sedia menghadapi sebarang kemungkinan insiden tidak diingini berlaku. 

“Bagaimanapun polis percaya tidak ada sebarang kejadian buruk berlaku di negeri ini, tetapi persedian perlu dilakukan supaya keadaan ketika kempen dan hari penamaan calon serta pembuangan undi dapat berjalan lancar,” katanya kepada media selepas melawat persediaan Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, membuat persipan PRU13.

Beliau berkata, sebaik pengumuman parlimen dibubarkan permohonan cuti 3,414 anggota polis yang bertugas di negeri ini akan dibekukan bagi memberi tumpuan kepada tugas menjaga keselamatan.

Katanya, 300 anggota FRU juga akan memantau kawasan pilihan raya yang dianggap panas bagi mempastikan keadaan sentiasa terkawal.

 Hamzah juga mengingatkan parti politik supaya mendapat kebenaran polis bagi mengadakan ceramah sepanjang kempen pilihan raya berjalan

PRU13 semarakkan TMT

Datuk Abdul Rahin
Oleh: Aida Abd Rahman

Demam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang bakal melanda seluruh negara tidak lama lagi, dijangka tidak menjejaskan sasaran kedatangan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, kerajaan negeri yakin sambutan pelancong ke negeri ini tidak terjejas walaupun musim PRU13 yang semakin hampir, sebaliknya situasi itu mungkin memberi impak lebih positif dan menambah kemeriahan sambutan TMT 2013.

"Saya percaya, secara keseluruhannya TMT 2013 tidak akan emmberi kesan negatif atau menjejaskan aktiviti TMT 2013 sebagaimana yang kita rancangkan menerusi 34 acara utama di seluruh Terengganu.

“Musim PRU13 ini hanya banyak melibatkan ahli politik, Cawangan, Dewan Undangan Negeri dan juga Bahagian serta negeri, malah tidak mengganggu tugas jabatan kerajaan yang lain dalam menguruskan persiapan dan memeriahkan TMT," katanya.

Datuk Abdul Rahin juga menjangkakan PRU13 mampu menjadi satu daya tarikan baharu kepada pelancong dari luar negara untuk melihat proses pemilihan pucuk pimpinan secara demokrasi itu berlangsung dengan lebih dekat.

Sempena TMT 2013, Terengganu menyasarkan sejumlah 4 juta pelancong akan berkunjung ke negeri ini.

 

Puteri UMNO DUN Jertih anjur program mencari harta karun

Oleh: Mohammad Ishak

Selaras dengan usaha untuk mempelbagaikan aktiviti kepada orang muda khususnya membabitkan pengundi baru Puteri Umno Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih merancang mengadakan lebih banyak program untuk golongan terbabit.

Ia bertujuan mendekati pengundi baru dengan parti selain merapatkan hubungan antara ahli dengan pemimpin setempat.

Terbaru, Puteri Umno Jertih menganjurkan program mencari harta karun dengan berjalan kaki sekitar Bandar Jertih bertujuan menguji minda peserta serta melatih mereka bekerja dalam kumpulan.



Sebahagian peserta yang mengambil bahagian

Ketua Puteri DUN Jertih, Roshalini Mat Nawi berkata, program sehari mengambil sempena cuti hujung minggu itu ternyata berkesan dan berjaya menarik minat remaja menyertai acara yang disediakan.

Katanya, seramai 200 peserta mewakili puteri Umno sekitar DUN Jertih mengambil bahagian dalam acara yang menguji minda peserta itu.

Menurutnya, pihak penganjur menyediakan 30 soalan berkaitan sosio ekonomi sekitar dandar dan peserta dibagikan kepada 45 kumpulan yang membabitkan 3-4 peserta bagi satu kumpulan.


    Baharom menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan   

Timbalan Pengerusi Penyelaras DUN, Baharom Said mewakili ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, melakukan upacacara penutup dan menyampaikan hadiah kepada pasukan yang berjaya.

26 January 2013

633 nelayan daerah Besut terima wang sara hidup


YB Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin menyampaikan wang sara hidup nelayan

Oleh: Mohammad Ishak 

Kesusahan hidup yang dialami nelayan neegeri ini tetap mendapat pembelaan kerajaan apabila mereka diberikan bantuan sara hidup bulanan bagi menanggung keluarga.

Nelayan di daerah Besut, tidak ketinggalan mendapat bantuan saran bulanan RM200 seorang bagi menampung perbelanjaan mereka. Satu majlis penyampaian bantuan berkenaan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diadakan di Dewan Sekolah Sultanah Nurzahirah,Kampung Limbongan, dekat Jertih.

Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Daerah (MPPD) merasmikan majlis berkenaan dan menyampaikan bantuan berkenaan kepada nelayan terbabit.

Pada majlis itu seramai 633 nelayan sekitar daerah Besut menerima bantuan bulanan bagi Disember tahun lalu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dr Abdullah berkata, bantuan yang disediakan oleh kerajaan itu sebahagian usaha untuk membantu nelayan selain meningkatan sosio ekonomi penduduk.

“Selain bantuan saran bulanan nelayan juga turut mendapat faedah menerusi pelbagai bantuan termasuk peralatan menangkap ikan dan bot yang disediakan LKIM,” katanya.

Permainan Tradisional diperkasakan

Oleh : Amirullah Othman 

 Permainan tradisional merupakan tradisi masyarakat Melayu yang harus diteruskan supaya ianya tidak berkubur ditelan kemajuan, kata Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said.



Sehubungan itu, katanya, program festival permainan tradisional peringkat Negeri Terengganu anjuran Muzium Negeri Terengganu.bagi menghidupkan permainan itu perlu diberi pujian.

Beliau berkata, walaupun kanak-kanak pada masa diosogokkan dengan pelbagai permainan moden seperti video game dan internet, permainan tradisional mesti diteruskan supaya ia tidak pupus.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan festival permainan Tradisional di Padang Astaka,Kemaman hari ini.


Program ini turut dihadiri oleh ADUN Air Puteh, YB Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato' Wan Ahmad Nizam Abd Hamid.



Dato' Seri Haji Ahmad sangat gembira kerana permainan yang dimainkan pada waktu kanak-kanak dahulu telah dipertandingkan sekarang.

Sempena festival itu, setiap daerah telah mengambil bahagian dalam acara-acara yang dipertandingkan.

Antara acara yang dipertandingkan adalah bola cetong,bola beracun,sepak raga ratus,congkak,rampai tradisi dan Majlis kebudayaan setiap daerah turut di minta mempersembahkan demontrasi permainan tradisional masing-masing.

Demontrasi dari daerah Marang ialah setik getah atas para, daerah Setiu permainan gasing terbang,daerah Dungun petik mata,daerah Kuala Terengganu porok, Hulu Terengganu galah panjang,daerah Besut cak kekok kaki ayam.

Pertandingan yang bermula selama tiga hari ini telah menarik pengunjung dan masyarakat setempat memberikan sokongan dan menyaksikan acara permainan tradisional.

YAB Menteri Besar juga turut mencuba semua demontrasi yang dipamerkan oleh setiap daerah tanpa kekok sedikit pun.Ini menunjukkan YAB Menteri Besar merupakan seorang yang cintakan permainan tradisional.






 

UMNO Besut anjur program Selamat Tinggal Pembangkang (STP)

Oleh: Mohammad Ishak

UMNO Bahagian Besut akan menganjurkan program Selamat Tinggal Pembangkang (STP) yang akan menarik penyertaan ahli parti pembangkang dalam UMNO.

Program itu bagi menggantikan program STP (Selamat Tinggal Pas) dilihat lebih bermakna kerana ia akan membabitkan ahli parti dari Pas dan PKR di daerah Besut.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera ,Muhamad Pehimi Yusof yang juga pengerusi penganjur program berkata,ketika ini proses mendaftar ahli Pas yang bersedia meninggallkan parti itu sedang dilakukan oleh semua cawangan Umno di Bahagian Besut.

Katanya, program STP menggantikan Selamat Tinggal Pas dilihat lebih meeluas kerana ia akan disertai oleh ahli dari PKR di Besut.

Menurutnya, dijangkakan kira-kira 1,000 ahli parti pembangkang terutama Pas dan PKR di Besut, akan menyertai perhimpunan terbesar menjelang PRU13 nanti.

Katanya, Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh akan melakukan ucap utama dan mengistiharkan kemasukan ahli pembangkang berkenaan dalam Umno.

“Ramai ahli Pas peringkat akar umbi sudah faham dan bosan dengan karenah yang dilakukan oleh pemimpin mereka terutama dalam isu Kalimah Allah dan penghinaan terhadap agama Islam,” katanya hari ini.

Muhamad Pehimi yang juga Naib Ketua Umno bahagian itu berkata, kekecewaan hali Pas sudah tidak dapat disembunyikan lagi apabila ramai antara mereka dating tanpa undangan menemui ketua cawangan untuk menjadi ahli Umno sejak kebelakangan ini.

Beliau berharap program STP yang bakal diadakan tidak lama lagi akan member kesan besar kepada perkembangan politik di Terengganu khususnya daerah Besut yang dilebalkan sebagai kubu kuat BN Terengganu.

Berikutan  Umno Bahagian, sudah mengarahkan semua ketua cawangan  mendaftar sekurang-kurangnya lima ahli pembangkang di kawasan masing-masing sebelum 4 Februari bagi membolehkan program berkenaan berjalan lancar.