Halaman

01 April 2013

Persiapan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di Besut berjalan lancar


Kerja menyiapkan astaka sedang giat dijalankan

Oleh: Mohammad Ishak 

Persiapan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang akan berlangsung di Stadium Mini Besut, Kampung Raja, malam esok (Selasa) giat dijalankan bagi mempastikan tilawah berkenan memberi impak besar kepada penghayatan Islam.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh,berkata majlis tilawah itu akan bermula pada 2  dan berakhir 4 April.

Katanya, seramai 16 peserta mewakili setiap daerah di negeri ini akan mengambil mengambil bahagian dalam tilawah bertemakan “Aasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”.


Majlis tilawah itu akan dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Selasa ini, katanya di sini hari ini. 

Manakala DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada qari dan qariah

Turut dijadual berangkat ialah Sultanah Terengganu, Tuanku Nur Zahirah. Johan qari dan qariah akan mewakili negeri Terengganu untuk tilawah peringkat kebangsaan yang dijangka diadakan pada Jun depan. 

Beliau berharap Orang ramai sekitar daerah Besut  hadir bagi memeriahkan majlis tilawah dan pihak penganjur turut menyediakan pengangkutan bas.

5,000 warga pendidik beri sokongan kepada MB

Kira-kira 5,000 warga pendidik dari seluruh negeri Terengganu akan berhimpun di Stadium Tertutup Gong Badak, pagi esok, bagi memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Encik Zakaria Hussin (gambar) dan pegawai-pegawai kanan JPNT akan turut menyertai perhimpunan itu yang dijangka bermula jam 10 pagi.

Pada majlis itu, Menteri Besar akan memberi amanat kepada warga pendidik yang telah banyak menabur jasa dalam meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahamd Razif Abd Rahman, juga dijadualkan hadir dan memberi ucapan pada majlis itu.

JPNT  turut merancang untuk mengadakan persembahan khas berupa deklamasi sajak bagi menyemarakkan majlis tersebut.


RM5,000 menunggu pengunjung ke-500,000 Zoo Bukit Takal

RM5,000 menanti pengunjung ke 500,000 di Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman di Bukit Takal.
Wang tunai bernilai RM5,000 beserta pelbagai hadiah iringan menanti pengunjung ke-500,000 di Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman di Bukit Takal.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mustafar Khalid berkata zoo terbesar di Pantai Timur itu yang beroperasi sejak 2009 kini menerima kira-kira 400,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Ini adalah sebagai usaha kita untuk menarik kedatangan lebih ramai pengunjung ke zoo ini dan berharap pengunjung akan dapat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga mereka sepanjang berada di sini.

“Program pengunjung bertuah ini juga diadakan Sempena Tahun Melawat Terengganu pada tahun ini dalam usaha menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu,” katanya.

Jumaat lepas, seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang, Kulai, Johor menerima RM3,000 apabila menjadi pengunjung ke-300,000 serta menerima tajaan penginapan dua hari satu malam di Resort World Kijal beserta RM500 untuk kos perjalanan serta pembelian pelbagai barangan cenderahati daripada pihak zoo.

Zoo berkeluasan 120 hektar ini dilengkapi pelbagai tarikan seperti perkhidmatan trem, kolam mandi dan gelongsor air serta pelbagai taman.

Pengunjung turut berpeluang melihat cahaya kunang-kunang dengan menyusuri Sungai Yak Yah pada waktu malam.

Kerajaan negeri anjur pertandingan bot berhias

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan menganjurkan pertandingan bot berhias sempena sambutan ulang tahun ke-51 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, 4 Mei ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato' Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, pertandingan bertemakan ‘Dirgahayu Tuanku, Tahun Melawat Terengganu 2013’ itu bakal disertai 16 jabatan termasuk tujuh pejabat daerah di negeri ini dan selebihnya jabatan kerajaan yang lain.

"Tujuh pejabat daerah itu adalah Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Besut, Dungun, Kemaman dan Setiu.

"Sementara Majlis Kebudayaan Kuala Nerus, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), TATI University College (TATIUC), TESDEC Sdn Bhd dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) juga akan menyertai pertandingan yang julung kali diadakan pada siang hari itu,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan penyertaan bot berhias bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-51 Hari Keputeraan KDYMM Sultan Terengganu di Prinzpark Hotel, Kuala Terengganu, semalam.

Dato' Haji Abdul Rahin berkata, pada pertandingan tersebut setiap daerah disyaratkan untuk menonjolkan produk masing-masing dan mereka bebas untuk memilih produk pelancongan yang ingin diketengahkan berdasarkan kreativiti tersendiri.


Katanya, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM420,000 untuk diagihkan kepada semua pasukan yang terlibat sebagai bantuan menghias bot.

Tambah beliau, pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai RM25,000, kedua RM15,000, ketiga RM10,000 dan dua saguhati RM7,000 setiap satu manakala sistem pemarkahan akan dikira berdasarkan kreativiti sebanyak 30 peratus, kesesuaian hiasan dengan tema 30 peratus, kekemasan 30 peratus dan bonus sepuluh peratus.

 

31 March 2013

Teganukita 77


Kesetiaan 190 TCS kepada kerajaan hari ini : Mohd Kamil

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua 190 Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (TCS) diminta memberi kesetiaan tidak berbelah-bahagi kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan juga kepimpinan kerajaan negeri hari ini, kata Yang Dipertua Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Haji Mohd Kamil Othman.

“Saya mengharapkan semua pegawai tadbir negeri dapat membezakan antara intan dan juga kaca serta membezakan mana yang baik dan lebih baik, supaya apabila tiba Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kita semua mampu menunaikan tanggungjawab untuk memberikan kesetiaan kepada kerajaan hari ini,” kata beliau di Majlis Ramah Mesra Pegawai-Pegawa Tadbir Negeri Terengganu Bersama YAB Menteri Besar, di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Haji Tuan Mamat Tuan Ngah dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Haji Mohd Azlan Dagang.

Hadir sama, semua pegawai daerah dan yang dipertua perbandaran daerah seluruh Terengganu.

Haji Mohd Kamil yang juga Pegawai Daerah Kemaman turut mengingatkan TCS bahawa tanggungjawab kumpulan itu amat berat dalam pentadbiran negeri khususnya dalam memastikan kehendak rakyat sentiasa dipenuhi berdasarkan gagasan kerajaan negeri dan Pusat.

 “TCS merupakan kumpulan `premier service’ dan kita menjadi harapan kepada pentadbiran negeri. Malah sedar atau tidak, tanggungjawab TCS amat berat bagi memastikan kehendak rakyat, iaitu pelanggan kita sentiasa dipenuhi.

“Bagi memenuhi tuntutan dan kehendak pelanggan, kita haruslah sentiasa bekerja keras bagi menunjukkan kualiti perkhidmatan yang sebenar sebagai premier service,” katanya.

Beliau turut menasihati kumpulan TCS supaya menjaga tingkah laku, peribadi, tatasusila dan saling menghormati antara TCS lama dengan yang baru bagi menjaga imej kumpulan itu, selain mengelak tanggapan buruk masyarakat terhadap sektor perkhidmatan awam.

Katanya, kumpulan TCS yang baru perlu menerapkan rasa hormat yang tinggi kepada TCS yang lama bagi mengelak satu masa nanti mereka pula tidak dihormati orang-orang bawahan.

“Harapan kepada TCS muda supaya memandang ke hadapan dan merenung masa depan dengan lebih teliti supaya cara hidup yang baru itu tidak lupa untuk menyelitkan unsur-unsur kesepakatan.

 “Kesepakatan di antara kitalah akan menyumbang kepada kejayaan dan prestasi baik perkhidmatan dalam sistem pentadbiran negeri,” katanya.


WANITA UMNO TUBUH PASUKAN HADAPI HURU HARA PRU 13 CETUSAN PEMBANGKANG

Oleh : Ruslan AR

Umno Terengganu adalah negeri yang begitu berpengalaman dalam menghadapi suasana huru hara yang dicetuskan oleh pembangkang.

Tindakan pihak pembangkang menghalang pengundi-pengundi BN dari membuang undi amatlah ternyata dan jelas sekali dengan menggunakan samseng-samseng mereka.

Kalau dilihat dari sudut keadilan, demokrasi dan nilai-nilai Islam, pihak pembangkang telah sama sekali menolak keadilan, demokrasi dan nilai-nilai Islam hanya kerana mahukan kemenangan dengan apa jua cara sekali pun. (lihat video ini).



Pada 13 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bahawa daripada maklumat beberapa dokumen yang boleh dipercayai, pembangkang dipercayai merancang untuk menggagalkan PRU 13 dengan mewujudkan keadaan porak peranda kerana gementar dengan sokongan rakyat kepada BN yang sudah mula meningkat. Muhyiddin bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat dokumen yang didakwanya itu.

Sementara itu Wanita Umno akan menubuhkan satu pasukan gerakan bagi menghadapi huru-hara yang didakwa akan dicetuskan oleh pihak pembangkang. Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil mendakwa, berdasarkan maklumat yang diperoleh, huru-hara itu dilakukan bertujuan untuk menakutkan orang ramai agar tidak keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

 "Oleh kerana pembangkang takut dengan BN, maka mereka telah buat perancangan tetapi sudah dibongkar oleh media. "Pada hari nak mengundi nanti, mereka (pembangkang) akan wujudkan keadaan huru-hara supaya penyokong BN takut untuk keluar mengundi.

"Jadi Wanita menubuhkan task force bagi memberitahu pengundi supaya keluar secara aman pada hari mengundi. Dan (pasukan) ini akan ada di semua peti undi," dakwanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian semasa merasmikan Majlis Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bersama warga perumahan PDRM Desa Tasik sempena Hari Polis ke-206 hari ini di ibu negara.

Sehubungan itu, ketika ditanya adakah huru-hara yang dimaksudkannya adalah perkara sama yang disebut Muhyiddin, Shahrizat berkata, beliau hanya mengetahui tentang perkara itu daripada media dan "cakap-cakap ahli pembangkang".

"Media dan kita (Wanita Umno) adalah mata dan telinga rakyat di peringkat akar umbi.

Oleh kerana rakyat sokong Datuk Seri Najib (Razak) dan BN maka pembangkang takut.

Kita dapat tahu ini pun dari cakap-cakap ahli mereka juga.

Dan bila media lapor, jadi kita tau ini akan berlaku.

"Kita Wanita tidak gentar. Kita akan jadi benteng.

Dan pengundi mesti tahu bahawa ini kerja pembangkang yang nak bawa unsur-unsur ganas dan reformasi semasa hari membuang undi dan mereka akan mula dari awal," katanya lagi.


 

PEMIMPIN PAS TERENGGANU PERLU BERJAGA-JAGA DENGAN PENGUMUMAN ANWAR IBRAHIM INI!!

Oleh: Ruslan AR 


Pimpinan Pas Terengganu perlu berjaga-jaga dengan pengumuman Anwar Ibrahim bahawa Azan Ismail akan bertanding di Terengganu.

Azan adalah Pengerusi PKR Terengganu sekarang ini. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Fauzi Abdul Rahman akan menggantikan penyandang Azan Ismail yang bakal bertanding di Terengganu. Pengerusi Perhubungan PKR Pahang Datuk Fauzi diumum sebagai calon parti itu bagi kawasan Parlimen Indera Mahkota pada pilihan raya umum ke-13 ini menggantikan YB Azan Ismail.

 "Fauzi adalah sahabat lama saya dan kita memutuskan beliau akan bertanding di Indera Mahkota," katanya ketika berceramah di Balok Makmur, dekat Kuantan malam tadi.

Pada pilihan raya umum 2008, PKR memenangi kerusi kawasan itu menerusi Azan yang mengalahkan calon BN Salamon Ali Rizal Abdul Rahman dengan kelebihan 1,027 undi.

Dimanakah azan akan bertanding? Di Dun atau Parlimen.....kalau di Parlimen, parlimen mana, Kuala Nerus atau Kuala Terengganu.

Kalau di Parlimen Kuala Terengganu ia akan mengenepikan calon-calon popular iaitu Datuk Raja Baharin, Wahid Endut, Dr Syed Azman dari Pas.

Kalau di Parlimen Kuala Nerus,,,ke mana Pengerusi Pas Kuala Nerus, Sukrimun Shamsuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus akan bertanding.

Sukrimun tewas kepada calon BN dalam PRU lalu hanya seribu undi lebih sahaja.

 

PAKLAH KATA SOAL PEMBUBARAN PARLIMEN BUKAN ISU KERANA NAJIB MEMPUNYAI JANGKA MASA TERTENTU UNTUK PRU 13 DAN PAK LAH YAKIN BN MENANG BESAR.

Oleh: Ruslan AR



Mantan Perdana Menteri, Tun Abdulah Haji Ahmad Badawi berkata, pembubaran Parlimen,satu isu kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai jangka masa tertentu untuk berbuat demikian.

Bekas Perdana Menteri itu amat yakin dengan keupayaan BN untuk menang besar pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata ini berikutan BN telah berusaha keras membawa perubahan besar kepada negara dan rakyat menerusi pelbagai perancangan dan program transformasi.

"Nak kerajaan yang kuat perlu menang dua pertiga kerusi Parlimen dan saya yakin BN boleh dapat kerana mereka telah bekerja keras.

"Saya harap mereka (rakyat) akan terus bagi sokongan (kepada BN) supaya segala program transformasi dan perancangan dapat diteruskan pada masa hadapan. Itu semua adalah untuk rakyat juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jiwa Murni KD Sri Pinang bersama masyarakat Permatang Sintok di Kepala Batas semalam.

Pada program sehari itu, seramai 75 anggota pasukan simpanan sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia bersama penduduk kampung membaiki rumah orang miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU), menjalankan kerja gotong royong dan aktiviti membersih rumah di kawasan itu.


 

SABAR MENUNGGU PRU 13...

Oleh: Ruslan AR 


Mutakhir ini masyarakat di mana-mana sahaja bercakap mengenai Pilihanraya Umum Ke 13 yang akan menjelang tiba.

Pilihanraya bolehlah disifatkan sebagai proses penglibatan rakyat dalam memilih wakil mereka untuk memperolehi mandat kuasa bagi membuat keputusan, membentuk dasar dan undang-undang mengikut kehendak masyarakat majoriti.

Pilihanraya di bawah sistem Parlimen seperti di Malaysia bertujuan untuk memilih ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat di peringkat Persekutuan dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri, seterusnya membentuk kerajaan.

Ia adalah suatu proses yang sungguh murni dan di negara kita ia telah berlangsung sekian lama dan kini bakal diadakan bagi kali ke 13.

Pilihan raya adalah suatu wadah dalam melaksanakan kebebasan membuat pilihan menerusi proses sistem pemerintahan demokrasi.

Kebebasan bukan bermakna untuk menukar sesuka hati mengikut selera, tetapi kebebasan juga bermakna untuk mengekalkan yang sedia ada, memberi mandat semula kepada kerajaan sedia ada, yang telah menunjukkan prestasi yang baik untuk kesejahteraan rakyat.

Melalui pilihan raya juga rakyat dapat memilih tokoh atau parti politik yang telah terbukti kewibawaannya, yang mereka percaya dapat meneruskan kemajuan dan transfromasi sejajar dengan kerangka program pembangunan negara yang telah sekian lama dibuat.

Kita tidak boleh menafikan pilihanraya umum atau negeri di negara kita dikendalikan oleh sebuah Suruhanjaya Pilihanraya – satu badan bebas yang diakui kewibawaannya.

Malah ada sesetengah negeri di menangi parti pembangkang yang membawa makna bahawa perjalanan pilihanraya di negara kita berjalan dengan telus adil dan saksama: menolak sama sekali tuduhan pihak tertentu yang mempertikaikan kewibawaan proses pilihanraya di negara ini.

Antara fungsi, tugas dan tanggungjawab suruhanjaya ini ialah mengendali, mengawasi, memantau dan memastikan setiap pilihanraya berjalan dengan sempurna, aman, lancar tanpa sebarang kejadian yang melanggar undang-undang.

Kewibawaan suruhanjaya ini sudah terbukti dan diakui dunia sejak ia mengendalikan pilihanraya pertama di negara ini pada tahun 1952.

Janganlah hendaknya ada usaha untuk membuat huru-hara di masa pilihanraya umum negara kita yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Biarlah proses pilihanraya berjalan dengan baik mengikut lunas dan peraturan yang telah ditetapkan.

Janganlah hendaknya ada campur tangan pihak asing yang disokong oleh pihak tertentu untuk menghancurkan kerajaan dan negara yang telah terbukti membawa keamanan dan kesejahteraan untuk rakyat.

Sebagai rakyat yang sentiasa cintakan keamanan dan perpaduan sudah tentu kita mahu pilihanraya bebas dari sebarang gejala negatif.

Sama ada penyokong kerajaan mahu pun pembangkang, janganlah menjadikan pilihanraya sebagai medan untuk berseteru dan berkelahi sesama sendiri.

Marilah kita meningkatkan semangat perpaduan dan kasih sayang sesama kita, tanpa meletakkan perbezaan fahaman politik sebagai penghalang kemesraan dan persaudaraan.

Kita yakin dengan kemampuan pihak polis atau pasukan keselamatan kita bagi memastikan perjalanan pilihanraya tidak dicemari dengan insiden-insiden jenayah atau yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Namun begitu peranan semua pihak juga adalah penting untuk memberi kerjasama bagi mencegah dari berlaku huru-hara dan suasana yang mengancam keselamatan.

Biarlah proses pilihanraya dapat berjalan dalam suasana yang aman damai tanpa mengganggu rutin kehidupan seharian masyarakat.

Dengan cara inilah kita akan dapat meneruskan perjalanan hidup dan berusaha membentuk sebuah masyarakat yang maju, harmonis dan bersatu dalam melangkah ke alaf baru yang semakin mencabar.

Hargailah keamanan dan kesejahteraan negara yang kita sedang nikmati sekarang ini.

Nilai sebuah keamanan ini amatlah tinggi dan tidak boleh diperjudikan sama sekali dengan perasaan ingin mencuba dan sebagainya.

Keamanan dan kesejahteraan ini bukan datang dengan begitu sahaja, melainkan adalah hasil usaha bersama kita semua dan kebijaksanaan pemerintah dalam mengurustadbir negara ini.