Halaman

24 March 2013

Zalimkah kerajaan - MB

Oleh; Esah Abdullah


Nilai sebenar tanah adalah RM60,000 bagi satu Lot tetapi rakyat hanya perlu bayar RM3,000 untuk dapatkan tanah bekenaan, kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 “Zalimkah kerajaan kerana beri tanah dengan harga murah kepada rakyat,” tanya Menteri Besar di majlis Perasmian Gelanggang Futsal dan Penyampaian Geran Hak Milik di Kampung Penempatan Baru Banggol Binjai Jeram Hulu petang semalam.

Katanya, Kerajaan telah berbelanja RM3.4 juta bagi tujuan pengambilan balik tanah seluas 4.8 hektar untuk dijadikan penempatan baru yang di agihkan kepada penduduk terlibat dengan pembinaan jalan baru dari Kampung Petaling ke Jeram Tok Kong.

“Seramai 61 penduduk terlibat dengan pembinaan jalan berkenaan telah diberi tanah dan hanya dikenakan bayaran premium antara RM3,000 hingga RM3,500 sahaja untuk mendapatkan satu lot tapak rumah,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak pernah menzalimi rakyat contohnya mereka yang tinggal di sini (penempatan baru) di mana rumah dan tapak rumah mereka dinilai dan dibayar oleh kerajaan hingga ratusan ribu kemudian kerajaan sediakan pula kawasan baru bagi memudahkan mereka dengan bayaran sangat rendah dari nilai sebenar tanah.



 “Beritahu saya mana ada kerajaan lain di dunia ini yang buat seperti apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negara ini,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Ahili Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh dan Ketua Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kuala Terengganu Haji Omar Mat.

Seramai 164 daripada 253 orang telah menerima geran hak milik membabitkan tapak rumah, bangunan dan kawasan pertanian dalam kawasan DUN Tepoh yang disampaikan oleh Menteri Besar.

Pada majlis sama, Dato’ Seri Haji Ahmad turut merasmikan gelanggang futsal berharga RM350,000 yang boleh dimanfaatkan golongan muda untuk aktiviti bersukan dan sebagainya.

 





TERENGGANU DIPERAKUI HEBAT PENDIDIKAN

Oleh: Ruslan AR

Kejayaan demi kejayaan terus ditempa oleh Terengganu di bidang pendidikan dan peperiksaan.

Terbaru,Terengganu mengekalkan momentum kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila merekodkan peningkatan dari segi kualiti pelajar yang memperolehi semua A+ bagi keputusan peperiksaan tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan semalam, pelajar yang memperolehi semua A+ atau cemerlang tertinggi dalam semua mata pelajaran meningkat empat orang kepada 19 orang berbanding 15 orang pada 2011.

Beberapa hari lepas, Terengganu juga telah berjaya mencipta rekod baru dalam bidang pendidikan apabila dua pelajar tersenarai sebagai calon terbaik negara dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012, yang diumumkan serentak seluruh negara.

Pelajar STPM yang berjaya membuktikan kecemerlangan ialah Normadia Manaf bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, dan Nor Izyan Suhaimi dari SMK Renek, Besut.

Normadia yang merupakan anak petani berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 (empat flat) di mana memperoleh A untuk lima subjek yang diambilnya iaitu Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah, Geografi dan Seni Visual.

Sementara Nor Izyan mendapat PNGK 4.00 dengan memperoleh A bagi subjek Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah, Geografi dan A- ekonomi .

Nor Izyan terpilih sebagai antara calon terbaik negara bagi kategori sekolah luar bandar. Ini menunjukkan tiada perbezaan antara pelajar sekolah bandar dan luar bandar di negeri ini kerana masing-masing mendapat kemudahan pembelajaran yang sama.

Kita sebagai rakyat Terengganu tentulah berasa bangga dengan keputusan itu dan mengucapkan tahniah kepada pengetua, guru-guru dan ibu bapa yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk meningkatkan kualiti pendidikan negeri.

Ini tidak hanya berlaku begitu sahaja, melainkan hasil dari usaha gigih pelajar, di samping fokus yang kerajaan negeri berikan terhadap bidang pendidikan di Terengganu.

Semua orang tahu bidang pendidikan adalah fokus utama kerajaan negeri Terengganu.

Kerajaan negeri memperuntukkan pelaburan yang besar pada setiap tahun semata-mata mahu melihat bidang pendidikan di Terengganu terus unggul mencapai kecemerlangan.

Pelbagai program dan insentif tertentu turut disediakan sebagai galakan serta ganjaran buat pelajar dan guru.

Antara program yang dilaksanakan melalui Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) termasuk Program Pelajar Terengganu Terbilang, Program Bimbingan Sekolah, Program Akademi, Program Tutorial, Insentif Pelajar Cemerlang dan Anugerah Guru Terbilang. Pelbagai saluran bantuan disediakan untuk memastikan tidak ada anak negeri ini tercicir daripada mendapat pendidikan terbaik.

Terengganu juga menjadi pelopor pendidikan maya, pemberian e-Book secara percuma kepada pelajar-pelajar Tahun Empat dan Lima, sebagai persediaan awal bagi anak-anak Terengganu menyahut cabaran pendidikan universal yang semakin canggih.

e-Book merupakan antara komponen penting dalam memperkasakan pendidikan negeri serta menjadi titik tolak yang terpenting dalam persediaan enterjemahkan wawasan untuk menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

Kecemerlangan pendidikan di Terengganu terbukti dengan pencapaian demi pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan utama negara.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menjanjikan akan terus memastikan kecemerlangan itu berterusan dengan memperkenalkan pelbagai program, kemudahan dan insentif berkaitan pendidikan dan ilmu pengetahuan.

Bahkan ini diakui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sewaktu berucap di Jamuan Rakyat di Petai Bubus, Dewan Undangan Negeri Telok Pasu kelmarin.

Beliau pernah berkata, Terengganu mampu menjadi peneraju kepada negeri-negeri lain bagi memajukan bidang pendidikan di negara ini Kecemerlangan Terengganu dalam peperiksaan awam berterusan dan beliau di Johor pun rasa kagum di atas kejaaan Terengganu berbanding negeri negeri lain.

Katanya banyak program yang dilaksanakan Kerajaan Terengganu bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar, yang sebenarnya tidak banyak dilasanakan di negeri-negeri lain.

 Bahkan katanya,banyak program yang dilakukan di Terengganu boleh dicontohi negeri lain bagi memajukan bidang pendidikan.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemberian wang sagu hati kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan utama dan e-Book hanya dilaksanakan di Terengganu.

Rakyat negeri ini sepatutnya bersyukur kerana berpeluang menikmati kemudahan tersebut. Apa yang penting ialah kita terus memberikan sokongan padu di atas apa yang telah dijalankan oleh semua pihak bertanggungjawab, termasuk kerajaan bagi kejayaan pendidikan.

Memberikan pendidikan dan ilmu yang sempurna kepada generasi muda hari ini adalah sebenarnya langkah membina masa depan negara dan negeri yang gemilang.

 Apabila kita hendak melihat wajah negara dan negeri pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini; sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berpendidikan, berilmu, berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur.

Akan tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.

Oleh itu marilah kita menyediakan generasi terbaik untuk hari depan bangsa dan negara kita.


 

HARGAILAH KEAMANAN

Oleh: Ruslan AR

Sesiapapun tidak boleh menafikan bahawa keamanan dan kedamaian adalah impian semua. Tidak siapapun mahukan keadaan huru-hara dan mengancam keselamatan.

Tindakan pihak tertentu yang mengadakan demonstrasi di depan pintu masuk Wisma Darul Iman baru-baru ini amatlah mendukacitakan kita semua, terutamanya rakyat Terengganu.

Apatah lagi penyokong parti pembangkang itu bertindak liar memanjat pagar dan menganggu lalu lintas telah menimbulkan suasana yang kurang selesa dan menggambarkan betapa mereka tidak mempunyai rasa tanggungjawab.

Perbuatan itu amatlah tidak bertamadun sama sekali.

Tindakan membuat halangan di pintu masuk utama pusat pentadbiran negeri itu menyebabkan orang ramai yang berurusan dengan jabatan kerajaan terganggu, malah pegawai dan kakitangan yang ada urusan tugas di luar terpaksa membatalkan tugasan mereka.

Sampah sarap dan sisa-sisa makanan dibuang di merata-rata serta merosakkan landskap di hadapan pintu masuk pusat pentadbiran itu juga merupakan suatu perbuatan yang tidak beradab dan berakhlak.

Walaupun negara kita mengamalkan sistem demokrasi, tetapi bukanlah bermakna kita boleh melakukan apa sahaja sesuka hati, kerana demokrasi juga memberi hak kepada orang yang mahu hidup dalam keadaan aman damai dan harmoni.

Kita tidak mahu ada pihak yang menyalahgunakan demokrasi dan kebebasan yang diberikan, untuk melakukan huru-hara serta menimbulkan rasa takut di kalangan orang ramai.

Ia bukan matlamat demokrasi. Demokrasi adalah bertujuan untuk kebaikan dan keharmonian terutamanya bagi kebebasan bersuara dan memilih kerajaan, tetapi hendaklah dilakukan menurut peraturan-peraturannya.

Rakyat hendaknya tidak terikut-ikut dengan gelagat dan perbuatan yang tidak bertamadun serta di luar batasan, kerana kebanyakkan dari kita telah dididik dengan ilmu pengetahuan dan akhlak yang mulia.

Pelajaran yang tinggi semata-mata tidak memberi guna kalau sekiranya tidak dipadukan dengan akhlak yang mulia dan peraturan-peraturan hidup yang telah digariskan oleh agama, pentadbiran dan undang-undang negara.

Rakyat sebenarnya cukup bijak menilai di antara perkara yang baik dengan yang buruk, di antara kaca dan permata.

Negara kita telah sekian lama merdeka, telah sekian lama berada dalam keadaan aman dan damai, mengapa harus di biarkan pihak tertentu menganggu gugat keamanan dan keharmonian tersebut.

Tidakkah kita melihat betapa tersiksanya kehidupan rakyat di sesetengah negara yang di landa huru-hara serta peperangan.

Tidakkah kita mengambil iktibar dan pengajaran dari perkara tersebut supaya ia tidak berlaku di negara kita.

Ikutlah saluran yang betul untuk menyuarakan apa jua pandangan kritikan dan pendapat kepada pihak kerajaan dan bukannya melakukan demonstrasi jalanan dan perhimpunan yang menimbulkan kekecohan.

Malah rakyat diberi peluang untuk memilih wakil-wakil mereka di Dewan Rakyat dan Undangan Negeri untuk mengemukakan pandangan dan apa jua suara rakyat kepada pihak kerajaan.

Marilah kita meletakkan agenda untuk pembangunan negara dan kemajuan rakyat mengatasi agenda politik peribadi.

Di pihak rakyat pula hendaklah bijak membuat penilaian dan pertimbangan untuk memilih kebenaran dan menolak kepalsuan. Pilihanraya Umum ke 13 sudah tidak lama lagi.

Ia akan memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pemilihan dan memberikan mandat ke arah membawa kesejahteraan negara, lebih-lebih lagi untuk membina masa depan negara yang lebih baik dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Tidak perlu kita bersengketa sesama sendiri dan membawa kepada pergaduhan serta pertelingkahan, tetapi sebagai rakyat yang berilmu dan masyarakat yang bertamadun kita perlulah menghadapi pilihanraya tersebut dengan aman dan saksama, dengan tidak melakukan huru-hara dan menimbulkan rasa takut serta mengancam keselamatan.

Marilah kita membina sebuah masyarakat yang hidup berkasih sayang di antara satu sama lain dan membina sebuah negara yang bersatu padu dan cemerlang.


 

23 March 2013

Gelombang biru kuasai hati rakyat-TPM

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu antara negeri penting yang menyumbang kejayaan kepada kerajaan sedia ada serta pertahankan Putrajaya agar terus kekal berkuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, dalam tinjauan ke seluruh negara dan beberapa kali ke negeri ini ternyata gelombang biru telah menguasai rakyat di sini.

“Saya yakin Barisan Nasional (BN) akan terus kekal dihati rakyat di negeri ini dan negara,” katanya ketika berucap di majlis Jamuan Rakyat di Kampung Petai Bubus, Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, Parlimen Kuala Nerus semalam.

Hadir sama isteri beliau, Puan Seri Norainee Abdul Rahman: Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional negeri.

Katanya, Terengganu merupakan negeri paling membangun di Pantai Timur serta jauh lebih baik dari Kelantan dan Kedah yang menghadapi pelbagai masalah tanah dan berhadapan dengan kebangkitan rakyat yang tidak puas hati dengan mereka.

“Saya bangga dan yakin kita akan mendapat sokongan padu dari rakyat di negara ini dan berharap mendapat keputusan lebih baik dalam Pilihan Raya ke-13 (PRU13) berbanding tahun 2008,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri kemudiannya telah meluluskan RM1.5 juta untuk pembangunan dalam Parlimen Kuala Nerus termasuk RM160,000 untuk penambahbaikan Masjid Kampung Petai Bubus.

Hanya Umno terbaik

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Pengundi di negeri ini diingatkan supaya memilih calon-calon Umno yang akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), bagi memastikan usaha menyatukan semula masyarakat Melayu dapat dicapai.

 Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pada masa yang sama pengundi perlu memastikan kesemua calon Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak diberi peluang untuk menang walaupun satu kerusi pada pilihan raya akan datang.

 “Jika semua calon Pas dan PKR tewas pada PRU13, sudah tentu Umno akan muncul sebagai sebuah parti Melayu yang dominan dan amat dihormati oleh masyarakat Melayu di seluruh negara.

 “Bila keadaan ini berlaku, usaha untuk menyatukan semula orang Melayu menjadi mudah kerana tidak ada lagi penghalang kepada usaha tersebut,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.

Sebelum ini, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tiada jalan keluar bagi mengatasi masalah perpecahan di kalangan orang Melayu kecuali menumbang atau `meranapkan’ parti Pas pada PRU13.

Dalam ucapannya di Marang, Dr Mahathir berkata, Pas yang dipimpin Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang diwujudkan bagi kepentingan pemimpin parti itu saja, bukannya untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) berkata, pilihan raya ini merupakan peluang terbaik kepada pengundi untuk membuka ruang kepada Umno menyatukan semula masyarakat Melayu yang berpecah sejak sekian lama.

 “Di Terengganu kita mahu kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen dimenangi oleh Umno dan BN.

“Kita mahu rakyat kekalkan 24 kerusi DUN dan tujuh kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada pilihan raya umum lalu dan mengembalikan semula lapan kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen kepada BN pada PRU13,” katanya.

Katanya, penduduk negeri ini tidak perlu menunggu lebih lama untuk melenyapkan Pas dan PKR yang menjadi batu penghalang kepada usaha menyatukan semula umat Melayu.

“Pas yang memulakan perpecahan di kalangan masyarakat Melayu dengan Amanat Haji Hadi yang membawa kepada berlakunya dua solat Jumaat dalam satu kariah, isu kafir mengkafir dan macam-macam perkara lagi yang menyebabkan masyarakat Melayu semakin lemah.

“Bila timbul pula PKR, perpecahan di kalangan umat Melayu semakin parah dan menyukarkan usaha pihak tertentu, termasuk Umno sendiri untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Justeru itu, saya berpendapat pilihan raya kali ini patut digunakan sebaik-baiknya oleh pengundi di Terengganu dan seluruh negara untuk melenyapkan Pas dan PKR, demi kebaikan generasi Melayu akan datang,” tegasnya.

 

Pas punca Melayu berpecah

Oleh: Cicit Laksamana 

Sekadar mengimbau sejarah silam, satu perhimpunan besar-besaran dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 di mana 41 pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing.

Dua daripada tiga usul yang dululuskan Kongres ialah menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) dan membantah pertubuhan Malayan Union.

Satu jawatankuasa terdiri daripada Dato’ Onn, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) dipilih bagi menyediakan draf Piagam atau Perlembagaan Umno dan dibentangkan oleh Kongres Melayu Se-Malaya.

Walaupun mendapat tentangan hebat dari kaum Melayu, Kerajaan British tetap meneruskan rancangan mereka mewujudkan Malayan Union pada 1 April 1946. Tanggal 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (Umno) telah berlangsung dan Perlembagaan Umno telah diterima dan diluluskan oleh para peserta.

Maka Umno pun lahirlah secara rasmi.

Umno kini merupakan parti yang terbesar dan menjadi teras pemerintahan negara dengan jumlah kerusi terbanyak dan pemimpinnya berperanan dalam membuat dasar-dasar kerajaan.

Umno juga antara parti bercorak demokratik yang tertua di negara-negara membangun dan masih kuat kedudukannya setelah melalui pelbagai peristiwa dan cabaran, serta dihormati oleh kawan dan lawan atas prinsip-prinsip keadilan, ketegasan dan keupayaannya menjalankan dasar-dasar yang telah dipersetujui.

Parti keramat ini dilahirkan hasil dari percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat, tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk survival bangsa Melayu.

Nasionalisme Melayu sebelumnya agak malap kerana wujudnya penduduk berbilang kaum sebagai faktor penghalang, penekanan oleh penjajah, tendensi masyarakat Melayu untuk berpecah-belah mengikut negeri, ketiadaan kesedaran politik yang meluas serta terdapat kemakmuran ekonomi yang membolehkan kehidupan sederhana kepada sebilangan besar rakyat.

Tetapi nasionalisme ini bukan suatu pemikiran sempit kerana ia diperluaskan untuk merangkumi lain-lain kaum demi perpaduan dan kestabilan negara. Di peringkat awal pergerakan ke arah kemerdekaan tidak mungkin bagi sesuatu kaum memaksakan politiknya dan menolak kenyataan hadirnya kaum-kaum lain yang juga berhak untuk menyertai dalam politik negara. Usaha-usaha dibuat bagi mengeratkan kerjasama di antara kaum sehingga tertubuhnya Perikatan UMNO-MCA pada awal 1952 bila kedua-dua parti ini bertanding dalam pilihan raya Perbandaran Kuala Lumpur.

Kemenangan telah diperolehi oleh kedua-duanya dan ini membawa kepada kerjasama yang lebih jauh menjelang kemerdekaan negara. Pada tahun 1955 bagi menghadapi pilihan raya umum yang pertama, Perikatan UMNO-MCA-MIC telah diwujudkan sebagai lambang permuafakatan dan kerjasama yang rapat antara kaum.

 Dengan dipimpin Tunku Abdul Rahman Putra, kemenangan cemerlang telah diperolehi, dengan sendirinya menjelaskan kepada pihak penjajah bahawa kaum-kaum di Tanah Melayu adalah bersatu hati dan boleh merdeka

Rundingan demi rundingan diadakan di London di antara wakil-wakil Perikatan yang diketuai Yang DiPertua Umno, Tunku Abdul Rahman Putra, wakil Raja-Raja Melayu dan wakil-wakil Kerajaan British dan akhirnya persetujuan dicapai bagi kemerdekaan Tanah Melayu sebagai negara yang merdeka dan berdaulat mulai 31 Ogos 1957.

Sebagai negara merdeka dan berdaulat, Umno menjadi tulang belakang dalam Kerajaan Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional, dan tidak putus-putus bergerak untuk mengisi makna kemerdekaan. Usaha membangunkan negara dalam semua bidang dimulakan dengan wujudnya Rancangan Pembangunan Jangkapanjang dan Rancangan Pembangunan bagi tiap-tiap lima tahun bermula dengan Rancangan Malaya Pertama (1956-60).

Tujuan utama rancangan pembangunan negara, antara lainnya meningkatkan taraf politik dan sosio-ekonomi rakyat, menentukan kesalamatan rakyat dari ancaman musuh baik dari dalam atau luar negari, memperkembangkan ekonomi negara dan menyediakan prasarana yang berkesan.

Sejak ditubuhkan hingga sekarang pemimpin Umno berjuang tanpa mengira habuan yang bakal diraih dengan satu matlamat iaitu memerdekakan negara supaya anak-anak watan dapat menentukan sendiri masa depan negara. Pada masa itu, pemimpin Umno berjuang berhabis-habisan tanpa bantuan Pas yang ditubuhkan pada tahun 1951 kerana rasa kecewa Haji Ahmad Fuad Hassan yang kalah dalam merebut jawatan dalam Umno.

Bila Pas ditubuhkan, masyarakat Melayu mula berpecah apabila timbulnya Amanat Haji Hadi, isu kafir mengkafir dan solat Jumaat di masjid berasingan. Pas menyebabkan putus tali persaudaraan dan rakan taulan kerana ahli-ahli dan pengikut parti itu terlalu taksub kepada pemimpin mereka.

Kini Pas bersengkokol pula dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditubuhkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim setelah pemimpin pembangkang itu disingkirkan daripada Umno kerana pelbagai salah laku. Apa jasa kedua-dua parti itu yang mendakwa mereka memperjuangkan nasib bangsa Melayu, berbanding Umno?

Justeru, tidak hairanlah bila mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir meminta pengundi supaya memilih calon-calon Umno yang akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) supaya usaha menyatukan semula masyarakat Melayu dapat dicapai. Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di Marang menegaskan tiada jalan keluar bagi mengatasi masalah perpecahan di kalangan orang Melayu kecuali menumbang atau `meranapkan’ parti Pas pada PRU13.

 “Jika mereka (Pas) benar-benar ikhlas berjuang untuk agama dan bangsa, mengapa timbul isu solat Jumaat dua kariah dan sanggup melabelkan Umno sebagai kafir serta mendoakan agar Barisan Nasional (BN) tumbang dan wujudnya Amanat Haji Hadi. “Semua itu memberi kesan yang cukup hebat kepada masyarakat, terutama golongan Melayu yang kini berpecah kepada tiga puak, iaitu ada yang berpihak kepada Umno, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” kata Dr Mahathir.

Tun Dr Mahathir menjelaskan beliau cukup sedih mengenangkan perkara itu dan meminta pengundi di seluruh negara supaya meranapkan Pas sehingga tiada apa yang tinggal kerana parti itu menjadi penghalang terhadap perpaduan orang Melayu. Amanat Tun Dr Mahathir perlu ditunaikan demi masa depan negara kerana apa yang sedang dilakukan oleh Pas dan PKR membahayakan masa depan generasi Melayu dan rakyat Malaysi berbilang kaum.

Bangkitlah umat Melayu, tegakkan Melayu di Nusantara dan usah diberi undi kepada calon Pas dan PKR yang menjadi pengkhianat bangsa.

Jalin hubungan baik demi kesinambungan transformasi

Oleh: Suriati Ali dan Esah Abdullah 

 Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menegaskan agenda transformasi negara tidak dapat dilaksanakan sekiranya tiada hubungan baik antara rakyat dan pemimpin demi menjayakan program disusun kerajaan Barisan Nasional (BN).

 Katanya, langkah itu cukup penting untuk kesinambungan yang sudah dirancang dan dilaksanakan pimpinan utama negara Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak.

“Kejayaan-kejayaan yang dicipta oleh kerajaan persekutuan adalah turut dibantu di pihak kerajaan negeri dengan didokong oleh rakyat setempat.

"Apa yang dibukukan dalam laporan tentang pencapaian kerajaan menerusi program transformasi baru-baru ini bahawa usaha yang telah diambil oleh Perdana Menteri telah pun mencatat kemajuan-kemajuan yang luar biasa.

 "Ini jelas terbukti bahawa dengan kesungguhan kepimpinan negara kita melaksanakan perubahan-perubahan besar di negara kita dari segi program transformasi ekonomi, program transformasi kerajaan, program transformasi politik dan sosial, maka semua bidang-bidang yang disebutkan tadi telah mencatat pencapaian yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Rakyat yang dihadiri hampir 20,000 orang di pekarangan Masjid Kampung Petai Bubus, Manir, Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama isteri, Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Norainee Abd Rahman; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek.

 Tetamu kehormat lain Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

 Sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin bersama Isteri dan rombongan sempat meluangkan masa bertanya khabar melawat seorang warga emas, Tuan Kamariah Tuan Dalam, 95, yang menghidapi penyakit angin ahmar di rumahnya di kampung sama selepas selesai menunaikan solat Jumaat.

Tan Sri Muhyiddin turut memberitahu, Malaysia adalah satu-satunya negara di mana kerajaan melaporkan kepada rakyat setahun sekali tentang apa yang telah kerajaan rancangkan dan apa kejayaan yang telah negara capai.

 “Tidak ada kerajaan di dunia yang membuat bagaimana yang dibuat kerjaaan kita yang ada pada hari ini. “Kita sentiasa terbuka dan mengamalkan sikap yang telus dalam apa usaha yang kita lakukan dan tidak ada apa yang mahu kita selindungkan," katanya.

 

Sandiwara : dulu Sauk, kini Lahad Datu

Oleh FAUZI MOHD

Parti pembangkang mempotretkan insiden pencerobohan dan kejadian tembak-menembak di Lahad Datu, Sabah hingga mengorbankan anggota keselamatan negara sebagai satu sandiwara kerajaan.

Apa yang tercetus pada fikiran sebahagian pemimpin pembangkang mengenai kejadian ini sama dengan kejadian yang pernah berlaku suatu ketika dahulu iaitu pemberontakan kumpulan Al-Maunah pada 2 Julai 2000 Bukit Jenalek, Perak.

 Ketika itu, sekumpulan anggota Al-Maunah yang berpakaian tentera melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah pada waktu subuh 2 Julai 2000 dan melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor persenjataan.

Kumpulan tersebut kemudiannya mendirikan pangkalan rahsianya di kawasan hutan berhampiran perkampungan Bukit Jenalik di Sauk, Perak.

Menurut laman web mereka ketika itu, al Maunah merupakan singkatan kepada Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma’unah. Laman web organisasi tersebut dikenali sebagai Al-Ma’unah dalam singkatan, sebuah pertubuhan yang terlibat dalam ilmu persilatan yang turut menggunakan tenaga dalaman dan mempelajari ilmu perubatan tradisional Islam.

Pada subuh 2 Julai itu, Mohamed Amin Mohamed Razali telah mengetuai 29 orang ahli kumpulan Al-Ma’unah termasuk seorang pegawai berpangkat Mejar dari Tentera Darat Malaysia telah melancarkan operasi untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia.

Mereka berpakaian pegawai kanan tentera dan berlagak melakukan pemeriksaan mengejut ke atas Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Gerik, Perak.

Mereka menipu pegawai kem tersebut dengan alasan ingin mengadakan pemeriksaan mengejut, kononnya ingin membuat pemeriksaan kecemasan ke atas jumlah semua peluru yang disimpan di dalam kem tersebut. Atas pelbagai tekanan yang diberi oleh Amin dan konco-konconya serta diyakinkan dengan kehadiran tiga kenderaan Pajero menggunakan nombor pendaftaran tentera yang bermula dengan huruf ‘Z’, anggota tentera di dua kem tersebut berjaya diperdayakan di mana mereka berjaya masuk ke dalam kem.

Kumpulan tersebut akhirnya berjaya membawa memuatkan pelbagai jenis senjata ke dalam tiga Pajero berkenaan. Mereka melarikan sejumlah besar senjata api dan imunisasi, iaitu 97 laras raifal M16, dua laras raifal Steyr AUG, empat senjata Mesingan Kegunaan Am (GPMG), enam laras mesingan ringan, lima pelancar bom tangan M203, 182 kelopak M16, lapan laras tambahan mesingan kegunaan am, tiga laras tambahan mesingan ringan, 26 bilah pisau benet, 9,095 butir peluru berkaliber 5.56mm dan 60 butir kartus peluru bom tangan berkaliber 40mm. Kumpulan ini kemudiannya menyembunyikan diri di dalam hutan Bukit Jenalik, Sauk, negeri Perak. Amin mengagih-agihkan semua senjata yang dilarikan itu kepada orang-orangnya untuk dilatih.

Bunyi tembakan yang jarang didengar oleh penduduk kampung hasil daripada tembakan senjata api tersebut telah menarik perhatian polis. Kumpulan tersebut membuat persediaan untuk menjayakan rancangan mereka, termasuk mengumpul bekalan makanan dan membawanya ke dalam pengkalan mereka di Bukit Jenalik. Bekalan makanan yang diperolehi itu hanya cukup untuk tiga bulan sahaja.

Mereka juga turut memperolehi senjata lain seperti parang dan senjata senapang panah untuk menjayakan misi mereka. Sepasukan polis dihantar mengepung Bukit Jenalik untuk menyekat pergerakan mereka. Sejumlah anggota pasukan keselamatan dihantar untuk menyusup masuk ke dalam perkhemahan Al-Ma’unah.

Walau bagaimanapun, dua anggota polis iaitu Sarjan Mohd Shah Ahmad dan Koperal Detektif Sanghadevan, serta penduduk kampung Jaafar Puteh dan seorang anggota komando ATM, Truper Matthews anak Medan, telah dijadikan tebusan oleh Al-Ma’unah.

 Dalam radio komunikasi yang digunakan oleh kumpulan itu, mereka memaklumkan bahawa mereka akan menyerang Kuala Lumpur sekiranya tuntutan ke atas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan dalam masa 24 jam tidak dipenuhi. Jaafar ditangkap ketika beliau sedang meneliti dusun duriannya.

Pagi itu mereka berjaya memperdayakan anggota tentera yang berkawal di situ dan melarikan 148 senjata menggunakan tiga unit kenderaan pacuan empat roda jenama Pajero. Malangnya dalam keadaan negara terkejut dengan insiden ini, Pas dengan selamba dan tanpa perasaan mendakwa ini merupakan sandiwara kerajaan Barisan Nasional untuk memburukkan gerakan Islam dan meraih sokongan politik.

Mereka mendakwa adalah mustahil untuk sebuah kem dirompak. Mereka juga mempertikaikan bahawa jumlah senjata yang diumumkan dirompak tidak mungkin dapat dimuatkan dalam tiga buah pajero seperti yang didakwa. Kes ini mengakibatkan anggota Komando Truper Matthews anak Medandua dan Detektif Shangavedan terbunuh.

Namun biar pun dua orang anggota keselamatan terkorban, Pas masih mendakwa insiden Sauk merupakan sandiwara. Mereka mencabar kerajaan membuktikan tiga buah Pajero tersebut boleh memuatkan semua senjata yang didakwa dirompak. Kerajaan akhirnya mengadakan lakonan semula bagi memaparkan kejadian sebenar sewaktu perundingan dilakukan antara pihak tentera dengan kumpulan Al-Maunah dan juga demonstrasi bagi membuktikan senjata-senjata tersebut boleh dimuatkan ke dalam Pajero terbabit.

Demontrasi yang diadakan di Kementerian Pertahanan selepas kejadian di Sauk menunjukkan beratus-ratus senjata berkenaan boleh diangkut ke dalam kenderaan Pajero dalam masa empat minit sahaja.

Namun, ada pemimpin Pas berkata, tindakan kerajaan melakonkan semula kejadian itu bagi membuktikan sejumlah senjata itu boleh diangkut menggunakan empat kenderaan Pajero juga membuktikan kejadian di Sauk itu sememangnya sandiwara.

Di sini sudah jelas, pembangkang tetap sama memainkan rencah mereka apabila timbulnya isu yang mampu menggugatkan keharmonian negara. Mereka mudah menuduh kerajaan sengaja menimbulkan sandiwara walaupun kejadian tersebut mengorbankan nyawa rakyat sendiri tanpa melakukan sebarang kajian dan penyelidikan menyeluruh tentang isu-isu yang berlaku. Sudah hampir 13 tahun peristiwa Al-Maunah berlalu, sekali lagi pembangkang membangkitkan isu ‘sandiwara’ selepas insiden tembak-menembak terjadi di Lahad Datu.

Namun kali ini, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua pula menuduh insiden Lahad Datu adalah konspirasi UMNO dan sandiwara kerajaan sahaja.

Nampaknya, mereka tetap dengan ideologi mereka sahaja yang mudah menggunakan perkataan sandiwara sedangkan tiada usaha dilakukan pihak berkenaan bagi membantu menyelesaikan isu-isu keselamatan yang timbul. Mereka tidak peduli anak siapa, bapa siapa atau suami siapa yang terkorban.

 Ini semua tidak penting kepada mereka. Yang penting ialah menghasut rakyat membenci kerajaan dan memilih mereka dalam pilihan raya akan datang. Inikah parti yang akan diundi oleh anggota keselamatan dan rakyat biasa?

22 March 2013

Pemimpin pembangkang tidak tetap pendirian

Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengandar cenderahati daripada kepimpinan Umno Terengganu.
Oleh: Aida Abd Rahman

Pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR) sentiasa mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kepentingan umat Islam termasuk dalam isu kalimah Allah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata pemimpin pembangkang seperti Presiden Pas, Dato’ Sri Abdul hadi Awang sudah diketahui ramai tidak mempunyai pendirian tetap dan sering berdolak-dalik berhubung isu kalimah Allah.


“Apabila isu kalimah Allah dibangkitan, isu ini semua orang tahu apa pendirian Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengenai isu kalimah Allah. Dia berdolak dalik, tidak istiqomah. Saya sebutkan dia tidak beristiqomah kerana hari ini dia kata tidak boleh. Sememangnya umat Islam mempertahankan kalimah Allah.

“Saya sebagai seorang pemimpin Islam mempertahkankan kalimah Allah adalah untuk orang Islam sahaja. Tidak boleh biarkan kepada pihak orang-orang lain (bukan Islam), menggunakan kalimah Allah hanya untuk orang Islam, bahawasa-Nya Allah Yang Satu . Itu sahaja. Tidak boleh disamakan dengan agama-agama yang lain, walaupun tidak menggunakan perkataan itu yang boleh mengelirukan kita,” katanya di Himpunan Rakyat 1Malaysia peringkat Negeri Terengganu, di Padang Bola Rhu Rendang, Marang, hari ini.

 Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Ketua-Ketua Umno Bahagian serta Ahli Parlimen seluruh Terengganu.

Tan Sri Muhyiddin berkata, Presiden Pas itu terpaksa mengubah pendirian dan bersekongkol dengan DAP bukan sahaja dalam isu kalimah Allah, malah pelbagai isu lain termasuk membentuk Negara Islam kepada Negara Kebajikan dan juga pelaksanaan hukum hudud disebabkan mahu menjaga kepentingan politik semata-mata.

“Bagaimana pendirian (Dato’ Seri) Abdul Hadi. (Dia kata) Tidak boleh. Selepas itu ada satu Majlis Syura Pas kata ini tidak boleh, dia (berubah) kata boleh. Dimanakah pendirian dia. Pasal apa bertukar pendirian dia. Hanya kerana kepentingan politik Pas. Pasal dia sudah bersekongkol dengan DAP.

 “ Bila DAP tidak bersetuju dengan Negara Islam, bila disebutkan oleh pemimpin Pas kita mahu membentuk Negara Islam, (Pengerusi DAP) Karpal Singh sudah berkata `langkah mayat saya dahulu, kalau kamu hendak bentuk Negara Islam’.

“Jadi akhirnya pemimpin Pas terpaksa tunduk kepada DAP, tidak sebut lagi Negara Islam, jadi Negara Kebajikan. Sudah jauh pada prinsip perjuangan asal mereka,” katanya.

Beliau berkata, pendirian Pas untuk kekal dalam Pakatan Rakyat adalah untuk faedah diri, anggota dan pemimpin Pas sahaja, bukan untuk prinsip perjuangan bagi masyarakat Islam keseluruhannnya.

 Pada masa yang sama, Tan Sri Muhyiddin juga mengingatkan supaya rakyat tidak terpengaruh dengan fatwa-fatwa baru yang akan dikeluarkan parti pembangkang apabila tiba hampir dengan pilihan raya ini.

“ Apabila dekat dengan pilihan raya maka akan keluarlah berbagai fatwa-fatwa baru. Saya tidak payah sebut, sebab tadi Menteri Besar sudah beritahu di mana asas fatwa yang dikeluarkan Haji Hadi mengharamkan makan sembelihan orang Umno, tidak boleh itu dan sebagainya yang dikeluarkan dalam amanat Haji Hadi,” katanya.

Beliau juga menasihatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan apa yang dijanjikan pembangkang kerana mereka terbukti gagal melaksanakannya di DUN, Parlimen mahupun negeri yang dikuasai mereka kini.

 

TPM minta pemimpin Umno jaga perpaduan

Puluhan ribu penduduk sekitar Marang, Terengganu menyambut kedatangan Timbalan Perdana Menteri ke kawasan mereka untuk pelancaran Himpunan Rakyat 1Malaysia Gelombang Biru di Padang Bola Rhu Rendang, petang ini.
Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Aida Abd Rahman 

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, menggariskan empat langkah utama yang perlu dilakukan pemimpin Umno di Terengganu bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Beliau berkata, mereka perlu menjaga perpaduan sesama mereka dan mengetepikan selisih faham selama ini bagi membulatkan perpaduan di saat genting untuk berdepan dengan parti pembangkang dalam kempen pilihan raya yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.


 “Pemimpin Umno perlu berusaha untuk meraih sokongan yang besar dari rakyat bagi memastikan BN menang PRU13,” katanya berucap di majlis pelancaran Himpunan Rakyat 1Malaysia Gelombang Biru di Padang Bola Rhu Rendang, petang ini.

Kira-kira 30,000 orang hadir pada majlis itu yang turut disertai Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah serta pemimpin Umno dan parti-parti komponen BN.

Tan Sri Muhyiddin berkata, pemimpin dan semua ahli Umno perlu akur dengan keputusan pucuk pimpinan berhubung soal pemilihan calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum nanti.


“Soal pemilihan calon mengambil masa dan proses yang panjang. Bila pucuk pimpinan pilih calon, beri sokongan 100 peratus,” ujar beliau.

Langkah ketiga, kata beliau, pemimpin dan ahli Umno perlu mengelak daripada menimbulkan sebarang masalah di ambang pilihan raya yang bakal tiba ini.

Akhirnya, beliau meminta mereka supaya bertemu dengan semua pengundi dan memberi layanan yang mesra kepada mereka, bertanya khabar dan membantu menyelesaikan masalah rakyat.

 Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jika semua langkah itu diakukan Umno dan BN tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan kuasa mereka di Terengganu pada PRU13.

Katanya, Pas dan parti pembangkang lain tidak ada kekuatan dan rakyat pasti menolak mereka pada pilihan raya kali ini.