Halaman

18 March 2013

Penjawat awam aplikasi BOS bagi tambah baik inovasi nilai kerja

Oleh: Aida Abd Rahman

Penjawat awam perlu membuka minda terhadap kepentingan aplikasi `Blue Ocean Strategy’ (BOS) sebagai ejen transformasi dan penambahbaikan kepada pengurusan dalam inovasi nilai di jabatan masing-masing.

Pengarah Intan Wilayah Timur, Haji Ab Rahman Che Hamad berkata BOS mewakili satu alternatif kepada proses perancangan strategik sedia ada yang melalui pembaharuan supaya lebih bersistematik serta menghasilkan sesuatu yang berkualiti dan unggul.

“Dalam melaksanakan kerja, kita perlu ada perancangan kerja yang tersusun. Bukan sekadar datang jam 8 pagi dan pulang jam 5 petang setiap hari, tanpa ada perancangan dalam tempoh itu untuk menghasilkan perjalanan tugas yang tepat dan bersistematik.

 “Oleh itu, setiap perkara yang kita rancang dan buah pemikiran menjadi wadah atau satu medium berguna untuk kita melaksanakan kerja seharian kita,” katanya ketika merasmikan Seminar BOS In Public Service, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan) Dato’ Haji Mat Razali Kassim.

Hadir sama, ketua jabatan kerajaan dan badan berkanun negeri.

Haji Ab Rahman berkata, kekuatan BOS bukan sahaja mampu menyerlahkan pemikiran di luar kotak dan ruang likup sedia ada, malah melibatkan satu penggabungan daya kekuatan pemikiran dari pelbagai agensi kerajaan bagi menghasilkan produk mahupun servis yang terbaik.

“Tanpa persempadanan kerja, penggabungan kepakaran dan kekuatan itu mampu memberi satu kecemerlangan dan lonjakan baru kepada perkhidmatan awam khususnya.

 “Itu sebabnya BOS dapat menggabungkan mana-mana kelebihan dari satu jabatan kepada satu jabatan lain. Contohnya, sebagaimana konflik di Lahad Datu, Sabah yang melibatkan gabungan pasukan keselamatan dan ketenteraan,  pasukan Polis serta tentera yang sekurang-kurangnya menghasilkan matlamat dan kebaikan yang diingini oleh semua pihak bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, oleh sebab itu, kerajaan negeri mahupun Pusat bersungguh-sungguh mahu semua penjawat awam menyerapkan dan mengguna pakai BOS dalam budaya kerja seharian di samping mengoptimumkan kemudahan yang tersedia di jabatan masing-masing.


IPT diminta beri tumpuan kepada pembangunan modal insan

Oleh; Esah Abdullah

Datuk Ab. Rahim Md. Nor
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini perlu memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan yang lebih mementingkan kualiti daripada kuantiti.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Ab. Rahim Md. Nor berkata, penekanan harus diberi kepada kualiti sejajar dengan tuntutan semasa dan kuantiti itu merupakan target asal.

“Satu daripadanya ialah memperkasakan pengajaran dan pembelajaran serta program Pelan Strategik Kebolehpasaran Pelajar (PSKP) yang memberi fokus utama terhadap kemahiran mereka dalam bidang-bidang tertentu termasuk Bahasa Inggeris (BI),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Penyerahan Projek Pakej 2A, 2B dan 2C Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kompleks Kuliah Pusat UMT hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Pembangunan KPT, Dato’ Mohamed Hussain; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr Anuar Hassan dan Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu Ir. Haji Shafie Mohammad.

Katanya, kemahiran dalam BI menjadi pokok perbincangan utama pihak cendiakawan dan berharap pihak IPT mengambil pendekatan agresif serta fokus kepada kemahiran berkomunikasi para pelajarnya.

“Beberapa IPT di negara ini telah melaksanakannya sebagai projek utama menekankan beberapa aspek yang boleh merubah sikap pelajar serta memperkasakan program kesukarelawan supaya mereka dapat meningkat kepimpinan,” katanya

Katanya, KPT juga akan memperkasa program Universiti Komuniti Transfomation Central Institusi di mana setiap universiti berkaitan harus melaksanakan program-program yang boleh memperkembangkan lagi kemahiran pelajar-pelajar melalui program kesukarelawan dan sebagainya.

Datuk Ab. Rahim serah kunci projek pakej 2A,2B, 2C kepada Prof Dr Anuar
Pada majlis itu JKR selaku agensi pelaksana yang diwakili Ir. Haji Shafie telah menyerahkan serentak tiga kunci bagi Pakej Pakej 2A,2B dan 2C kepada Datuk Ab. Rahim yang mewakili KPT bagi memulakan operasi.

Kesemua tiga pakej yang telah siap ini menelan kos keseluruhan RM121.87 juta ini termasuklah Pakej 2A meliputi Kompleks Kuliah Pusat dan Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin bernilai RM59.61 juta.

Pakej 2B, mengandungi Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan beserta Pusat Pengajian Siswazah (RM36.04 juta) dan Pakej 2C Institut Oceanografi (INOS) dan Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) (RM26.22 juta).

Bagi Pakej 2D, iaitu Pusat Islam kini di peringkat pembinaan dengan kos RM17 juta dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

"Saya harap siapnya tiga pakej ini akan memahat satu lagi sejarah bagi UMT dalam usaha berterusan ke arah mencapai objektif Pelan Transformasi Negara melalui penghasilan para graduan dan ilmuan yang berkualiti,” katanya.
 

Anak Pengawal Keselamatan antara calon terbaik STPM peringkat negara


Siti Suhaida menunjukkan keputusan peperiksaan kepada ayahnya,Awang Daud sambil diperhatikan ibunya Rogayah Mat.

Oleh: Mohammad Ishak

“Perkongsian pendapat dalam kumpulan adalah antara factkr yang menyumbang kepada kejayaan saya memperolehi kejayaan dalam keputusan peperiksaan STPM tahun lalu,kata Siiti Suhada Awang Daud,20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Renek dekat sini.

Siti Suhaida adalah antara 15 calon terbaik peringkat kebangsaan menyifatkan kejayaan itu adalah anugerah kepada keluarganya yang banyak memberi dorongan supaya bersunguh-sungguh dalam pelajaran.

Katanya, sepanjang perhatian untuk peperiksaan STPM dia tidak banyak menonton televisyen sebaliknya memberi perhatian seriau dengan membaca sebagaimanapa diarahkan ayahnya, Awang Daud Mohamad,52.

Anak kedua daripada tujuh beradik Siti Suhaida berada dalam sebuah keluarga sederhana manakala ayahnya sorang pengawal keselamatan di Pusat Latihan Pertanian Wilayah Timur, di Tok Dor. Ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Renek (SMKR) hari ini

Siti Suhaida berkata,beliau bersyukur dengan kejayaan yang diperolehi dan mengucapkan terima kasih kepada guru yang terbabit dalam membimbing beliau di sekolah berkenaan.

Selain Siti Suhaida, SMK Renek mencatat sejarah apabila seorang lagi pelajarnya, Nor Izyan Suhaimi menjadi calon terbaik STPM.

Suasana gembira dan sedih menyelubungi pelajar dan guru sekolah itu ketika mereka mengadakan sesi perjumpaan dengan pelajar yang mengambil peperiksaan berkenaan. Ini kerana sekolah berkenaan mencatat sejarah apabila dua pelajarnya mengejutkan semua pihak sekolah itu apabila tersenarai sebagai calon terbaik STPM peringkat negara 

Puteri Umno giat gempur kawasan

Oleh: Suriati Ali

 Pergerakan Puteri Umno Terengganu giat menggempur di seluruh kawasan bagi mengesan setiap masalah rakyat, selain menyakinkan bahawa Umno dan BN adalah parti yang mampu membela nasib rakyat.

 Ketua pergerakan itu, Puan Nordiana Dato’ Shafie, berkata dengan bantuan ketua-ketua bahagian setiap kawasan, kita berjumpa dengan rakyat hingga ke akar umbi. Kita mahu mendengar keluhan mereka dan cuba menghulurkan bantuan apa yang termampu.

“Selain itu, kita juga sentiasa mengutamakan daftar pengundi bagi memastikan bilangan pengundi baru pro BN sentiasa bertambah dan ianya sudah pasti membantu kita untuk kekal mentadbir Terengganu,” ujarnya kepada Teganukita.

Katanya, pembangkang sering menabur fitnah terhadap Umno dan ini membuatkan rakyat keliru. Tugas kita adalah menerangkan kepada rakyat kedudukan sebenar.

“Kita tidak mahu rakyat terus tertipu dengan pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat berkuasa. Selepas itu, nasib rakyat tidak akan dibela.

"Sejak BN mentadbir negeri Terengganu, dapat dilihat hidup rakyat semakin selesa. selaku sayap paling bongsu, kita akan membantu sebaik mungkin untuk memastikan Umno dan BN sentiasa menjadi pilihan rakyat.

"Walau apa pun yang pembangkang fitnah, kita akan terus menyakinkan rakyat Terengganu bahawa kita adalah yang terbaik,” katanya.

 Sebagai persiapan awal, Puteri Umno sudah mengatur ahli yang bakal bertugas sebelum dan pada pilihan raya nanti di mana 10 petugas akan ditempatkan setiap peti undi bagi melancarkan proses mengemaskini daftar pemillih.

 

Kerajaan BN setia jaga kebajikan rakyat

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan Terengganu yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil sikap mencari keuntungan jangka pendek seperti meraih undi untuk pilihan raya tetapi mengorbankan kepentingan negeri bagi jangka masa panjang.

 Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata pelbagai pendekatan dilaksanakan kerajaan semata-mata mahu memberi keselesaan dan menjaga kebajikan rakyat, termasuk mewujudkan sistem pendidikan berkualiti, kemudahan kesihatan yang sempurna dan sebagainya.

 “Semua dilaksanakan itu adalah untuk kepentingan rakyat dan bukannya untuk kepentingan parti.

“Apa yang menyedihkan, semua itu diputarbelitkan pembangkang supaya menampakkan apa yang dilaksanakan kerajaan itu berpaksikan kepada kepentingan politik,” katanya kepada Teganukita.

YB Haji Khazan berkata, apa yang dilaksanakan kerajaan semuanya nampak salah, nampak hodoh dan berbaur politik bagi mereka, sedangkan pada masa sama mereka merasai kenikmatkan dan kebaikan yang ditakbur kerajaan.

“Bila sakit mereka pergi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dengan bayaran serendah mungkin, anak-anak pembangkang pun mendapat pendidikan di sekolah kerajaan, bila melihat keadaan itu, saya pun tidak faham apa yang mereka tidak puas hati tentang kerajaan.

 “Semuanya kebaikan telah pun kita laksanakan, bukan setakat itu saja malah pelbagai bantuan lain turut dihulurkan jika ada rakyat susah, hendak mengharapkan pembangkang, mereka hanya pandai menabur janjikan, hendak melaksanakannya jauh sekali,” katanya.

 

Dua pelajar STPM Terengganu terbaik negara

Oleh: Noraini Jusoh

Terengganu berjaya mencipta rekod baru dalam bidang pendidikan apabila dua pelajar tersenarai sebagai calon terbaik negara dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012, yang diumumkan serentak seluruh negara hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin berkata, pelajar STPM yang berjaya membuktikan kecemerlangan itu Normadia Manaf bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, dan Nor Izyan Suhaimi dari SMK Renek, Besut.

"Normadia yang merupakan anak petani berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 (empat flat) di mana memperoleh A untuk lima subjek yang diambilnya iaitu Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah, Geografi dan Seni Visual.

"Sementara Nor Izyan mendapat PNGK 4.00 dengan memperoleh A bagi subjek Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah, Geografi dan A- ekonomi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan STPM di JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, Nor Izyan terpilih sebagai antara calon terbaik negara bagi kategori sekolah luar bandar.

Jelas beliau, tiada perbezaan antara pelajar sekolah bandar dan luar bandar di negeri ini kerana masing-masing mendapat kemudahan pembelajaran yang sama.

Beliau turut merakamkan rasa bangga dengan keputusan itu dan mengucapkan tahniah kepada pengetua, guru-guru dan ibu bapa yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk meningkatkan kualiti pendidikan negeri.

 

Wanita berupaya corak lanskap ekonomi, sosial dan politik

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan yakin terhadap peranan wanita dalam variasi tugas di sisi keluarga dan masyarakat berupaya mencorakkan lanskap ekonomi, sosial dan politik negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata golongan wanita mengalas tugas sebagai isteri, ibu, pekerja, pemimpin dan anggota masyarakat di luar institusi keluarga.

“Kehebatan wanita dalam multi-tasking dan multi-skiling membentuk satu tenaga penggerak yang seharusnya digembleng untuk mencapai hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara yang mana rakyatnya maju, progresif, hidup aman dan sejahtera .

 “Pada masa yang sama wanita juga memainkan peranan bagi memastikan hasrat dan cita negara untuk meraikan kepelbagaian budaya, bangsa dan agama, selain mendukung Gagasan 1Malaysia,” katanya . katanya ketika berucap di program 1Million Women Purple Walk 2013, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar,Ddato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Selain itu, lebih 30,000 wanita dari pelbagai agensi dan persatuan di seluruh Terengganu menyemarakkan acara berjalan kaki yang bermula dari Taman Awam Batu Buruk ke Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu yang melibatkan jarak kira-kira dua kilometer.

 Dato’ Yahya berkata, suara wanita berupaya mewujudkan perspektif dan dimensi perpaduan yang jitu berikutan prinsip moral wanita berkait rapat dengan penekanan kepada hubungan kasih sayang yang didominasi oleh nilai kelembutan.

 “Oleh itu, golongan wanita selalunya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan bagi memastikan keputusan yang dilaksanakan tidak memberi impak negatif kepada anggota keluarga dan memahami antara satu sama lain, sekaligus mewujudkan persefahaman dan persepakatan.

“Pemikiran wanita yang sedemikian memberi isyarat bahawa golongan hawa mampu memberi harapan baik ke arah membentuk perpaduan yang berkekalan,” katanya.

Sebelum itu, Dato’ Yahya berkata sejajar dengan program 1Million Women Purple Walk, penglibatan lebih 30,000 wanita seluruh Terengganu membuktikan golongan itu benar-benar menzahirkan aspirasi dan hasrat yang didasari oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat khasnya.

 

BN Bantu Penduduk Dapat Hak Milik Tanah

Oleh: FAUZI MOHD 


Pemberian suratan hak milik tanah telah memberikan kelegaan kepada 193 peneroka Felcra kawasan Seri Bandi 3 dan 4 sekali gus mengakhiri penantian mereka selama 33 tahun.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, pemberian tersebut adalah bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa komited menjaga kepentingan rakyat.

Katanya, Kerajaan negeri dan Felcra terpaksa menyelesaikan beberapa masalah dihadapi peneroka di kawasan itu seperti status tanah sebelum geran hak milik dapat diserahkan.

 "Alhamdulillah pada hari ini kita dapat mengadakan majlis penyerahan geran hak milik kepada penduduk yang sebelum ini menghadapi masalah mendapatkan geran selepas 33 tahun lalu meneroka tanah di sini.

"Usaha Kerajaan BN sentiasa berterusan untuk bantu rakyat, bukan kerana dekat nak pilihan raya. Saya diberitahu esok 144 lagi peneroka di Setiu akan terima geran seperti ini dan Khamis ini di Besut seramai 70 orang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan suratan hak milik tanah berkenaan di Dewan Seri Bandi, Kijal hari ini. Hadir sama Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman dan Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Timur, Sauddi Sitor.

Ahmad berkata, pengurniaan itu adalah hadiah kerajaan kepada mereka dan sebagai bukti kerajaan BN sentiasa prihatin serta berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

Dalam pada itu tambah beliau, Kerajaan negeri akan membina 300 unit rumah mampu milik di kawasan itu bagi menyelesaikan masalah perumahan untuk anak-anak peneroka.

"Rumah flat empat tingkat akan disiapkan pada tahun ini dengan mengutamakan penduduk sekitar Seri Bandi. Kos pembinaan akan ditentukan kemudian" katanya.

 

KTCC SUATU USAHA MENJANA EKONOMI DAN KESEJAHTERAAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman. 

Pembangunan adalah merujuk kepada perkara yang amat positif. Bahkan dari perspektif agama, Islam adalah ajaran yang sangat mesra terhadap “pembangunan” .


Ia menuntut supaya pembangunan diperkasakan dengan memastikan elemen keseimbangan antara segala komponen kehidupan.

Cabaran-cabaran dalam zaman dan masyarakat yang berubah, menagih kita supaya sentiasa mengemaskinikan tempat tinggal, bandar mahupun desa dengan keupayaan untuk menjawab persoalan-persoalan tuntutan semasa dan akan datang.

Kita perlu membuat persediaan awal dan melihat jauh ke hadapan.

Berfikirlah 100 tahun ke hadapan dan jangan berfikir 100 tahun ke belakang.

Justeru itu kerajaan negeri membangunkan bandar Kuala Terengganu supaya selaras dengan tuntutan masa dan zaman. Salah satunya ialah Projek Pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu atau KTCC.

Pelbagai projek pembangunan KTCC bakal melonjak kedudukan Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air,sekaligus muncul bandar ala `mini Dubai’ di Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Dubai adalah bandaraya yang cantik di pinggir laut, maju di segi ekonomi, perdagangan dan perusahaan, termasuk pelancongan.

Di sana merupakan pusat berbelanja terbesar di dunia, pusat pelancongan terkemuka sehingga mempunyai 100 buah hotel.

Itulah wawasan dan impian pimpinan kerajaan negeri untuk melihat bandar Kuala Terengganu menjadi bandar terkemuka, sama ada di peringkat nasional mahu pun antarabangsa.

Biarpun tidak setaraf Dubai tetapi sekurang-kurangnya bercorak seperti bandar terkemuka negara Islam itu.

Komponen projek KTCC melibatkan kawasan muara utara dan muara selatan, meliputi pusat gaya hidup bersepadu, pusat komersial serta hab pendidikan dan kesihatan.

Ini bermakna pembangunan yang dijalankan ini adalah bersepadu, fizikal dan kerohanian.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata satu daripada projek komersial berimpak tinggi bakal dibangunkan di muara selatan adalah KTCC Mall.

KTCC Mall akan disiapkan dalam masa tiga tahun, manakala di muara utara pula memakan masa lima hingga 10 tahun untuk bangunkan seluruh kawasan itu dari sekarang.

Selain itu, katanya kerja pembinaan `KTCC drawbridge’ atau ‘jambatan angkat’ yang menyambung muara utara dan selatan ini akan ditender pada Jun ini, diikuti satu lagi projek pembinaan bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) setinggi 30 tingkat.

Sementara itu, kerajaan negeri turut melantik pemaju bagi pembinaan hotel dan apartment di kawasan ini, di samping turut menguruskan projek pelaburan di muara utara.

Ini menjadi satu lagi alternatif yang baru untuk pengunjung Pembangunan KTCC Mall sebahagian daripada komponen pembangunan KTCC yang melibatkan pusat membeli-belah, sebuah hotel dan ruang perniagaan merupakan satu titik permulaan bagi transformasi bandar Kuala Terengganu.

Ia selaras dengan Program Transformasi Kerajaan yang antara lain bertujuan melahirkan masyarakat maju, bersatu-padu dan saksama mencapai tahap kehidupan yang tinggi untuk semua rakyat.

Pembangunan ini juga akan melonjakkan kedudukan bandar Kuala Terengganu yang sudah dikenalpasti sebagai Gerbang pelancongan bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau E.C.E.R.

Dalam catatan sejarah, Kuala Terengganu adalah suatu pelabuhan dan lingkungan ekonomi dan perdagangan yang masyhur. Chao Ju Kua dalam catatan yang ditulisnya pada tahun 1225, ada menyebut ’Teng Ya Nong‘ atau Kuala Terengganu sebagai sebuah pelabuhan perdagangan yang penting di persisiran pantai timur Tanah Melayu.

Perkataan tersebut merujuk kepada nama Tengganu yang dikatakan jajahan takluk Kerajaan Seri Wijaya (San-fo-Cih) pada kurun ke 2.

Ptolemy, seorang ahli kaji bintang Greek telah mencatatkan dua buah Pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu iaitu Primula dan Kole.

Primula dipercayai di Kuala Terengganu. Kuala Terengganu berkembang menjadi bandar perdagangan yang penting antara Kerajaan China dan Kerajaan Terengganu mendahului empayar Melaka.

Oleh itu usaha mengembalikan kehebatan dan kecemerlangan Kuala Terengganu sepertimana riwayat sejarahnya amatlah sesuatu yang seharusnya dibanggai oleh rakyat Terengganu.

Usaha pembangunan ini adalah bertepatan dengan ajaran agama Islam Yang Maha Suci. Jangan pula ada di kalangan kita yang menuduh dan menafsirkan secara negatif pembangunan yang dijalankan untuk rakyat, bangsa dan negeri.

Pembangunan yang disyaratkan dalam Islam adalah pembangunan yang boleh memberi kesan kebaikan kepada manusia.

Sudah tentulah pembangunan bandar Kuala Terengganu ini adalah untuk kebaikan dan masa depan anak bangsa dari segi peluang pekerjaan dengan pelbagai kewujudan peluang-peluang ekonomi secara langsung dan tidak langsung.

Gabungan pemimpin berwawasan – pentadbir berdedikasi dan rakyat yang bersemangat menyaksikan juga tercapainya pelbagai dimensi baru kejayaan dalam meningkatkan kualiti hidup dan kemakmuran di negeri dan negara ini.

Abu A'la Al-Maududi yang merupakan pendakwah yang dilahirkan di Hyderabad, Decca, India, menyatakan bahawa pembangunan membabitkan langkah-langkah menjelaskan semula ajaran Islam dengan memberi fokus kepada masalah-masalah semasa yang dihadapi oleh masyarakat Islam dalam bidang sosial, ekonomi dan politik.

Melaksanakan perubahan-perubahan yang akan membawa kepada transformasi yang menyeluruh pada setiap lapisan masyarakat berdasarkan situasi tempatan.

Maknanya Islam mementingkan perancangan pembangunan yang strategik.

Kemakmuran adalah indikator paling ketara untuk mewakili kejayaan “pengurusan pembangunan” di negara dan negeri kita.

Apa yang dapat dilihat dan dinikmati oleh generasi masa kini menunjukkan tahap kemakmuran segenap bidang yang sudah meningkat dan akan terus meningkat lagi.

Prasarana dan kemudahan asas dalam bidang pendidikan, kegiatan ekonomi dan kesihatan menjadi “pemangkin” ke arah pelbagai kejayaan bidang lain.

Selain dari itu, sebahagian besar masyarakat termasuk bumiputera telah dikeluarkan dari lingkaran kemiskinan masa silam.

Sungguhpun aspek ini masih lagi dalam usaha dan perjuangan yang berterusan dijalankan dari masa ke semasa, namun pada masa yang sama kejayaan yang telah dicapai ini juga tidak boleh dinafikan.

Semoga Kuala Terengganu muncul sebagai bandaraya terkemuka berasaskan keindahan dan kecantikan di persisir air, pada masa yang sama maju di segi ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keagamaan.

Pelancong pastinya berlipat-ganda datang ke Kuala Terengganu,dengan usaha tambahnilai itu, memantapkan lagi ekonomi negeri.

 

Pendedahan Penyelewengan Kerajaan Lalu: TIADA DIKENAKAN BAYARAN RATUSAN/ RIBUAN RINGGIT UNTUK PESERTA TANAH RTB

Oleh: Pengarang Teganukita


Tiada sebarang bayaran yang patut dibayar oleh pemohon atau peserta yang memohon dan berjaya sebagai peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang diuruskan oleh Pentadbiran Tanah Daerah masing-masing atau Pejabat Tanah di daerah masing-masing.

Jika sekiranya ia dikenakan bayaran beratus-ratus ringgit atau ribuan ringgit oleh pihak tertentu bagi mendapatkan tanah RTB itu, ia adalah di luar arahan dan pengetahuan Pentadbir atau Pejabat Tanah Daerah.

Pihak Pejabat Tanah tidak tahu menahu perkara punggutan duit oleh pihak terbabit.

Demikian dijelaskan oleh seorang Pentadbir Tanah Daerah di Terengganu ketika diminta mengulas laporan polis yang yang dibuat oleh pemohon salah satu RTB di Balai Polis Ketengah Jaya pada 22 Februari lalu.

Menurut Salinan Repot KETENGAH JAYA/000172/13 pada 22 Februari 2013 jam 4.34 petang, pengadu Muhamad Rosdi bin Fauzi dari Felda Ketengah Jaya Dungun menyatakan: “Pada 11/02/2004 Kami Generasi Kedua Felda telah ditawarkan Tanah Rancangan Berkelompok di Kawasan Pembangunan Lima Bandar Ketengah Jaya, Mukim Rasau, Daeran Dungun oleh Kerajaan Terengganu pada waktu itu (1999-2004).

Pada 17/02/2004 satu majlis diadakan di Padang Astaka Ketengah Jaya,setiap peserta telah diminta bayaran maksimum sebanyak RM1, 300.00. Duit ini dibayar kepada akaun sebuah syarikat guaman yang dilantik sebelum 01 Mac 2004.

Jumlah peserta yang terlibat adalah seramai 1080 orang.

Kami telah dijanjikan akan memperolehi geran tanah tersebut. Pihak yang berkenaan telah menghilangkan diri tanpa mengembalikan semula duit kami.

Saya mewakili kesemua peserta menuntut kembali duit dari pihak yang telah menjanjikan tanah tersebut. Pihak kami juga mendesak supaya kes ini disiasat dengan kadar segera oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ini kerana kami rasa sangat tertipu oleh kepimpinan pada waktu itu. Inilah pengaduan saya”.

Menurut Pentadbir Tanah itu, bayaran syarat-syarat Lesen Menduduki Sementara ialah RM10 setahun sahaja dan bayaran pendaftaran atau buka fail hanyalah dikenakan RM5 (Seksyen 67 dan 68 Kanun Tanah Negara).

Katanya, apabila seseorang diluluskan permohonan, kelulusan LMS hanya diberi bagi tempoh tiga tahun sahaja sebagai tempoh percubaan. Pertimbangan kemudian akan diberikan sama ada hendak diberikan hak milik kekal atau pun tidak.

“Segala hal berkaitan pentadbiran tanah adalah mengikut Kanun Tanah Negara, jadi kalau di luar perkara berkaitan, ia adalah dibuat tanpa pengetahuan Pentadbir Tanah,” tegasnya.