Pembangunan adalah merujuk kepada perkara yang amat positif.
Bahkan dari perspektif agama, Islam adalah ajaran yang sangat mesra terhadap “pembangunan” .
Ia menuntut supaya pembangunan diperkasakan dengan memastikan elemen keseimbangan antara segala komponen kehidupan.
Cabaran-cabaran dalam zaman dan masyarakat yang berubah, menagih kita supaya sentiasa mengemaskinikan tempat tinggal, bandar mahupun desa dengan keupayaan untuk menjawab persoalan-persoalan tuntutan semasa dan akan datang.
Berfikirlah 100 tahun ke hadapan dan jangan berfikir 100 tahun ke belakang.
Justeru itu kerajaan negeri membangunkan bandar Kuala Terengganu supaya selaras dengan tuntutan masa dan zaman.
Salah satunya ialah Projek Pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu atau KTCC.
Pelbagai projek pembangunan KTCC bakal melonjak kedudukan Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air,sekaligus muncul bandar ala `mini Dubai’ di Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Dubai adalah bandaraya yang cantik di pinggir laut, maju di segi ekonomi, perdagangan dan perusahaan, termasuk pelancongan.
Di sana merupakan pusat berbelanja terbesar di dunia, pusat pelancongan terkemuka sehingga mempunyai 100 buah hotel.
Itulah wawasan dan impian pimpinan kerajaan negeri untuk melihat bandar Kuala Terengganu menjadi bandar terkemuka, sama ada di peringkat nasional mahu pun antarabangsa.
Biarpun tidak setaraf Dubai tetapi sekurang-kurangnya bercorak seperti bandar terkemuka negara Islam itu.
Komponen projek KTCC melibatkan kawasan muara utara dan muara selatan, meliputi pusat gaya hidup bersepadu, pusat komersial serta hab pendidikan dan kesihatan.
Ini bermakna pembangunan yang dijalankan ini adalah bersepadu, fizikal dan kerohanian.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata satu daripada projek komersial berimpak tinggi bakal dibangunkan di muara selatan adalah KTCC Mall.
KTCC Mall akan disiapkan dalam masa tiga tahun, manakala di muara utara pula memakan masa lima hingga 10 tahun untuk bangunkan seluruh kawasan itu dari sekarang.
Selain itu, katanya kerja pembinaan `KTCC drawbridge’ atau ‘jambatan angkat’ yang menyambung muara utara dan selatan ini akan ditender pada Jun ini, diikuti satu lagi projek pembinaan bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) setinggi 30 tingkat.
Sementara itu, kerajaan negeri turut melantik pemaju bagi pembinaan hotel dan apartment di kawasan ini, di samping turut menguruskan projek pelaburan di muara utara.
Ini menjadi satu lagi alternatif yang baru untuk pengunjung
Pembangunan KTCC Mall sebahagian daripada komponen pembangunan KTCC yang melibatkan pusat membeli-belah, sebuah hotel dan ruang perniagaan merupakan satu titik permulaan bagi transformasi bandar Kuala Terengganu.
Ia selaras dengan Program Transformasi Kerajaan yang antara lain bertujuan melahirkan masyarakat maju, bersatu-padu dan saksama mencapai tahap kehidupan yang tinggi untuk semua rakyat.
Pembangunan ini juga akan melonjakkan kedudukan bandar Kuala Terengganu yang sudah dikenalpasti sebagai Gerbang pelancongan bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau E.C.E.R.
Dalam catatan sejarah, Kuala Terengganu adalah suatu pelabuhan dan lingkungan ekonomi dan perdagangan yang masyhur.
Chao Ju Kua dalam catatan yang ditulisnya pada tahun 1225, ada menyebut ’Teng Ya Nong‘ atau Kuala Terengganu sebagai sebuah pelabuhan perdagangan yang penting di persisiran pantai timur Tanah Melayu.
Perkataan tersebut merujuk kepada nama Tengganu yang dikatakan jajahan takluk Kerajaan Seri Wijaya (San-fo-Cih) pada kurun ke 2.
Ptolemy, seorang ahli kaji bintang Greek telah mencatatkan dua buah Pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu iaitu Primula dan Kole.
Primula dipercayai di Kuala Terengganu.
Kuala Terengganu berkembang menjadi bandar perdagangan yang penting antara Kerajaan China dan Kerajaan Terengganu mendahului empayar Melaka.
Oleh itu usaha mengembalikan kehebatan dan kecemerlangan Kuala Terengganu sepertimana riwayat sejarahnya amatlah sesuatu yang seharusnya dibanggai oleh rakyat Terengganu.
Usaha pembangunan ini adalah bertepatan dengan ajaran agama Islam Yang Maha Suci.
Jangan pula ada di kalangan kita yang menuduh dan menafsirkan secara negatif pembangunan yang dijalankan untuk rakyat, bangsa dan negeri.
Pembangunan yang disyaratkan dalam Islam adalah pembangunan yang boleh memberi kesan kebaikan kepada manusia.
Sudah tentulah pembangunan bandar Kuala Terengganu ini adalah untuk kebaikan dan masa depan anak bangsa dari segi peluang pekerjaan dengan pelbagai kewujudan peluang-peluang ekonomi secara langsung dan tidak langsung.
Gabungan pemimpin berwawasan – pentadbir berdedikasi dan rakyat yang bersemangat menyaksikan juga tercapainya pelbagai dimensi baru kejayaan dalam meningkatkan kualiti hidup dan kemakmuran di negeri dan negara ini.
Abu A'la Al-Maududi yang merupakan pendakwah yang dilahirkan di Hyderabad, Decca, India, menyatakan bahawa pembangunan membabitkan
langkah-langkah menjelaskan semula ajaran Islam dengan memberi fokus kepada masalah-masalah semasa yang dihadapi oleh masyarakat Islam dalam bidang sosial, ekonomi dan politik.
Melaksanakan perubahan-perubahan
yang akan membawa kepada transformasi yang menyeluruh pada setiap lapisan masyarakat berdasarkan situasi tempatan.
Maknanya Islam mementingkan perancangan pembangunan yang strategik.
Kemakmuran adalah indikator paling ketara untuk mewakili kejayaan “pengurusan pembangunan” di negara dan negeri kita.
Apa yang dapat dilihat dan dinikmati oleh generasi masa kini menunjukkan tahap kemakmuran segenap bidang yang sudah meningkat dan akan terus meningkat lagi.
Prasarana dan kemudahan asas dalam bidang pendidikan, kegiatan ekonomi dan kesihatan menjadi “pemangkin” ke arah pelbagai kejayaan bidang lain.
Selain dari itu, sebahagian besar masyarakat termasuk bumiputera telah dikeluarkan dari lingkaran kemiskinan masa silam.
Sungguhpun aspek ini masih lagi dalam usaha dan perjuangan yang berterusan dijalankan dari masa ke semasa, namun pada masa yang sama kejayaan yang telah dicapai ini juga tidak boleh dinafikan.
Semoga Kuala Terengganu muncul sebagai bandaraya terkemuka berasaskan keindahan dan kecantikan di persisir air, pada masa yang sama maju di segi ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keagamaan.
Pelancong pastinya berlipat-ganda datang ke Kuala Terengganu,dengan usaha tambahnilai itu, memantapkan lagi ekonomi negeri.